Said  Ghazali:  Kenapa Osama Laden ditabalkan  menjadi wira  Palestine 
(Why  bin Laden is  hailed as the hero  of  Palestine)

http://argument.independent.co.uk/commentators/story....

Di    bandar Nablus   di Tebing Barat, Ali al-Masri  ialah seorang  pekedai yang sudah 72 tahun umurnya.. Dia bercadang untuk menggantung  gambar potret Osama bin Laden, manusia yang paling dikehendaki  di dunia, pada dinding kedainya.  Ketika  Iyad Musnar, seorang tukang kayu berusia 28 tahun, terlihatkan Osama  mengutuk  AS di kaca TV, dia menjadi  seronok dan melaungkan “Allahu Akbar”.  Amani Khader, seorang anak perempuan berusia 10 tahun kepada seorang  pemimpin tempatan, berkata dia mencintai  Osama Laden semacam  ayahnya  sendiri.

Inilah  beberapa  suara baru  yang berkumandang  di  persekitaran  Tebing Barat itu sejak beberapa hari  yang lalu. Tiba-tiba kami diberikan seorang  “pejuang” di jalanan Palestine, dan beliau ialah seorang insan  yang dipercayai oleh Barat yang telah membunuh 6,000 orang.

Saya memang percaya  kepada kemampuan pejuang pembebasan  satu  ketika dulu, Pada  sekitar 1950-an dulu kami  percayakan  Gamal Nasser.  Dia memberitahu, kami akan dapat semula tanah kami. Tetapi pada  1967, Israel menakluki Tebing Barat  dan Gaza, sehinggalah  ke hari ini.

Kemudian  muncul  Yasser Arafat. Saya pernah  mempercayainya  juga – sehingga saya dipenjarakan  selama 18 bulan pada 1974 kerana  menganggotai  Fatah,  pergerakan utama beliau.  Dia juga  telah membuat  kenyataan yang hebat-hebat mengenai membebaskan tanah air kami. Yang kami terima hanyalah bermacam  bentuk kegagalan, walaupun dia kerap mengatakan semua itu adalah kemenangan. Di bawah pimpinannya  kami pernah kehilangan sekitar 20,000  ahli masyarakat Palestine yang  terkorban  dalam episod pembunuhan beramai-ramai  ‘Black September 1970’.Tiga belas tahun kemudiannya, kami telah dinyah keluar  daripada Beirut  selepas menyaksikan  kehancuran  Lebanon.

Pada  1993, Arafat  menandatangani  Perjanjian Oslo, menyetujui  syarat-syarat di mana kami tidak lagi  mempunyai kuasa  mengawal sempadan,  bekalan air, ekonomi, dan juga ruang  udara. Akhirnya, “pejuang  kebebasan   terunggul”  kami ini mempunyai satu  tugas tunggal  untuk mengawal  rakyatnya, menggunakan  pasukan  polis beliau menentukan keselamatan  orang Israel.

Orang  Palestine  pernah juga  mengkagumi Saddam Hussin, bertepuk tangan kerana kebodohan apabila  peluru berpandu Scud  merejam Israel pada  1991. Ramai  rakyat Palestine yang sudah semakin dingin  terhadap  beliau. Kerana itu  dia  selalu menghantar orang kepercayaannya dengan bekalan wang  untuk  menderma  keluarga  mereka yang mati di tangan Israel.  Tetapi harinya  sebagai  seorang  wira  kami  sudah lama berlalu.

Kini golongan cerdik pandai Palestine sudah  mula berkata  bahawa pejuang kebebasan yang sebenar ialah George Bush  kerana beliau memerangi keganasan  dan menjanjikan sebuah negara  bebas untuk kami.   Tetapi Bush ialah  sahabat yang paling  rapat dengan Israel. Tidak menjadi satu kehairanan kerana itu, setelah berlakunya pelbagai kekecewaan itu, ada  segelintir orang Palestine  yang telah  berpihak  menyebelahi Osama bin Laden.

Masyarakat Palestine  akan terus menentang peperangan mengganyang Afghanistan, kerana menganggapnya  sebagai semata-mata mempunahkan  orang  awam. Memang yang dimangsakan itu tidak pun  bertanggungjawab kepada serangan 11 September. Orang biasa memberikan sokongan mereka kepada Osama bin laden bukan kerana mereka  menyetujui pembunuhan  6,000 orang awam, tetapi  kerana mereka  berkongsi  semangat anti-Israel,  dan  sentimen anti-Amerika.

Seperti  umat Islam yang lain, rakyat Palestine menentang  kehadiran askar-askar Amerika di  Semenanjung Arab.  Mereka  mengkagumi Osama Laden kerana  sebagai seorang jutawan dia  lebih  selesa  membuat pilihan pahit   memperlekehkan  Amerika  dan barat.

Memberikan sokongan kepadanya  tidak membawa erti  seseorang itu  menyetujui keganasan, walaupun ramai yang  masih bengang dengan  makna  keganasan  itu  sebenarnya. Kenapakah Iraq, Iran, Syria, Hizbollah, ‘Islamic Jihad’ mesti  diberi cop sebagai pengganas, sedangkan Israel dikecualikan?

Orang Palestine sudah pun  memperakukan  insan  ini sebagai wira  mereka  kerana mereka percaya dia akan  menghukum  kuasa-besar  paling  berkuasa  di  dunia, sebuah negara yang telah membantu Israel untuk  terus  membuatkan kami hidup sengsara. Orang Palestine percaya  wira baru mereka ini akan  membebaskan Palestine.

Satu hari yang lalu saya telah  mendekati salah seorang   anggota  polis yang ditubuhkan oleh Arafat. Beliau baru sahaja  selesai menyuraikan tunjuk perasaan  pelajar sekolah di Nablus  yang  menentang   pengeboman Amerika dan menyokong  Osama  bin Laden. "Apa pendapat anda  mengenai Osama Laden?” saya  tanya  pegawai itu.   “Dia  adalah manusia yang terhebat  di dunia  ini. Dia adalah penyelamat kita.”  Kalau begitu, saya tanya dia lagi, kenapa anda  bertindak ganas  terhadap  para  penyokongnya? “Saya mengikut perintah,” jawabnya; “Allah tetap  akan datang  membantu.”

-  Said Ghazali menetap di  Palestine. 

Diterjemahkan oleh SPAR

Hits: