Robert  Fisk:  Janji  Manis, Bikinan Iblis 
(Promises, broken  promises) 

http://argument.independent.co.uk/

17 Oktober, 2001.

Ketika  kegemilangan  Empayar British, jamuan   teh  diadakan  di  taman  dengan menyediakan  teh pekat  untuk  dicampur  susu  dan dituangkan dalam teko yang dipanaskan dulu, sebelum menuangnya  ke  dalam  cawan  untuk  dimaniskan  dengan ketulan gula. Pepohon bunga-kertas (bougenville)     yang mengeluarkan   warna  merah lembayung dan ungu di tembok  berdekatan tempat saya  berdiri, sedangkan  beberapa  burung hitam berlumba mengejar  sesama  mereka di  antara  bebilah  rumput  yang  baru dipotong, di depan sebuah hotel kecil di  Peshawar  tempat  saya  berlindung.  Nun, hujung satu lorong kecil di situ terdapat   satu   perkuburan  British  yang menyemadikan  tentera daripada Surrey  dan  Yorkshire yang  mati  terkorban pada  abad  ke 19  dulu, bahana pembunuhan  kumpulan  manusia  yang  disebut  ghazi; panggilannya  ketika  itu. Inilah kumpulan  fundamental  Afghan   yang  masih muda   yang  pada  awalannya mengiringi kumpulan yang mati itu untuk berperang.  Itulah kumpulan  yang mengikut  Captain Mannering   ketika  merakamkan  kisah Perang Afghan  Kedua  - sebagai ‘kumpulan lelaki yang  bergelar  “taliban”.

Pada  zaman itu  kita kerap  suka  berbuat  janji. Kita telah  menjanjikan sokongan  kita kepada  kerajaan Afghan seandainya  mereka   mengnyahkan  Russia. Kita menjanjikan kekayaan kepada  Empayar India termasuk  komunikasi dan  pendidikan sebagai ganjaran kesetiaan  mereka. Tidak banyak yang berubah sejak itu.  Kelmarin, sepanjang harian yang  memanjang  sehingga petang, pesawat pejuang  telah membelah langit  yang menguning di bahagian  angkasa laman kecil  hotel penginapan saya  itu, dengan bunyi supersonik yang nyaring  dan  menyakitkan  telinga, sambil naik meninggi  laksana  helang  daripada   landasan Peshawar  untuk meluru arah  pergunungan Afghanistan. Gempita  enjin jet  itu tentu   menggegarkan   tulang-tulang  purba yang tersimpan rapi  di perkuburan lama  di hujung  lorong  tadi, seperti mana  tembakan  kehormatan terakhir yang pernah mengejutkan  kesunyian  tanah  perkuburan  itu  dulu. Apabila dilihat  akan sebuah TV di kamar tidur  saya  yang  pecah dan rosak kerana gegaran  enjin yang hebat itu adalah bayangan  betapa  sejarah  imperial itu  sedang  mengulangi  kisah  lama dengan sendirinya.

Jeneral  Colin Powel telah  berdiri  tegak di samping Jeneral Parvez  Musharraf setelah memberikan janjinya untuk  meneliti secara serius   segala masalah  yang menyangkuti Kashmir dan  perwakilan Pashtu dalam kerajaan  baru  Afghan.  Setiausaha  Negara Amerika Syarikat dan seorang Jeneral yang kini mesti  kita  sebut sebagai  Presiden Pakistan itu, telah menghabiskan   banyak masa  sedangkan  dentuman  meriam  oleh sebuah empayar purba, yang  kini diwakili oleh angkatan tentera  India  rancak memuntahkan  pelurunya. Jeneral Musharraf  mahukan  kempen  mengganyang Afghanistan itu dilaksanakan untuk  satu waktu yang  singkat sahaja, sebagai ganjaran  menyokong  “usaha  Amerika memerangi keganasan”. Musharraf  mahukan satu penyelesaian  kepada  masalah  Kashmir. Powell menjanjikan  persahabatan  Amerika  yang  akrab dan  akan ke  India   untuk menunaikan apa  yang telah  mereka  cakap.

Janji-janji manis  memang  merupakan  satu bahagian penting  konflik kita. Dalam peperangan  1914-18 – terdapat satu  lagi  masalah memerangi  kesyaitanan, yang mesti boleh  kita  ingati, kerana itulah masanya  British  membuat  janji.  Seluruh masyarakat Yahudi  dunia,  terutama  Yahudi  di  Russia,  tentu ingat  janji  kita  menyokong penubuhan  satu  tanah air  untuk  Yahudi  di  Palestine. Kepada  orang Arab, Lawrence  of Arabia  telah menjanjikan  kemerdekaan  mereka.  Terdapat  satu babak yang sungguh indah dalam  filem  yang  sama  jodolnya di mana  Peter O’Toole, yang  berpakaian jubah Arab dan  menampakkan wajah  yang tidak  dapat  menyerupai wajah  Osama  Laden, meminta Jeneral Allenby (Jack Hawkins) memberikan janji  manis memerdekakan  Sharif Husseyn sebagai  balasan  kepada  sokongan Arab  untuk  menghancurkan  angkatan  tentera Turki. Untuk  satu ketika  yang penuh tanda tanya, Hawkins  menunjukkan riak keengganannya, kemudian  dia  mula  tersengih  menunjukkan senyuman yang canggih sambil berkata: “Apa salahnya!”. Apakah saya tidak melihat satu senyuman yang sama  rupanya  pada wajah  Tony Blair ketika dia  memegang tangan  Yassir Arafat  dengan erat  di  genggamannya, sambil memimpin  Arafat melalui  pintu  gerbang No.  10 Downing  Street,  pada  minggu ini?

Akhirnya  kita  telah  mengenakan  penaklukan  ketenteraan Anglo-Peranchis menyeluruhi tanah Arab  yang membantu  kita  dulu  dan,  tiga  dekad  kemudiannya, memberikan  kepada kaum Yahudi  hanya  separuh  tanah  Palestine.  “Segala  janji,” mengikut  pendapat seorang  ahli  akademik  Palestine, Walid Khalid, “adalah   untuk ditepati”.  Tetapi, bukanlah  janji yang dibuat  ketika  manusia  berperang.

Ketika muncul  Perang Dunia  Kedua, kita telah  menjanjikan kemerdekaan kepada Lebanon yang dijajah oleh Peranchis  ketika itu,  sebagai  balasan  untuk mereka berpaling tadah terhadap  penjajah ‘Vichy’  mereka. Apabila  Peranchis  mengingkari  janji-janji mereka, penjajah Vichy itu dinyahkan  pada  1946 dengan penuh keaiban.  Dua tahun kemudiannya, Presiden  Roosevelt,  yang ghairah mahukan  hak  menyamun  minyak Saudi daripada British di penghujung musim perang  - telah menjanjikan  istana Saudi  bahawa beliau tidak akan membiarkan  Palestine  dipinggirkan.

Pada  1990, ketika  Kuwait  telah  ditakluk (oleh Iraq)  kita mahukan dunia Islam dan Arab  menyebelahi kita  memerangi  Iraq.  Presiden Bush Senior  telah  membuat janji untuk menubuhkan  ‘Order Dunia  baru”  yang  bebas  daripada  ancaman nuklear - bebas daripada  senjata  peperangan – untuk membolehkan keseluruhan Timur  Tengah berada  dalam keadaan  aman. Sebaik sahaja   Iraq  dinyahkan daripada  bumi  Kuwait, kita taja  satu Puncak  Persidangan  Timur Tengah di Madrid, dan telah  menjual  lebih banyak peluru berpandu,  kereta  kebal, dan  jet pejuang  kepada  negara  Arab dan Israel, dalam kuantiti  yang  lebih banyak lagi  berbanding  tiga  puluh tahun  sebelumnya.  Di waktu yang  sama  keupayaan  kuasa  nuklear  Israel tidak pernah  disebut  langsung.

Kini, kita  mengulangi  semuanya  sekali  lagi.  Belum pun sampai tiga hari Powell menunjukkan minat terhadap   masalah  Kashmir,  Yassir Arafat   yang digelarkan sebagai orang tua  Gaza  yang tidak berguna, ataupun ‘Osama Laden  kita’  mengikut gelaran yang menghinakannya  oleh  bekas panglima  Ariel Sharon,   - telah dipelawa  untuk berjumpa dengan  Tony Blair  di Downing Street,  kerana Blair sudah menjadi  seorang penyokong kuat  terbaru   Palestine  dan   kemerdekaannya,  yang mahukan penubuhan  satu negara merdeka  Palestine  termasuk Jerusalem (Baitul maqdis) yang merupakan satu  versi baru tawaran  Bantustan  yang pernah ditawarkan kepada  Arafat. Mr. Tony Blair  tidak perlu sangsikan  kemarahan  Amerika  kerana  sebelum kejadian  September  11  di Amerika  dulu,   Mr. Bush pernah bermimpi  penubuhan sebuah negara  merdeka  Palestine  yang dapat menerima kewujudan  Israel. Lantas,  Mr. Arafat  yang  telah  bercakap  dalam Bahasa Inggeris  begitu lama  sejak lama tidak berbuat demikian  sebelum itu,  terus menyokong pengeboman  Afghanistan. Kasihan orang  Afghan.   Mereka tidak  ada lagi   untuk memperingatkan  dunia  ini  betapa  satu  ketika  dulu   Yassir Arafat yang sama,  pernah   memberikan sokongannya  yang  sungguh  ghairah  menyokong  penaklukan Afghanistan oleh Soviet.

Kenapakah  kita  gemar   bermain politik  cakar-cakaran, memberikan janji manis kepada sekutu yang terdesak setelah bertahun-tahun  menerima,  malahan merencana, segala ketidakadilan di  Timur Tengah  dan  Asia  Tenggara.   Berapa lama lagi kita perlu menunggu,  sebelum terlambat, menarik sekatan  terhadap Iraq,  dan membenarkan puluhan ribu   kanak-kanak  Iraq  untuk  hidup  sempurna?  Bagaimana  dengan janji-janji ketika mahu menjatuhkan  Sadam Hussin  dulu  untuk menarik  semua  pasukan tentera kita di Semenanjung Arabia?  Lagipun, cubalah ulangi  perkara ini  dengan lantangnya, kalaulah kita  tepati  semua  janji itu,   setiap  tuntutan  Osama Laden  dapat ditunaikan.

Memang  seronok  membaca   kandungan sepenuhnya   ucapan penuh  Osama  Laden ketika membuat  tuntutan  selepas  serangan Menara  Dagang  Dunia  seperti yang dibuat dalam rakaman  video  beliau. Osama Laden telah bertutur dalam Bahasa  Arab,  dalam satu hal yang  perlu  diterjemahkan dalam bahasa  Inggeris, betapa  “negara  kita (Islam) telah menanggung aib selama  80 tahun, ..”  dan merujuk  kepada “ketika  pedang kita menjangkau Amerika  selepas 80  tahun...”.  Osama  Laden   mungkin bersikap zalim, ganas,  bengis,  ataupun  berhati syaitan, tetapi dia  sungguh pintar.   Saya fikir dia telah merujuk secara khusus  kepada  Perjanjian Svres  1922, tulisan  kuasa sekutu  yang   menang, yang telah  berjaya  menumpaskan  Empayar  Ottoman dan  selepas  600 tahun berjaya  memansuhkan sistem   bersultan dan  khalifah, sekaligus  menghancurkan juga impian  perpaduan  Arab.   Seorang  professor Amerika   Professor  James Robbins, kerap dapat mengecam  pembantu  khas Osama Laden,  bernama Ayman  Zawahri – pernah bercakap di dalam gua  11  hari dulu   yang telah pun dirakamkan  videonya,   betapa pertubuhan Al-Qa'eda  tidak merelakan  berulangnya   tragedi  Andalusia  di   Palestine.” Andalusia? Memang,  kemelut Andalusia  telah  mengakhiri   kerajaan  Islam di Sepanyol pada  1492.

Kita  boleh menabur janji-manis  di mana kita  suka. Tetapi, orang  Timur Tengah mempunyai  ingatan yang lebih panjang.  Pada  pertengahan 90-an, saya kerap  memasuki kedai buku  di Algeria.  Di  kawasan tiga segi  Bentalha, ratusan manusia  yang tidak berdosa  telah disembelih oleh   kumpulan Islam – mungkin juga  oleh pasukan tentera kerajaan -  yang kebanyakannya  telah  berjuang  di Afghanistan  memerangi Russia. Saya memasuki  kedai itu untuk mencari buku   mengenai Islam,  budaya  Islam  sejarah Islam dan  ajaran  al-Kuran.   Semuanya ada   di situ.   Di bahagian    para  yang besar, itu juga  bentuk bukunya. Tetapi  di kedai buku   Kaherah,   saya akan menjumpai buku mengenai   sains  nuklear,  kejuruteraan  kimia,  aeronotik,  kajian  biologi dan sebagainya.

Buku teks  penerbangan  tentu  buat waktu  kini, membawa  kiasan  yang  baru pula. Begitu  juga  buku  mengenai  kajian biologi. Saya  mengsyaki, alasan kenapa semua  itu disangsikan  mempunyai kaitan  kepada  sejarah Arab  yang  diaibkan.  Masyarakat Arab merupakan  golongan  yang terawal   di kalangan  ahli sains  di  permulaan millennium kedua. Ketika itulah   kumpulan  Kristian – satu lagi  bahan  tumpuan Osama Laden, - baru sahaja  cuba  melepasi  dunia  kebingungan mereka  mengenali   dunia Islam. Jadi, sejak   beberapa  dekad  yang lalu, ketika  fahaman kita  mengenai Arab   itu terlalu terpaut  kepada   kekayaan  minyak  -  yang  memaut pula  satu  kumpulan Arab yang mudah  disogok, dan kebanyakannya  masih mundur  kehidupannya, yang menunggukan sumbangan  bantuan kita .  Ramai  antara mereka  yang mengemukakan  soalan yang wajar mengenai sejarah  dulu  dan  masa  depan  mereka, mengenai    agama  dan  sains, mengenai  - seperti yang saya syakki -  apakah  Tuhan dan teknologi  itu merupakan sebahagian daripada  dunia  yang  sama.

Kita  tidak pernah dihantui  pemikiran  dan soalan  yang  serupa  ini.  Kita hanya terus  memberikan sokongan  kepada   diktator  Islam di  dunia  ini – terutama di Timur Tengah – sebagai ganjaran  kepada  keakraban  persahabatan  mereka  dan   janji kosong kita  untuk membetulkan  sejarah  ketidak-adilan  mereka  semua.

Kita telah merelakan   diktator  yang bersubahat dengan kita untuk  mencekik parti komunis  dan sosialis  mereka.  Kita  tidak memberikan peluang   kepada  penduduk negara ini  untuk  mengamalkan  sistem  pembangkang  kecuali  melalui  agama. Kita telah membuat kerja   memperlekehkan   seolah olah mereka  itu  adalah  haiwan -  Imam KHOMEINI,  Abu Nidal,  Gaddaffi,  Arafat, Saddam Hussein  dan  Osama  Laden, tanpa  mahu mempersoalkan rakaman sejarah  itu.  Kemudian kita  membuat  janji-janji manis  lagi. Saya masih ingat  bagaimana  Presiden Carter dan Reagan,  membuat janji kepada   kumpulan Mujahidin Afghan.   Perangilah Russia  dan  kami  akan  bantu anda  pula.  Barulah ada bantuan untuk membaikki ekonomi Afghanistan.  Itulah janji  membaikkan ekonomi Afghanistan serupa  dengan janji  memperbaiki  ekonomi   Pakistan  yang baru  sangat dijanjikan oleh  Amerika. Itulah juga  janjinya yang telah diberikan kepada  rakyat Saudi, Palestine, Uzbeks  dan siapa  lagi?  Sebetulnya,   sebaik sahaja Russia berundur, pada 1989,  tidak ada  pun secebis  bantuan  ekonomi  yang  ditunaikan.

Tetapi,  pada  tahun  lalu, ada  seorang  presiden  bernama  Clinton  yang telah berjanji membantu  Pakistan seandainya    sanggup   menolak  Osama  bin Laden. Sedangkan perbuatannya  itu  samalah  dengan  memberikan ingatan kepada  orang  Pakistan betapa “sejarah mereka menunggukan  janji itu tertunai adalah sama  panjangnnya  dengan jarak jauh  sungai  Indus.”

Saya amat takut  sekarang  ini, kalaulah kita  tidak menghormati  sejarah, kita tidak akan  memahami  masalah  ketidakadilan.  Kita hanya  memadatkan   sifat ketidakadilan itu, setelah  lama  sangat  culas  dalam hal itu. Itulah  ketikanya  kita menyuap dan merasuah  sekutu   kita  dengan janji-janji manis   yang bersifat  mempunyai kepentingan sejarahnya, seperti  resolusi  penubuhan Palestine,  Kashmir, Timur Tengah yang bebas daripada  ancaman  senjata  perang,  kemerdekaan  Arab, satu  nirwana  dunia ekonomi  - kerana  kita  sedang  berperang.  Kerana itu  kita beritahu  apa  yang  mereka mahu dengar dan janjikan  apa juga yang mereka  mahu  kita  berjanji,- apa  sahaja, untuk membolehkan kita  menggunakan  ruang  angkasa  raya  mereka  dalam  usaha  kita “memerangi  keganasan.”

Itulah  kiasannya  apabila Jeneral Powell  berjanji mahu menyelesaikan  masalah Kashmir setelah  Jeneral Musharraf merayu agar  dibantutkan  peperangan itu, sedangkan  pesawat pejuang  terus  mengaum  angkasa Afghanistan daripada  pengkalan  Peshawar.

Janji-janji   Manis:

1915 TE Lawrence  menjanjikan kemerdekaan Arab  sebagai  balasan  sokongan mereka melalui  Sheriff  Hussayn;

1917 Dalam satu surat  daripada   Arthur  Balfour kepada  Lionel Rothchild   menjanjikan  tanah air  Yahudi  di  Palestine.

1944 Presiden Roosevelt  menjanjikan  Raja Ibn Saud  bahawa Palestine tidak akan  dipinggirkan.

1979-90 Presiden  Carter  dan Reagan berjanji  membangunkan Afghanistan  kalau  mereka  bersetuju  menghalau  Russia.

1991 George  Bush  Senior  menjanjikan rantau  aman  di Timur Tengah  kalau  Arab  menyokong  peperangan Teluk.

2001 Tony  Blair  meyakinkan Yasser  Arafat  akan iltizam  Britain Untuk  ‘penubuhan  negara  Palestine’ yang  merangkumi Israel.

Tamat Diterjemahkan  oleh SPAR

Hits: