Tamatnya  Satu  Rintisan
(End of the trail)

(http://www.smh.com.au/trail..)

oleh: Freddo  Dirk


Ibu negara Afghanistan  pernah menjadi satu destinasi  yang digemari oleh  warga  hippi, dunia. Demikian  imbauan Freedo Dirk, ketika mengingatkan  zaman mudanya dulu.


Tiga  puluh tahun dulu aku pernah berada  di Afghanistan, di Kabul, dan menetap di Hotel Ziggy di Chicken Street.   Di zaman  ini bandar itu   memang dipenuhi  oleh para  pengembara  dunia   yang mahu  meneruskan perjalanan  menerusi Khyber Pass   menuju  India, ataupun  ke arah barat  menuju  Iran  dan  Istanbul.

Di  Chicken Street sesiapa pun boleh  membeli dadah-candu  daripada  seorang lelaki kerdil yang  memakai serban  berwarna merah, ataupun menjual cek pengembara  yang dikira  hilang  di pasar jual-beli wang  di situ. Terdapat  beberapa  dozen  restoran  di satu  kawasan  pinggir  yang menjadi tempat tumpuan  warga  hippi yang dipanggil Sharenou, kerana  di sana  terdapat  bermacam  versi  makanan  asing.

Pada  ketika  itu  masih ada  seorang raja  dan satu keluarga  di raja. Ada juga  sebuah  kedai yang  paling besar ketika itu yang  merupakan  satu  supermarket  kepunyaan Russia. Kita boleh membeli sehelai kain khas untuk dijadikan serban hanya  dengan harga  satu dollar  sahaja. Kain itu panjangnya lima meter  dan ia  boleh digunakan membelit kepala  untuk menyungkup  habuk dan debu  yang  mudah  berterbangan  di  situ.

Pakaian ‘vest’ yang diperbuat  dari kulit musang  yang berhias, menjadi bahan  yang amat digemari oleh  ratusan  warga  hippi  yang  menginap di hotel  yang merata  pinggiran kota  itu. Kabul  merupakan satu pusat dagang  dan  memang  begitulah sifatnya  sejak zaman Zulkarnain dulu.

Ada seorang  budak lelaki berusia lapan tahun  yang membentang  satu helai selimut (gebar) di kaki-lima  kedai dan meletakkan beberapa  buku berkulit lembut (paperbacks)  untuk dijual.  Memang susah untuk  bertawar harga  dengan budak itu yang pintar dan petah dalam  enam bahasa.

Pemandu teksi pula  amat gemar  mengembalikan  cucur–tambang  dengan  mata wang roubles (Russia).

Dadah  jenis ‘hashish’ yang paling bermutu  di dunia datangnya  daripada Mazar-i-Sherif  yang terletak di lereng  pergunungan tidak jauh  dari  situ.


Beberapa bangunan kerajaan  terletak terpencil  di satu  kawasan  yang lapang. Bangunan itu dibina  dengan  menggunakan granit yang  memang lama dimakan hari sehingga  keluar warna hitamnya  yang  asli.  Di bahagian dalam   pejabat itu mempunyai  bahagian siling  yang tinggi, dan di sanalah  orang lelaki yang  memakai serban  menulis visa  di pasport dengan  menggunakan mata pena.

Kawasan luar memang  berdebu, unta yang  dijadikan  pengangkutan kafilah (rombongan dagang)  dikumpulkan  di situ  untuk merentasi banjaran gunung. Kabul merupakan  awal  rintisan  perjalanan  kafilah Pashtu (Postun) yang mengembara ke Russia  dan China ketika  musim  panas membawa sinaran  suria.

Kedutaan  British terletak di satu hujung jalan  yang berdebu dan di kiri-kanan jalan itu  merupakan satu  tempat longgokan  bas  dan kereta  rosak  yang dibawa masuk  melalui jalan darat daripada  Eropah. Kedutaan itu memang  menepati kiasan yang ditulis oleh Rudyard Kipling (Apabila  Barat  Bertemu  Timur (?)  – penterjemah).  Bangunan kedutaannya  memang  indah  persis satu mahligai  zaman  Victoria yang mempunyai  satu taman ‘nirwana’nya,  yang diuruskan oleh  para petugas  yang berpakaian serba serbi putih (yang menjadi contoh pakaian  Pemuda  UMNO?)


Apabila muncul waktu petang,  tebing sungai yang berdekatan akan dipenuhi oleh  ratusan manusia, yang berpakaian  seragam, menikmati  hidangan  nasi   dan daging. Mereka makan bersuap  di restoran  tepi sungai yang bertaburan  di sepanjang  tebing  itu.

Di hujung Chicken Street  terdapat satu  ruang lapang  yang mungkin  pada  satu ketika  dulu adalah tapak satu bangunan. Inilah satu taman rehat (park), yang berbangga  dengan  pepohon kayu  yang tidak mempunyai sehelai pun daun ketika  itu.  Para penghuni kawasan  padang pasir kerap muncul di situ  sambil  membelek-belek  tumbuhan menghijau yang kecil rupanya  yang tumbuh melata  di permukaan lumpur  yang  terdapat di sana.

Musim panas  memang  terlalu  membara sehingga kita mudah terlupa betapa  air yang diminum sebarangan mengandungi  racun berbisa. Memang amat mudah dijangkiti penyakit kolera kalau tersalah meminumnya.  Apabila  muncul musim sejuk, muka  yang  terdedah boleh menjadi beku walaupun terdedah  sebentar sahaja ketika menyeberangi jalan  di lapangan American Express untuk melihat apakah ada sesiapa   mengirim wang secukupnya untuk membolehkan kita  meneruskan perjalanan seterusnya.

Kanak-kanak  bermain  layang-layang   dari bumbung setiap  bangunan di sebelah petang, sambil beradu-domba sesama mereka. Masyarakat  ‘American  Children of God’ mempunyai sebuah gereja yang memberi   makanan percuma kepada  orang  pengembaraan, sambil mencuba  menarik pengembara itu  menganut  fahaman  agama mereka. Akhbar Herald Tribune memang  mudah dibeli di Kabul Hotel.  Di situ  pengembara yang kaya  menginap, dan dilayan dengan hidangan buah ‘peach’ dan yogurt untuk sarapan, sambil membaca akhbar Herald  Tribune.  Anggota  tentera Afghan kerap merayau-rayau  di bandar  berdua-duaan  sambil berpegangan tangan  dengan pakaian  yang mungkin  mereka warisi dari zaman  Kaiser Jerman dulu.

Kabul memang indah ketika itu walaupun terdapat  ciri-ciri  yang  berbahaya  mewarnai keindahannya.


Di Grand Bazaar, ada  seorang lelaki   tua yang memelihara  seekor beruang yang  hitam warnanya, dan dirantai dengan satu penyepit  yang  mengikat buah anunya. Dalam dunia perubatan buah ‘anu’ itu  disebut  ‘scrotum’ gamaknya. Apabila  orang yang mengelilingi  mereka sudah meletakkan  wang  pertaruhan secukupnya,  orang tua  itu pun  membelasah binatang yang tidak berdosa   dengan  sebatang  kayu untuk mereka melihat  berapa tinggi  lompatan binatang  itu.

Di kawasan lapang, penggembala  unta  akan menyalakan  obor api  di bawah  kangkang  binatang mereka  untuk  membiarkan binatang itu berdiri  di pagi hari.

Penjual juz karot (lobak merah) di satu sudut  jalan meletakkan wang syilingnya  di dalam satu  gelas yang dikerumuni banyak  lebah.  Sambil diperhatikan oleh para pelanggannya, dia beranikan  jejari  untuk mengambil wang siling cucur untuk dibayar kepada  pembelinya.

Di Afghanistan memang  wujud  satu semangat  menahan  kesengsaraan. Inilah  satu  keajaiban ketahanan manusia yang tidak ada  di mana-mana.

Aku terfikir juga  bagaimana berubahnya tempat itu  di zaman ini. Tentu  Chicken Street sudah hancur-lebur  sambil ditemani angin sejuk yang turun daripada  banjaran gunung  untuk terus menghembusnya.  Apakah yang sudah terjadi, soal  hatiku, dengan   pegawai pos  di bahagian  surat menyurat (pose restate) yang menyimpan surat untuk diserahkan kepada  pengembara yang patut  menerimanya?   Apa  kisahnya seorang professor di sebuah ‘universiti’ yang mengambil masa yang panjang  sesuka hati menceritakan sejarah   bangsanya yang  gemilang?

Aku hairan juga  kenapa Afghanistan tidak dapat  hidup senang lenang dengan raja  tua  itu  dulu. Dia  amat pintar  mengadu-dombakan Amerika dan Russia sehingga mereka berdua  menjadi berseteru. Kalau ini dibiarkan terus berlaku, tentulah  supermarket Russia  masih penuh lagi dengan pelancung  asing  membeli dan membayar dengan  dollar. Tentulah  beberapa harimau yang dibela di zoo di pinggir  sungai itu masih hidup lagi dan terkenal namanya  sejak zaman dulu, hingga  ke Delhi.

Yang paling penting dalam ingatanku, apakah  imbauan itu diingati juga  oleh   orang lain di dunia  ini. Mungkin ada sesiapa yang masih ingat  akan cerita sebuah bas   yang berhenti  di tengah  gurun pasir  untuk membiarkan orang gunung  turun  di situ  tanpa perasaan takut  dan gerun dengan keadaan yang senyap dan sunyi, yang mungkin  mencurigakan seorang  penjejak Koori.

Aku masih terfikir nun jauh di sana, di bawah bumbung  sebuah khemah  di malam hari,  jauh dari pendengaran  Taliban yang tidak tuli,  apakah ada seseorang dari  gunung  yang  sama usianya denganku, mendengarkan bisikan suara yang merdu  yang membayangkan  waktu-waktu indah  di  zaman dulu.


Tamat
-Diterjemahkan oleh SPAR-

Hits: