‘Tidak ada  satu sasaran di Afghanistan yang  berbaloi ditembak  dengan  peluru berpandu berharga  Satu Juta  Dollar’ 
(There  isn’t a target  in  Afghanistan  worth $1m missile’ http://www.guardian.co.uk/Archive/Article/0,4273,4273924,00.html)

Mohamed Heikal, pengulas politik  terunggul  dunia Arab, berbual dengan Stephen Moss.

Ada satu  perasaan  yang  semacam  khayalan  dapat  dirasakan  apabila  kita berbual dengan Mohamed Heikal,  seorang   pengulas  politik  terulung  di dunia Arab, yang  juga merupakan bekas  menteri  luar  Mesir. Kami berada  di ruang rehat  Claridge, sebuah hotel yang dipengaruhi  suasana Swis di  London.  Ketika  peluru berpandu menghunjam bumi Afghanistan, Heikal  mendedahkan  wawasannya  akan kemungkinan  tercetusnya keributan  di hari  muka di Afghanistan. Ketika itu  pemikirannya  itu seolah-olah dirangsang  oleh  bunyi  piano yang  alunannya  berdenting  dan   tiupan klarinet  yang meniru  siulan seruling.  Memang jarang  wujudnya  perbezaan antara   timur  dan barat yang nampaknya semakin hebat.

Heikal sudah pun berusia   78 tahun, namun sifatnya tetap sama, mudah bersopan santun. Beliau sudah  lama  menjelajahi dunia  dan mengenal yang mana  asli dan mana kepuraannya. Sebagai seorang  wartawan  selama 60 tahun, dia  pernah menjadi pengarang dan  pengerusi   akhbar  harian Mesir yang paling terkenal, Al-Ahram untuk selama 20 tahun. Beliau telah menulis lebih  satu dozen buku  yang dihormati  mengenai Mesir  dan Iran. Sejak bermulanya  revolusi  rakyat (di Mesir?) dia memang  rapat dengan Presiden Nasser, dan  untuk satu  masa  yang singkat, secara  amat culas sekali beliau pernah menjadi menteri  penerangan  dan hal ehwal luar  pada 1970.  Dia  telah menikmati satu persahabatan  yang  rapat  walaupun hangat  dengan  Presiden Sadat,  yang telah menyumbatnya  dalam penjara  kerana   menentang  perundingan Kem David pada 1981.

Heikal tidak nampak sebarang logik serangan udara  ke atas Afghanistan. Sebagai awalan, katanya, tidak ada satu pun yang berbaloi untuk diserang. “Saya  telah melihat Afghanistan, dan tidak ada  satu  sasaran pun  yang  berbaloi untuk  diserang dengan peluru  berpandu yang bernilai  satu juta  dollar, setiap satu. Termasuklah istana dijara  di situ. Apabila saya   kaji  keadaannya, saya  merumuskan  bahawa  ini semua adalah kerja  gila. Jadi, saya  fikir  mereka  ada  satu  rancangan  utama  dan ini hanyalah   peringkat  pertama  sahaja.”

Dia  juga  mempersoalkan apakah  Osama bin Laden dan  kumpulan al-Qaeda benar-benar bertanggungjawab  dengan  serangan  September 11,  memandangkan segala  bahan bukti yang dikemukakan amat  terhad  dan seolah-olah penuh muslihat  “Osama Laden tidak mempunyai keupayaan  menaja satu operasi begitu  hebat. Ketika  saya mendengar Bush menuduh Al-Qaeda  dia  memberikan bayangan  seolah-olah   dia  berhadapan dengan Nazi Jerman ataupun  Parti Komunis  Soviet Union. Saya  tertawa  kerana  mengetahui  apa yang sebenarnya. Osama laden telah diekori  bertahun lamanya, dan  setiap  hubungan telefon beliau telah lama dipantau. Al-Qaeda  sudah lama disusupi oleh perisikan Amerika, perisikan Pakistan,  perisikan Arab Saudi dan perisikan Mesir.  Bagaimanakah mereka mampu  menyimpan rahsia satu operasi yang  begitu  tinggi  tahap organisasinya  dan kecanggihannya.”

Heikal tidak yakin kepada  cadangan betapa satu peranan  pengawasan pusat  telah dilaksanakan oleh timbalan Osama Laden, Ayman-al-Zawahiri, seorang pemimpin Jihad Islamia di Mesir.  “Dia memang  berbahaya dan  terlibat dalam pembunuhan Saadat, tetapi dia bukannya  seorang pemikir dan perencana yang hebat. Dia hanya  memainkan peranan sampingan  ketika  pembunuhan Sadat dulu,  yang tidak  pun dirancang  dengan baik, tetapi mencapai kejayaan  kerana  mereka bernasib baik. Seperti yang didedahkan  dalam perbualan  mereka di TV al-Jazeera, Osama Laden dan  al-Zawahiri   lebih bergantung kepada perasaan  naluri  mereka. Mereka ini bukannya  Hamas ataupun Ihwan -u-muslimin, mereka adalah satu kumpulan minoriti yang  terpencil dan tidak  melambangkan  Islam ataupun perjuangan  kita. Mereka ini adalah saki-baki  sejarah penindasan dan  mereka tidak mewakili  masa depan kita.”

Heikel percaya, mungkin terdapat beberapa unsur  yang masih tidak  dijumpai dalam keganasan September 11  itu. Apapun kebenarannya, dia berpendapat   segala penjelasan yang ada  masa kini adalah  terlalu  terburu-buru,  tidak jelas  dan  sengaja memudahkan  sesuatu. “Saya difahami bahawa  pentadbiran Amerika mahukan  satu  seteru secepat mungkin untuk  dibalun bertalu-talu. Inilah seteru yang dijadikan  satu penampan kemarahan rakyat Amerika  yang membuak-buak,” katanya.  “Saya  mengharapkan mereka  sudah punyai  bukti yang kukuh.  Saya telah  membaca ucapan  Mr. Blair  yang dibacanya di Dewan Rakyat, dengan amat teliti  sekali. Mereka  telah  bersiap sedia  dengan suasana yang  sesuai dengan menyatakan   Mr. Blair  akan mendedahkan  beberapa  bahan bukti, sedangkan tidak pun ada  sebarang  bukti, kerana semua itu adalah andaian semata-mata. Collin Powell  telah menunjukkan  ketelusannya  berbanding orang  lain. Dia berkata, kalau  bahan bukti itu tidak dapat diterima, tidak mengapa, kerana  dia  telah melakukan banyak dosa  di lain  masa, yang membolehkan tindakan  dikenakan terhadapnya. Tetapi ini  amat menyerupai satu  pepatah Cina yang  berkata: “Tamparlah isteri kamu setiap hari, kalau anda tidak tahu kenapa, tanyalah dia yang akan berkata. ‘Anda tidak boleh menampar setiap masa.’”

Adalah penting, kata Heikal, membezakan  semangat  anti-Amerika yang  sungguh kuat pengaruhnya  di Timur Tengah  dengan  tindakan  kepada  serangan  terhadap Dewan Dagang Dunia. “Saya sedar adanya  tunjuk perasaan oleh orang yang  menunjukkan keriangan mereka,” katanya,” tetapi itu bukannya sesuatu yang boleh diambil kira. Penduduk Timur Tengah faham apa  makna  keganasan yang  sebenar.  Ketika pelancung asing ditembak mati di Luxor, tercetus  perasaan marah di Mesir. Sebaliknya,  sudah wujud satu perasaan anti Amerika yang meluap   di merata  dunia.”

Beberapa  sebab kenapa tercetusnya kebencian  terhadap  Amerika  itu  adalah mudah dicari, katanya:  “sokongan Amerika  yang membabi-buta  terhadap Israel, dan sikap mereka yang  tergila-gila menyokong regim yang tidak sah, dan tidak bermaruah, di merata Timur Tengah.  Dia  mencemuh  setiap kerajaan  di  rantau ini, termasuk kerajaan negaranya  sendiri, dan menyalahkan Amerika kerana  menyokong mereka  dengan ghairah. “Rakyat tidak memilih semua kerajaan ini, dan kalau ada pun  pilihan raya  bebas, tidak seorang pun mereka ini  boleh menang  di tangga teratas. Mereka bukannya kerajaan   yang sah, mereka tidak mewakili  apa pun selain  kuasa untuk bermegah.”

Memang buruk cerita ini, tetapi, cerita  betapa  Amerika Syarikat yang merupakan kuasa besar dunia, bersekongkolan dengan mereka, tentulah merupakan cerita  yang lebih buruk lagi.  “AS menyokong status quo itu, tidak kira  bagaimana. Mereka  mendabik dada mengenai  demokrasi, sedangkan merekalah yang  mengabainya.  Mereka menyebut mengenai PBB  tetapi mengabainya  juga. Inilah yang melayakkan anda  mencemuh mereka kerana mempunyai dua  jenis kayu pengukur.  Adalah menjijikkan  bila kita melihat mereka bercakap mengenai demokrasi, tetapi di waktu yang sama mereka  menyokong  regim yang zalim. Mereka bercakap lantang mengenai hak sejagat, tetapi  mereka menyokong perbuatan Israel. “ Semua itu mereka sebut dengan kejituan seorang  penganalisis, dan tidak dengan keghairahan seorang yang pintar berpidato.

Jadi, apakah Islam akan  bersatu padu  dengan perjuangan Afghanistan? Heikal berpendapat, tidak banyak sokongan kepada Taliban, yang digambarkannya sebagai “mahkluk  dari dunia asing”.   Dia   mengungkit  satu  cerita membabitkan Mullah Omar, pemimpin Taliban, ketika menghadiri  satu persidangan pemimpin Islam di Pakistan yang enggan duduk selagi satu potret  yang tergantung di dinding tidak  diturunkan.  “Tetapi itu gambar Jinnah “ (bapa kemerdekaan  Pakistan pada 1947, Mohammed Ali Jinnah), kata  tuan-rumah persidangan.  “Jinnah itu siapa?” soalnya  pula.  Dia juga  gagal mengecam Yassir Arafat. Heikal menceritakan kisah itu sebagai andaian bahawa kalaulah  masalah Timur Tengah itu tidak dimaklumi oleh Mullah Omar, sudah tentu  masalah  Taliban, tidak menjadi isu utama  di rantau itu.

Walau bagaimanapun, sebagai satu simbol imperialisme  Amerika, serangan  ke atas Afghanistan itu  memang amat berbisa, dan berkemungkinan membengkak, terutama sekali kalau Iraq dan negara lain dimasukkan dalam senarai sasaran  tambahan. Yang pasti berlaku, kata Heikal,  setiap kali  wujudnya  kelompongan,  Islam – yang merupakan satu budaya  penyatuan yang semula  jadi  dan ubat mujarab kepada krisis   serantau yang berlipat kali  ganda  masalahnya -  memang  sedia  ada untuk  menjadi pengisinya.  Heikal menyebut  Pakistan sebagai negara  yang akan dihenyak  gangguan yang paling hebat. “Besar kemungkinan tindakan  sekarang amat berbahaya  dan mungkin  menjatuhkan regim Pakistan yang  ada,” katanya. “Limpahannya akan menular  dalam  angkatan  tentera Pakistan, di mana sebilangan  pegawainya adalah  pro-Islam. Bayangan senario yang paling buruk  ialah satu  keadaan bercelaru  di mana  tidak ada  sesiapa yang  berkuasa  untuk mengambil alih. Keadaan  bercelaru itu akan  menjalar dengan mudah  merata  di Timur Tengah.”  Dia juga  menyebut  betapa  Turki  pun turut  mereput, walaupun  angkatan tenteranya berlagak sebagai  penegak kubu  sekularisme.

Di sebalik semua  masalah itu, wujud masalah  Palestine  - tidak diselesaikan dan berkemungkinan tidak dapat  diselesaikan  juga. “Krisis Afghanistan yang terkini,  akan membanjiri  negara lain juga,” kata Heikal, “tetapi  penyakit yang kronik ialah masalah Palestine.”  Dia amat pesimis dengan cerita perdamaian,  sambil mengingatkan satu pucuk telegram yang dikirim kepada pemimpin  Zionis,  Theodor Herzl,  oleh dua orang rabbi yang dihantarnya  ke Palestine untuk   melihat kawasan tanah  yang mahu dijadikan tapak perkampungan Israel. “Pengantin perempuan memang cantik, cuma dia sudah berkahwin.”

Cadangannya ialah  penubuhan satu negara  Palestine  dan “sebuah Israel  untuk semua rakyat yang ada,”  di mana  jutaan Arab yang ada itu tidak dianggap sebagai warga  kelas  dua.”  “Yang  pentingnya  ialah mengenepikan  masalah agama, “ kata  beliau. “Anda bercakap  mengenai  sebuah negara Islam dengan saya, sedangkan  anda  tidak pun menyentuh perihal  negara  Yahudi, sebuah negara  yang  dibina  berasaskan  agama.  Mana aci! Agama tidak boleh dijadikan satu asas   pembinaan sesebuah negara.”

Dia tidak yakin dengan  cara  Amerika berlembut terhadap orang Palestine, yang dikatakannya  seiras  perangai  Amerika  ketika  perang Teluk dulu. “Setiapkali Amerika memerlukan  bantuan Arab,  mereka pun bersedia  menghulur  umpan, “ katanya. “Pada 1991, seluruh dunia  Arab telah diumpan menyertai peperangan Teluk  menentang Iraq kerana mereka telah dijanjikan  satu  penyelesaian  terhadap masalah Palestine. Amerika telah mengirim surat utusan  yang meyakinkan kepada semua  pihak yang terlibat  dan juga negara Arab dan mereka  telah berkumpul  di Madrid untuk  membincangkan  segala janji-janji Amerika itu. Sepuluh tahun sudah berlalu sejak persidangan Madrid itu, dan tidak ada satu pun  yang telah  ditunaikan.

Kini, senario   yang sama diulang-tayang.  Yang anehnya, ia membabitkan manusia yang sama juga-  Cheney, Powell dan seorang ahli  keluarga  Bush. Seolah-olah tidak ada  pun yang  sudah berubah.  Rakyat di dunia Arab akan melihat bagaimana pemimpin kami kena kelentong  lagi.  Mereka yang kerap  tertahan di kelas  pengajiannya  adalah mereka di kalangan  pelajar yang tongong,  dan kami memang pelajar yang tongong (dan bengong semacam Melayu dalam UMNO -penterjemah)   Kami tidak  pernah belajar daripada kesilapan, kerana itu kami akan  dilaknat  melakukan kesilapan  yang  sama.”

Tamat Diterjemahkan oleh  SPAR

Hits: