Tazkirah ( 21 ) : Polisi Islam Dalam Perang & Penaklukan

Subhanallah. Maha Suci Allah yang telah mengutuskan Ar-Rasul s.a.w. yang membawa petunjuk cahaya kebenaran kepada umat manusia. Salam dan selawat kita ke atas Nabi Muhammad s.a.w., utusan yang terakhir di alam ini.

Dalam penulisan saya ini, susah bagi saya hendak mengenepikan suasana yang berlaku di Afghanistan. Kita hendaklah yakin bahawa pertolongan Allah s.w.t. akan tiba kepada hamba-hamba-Nya yang berjihad di jalan-Nya. Sepertimana  Al- Imam Ibnu Athaillah Askandary dalam bukunya ' Al-Hikam ' berkata: ' Jangan anda diragukan pada janji Allah ( sebab ) tidak ( belum ) terjadi sesuatu yang dijanjikan, meskipun masanya telah tertentu. Hal ini supaya jangan ada keraguan itu ( menimbulkan ) kerosakan pada mata hati anda dan memadamkan nur cahaya rahsia hati anda '.

Pada awal tahun 80an ketika saya masih menuntut di Amerika, saya sempat berada bersama-sama para mujahidin Afghanistan. Ini adalah kerana kerajaan Amerika ketika itu telah membawa beberapa Mujahidin untuk berubat di hospital di sana. Apa yang menarik ialah seorang mujahid ini sudah berumur lanjut kira-kira 70an. Katanya ( berbahasa Parsi ), anaknya sudah beberapa orang yang syahid. Dia sendiri ketika itu mendapat rawatan kerana ada beberapa peluru yang masih berada di dalam kepalanya.

Mujahid yang penuh bersemangat itu banyak bercerita tentang keajaiban berlaku ketika menentang tentera syaitan Russia. Tetapi, yang paling menarik katanya ' Saya yakin bahawa dalam beberapa tahun lagi kami akan merempuh masuk ke Moscow '. Kata-katanya memang hingga ke hari ini berlegar-legar di dalam kepala saya. Saudara-saudara sekelian, lihatlah akan janji Allah kepada mereka setelah beberapa tahun berjuang akhirnya tentera syaitan  Russia lari lintang pukang walaupun dengan kelengkapan canggih mereka. Oleh itu yakinlah kita bahawa perkara yang sama Insya-Allah akan berlaku terhadap tentera syaitan Amerika dan Britain sekiranya mereka ' berani ' masuk bertempur di darat. .. Nantikanlah ! .....

Kita akan merujuk pada buku yang sama untuk satu atau dua siri lagi kerana saya hanya memetik dari beberapa tajuk sahaja. Saudara-saudara bolehlah membelinya sendiri untuk pembacaan lanjut. Kita akan melihat dalam bab 18. ( Tipu daya Orientalis, Atheis & Missionari Terhadap Islam ).

Polisi Islam Dalam Perang & Penaklukan.

Tiga belas tahun setelah umat Islam ( Mekah ) menanggung segala derita dan seksa. Dua kali berhijrah, kemudian diusir keluar dari kampung halamannya secara zalim tanpa sedikit pun berbekalkan harta. Kaum muslimin yang lemah di Mekah terus menerus diseksa. Timbullah hasrat dendam dalam diri mereka untuk membalas sakit hati terhadap orang-orang yang zalim. Tetapi Rasulullah s.a.w. mencegah mereka dan menyuroh mereka bersabar dan menantikan balasan Allah. Beliau bersabda : ( Terjemahan ) ' Aku belum disuruh berperang. Aku belum disuruh berperang'.

Ketika mereka sudah lama menahan kesabarannya, pada hal kaum musyrikin tetap terus menerus menganiaya umat Islam Mekah yang lemah dan memerangi dakwah Islam, barulah Allah menurunkan firman-Nya tentang perang ini: ( Terjemahan ) " Diizinkan berperang bagi orang-orang ( Islam ) yang diperangi ( oleh golongan-golongan penceroboh ), kerana sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka ( mencapai kemenangan ). Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar,    ( mereka diusir ) semata-mata kerana mereka berkata : Tuhan kami ialah Allah. Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja ( kaum Nasrani ) dan tempat-tempat sembahyang ( kaum Yahudi ) dan juga masjid-masjid ( orang Islam ) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya ( agama Islam ), sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi maha Kuasa ".  ( Surah Al-Haj : 39-40 )

Mulailah pertempuran di antara kebiadaban syirik dan dakwah Islam yang berjalan bertahun-tahun lamanya, sehingga terjadinya banyak peperangan yang dikenali di dalam sejarah Nabi s.a.w. Semua peperangan ini bersifat pertahanan diri terhadap serangan kaum musyirikin dan tipu daya Yahudi.

Ketika terjadinya konflik di dalam jazirah Arab di antara kekuatan iman dan syirik, berdirilah di sekitarnya dua empayar raksasa yang saling memperebutkan dunia saat itu. Kedua-duanya menghendaki kekuasaan pada bahagian-bahagian wilayah Arab. Kedua-dua empayar itu: Parsi penyembah berhala yang menguasai Iraq dan Romawi Kristian yang menguasai Syria.

Pada saat itu tidak terfikirkan oleh umat Islam untuk menakluk empayar raksasa, seperti Parsi dan Romawi atau ada hasrat melakukan serangan ke sana. Namun justeru mereka yang memulai tindakan jahat dan serangan.

Kaisar Parsi, ketika menolak ajakan Rasulullah s.a.w. untuk memeluk Islam, ia menulis surat kepada gabenornya di Yaman. Dalam surat ini beliau berseru : ' Khabarkan kepadaku akan adanya seorang lelaki Quraisy muncul di Mekah, mengaku dirinya sebagai Nabi. Pergilah kamu ke sana. Suruhlah dia bertaubat. Kalau tidak mahu bertaubat, kirimkan kepalanya kepadaku. Patutkah dia menulis surat kepadaku seperti ini, pada hal dia menjadi hambaku? '

Tipu daya ejekan ini tidak hanya dibuat oleh Parsi sahaja. Romawi pun memulai serangan dan penjajahan ke wilayah Islam. Mereka membunuh utusan Nabi s.a.w. yang membawa surat ke gabenor Romawi di Basrah. Mereka tidak memberikan kebebasan beragama kepada orang-orang yang ingin memeluk Islam. Bahkan orang-orang ini dibunuh dan diseksa. Mereka mengirimkan pengintip di Tabuk, Jordan untuk menekan dan mengancam umat Islam. Nabi s.a.w. mengetahui mereka sedang membangunkan persiapan perang dalam wilayahnya. Maka suatu tuntutan siasat yang tepat, kalau Nabi mendahului menyerang mereka sebelum mereka bertindak. Kemudian mulailah perang pahit di Mu'tah dan kemudian perang Tabuk dan berlanjutan sehingga zaman Khalifah Islam berikutnya.

Umat Islam tidak pernah berkehendak memaksa agamanya kepada orang lain di sebalik peperangan itu. Atau bertujuan menjajah suatu bangsa atas bangsa yang lain dan bermaksud memperolehi keuntungan duniawi atau kekayaan, sebagaimana halnya yang biasa terjadi. Pada hal Nabi s.a.w. pernah ditanya: ' Hai Rasulullah! Ada orang berperang demi pampasan perang. Ada yang demi kedudukan. Ada pula yang demi nasionalisme. Manakah yang fi sabilillah?  Jawab Rasulullah s.a.w. : Barang siapa berperang demi kemenangan agama Allah, maka itulah nam

Penaklukan Islam bukanlah penaklukan daerah jajahan, perampasan dan perompakan, melainkan semata-mata untuk menghancurkan kekerasan, kezaliman, menjamin kemerdekaan dan menyebarluaskan prinsip-prinsip keadilan serta persamaan darjat.

Cubalah bandingkan penaklukan Islam dengan penaklukan-penaklukan lainnya yang menghancurkan berbagai bangsa, membunuh berbagai suku dan membakar-hanguskan berbagai negeri.

Sungguh tepat kata Gustav Lebon, ketika ia mengatakan : ' Sejarah dunia tidak pernah mengenal penaklukan negeri yang berlaku adil lagi penuh kasih sayang seperti bangsa Arab ( umat Islam )'.

.........................bersambung lagi, Insya-Allah. H.M.Subuh

Hits: