Tazkirah ( 20 ) : Mengenal Musuh-musuh Islam

Subhanallah. Maha Suci Allah s.w.t. yang telah mengutuskan Rasul-Nya yang terakhir sebagai pemberi petunjuk jalan kebenaran untuk hamba-hamba-Nya. Bersyukurlah kita kerana dipilih oleh Allah s.w.t. sebagai hamba-hamba-Nya yang termasuk di dalam golongan umat manusia yang mendapat petunjuk itu.

Insya-Allah kita akan meneruskan pengajian dari buku tulisan Dr. Yusuf Al-Qardhawi dan sahabatnya yang bertajuk ' Tipu daya Orientalis, Atheis & Missionari  Terhadap Islam '. Kita akan merujuk pada bab 6 yang agak ringkas tetapi ianya adalah asas bagi Islam itu sendiri iaitu Al-Quranul karim.

Al-Qur'an adalah mukjizat & petunjuk.

Sesungguhnya Al-Qur'an itu memiliki kelebihan dibanding dengan semua mukjizat nabi. Di samping mukjizat, ia juga sebagai petunjuk dan sekaligus pembeza yang terang antara yang haq dari yang batil. Firman Allah Ta'ala: ( Terjemahan ) " .... menjadi petunjuk bagi sekelian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan ( menjelaskan ) perbezaan antara yang benar dengan yang salah ....." ( Surah : Al-Baqarah; 185)

Ianya sebagai mukjizat kerana mengandungi hikmah yang besar, yang sering muncul di luar batas pemikiran manusia. Ia petunjuk dan sekaligus pembeza kerana mengandungi kebenaran mutlak yang harus dituruti oleh manusia dan menjelaskan adanya kebatilan yang harus dicegahinya. Masing-masing diberi khabar dalam bentuk berita gembira dan ancaman. Beberapa ulama dalam hal ini menampilkan misal sebagai berikut:

Ada sebuah negeri yang penduduknya di serang oleh berbagai penyakit. Seorang yang mengaku dirinya doktor menyusun sebuah buku ilmu kedoktoran. Ia mengubati orang-orang sakit dengan petunjuk kitab itu, lalu pesakit itupun sembuh. Kemudian para doktor menelaah buku tersebut. Mereka mendapati buku tersebut adalah buku kedoktoran yang terbaik. Selain daripada itu buku ini berisi pula hal-hal yang bertalian dengan kesihatan. Doktor tersebut memperhatikan sejumlah pesakit yang sembuh dari penyakitnya berkat ubat yang ia buat. Para pesakit tersebut lebih sihat. Adakah pengakuan orang tersebut patut diragukan kebenarannya, iaitu ia telah boleh memberikan bukti secara ilmiah dan praktikal?

Sesungguhnya tidak! Dan ilmu tentang kesihatan nafsaniyah lebih tinggi nilainya daripada kesihatan jasmaniyah. Mengubati kerosakan akhlak dan penyakit masyarakat jauh lebih sukar daripada mengubati penyakit tubuh.

Bahawasanya sudah banyak diketahui bahawa Al-Qur'an telah memperlihatkan aqidah yang benar, membina keluhuran budi dan menyimpulkan prinsip hukum sosial dan kemasyarakatan. Dengan petunjuk itu, Nabi s.a.w. telah mengubati suatu umat yang pada asalnya tenggelam dan berpecah-belah dalam fanatisme jahiliyah yang telah mendarah daging dalam kejahilan, buta huruf dan hidup dalam budaya berhala yang tiada maknanya. Beliau boleh menyembuhkan, mempersatukan, memberi petunjuk dengan mengajar Al-Qur'an dan hikmah kepada mereka. Lalu umat ini telah mengangkat umat yang lain, baik yang masih mundur maupun yang telah maju peradabannya. Padahal pada asalnya mereka banyak yang buta huruf, tidak tahu ilmu apa-apa dan juga tidak belajar dari bangsa lain:

-  Cukup bukti kemujizatanmu. 

-  Bangsa buta huruf jadi berilmu. 

-  Umat tadinya jahiliyah jadi beradab. 

-  Padahal ( engkau ) yatim.

Kalau seorang doktor perubatan menyandarkan kebenaran pengakuannya kepada cara pengubatan yang tidak pernah didengar orang, bahkan tidak ada kaitan langsung dengan ilmu kedoktoran, sudah tentu kebenaran pengakuannya boleh diragukan. Demikian pula ramai orang merasa ragu tentang risalah(misi ) kenabian, kerana di dalamnya terselit hal-hal yang tidak pernah didengar, misalnya tongkat menjadi ular atau menghidupkan orang mati. Inilah mukjizat yang ditunjang oleh kekuatan wahyu Ilahi. Jelaslah bahawa kedua-duanya itu bukan objek kedoktoran dan bukan pula bahan pengajaran.

Kalau begitu, Al-Quran yang menjadi bukti, bahawa ia memang berisikan kesihatan nafsaniyah dan sosial adalah wahyu dari Tuhan yang tiada ragu, kecuali oleh orang-orang yang ingkar lagi sombong atau pak turut yang jahil.

.............. bersambung lagi, Insya-Allah.

H.M.Subuh

Hits: