Sahabat Yang jadi Seteru
(From Friend to Foe) 

Oleh: Omar bin Abdullah

Bahagian  Satu:

Pada 1848, Lord Palmerston,  yang kemudiannya  menjadi perdana menteri England, telah memberitahu  Dewan Rakyat (House of Commons): “Kita tidak mempunyai sahabat yang berkekalan dan kita tidak mempunyai musuh secara berterusan, dan itulah kepentingan yang perlu dipatuhi.”

Hamid  Mir, editor ‘Ausaf’ sebuah akhbar  harian berbahasa Urdu  yang berpengaruh di Pakistan, pernah menulis dalam ‘The Federal Times’ (Lahor, Pakistan) satu kisah pada bulan Oktober 1995. Pada waktu itu  sebuah syarikat  minyak, UNOCAL, yang berpusat di California  telah mendatangani satu  perjanjian  protokol dengan kerajaan Turkmenistan untuk menjalankan pencarian dan pembinaan satu  saluran paip minyak menghala ke Pakistan dan melalui wilayah Afghan.

Apabila  Taliban  berjaya  menakluki Kabul, timbalan presiden Unocal, Christopher Taggart, telah membuat kenyataan betapa dia “menganggap pergolakan  itu positif." Dia menambah  seandainya  Amerika  mencontohi  gelagat Pakistan  menjalin hubungan baik dengan Taliban, tentulah banyak peluang  dagang  untuk mereka.  Robert Oakley, bekas Duta Amerika di  Pakistan, telah disara khidmatnya oleh Unical untuk melobi  hal ini dan beliau telah  bergerak  antara Washington dan Islamabad menjalankan tugasnya yang sungguh aktif.

Dennis Kux, seorang diplomat kanan yang sudah bersara dan pernah berkhidmat di rantau itu ada menulis satu buku: ‘The  United States and Pakistan 1947-2000-Dischanted Allies (The Johns Hopkins University Press,2001). Beliau  telah menulis dan memberitahu bahawa  pada bulan Oktober 1995 juga, seorang menteri dalam negeri di bawah pemerintahan perdana menteri Benazir Bhutto; Major General (B) Naseerullah Khan Babar, telah mengepalai  satu konvoi  trak-trak  daripada Quetta   menuju Turkmenistan,  melalui  Kandahar dan Heart. Turut serta   perjalanan konvoi itu ialah  beberapa pegawai diplomat termasuk Duta Amerika di Pakistan John Monjo.  Kux menambah  betapa jabatan Negara (Amerika) “tidakpun merasa tertekan” apabila Taliban  menakluki Kabul, dan beliau menulis betapa Jabatan Negara menganggap  kedamaian di Afghanistan mampu  meningkatkan peluang mendirikan satu projek besar  memasang saluran paip gas yang membabitkan satu konsortium yang dipimpin oleh  Unocal, sebuah syarikat minyak yang mahu menyalurkan gas yang digali daripada Turkmen kepada India dan Pakistan.

Mir telah menulis  bagaimana  Bhutto  telah  menceritakan kepadanya beberapa hari selepas pemecatan  beliau pada November 6, 1996. Benazir menyebut bagaimana  Duta Amerika di Islamabad Thomas W.Simons telah tidak menyenangi  Benazir kerana puak Taliban enggan menyetujui permintaan Unocal. Pada  November 16, 1996, penolong  setiausaha negeri Robin Raphael telah berdebat di satu persidangan PBB mengenai Afghanistan di New York. Pada waktu itu  beliau telah membangkitkan  kewujudan Taliban yang dianggapnya satu pergerakan yang masih purba sikapnya dan  menganggap dasar Taliban itu yang mempunyai unsur melampau (extremism) dan paling mudah untuk menjinakkan mereka ialah secara berhadapan dengan mereka.  Robin kemudiannya   pergi ke  Kandahar dan berjumpa dengan beberapa pegawai tinggi Taliban, tetapi  dasar  bersemuka itu  gagal juga kerana Taliban sudah pun  menandatangani satu MOU (Memorandum of Understanding: Memo Persefahaman) dengan BRIDAS, sebuah syarikat minyak Argentina, untuk  memajukan projek saluran  paip gas tersebut.

Mir telah melaporkan bagaimana Babar, pernah  menyoal tujuannya  mengkritik Taliban. Mir menjawab bahawa dalam pertemuannya  yang pertama kali dengan ketua  Taliban - Mullah Omar, beliau tidak pun sedar  betapa Amerika bercadang  membiayai  saluran paip gas itu kerana apa yang dia faham  (selama  itu) bahawa  segala  sokongan yang mereka terima diberikan oleh Pakistan. Mir telah mengetahui betapa ‘Amerika mempunyai satu agenda  yang mengandungi tiga perkara khusus  untuk Taliban.  Satu, mereka (Amerika) mahu menggunakan Taliban untuk mengadu domba mereka melawan Iran.  Dua,  mereka mahu mempengaruhi Taliban  untuk  bersetuju  mengizinkan pembukaan  khemah perlindungan dan markas latihan di Afghanistan  untuk kumpulan mujahidin UYGHUR daripada  wilayah Xinjiang di China.  Tiga,  Amerika mahu  mengusahakan satu projek pembinaan saluran gas daripada Turkmenistan sampai Pakistan  melalui Afghanistan.  Walaupun demikian, Mir berpendapat bahawa dia sudah merasakan yang Amerika  biol itu tidak akan berjaya mencapai waima satu sasaran pun  kerana  Taliban bukannya satu kumpulan manusia yang mudah akur dengan arahan yang ditujukan kepada  mereka.

Kux telah menulis betapa  Babar telah mewujudkan satu  bahagian  khas memantau Afghanistan  di  kementerian dalam negeri  untuk memberikan bantuan koordinasi dengan pihak Taliban. Cara Mir  mempertikaikan  gelagat  Babar itu  menunjukkan  pihak Taliban menerima sokongan regim Benazir Bhutto dan telah mendapat  sokongan besar daripada suami perdana  menteri itu menikmati pelbagai  urusan dagang. Tentulah sesuatu yang menyeronokkan  kalau ada  siasatan dibuat  untuk mengetahui berapakah  komisyen yang dibalun oleh Asif Ali Zardari, suami Benazir itu.

Mir berpendapat, Mullah Omar amat yakin bahawa  Amerika tidak pun berminat dengan Osama bin Laden dan matlamat mereka sebenarnya ialah  untuk menegakkan sebuah kerajaan pilihan mereka di Kabul, yang boleh memberikan Amerika kuasa  mengawal  semua pergerakan yang menggunakan jalan yang menghubungi Asia Tengah. Justeru, Umar dapat merasakan betapa Amerika sengaja  mahu mencetuskan pelbagai halangan, bukan sahaja  kepada Pakistan dan China, tetapi juga kepada Iran.

Ahmad Rashid  yang menulis satu buku bertajuk:  Taliban: Militant  Islam, Oil dan Fundamentalism in Central Asia (Yale University Press; March 2000) pernah menulis mengenai  persaingan Unocal/Bridas berkaitan  politik kawasan simpanan   gas asli dan saluran paip  di Asia Tengah.

Humayurn Gauhar pernah menulis dalam Nation, (Sept.23) dan berkata: “CIA telah menyemai bibit-baka  (Taliban) dalam rahim  ISI (Pakistan’s  Inter-Services Intelligence) sementara  pasukan  perisikan Saudi telah memainkan peranan  seorang  bidannya. Taliban telah diprogram  supaya wujud laksana duri yang mencucuk Iran  kerana Iran memang berhasrat   mahu menyatupadukan  Afghanistan. Sebaliknya, semua  kumpulan yang telah dirasuk oleh   pelbagai ideologi dan ajaran agama, telah berpisah  dan berpaling tadah memerangi  Pencipta  mereka.”

Mir menambah, hanya  setelah projek yang bernilai lapan bilion dollar itu  gagal dimulakan, barulah Amerika  mencetuskan isu  besar membabitkan nama Osama bin Laden, meminta beliau ditarik-keluar yang  ditentang oleh Taliban, sambil  memberi ingatan bahawa mereka  sudah  membesar menjadi satu kekuatan yang bebas merdeka.

Franz Schurmann, dalam tulisannya, “Afghanistan’s Taliban Rebels Blend Islam dan Maoism” (Pacific News Service, Sept.30,1996) menyatakan; “Adalah satu ironis  Washington telah menunjukkan kegembiraan  terhadap kemenangan  Taliban itu dengan penuh senang hati, kerana alasan utamanya ialah Taliban mempunyai sikap membenci yang mendalam terhadap Iran.”

Di samping itu  pasukan Pakatan Utara adalah  merupakan satu kumpulan yang disokong oleh Iran, Russia,  INDIA, Turki, dan banyak lagi, termasuklah seorang panglima perang Afghan yang pro-komunis General Rashid Dostum.

Pakistan telah  mengambil tindakan untuk  mempertahankan kepentingannya, terutama sekali setelah melihat  pakatan rapat  antara bekas presiden Afghanistan (1992-1996) Burhanuddin Rabbani dan India, Russia  dan Iran yang mengimbangi  pengaruh Pakistan.  Di sebalik lakonan Pakatan Utara  untuk santapan  dunia, pucuk pimpinannya kerap mendapatkan campur tangan Pakistan  dalam menaja  dialog  (dalaman)  intra-Afghan.

Perjanjian Damai Islamabad (Islamabad Accord) telah ditandatangani oleh semua pihak Afghan pada 1993,  dan masih menjadi satu  testimoni  kepada iltizam Islamabad untuk menegakkan keamanan  secara usaha sama sendiri, di Afghanistan.  Mengikut perjanjian  ini makanya  Sibghatullah Mujadidi, telah dilantik sebagai seorang presiden di Kabul dan dia dapat bertahan selama enam bulan. Akan tetapi, apabila  beliau enggan mengosongkan takhta  untuk menyerahkan jawatan presiden kepada Rabbani, Pakistan telah bertindak mengusirnya untuk melepaskan jawatan itu

Mir telah merakamkan, apabila  tempoh kuasanya  berakhir, Rabbani juga tidak bersedia melepaskan  jawatannya (sebab dia kena penyakit  diktator reput UMNO, Malaysia!)

Rabbani telah mencemari perjanjian awalnya  dan enggan turun, khabarnya setelah dihasut oleh Washington dan Moscow. Ini disusuli  serangan  terhadap kedutaan Pakistan di Kabul yang diiringi oleh keengganan  Rabbani melaksanakan  Perjanjian Damai Islamabad itu. Inilah yang memaksa Pakistan  berpaling kepada Taliban untuk menyokong pergerakan  itu, sedangkan sebelum itu Taliban digunakan oleh orang Pakistan sebagai pengawal keselamatan, menjaga  perdagangan mereka   di sepanjang  jalan perdagangan menuju Asia Tengah daripada dirasuk puak-puak yang merompak.

Bersambung 

Diterjemahkan oleh MT

Hits: