Dr Chandra Tetap Dengan Keputusan Bersara Politik
 
Nota webmaster: Marilah kita perhatikan berita ini. Nampaknya Dr. Chandra Muzaffar sudah membuat keputusan bahawa akan bersara dari arena politik. Kita boleh membuat berbagai andaian tentang persaraannya ini. Bagaimana pun cuba kita perhatikan apakah dengan pengumuman persaraan ini bermakna Dr. Chandra Muzaffar  menyertai salah satu parti komponen BN? Jawapannya tentu tidak. Malah kata Dr. Chandra beliau akan tetap berjuang sebagai ahli biasa PKN. Ini bukanlah seperti gambaran media seolah-olah Dr. Chandra bersara dan kecewa  dengan PKN. Kewibawaan Dr. Chandra selaku Naib Presiden dahulu dihormati dan apabila beliau memberikan laluan adalah satu penghargaan buat kita kerana PKN memerlukan insan yang lebih cerdas dan cergas membimbing parti itu sementelahan Presidennya seorang wanita. Analisis media tentang persaraan Dr. Chandra nampaknya bukan sahaja tidak tepat, malah percubaan Zainuddin Maidin (ZAM) untuk menggambarkan perjuangan PKN sudah goyah adalah satu kepalsuan. Yang nyata persaraan Dr. Chandra tidak membawa apa-apa tuah kepada BN dan parti komponennya, sebaliknya NP PKN yang baru pasti akan membuatkan BN terus dilanda debaran!! - webmaster

 

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Timbalan Presiden Keadilan Dr Chandra Muzaffar hari ini berkata keputusannya adalah muktamad untuk tidak bertanding semula jawatan itu setelah tamat penggal perkhidmatannya 9 Nov ini.

Katanya beliau telah memikirkan dengan mendalam sejak beberapa hari lepas segala pandangan anggota parti yang memujuk beliau supaya tidak melepaskan jawatannya.

Dr Chandra berkata walaupun beliau amat tersentuh dengan sokongan mereka, beliau tetap dengan pendirian untuk tidak bertanding semula.

Katanya beliau merasakan sekarang adalah lebih bermakna untuk beliau memberikan tumpuan kepada bidang penulisan dan bercakap mengenai isu dan trend global.

"Adalah penting buat masa ini, saya menumpukan tenaga intelektual saya terhadap cabaran-cabaran asas dalam arena antarabangsa yang lebih utama daripada yang berlaku di peringkat domestik," katanya.

Beliau mengulangi bahawa walaupun beliau akan kembali ke bidang akademik dan kegiatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), beliau akan kekal anggota biasa Keadilan dan akan bersuara menentang sebarang ketidakdilan dalam negara.

-- BERNAMA

Hits: