Pilihan raya Sarawak: Kemenangan Yang Menebalkan Keangkuhan BN Dan Nasib Pembangkang

Gambaran dan cerita benar tentang pilihan raya Sarawak sudah ramai yang mengulas, membuat analisis dan umum sudah tahu, khususnya orang Sarawak sendiri dan para pemerhati serta penganalisis politik tanah air, betapa BN yang selamanya bersikap angkuh dan ego dengan kuasa 'politik' mereka. Dengan kemenangan mereka mendapat 60 kerusi DUN pasti menambah dan menebalkan lagi tembok keangkuhan dan ego mereka. Kepada parti-parti pembangkang sama ada yang bernaung di bawah BA atau yang di luar BA dan juga calon-calon Bebas, mereka tidak kalah tetapi belum menang. Dan pengalaman di Sarawak banyak mengajar kita erti perjuangan politik dalam sistem demokrasi yang semakin cacat dan rosak kerana diperkosa oleh manusia ganas dan gila kuasa dalam regim PBB/BN di Sarawak dan UMNO/BN di Semenanjung dan Sabah. Dengan kematangan, pengalaman dan strategi politik, pembangkang akan lebih berjaya pada masa akan datang. Insya-Allah.

Pilihan raya sepatutnya adalah satu-satunya amalan harmonis dan manusiawi dalam sistem demokrasi yang diamalkan di kebanyakan negara-negara di dunia sejak sekian lama yang memberi peluang secara langsung kepada rakyat memilih pemimpin mereka secara bebas, terbuka dengan mengikut undang-undang atau Perlembagaan negara atau negeri masing-masing. Di Malaysia, sudah 10 kali pilihan raya umum diadakan sejak awal merdeka lagi pada tahun 1959 hingga pilihan raya ke 10 pada tahun 1999. Pilihan raya umum ke 8 Sarawak satu lagi peluang rakyat untuk memilih atau mengundi secara terbuka, bebas dan menyuburkan amalan demokrasi pada alaf baru ini.

Apakah masih diharapkan ciri-ciri kebebasan dalam amalan sistem demokrasi, sikap keterbukaan 'elit politik' dan situasi kondusif untuk rakyat mengenali erti demokrasi sebenar di Malaysia menjadi suatu yang nyata. Atau sekadar benar-benar menempuh kesukaran dan keperitan dalam masa penguasaan politik yang cukup lama di bawah parti-parti yang bergabung di bawah BN. Lagi dahsyat semasa 20 tahun di bawah kepimpinan Dr Mahathir demokrasi seperti menuju ke alam gelap gelita di mata rakyat untuk mengenal apa itu demokrasi sebenarnya. Dengan kebebasan media sama ada elektronik atau cetak yang dimonopoli sepenuhnya BN, sikap mengugut rakyat, rasuah politik dan bermacam-macam lagi tindakan yang bersifat monopoli. Sementara kem pembangkang hanya mengharap ruang berkempen dalam masa cukup terhad, disekat pula dan selain itu difitnah secara tidak bertamadun oleh penguasa elit politik yang berselindung di balik bangunan kerajaan, agensi kerajaan dan sebagainya mempengaruhi rakyat supaya memilih calon-calon BN.

Kemenangan BN di Sarawak memang sudah dijangkakan. Sebelum penamaan calon pun para pemimpin komponen BN awal-awal lagi meramal dengan rasa kebongkakan mereka bahawa BN Sarawak akan menyapu bersih 62 DUN. Apa lagi setelah menang empat kerusi DUN secara tidak bertanding, kemudian dengan menguasai DUN Sarawak seperti diumumkan oleh RTM bahawa BN Sarawak menang 60 kerusi DUN dan tumbang di dua DUN kepada satu calon DAP dan calon Bebas.

Kemenangan Yang Menambah Keangkuhan

Jelas kemenangan yang sudah diatur dan diramalkan itu sekadar menambah ego Tan Sri Taib Mahmud yang akan ditabal sekali lagi menjadi KM Sarawak penggal ke 6, juga ego atau keangkuhan itu turut dikongsi sama para kroni dan seluruh kepimpinan BN di mana-mana termasuk pengerusinya Dr Mahathir. Hakikatnya kemenangan ini adalah khusus kepada 'elit' politik yang tamak serta 'gila' kuasa untuk mereka terus bermaharajalela merampok, merompak dan mengkayakan diri, kroni serta suku sakat. Sekalipun mereka bermadah indah inilah 'kemenangan rakyat', 'rakyat mahukan pembangunan', 'rakyat tolak politik ganas' dan pelbagai lagi kenyataan yang menggambarkan betapa angkuh dan takbur para pemimpin BN/PBB serta sekutunya di Sarawak PBDS, SUPP dan SNAP.

Kalau benar kemenangan itu untuk rakyat, kenapa masih ramai nasib rakyat di negeri-negeri yang dikuasai oleh BN berpuluh-puluh tahun tidak banyak berubah terutama rakyat terbanyak di luar bandar. BN dan para pemimpinnya hanya berbangga dengan kemajuan dan pembangunan yang mereka lakukan di beberapa lokasi strategik dan menguntungkan beberapa kerat para kroni, tauke dan korporat yang akrab dengan 'elit' politik atau rakan akrab penguasa. Namun, rakyat terbanyak di kampung-kampung atau desa-desa hanya dapat sisa-sisa atau serpihan dari bahang pembangunan yang tertumpu di kawasan bandar. Yang jelas kelihatan beberapa kerat tauke, elit politik, korporat yang dibela serta pegawai tinggi yang akrab dengan penguasa juga yang mendapat habuan kemewahan, sedang rakyat terbanyak tercunggap-cunggap untuk melepaskan diri dari garis kemiskinan yang mencengkam kehidupan mereka. Ada rakyat yang masih kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Ada yang masih tidak mampu mensekolahkan anak-anak, ada yang belum bertanah, belum berumah dan tiada kemudahan asas seperti jalan raya, eletrik, paip air dan rumah tempat tinggal. Untuk membuktikan semua ini kita boleh pergi ke seluruh pelusok negara ini terutama di kawasan pendalaman dan ulu yang susah perhubungan.

Para pemimpin BN tidak mungkin akan mengendahkan ehwal rakyat sedemikian, apatah lagi andainya mereka itu memacakkan di depan rumah mereka bendera bukan bendera BN atau UMNO, PBB dan bendera sekutu mereka. Kecuali kawasan itu ada kepentingan mereka atau para pemimpin BN baru mereka akan mengambil tindakan drastik, kerana ada udang di balik batu atau mempunyai sasaran seperti serampang bermata dua. Kalau saja-saja untuk membela nasib rakyat di kawasan ulu seperti itu, adalah tidak mungkin. Melainkan di musim kempen dan hari mengundi, para pemimpin BN sanggup mendaki gunung bukit dan menuruni lurah dan curam asalkan boleh mengambil simpati rakyat untuk meraih undi. Rakyat di kampung atau ulu di kawasan pendalaman yang jarang ditembusi kunjungan para pemimpin politik tentu sangat berbesar hatilah orang kampung, kerana ada pemimpin 'elit' politik yang gila populariti dan nama datang bertandang melawat gebuk usang atau rumah panjang mereka dengan membawakan ole-ole berharga. Tetapi itu hanya sekadar ingin mengambil hati para pengundi dan rakyat semasa dekat bubarnya DUN/Parlimen dan sewaktu berkempen atau di hari-hari mengundi. Selepas menang berapa kali kekerapan mereka mengunjungi rakyat di ulu dan kampung terpencil untuk mengagihkan harga kemenangan mereka sebagai pemimpin yang berstatus 'wakil rakyat' dan bergelar YB (Yang berkhidmat). Bukan atas jenama 'Yang Berhormat'.

Gelaran YB inilah juga yang menambah angkuh serta egonya para pemimpin BN di mana-mana saja, kecuali mereka yang masih memiliki jiwa rakyat, mengenali diri dan tidak mudah lupa daratan. Habitat haiwan politik tidak ubah seperti perangai haiwan juga. Haiwan hanya mencari sesuatu yang boleh mengenyangkan perut, selamat dari dimangsakan dan boleh bebas membuat kegemarannya. Apa kita sebagai manusia, makhluk terbaik yang dicipta Allah mahu menjadi haiwan politik atau manusia politik yang berpolitik untuk kesejahteraan manusia seluruhnya. Justeru, kita mesti berbeza dari haiwan. Tetapi cukup mendukacitakan, cara politik BN yang mahu terus berkuasa walau dengan apa cara sekalipun yang penting bagi mereka terus menang dalam pilihan raya dan berkuasa. Hatta tindakan politik mereka itu melanggar lunas-lunas demokrasi, bertindak secara ganas, tidak bertamadun, samseng, rasuah, meniupkan api perkauman, kenegerian sempit dan mengugut rakyat, kemudian tidak puas dengan itu mereka menfitnah lawan politik dengan cara melampau di luar kewarasan dan kematangan akal dan bukan sikap bangsa yang merdeka, maju dan bertamadun. Inilah gambaran para pemimpin BN dalam usaha rakus mereka mempertahankan kuasa politik.

Bagaimana Untung Nasib Pembangkang Di Malaysia

Apabila kita melihat gaya politik BN yang sudah menguasai politik negara ini berpuluh-puluh tahun lamanya. Cara mereka mempertahankan kuasa politik, cara kempen, cengkaman mereka terhadap institusi kerajaan, pertubuhan, kehakiman, polis, tentera dan rakyat seluruhnya. Kemudian usaha para pemimpin BN menanamkan doktrin politik BN ke dalam pemikiran dan jiwa rakyat dengan nilai-nilai khurafat, karut-marut politik dan amalan memperkosa serta memperkudakan hampir seluruh sistem yang wujud dalam negara ini. Seolah-olahnya nafas politik pembangkang di Malaysia seakan tidak boleh bertahan. Mungkin kepada rakyat yang sudah lemas dan tenggelam dalam cengkaman hegemoni politik BN.

Tidak kepada rakyat yang akal, jiwa dan semangat mereka masih hidup, malah semakin semarak dengan himpitan kezaliman pemerintahan UMNO/BN, PBB/BN bersama sekutu mereka. Dalam abad ke 21 ini nafas dan suara pembangkang semakin lantang dan berani di Malaysia untuk menggerakkan kesedaran rakyat terhadap budaya politik baru. Politik yang dibawa pembangkang atas namanya politik alternatif kepada parti BN, dengan jolokan 'Barisan Alternatif' (BA) sudah semakin sinonim dengan jiwa dan akal budi rakyat Malaysia yang majmuk ini, terutama di Semenanjung. Di Sabah dan Sarawak suasana perubahan itu juga mula membenih dan bertunas.

Berdasarkan kepada keputusan pilihan raya umum ke 8 negeri Sarawak 2001 baru-baru ini. Calon-calon parti BA seperti KeADILan (25), Star (6), PAS (3), DAP (13) dan Bebas (64). Dengan hanya menang di dua kerusi DUN di Sarawak, pembangkang seperti tidak mempunyai kekuatan sebenar untuk berhadapan dengan BN Sarawak. Apakah keputusan itu dengan sendirinya akan memalapkan terus peluang pembangkang di Sarawak.

Percayalah, selagi demokrasi diamalkan secara telus dan dikendalikan lebih profesional oleh pengendali bebas seperti SPR. Sementara parti pemerintah khususnya BN dan para pemimpinnya lebih bersikap rasional, anak jantan dan tidak memperkudakan institusi, agensi dan jabatan kerajaan sebagai alat berkempen, markas kempen dan sebagainya. Selain itu, para pemimpin parti kerajaan tidak terlalu bersikap tamak dan gila kuasa. Insya-Allah, peluang parti-parti pembangkang di Sarawak, Sabah dan Semenanjung akan lebih baik dalam pilihan raya umum kebangsaan ke 11 akan datang.

Kalaupun parti pemerintah di Semenanjung UMNO/BN bersama sekutunya, di Sarawak PBB/BN dengan sekutu-sekutunya dan di Sabah pula UMNO/BN dengan sekutu-sekutu politiknya terus mempertahankan dan mengamalkan budaya politik kasar, ugut, sogok, takut dan tidak bertamadun seperti mereka lakukan selama ini, terutama di zaman akhir-akhir ini yang diketuai oleh Dr Mahathir dan Pak Lah. Mereka mempergunakan ISA menangkap rakyat dengan niat menakut-nakutkan rakyat, isu KMM, pengganas, militan, negara Islam, perkauman sempit, meritokrasi dan pelbagai lagi tekanan ke atas rakyat terbanyak melalui kuasa yang semakin sisa-sisa itu. Dan dalam situasi sukar parti-parti pembangkang menyalurkan maklumat bagi menjelaskan mesej perjuangan dalam amalan demokrasi, apatah lagi banyak amalan-amalan yang halal menurut undang-undang dan juga mengikut lunas-lunas demokrasi dipersempitkan oleh parti pemerintah yang berselindung di belakang polis dan bertopengkan nama-nama indah untuk keamanan, ketenteraman, keselamatan dan membanteras pengganas. Ceramah disekat-sekat, pengedaran media pembangkang dirampas, rakyat dihalang mendengar suara pembangkang, rakyat yang mengkritik kesalahan parti pemerintah dituduh anti-kerajaan dan pelbagai lagi tuduhan yang bukan-bukan. Akhirnya, rakyat tidak dapat bertahan dengan tindakan, penindasan dan kezaliman berbau politik. Rakyat nampaknya lebih berani menyuarakan keinginan fitrah semula jadi mereka untuk mendapatkan hak-hak yang sudah dicabuli, malah dirampas sedikit demi sedikit oleh penguasa rakus lagi zalim di bawah regim BN/Mahathir. Hak kebebasan bersuara, mengkritik, hak mengamal demokrasi dan hak-hak rakyat yang merdeka lagi berdaulat di bawah Perlembagaan dan hak-hak asasi kemanusiaan.

Namun, dengan kesedaran rakyat, pemikiran mereka yang semakin menampakkan kematangan  dan celik politik di kalangan semua peringkat rakyat majmuk Malaysia. Harapan pembangkang di Malaysia lebih cerah. Ditambah dengan penampilan pembangkang yang lebih meyakinkan dengan pendekatan-pendekatan politik baru, budaya berfikir, sikap telus dan profesional yang sudah mula diterima dan mengakar dalam jiwa sanubari rakyat jelata.

Apatah lagi, dengan sikap parti BN dan para pemimpinnya yang semakin angkuh, takbur, ego, rakus, tamak haloba dan gila kuasa, gila harta, pangkat, kemegahan, projek dan kemudian itu, sikap lupa rakyat, menipu dan janji-janji pilihan raya raya yang tidak ditunaikan semuanya. Telah menyebabkan rakyat yang sedar semakin menjauhkan diri dari BN.

Insya-Allah, perjuangan untuk menegak keadilan, kebaikan dan membela rakyat, seterusnya membentuk kerajaan yang demokratik, telus dan baik akan menjadi kenyataan sedikit masa lagi melalui suara rakyat dan suara demokrasi. Dengan syarat utama, hapuskan amalan penindasan dan kezaliman terhadap rakyat, hapuskan amalan ketidakadilan, rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan. Dan akhir sekali rakyat mesti bersama-sama tumbangkan dan jatuhkan parti kerajaan UMNO/BN, PBB/BN serta sekutu-sekutunya yang mengamalkan dan mempertahankan kezaliman ISA, kerakusan kuasa, kegilaan kemegahan, pangkat, nama, nepotisme, kronisme dan segala macam pencabulan ke atas sistem kehakiman, sistem negara dan juga Perlembagaan demi mempertahan kuasa dua tiga kerat penguasa yang rakus lagi gila kuasa.

LAWAN TETAP LAWAN, LAWAN SAMPAI MENANG.

Ibn Sabah,
13.10.2001M.

Hits: