Pervez Dikaitkan Kepada Jaringan Dana Osama
(Pervez Link To Osama's Cash Trail)

Washington, Oktober 13.

Pegawai pentadbiran Bush memberi ingatan kepada Presiden Pervez Musharraf lebih awal lagi sebelum satu tindakan membekukan aset kepunyaan Rabita Trust, dan beliau seharusnya merenggangkan diri daripada pertubuhan itu yang menjadi saluran dana untuk Osama bin Laden di Pakistan. Demikian sumber yang mengetahuinya di Pakistan.

Amaran itu mungkin telah menyedarkan Jaish-e-Mohammed menerusi hubungan rapatnya dengan masyarakat perisikan Pakistan terhadap sekatan dan pembekuan aset itu dan membolehkannya mengubah segala akaun di bank dan mengagihkan aset yang ada itu, termasuklah menukar nama baru menjadi Tehrik al Furqan.

Musharraf telah menganggotai Lembaga Dana Rabita, yang telah ditubuhkan sejak 30 tahun dulu untuk tujuan kerja amal dan penempatan masyarakat Bihari daripada Pakistan Timur, yang mahu berpindah dan menetap di Pakistan selepas diwujudkan Bangladesh.

Kedutaan Pakistan di Washington semalam mendakwa tidak tahu menahu akan hubungan antara dana itu dengan Musharraf. Pegawai AS percaya bahawa tabung dana itu, walaupun mempunyai rekod lama dalam kerja-kerja kebajikan, telah diambil-alih oleh kumpulan Osama Laden sejak beberapa tahun ini. Setiausaha Agong beliau Wael Hamza Jalaidan, adalah salah seorang pengasas Al-Qaida bersama Osama Laden ketika ia dilancarkan di Pakistan untuk memberi sumbangan sagu hati kepada keluarga mereka yang “mati syahid” dalam peperangan menentang penaklukan Soviet di Afghanistan.

Tidak bersalahan membuat andaian, bahawa Musharraf, yang telah menaungi Taliban dan beberapa kumpulan fundamental lain sepanjang khidmatnya di bahagian atasan angkatan bersenjata Pakistan, tentunya amat faham akan cara Al-Qaida menggunakan dana tabung itu sebagai satu saluran segala kewangannya.

Perbezaan sikap antara Musharraf, yang dulunya menaungi keganasan, dan Musharraf yang kini menjadi rakan sekutunya, menjadikan ia salah satu dilemma terbesar kepada Presiden George W. Bush sedangkan dia bergiat mahu menghapuskan Taliban.

Mengikut laporan media Amerika Syarikat, senarai yang dikeluarkan semalam dan keadaan yang mencetuskan persediaannya menampakkan ketegangan yang serius di kalangan pentadbiran Bush tentang cara menangani Pakistan dan Arab Saudi.

Terdapat percanggahan dasar di jabatan kewangan yang mahu menyekat aliran wang kepada penjenayah; jabatan negara, yang mahu melindungi hubungan sekutunya menentang keganasan; dan badan-badan perisikan, yang sangsikan bahawa sumber dan kaedah mengesan kewangan penjenayah akan terdedah oleh pengakuan terbuka melalui senarai badan itu yang mendedahkan kegiatan penjenayah tersebut.

Mengikut laporan yang boleh dipercayai, jabatan negara biro Asia Selatan semalam telah merangka satu cadangan untuk jurucakap Richard Boucher yang memperakukan pembabitan Musharraf dengan tabung dana tersebut. Cadangan itu bersifat kesalan bagi pihak Musharraf kerana beliau dikatakan tidak menyedari bahawa Al Qaida berjaya menyusup masuk pertubuhan dana tersebut. Namun, cadangan itu telah digugurkan selepas dipertimbangkan semula.

Seorang pegawai Jabatan Negara telah dipetik oleh Washington Post hari ini sebagai berkata, bahawa tabung dana itu “diiktiraf dengan penuh hormat sebagai tabung dana Islam dengan adanya beberapa tokoh terkenal sebagai ahli lembaganya. Kami fikir, Osama Laden telah berjaya menyusup Tabung Rabita dan mengaibkan pertubuhan yang ternama itu. Kami tidak fikir orang-orang ternama yang mempunyai namanya sebagai ahli lembaga pengarah pertubuhan itu tidak pun sedar pertubuhan mereka sudah disusupi.”

Tamat
Terjemahan oleh SPAR. 

Hits: