26,000 Ahli Baru UMNO: Pastikan kewarganegaraan mereka

Tidak salah UMNO menambahkan ahlinya, begitu juga parti-parti politik lain. Tetapi jangan lupa negeri Sabah adalah negeri yang paling teruk dimasuki warga asing dari negara jiran Filipina dan Indonesia. Setengah mereka sudah berpuluh tahun menetap di Sabah, mereka ini cukup licik mencari atau mendapatkan apa juga peluang di Sabah, bukan saja mereka boleh menipu, membuat helah dan malah mereka sanggup keluarkan wang ringgit demi untuk survival mereka di Sabah. Kerana itu, isu IC palsu, resit IC palsu, pasport palsu dan pelbagai dokumen warga negara dipalsukan oleh sendikit yang didalangi sendiri oleh penduduk tempatan. Justeru, adalah tidak mustahil 26 ribu ahli baru UMNO Sabah itu, berkemungkinan separuh daripadanya adalah warga asing yang berIC palsu atau berIC projek, sama ada dari ibubapa mereka atau mereka sendiri diwarganegarakan melalui proses menyalahi undang-undang negara.

UMNO Sabah, khususnya pemudanya memang berasa cukup bangga dengan kejayaan mendapat ahli baru sejumlah 26 ribu dari kalangan golongan muda. Belum masuk ahli baru pergerakan wanita, puteri dan golongan lelaki dewasa. Ada kemungkinan kalau dicampur semua mungkin boleh mencecah sejumlah 1/2 juta ahli baru. Nampaknya UMNO Sabah tersenyum lebar dengan ramainya ahli baru, ini merupakan bekalan cukup untuk berhadapan pilihan raya umum negeri tahun 2004 nanti. Harus diingatkan dalam usaha meramaikan seramai mungkin keahlian parti UMNO di Sabah. Sabah sudah menjadi lubuk warga asing dari negara jiran Indonesia dan Filipina yang telah ramai diwarganegarakan dalam pelbagai status  kewarganegaraan yang diberikan kepada warga asing sama ada yang berstatus warganegara 'sementara', 'penduduk tetap' dan yang masih berstatus 'warga asing'. Kita takut kerana semangat hendak menambah keahlian baru atau buka cawangan baru UMNO, sehingga pemimpin UMNO Sabah tidak dapat bezakan antara rakyat tempatan atau warganegara. Kes di Likas sudah cukup mengajar kita, betapa fenomena kebanjiran warga asing atau mereka yang diberikan IC secara 'pintu belakang' atau membelakangi prosedur undang-undang dan Perlembagaan Negara, demi untuk dijadikan pengundi UMNO/BN di Sabah supaya dapat membantu kemenangan calon-calon BN dalam pilihan raya.

Tugas menambah keahlian setiap parti politik adalah antara matlamat jangka panjang parti-parti politik. Tetapi biarlah pertambahan keahlian itu benar-benar mengikut lunas-lunas Perlembagaan Negara atau undang-undang kewarganegaraan. Jangan ada sikap asal ramai ahli sudahlah, dengan tidak menghiraukan siapa, apa dan dari mana asal usul ahli baru itu. Mungkin mereka warga asing yang menyelinap masuk ke dalam organisasi parti politik secara cukup licik, bermuka-muka, mungkin mereka pemegang IC palsu, pembawa resit tukar IC palsu dan sebagainya. Isu ini mesti diteliti oleh semua parti-parti politik di Sabah. Bukan saja organisasi UMNO/BN, sebab kelicikan warga asing berpolitik untuk mendapat status 'warga negara' di samping berusaha mendapatkan pelbagai peluang ekonomi, sosial, pendidikan, pekerjaan dan lain-lain sudah lama terjadi. Tetapi tidak disedari oleh orang politik khususnya para pemimpin UMNO Sabah, mereka hanya mencari untung politik tanpa menyedari akibatnya. Bayangkan apa akan jadi kepada anak bangsa kita apabila satu masa nanti ada orang politik yang bergelar YB itu adalah warga asing yang diwarganegarakan secara tidak sah itu, dengan IC palsu, IC projek dan pelbagai cara yang bercanggah dengan undang-undang negara ini.

Di Sabah, lambakan dan kebanjiran warga asing sudah menjadi fenomena yang berbahaya kepada keselamatan rakyat Malaysia di Sabah dan negeri Sabah sendiri. Keselesaan hidup rakyat Sabah turut terjejas, peluang ekonomi juga direbut semahunya oleh warga asing ini, masalah kesihatan dan sosial juga timbul dan seterusnya jenayah semakin menjadi-jadi. Selain itu, pendidikan rakyat Malaysia juga turut terkena bahang kebanjiran warga asing. Begitu juga sektor pekerjaan benar-benar menyempitkan peluang rakyat Sabah sendiri, kerana majikan lebih suka mengambil warga asing atas faktor gaji murah dan tidak banyak kerenah. Itu fikrah atau pandangan setengah majikan yang tidak berjiwa nasional atau jati diri bangsa mereka boleh dipersoalkan. Orang politik jangan sampai dijangkiti penyakit ini. Bahayanya lebih besar apabila orang politik sudah hilang semangat nasional dan jati diri bangsa sebagai rakyat Malaysia. Kerana orang politik yang memiliki kuasa, dengan kuasa inilah mereka boleh meruntuhkan negeri, negara dan bangsanya sendiri seandainya kuasa itu disalahguna untuk kepentingan diri dan politik sempit mereka. Akan tetapi dengan kuasa inilah juga bangsa, rakyat, negeri dan negara dapat diangkat ke martabat yang tinggi, apabila kuasa diperguna untuk itu.

Pendek kata, kita menyeru kepada parti-parti politik di Sabah, terutama parti UMNO/BN yang selama ini seperti tidak menghiraukan soal keahlian parti mereka sama ada warga  negara atau warga negara 'palsu' (warga asing yang diberi status warga negara secara tidak sah) kerana mengikut telunjuk orang politik yang berkepentingan diri, politik sempit dan gila kuasa. Agar lebih peka dan sensitif dalam usaha menambahkan keahlian parti masing-masing, jangan sampai mengambil ahli baru dari warga asing yang diwarganegarakan secara tidak sah, dengan IC palsu dan juga tidak mengikut undang-undang. Ingatilah, kes pembatalan DUN Likas baru-baru ini. Malah risiko terlalu berat untuk dipikul oleh anak bangsa dan generasi anak cucu kita dikemudian hari. Bayangkan, apa akan terjadi apabila kampung, daerah, negeri dan negara ini dikuasai oleh warga asing yang diwarganegarakan secara tidak sah itu. Ketua Kampung mereka pegang, DO orang mereka, YB-YB mereka juga, pegawai tinggi kerajaan orang mereka juga, polispun mereka juga, tentera pun mereka juga, pegawai/pengarah pendidikan, hospital, pendaftaran, Imigresen, perhutanan, tanah, perikanan, pertanian dan sebagainya orang-orang mereka sudah duduk di tempat itu dan mempunyai kuasa yang tidak terbatas, ke mana rakyat atau anak tempatan mahu mengadu lagi. Jangan tunggu 'nasi menjadi bubur'. Kerana itu, orang politik hendaklah bertindak dengan kuasa yang ada berdasarkan undang-undang dan peraturan yang ada. Insya-Allah kita, rakyat, bangsa dan negeri serta negara Malaysia akan selamat, lebih aman, tenteram dan bahagia.

Ibn Sabah,
12.10.2001M.

Hits: