Malaysia negara Islam sekular: DAP bidas parti BN sokong ketuanan Umno
Oleh Nur Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Hrkh) - Umno dan Barisan Nasional menerima tamparan hebat daripada wakil DAP di Dewan Rakyat hari ini berhubung pengisytiharan Malaysia sebuah negara Islam oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohammad sebelum ini.

Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) ketika menyambung perbahasan Rang-Rang Perbekalan 2001 telah meminta Dr Mahathir memberi penjelasan lanjut mengenai kedudukan negara Islam Malaysia.

Ini kerana, katanya, semasa pilihan raya Sarawak baru-baru ini, parti MCA, Gerakan dan SUPP telah menerangkan kepada orang bukan Islam dengan mengatakan negara Islam yang diisytiharkan oleh Dr Mahathir itu adalah negara Islam sekular.

Kenyataan Chong Eng itu menyebabkan berlakunya suasana cemas dan bertegang urat antara beberapa wakil DAP dan BN khususnya Umno.
Chong Eng dengan tegas berkata "Pemimpin MCA, Gerakan dan SUPP pernah menerangkan kepada orang bukan Islam yang diumumkan oleh Dr Mahathir itu (merujuk negara Islam) bermaksud negara Islam sekular.

"Jadi saya ingin mendapat penjelasan PM, sama ada apa yang diterangkan oleh MCA, Gerakan dan SUPP itu tepat sebagaimana negara Islam yang diumumkan oleh PM iaitu negara Malaysia sekarang ialah negara Islam sekular.

"PM pernah meminta PAS supaya mengumumkan apakah bentuk negara Islam yang ingin ditubuhkan oleh PAS. Dan beliau (PM) kata perlu ditulis dalam bahasa Mandarin, Tamil, Inggeris, Malaysia, Iban, supaya keterangannya adalah sama untuk semua komuniti, "Jadi saya minta perkara yang sama, sebagaimana piawaian yang digunakan PM dan saya sekarang akan menggunakan piawaian yang sama terhadap beliau (Dr Mahathir) sendiri supaya beliau tidak kelirukan komuniti-komuniti yang berlainan.

Kepada komuniti Islam, dia kata bukan sekular, tapi macamana MCA, SUPP dan Gerakan kata sekular?," katanya.

Kenyataan Chong itu menggugat emosi wakil BN terutama Haji Mohd Ali Hassan (BN-Tebrau), Mohammad Haji Aziz (BN-Sri Gading), Ruhanie Ahmad (BN-Parit Sulong), Shaziman Abu Mansor (BN-Tampin), Noh Omar (BN-Tanjung Karang) dan beberapa wakil lain.

Mereka menjerit-jerit sambil menggesa wakil DAP berkenaan duduk.
Salah seorang mereka bangun sambil meminta simpati barisan wakil PAS supaya menyokong tindakan wakil BN.

"Ha...kenapa PAS senyap?", "kenapa tak bela Islam?" antara suara-suara pekikan wakil BN.

Noh Omar pula bangun "kenapa tak tanya pada PAS? Tanyalah pada PAS" berulang kali.

Kelihatan wakil PAS senyum dan hanya memerhati gelagat pertelagahan kedua-dua pihak.

Timbalan Speaker, Datuk Lim Si Cheung terpaksa menjerit beberapa kali "Sri Gading, Tebrau, semua Yang Berhormat, sila duduk!".

Bagaimanapun arahan beliau enggan dipatuhi sebaliknya wakil BN terus berkelakuan kurang sopan sambil menunding-nunding jari ke arah barisan pembangkang.

"Cukup!, cukup Yang Berhormat, sila duduk", jerit Datuk Lim beberapa kali.
Suasana dewan gamat dan riuh rendah apabila wakil BN terus tidak mengendahkah arahan Datuk Lim.

Berlaku pertikaman lidah antara Chow Kon Yeow (DAP-Tanjung) dan wakil BN bagi mempertahankan hujah masing-masing.

Datuk Lim kemudiannya memberi laluan kepada Parit Sulong untuk berucap seketika.

"Datuk Yang Dipertua, bimbang terdapat kekeliruan dalam kefahaman Yang Berhormat tadi (Chong Eng) mengenai Islam, jadi saya minta YB memperbetulkan kesilapan itu," kata Ruhanie Ahmad.

Tanpa mengendahkan gelagat BN, wakil DAP, Chong meneruskan ucapannya.

"Apa yang saya kata ini adalah `quote' daripada SUPP, MCA dan Gerakan," katanya yang selang seli diganggu lagi oleh wakil BN.

"Macamana kalau mengikut fahaman yang betul sebagaimana yang saya fahami Islam adalah submission to God, adakah ini salah?"

"Saya nak sokong bahawa agama Islam adalah agama kepada negara Malaysia, tetapi kepada kepercayaan kuncu-kuncu Umno, iaitu MCA, Gerakan dan SUPP, kepercayaan mereka ialah 'submission to' Ketuanan Umno," katanya yang sekali yang menerima tepukan beberapa orang wakil pembangkang.

Chong seterusnya menyambung hujahnya "saya hendak katakan perlembagaan negara ini adalah sistem sekular" sambil membacakan beberapa petikan dalam perlembagaan.

Datuk Lim kemudiannya mengarahkan Chong Eng menghentikan ucapan beliau dan memberi laluan kepada wakil lain untuk berucap.

Hits: