Pada Hari FBI Bertandang
(The Day the FBI Visited)

Oleh: Riad Abdelkarim - 5 Oktober, 2001

Bunyi deringan loceng pintu pada hari minggu itu, tidak menjentik sebarang perasaan yang ganjil di hati saya. Saya tolak ke tepi, komputer laptop dan seketul Chicken McNuggets di tangan untuk melihat siapa yang berada di depan pintu. Ketika saya meninjau di lubang pintu saya melihat dua orang yang kemas pakaiannya dan memakai cermin gelap di matanya. Ini membuatkan saya mengagak mereka mestilah pendakwah ‘Jehovah Witness’ yang memang mesra datang mengunjung kawasan perumahan di situ. Tetapi, sebaik sahaja saya membuka pintu saya melihat mereka berdua lebih tua lagi daripada pengembang ajaran Kristian yang kerap berdakwah itu. Kalau ada sebarang kesangsian akan identiti mereka, ia mudah lesap, apabila mereka menunjukkan lencana jawatan sambil mengumumkan siapa mereka – persis lakonan dalam filem X-files – bahawa mereka adalah daripada FBI (Federal Bureau of Investigation). “Apa yang boleh saya bantu anda?” tanya saya. Kehairanan awal saya itu bertukar cepat apabila mereka menjelaskan keinginan berbincang dengan saya “mengenai peristiwa Selasa dulu”. Pastinya mereka merujuk kepada serangan ngeri yang menjahanamkan Pusat Dagangan Dunia dan Pentagon.

Saya menjawab kesediaan bercakap hal itu kalaulah mereka boleh membuat temu janji dulu untuk bertemu di pejabat tempatan ‘Council on American-Islamic Relations (CAIR = Majlis Perhubungan Amerika-Islam) di mana saya memberikan khidmat sebagai salah seorang Lembaga Pengarah. Walau pun mereka tersentak dengan cadangan saya itu, mereka akhirnya bersetuju. Kami bersetuju bertemu petang keesokan hari, tetapi mereka berdua tidak menunjukkan diri, untuk menemubual saya ataupun menelefon untuk membatalkannya. Keesokan pagi, saya merasa tidak sedap badan ketika bangun dan meminta semua temu janji pelanggan klinik saya diatur semula, sebelum saya pergi mengutip beberapa bekalan perubatan yang saya perlukan. Sepanjang ketiadaan saya itu, dua orang agen siasatan yang lain telah datang menziarahi rumah saya dan tempat kerja. Apabila mereka gagal menemui saya, mereka memberi amaran kepada isteri saya bahawa “mereka akan datang lagi.” Akhirnya saya berjaya menghubungi salah seorang agen penyiasat itu melalui telefon selular, dan saya membuat satu temu  janji berjumpa beliau dan rakannya di sebuah kedai kopi.

Apa yang berlaku seterusnya boleh digambarkan dengan cara terbaik sebagai satu “usaha memancing” (maklumat - penterjemah) dan menyerupai satu babak yang mudah di lihat dalam wayang video gred B. Sambil memegang satu fail yang bertanda “RAHSIA/SECRET” dan meletakkannya di depan mereka, agen itu mula-mula sekali menyoal akan latar belakang saya. Salah seorang mereka mengubah satu ayat di tengah-tengah untuk menanyakan “Bila anda datang memasuki AS?” menjadi “Di mana anda dilahirkan?” Mereka terkejut apabila diberitahu saya dilahirkan di Santa Monica, California dan telah tinggal di California Selatan sepanjang hayat saya. Kemudian, saya disoal mengenai fahaman politik saya dengan soalan yang agak samar seperti “Adakah kami orang yang jahat dalam perkara ini?” Saya beritahu agen perisikan itu dengan keras bahawa sepatutnya tidak ada sebab kenapa serangan udara itu boleh berlaku. Lagi pun, saya memberitahu mereka betapa fahaman politik saya memang sudah jelas diketahui kerana saya kerap menulis pendapat yang selalu diterbitkan oleh akhbar di seluruh dunia. Malahan, beberapa hari selepas tragedi itu, tulisan saya mengutuk serangan dan gambaran betapa masyarakat Islam Amerika telah menunjukkan kemurungan dan kedukaan sambil mempamerkan keberanian mereka telahpun diterbitkan oleh akhbar di California, Texas, Connceticut, Washington D.C., New Jersey dan Madrid, Sepanyol.

Agen siasatan itu kemudian menyoal segala keanggotaan saya dalam beberapa pertubuhan American-Muslim yang ternama dan juga pertubuhan bantuan. Mereka tidak pernah menanyakan nama individu secara khusus ataupun meminta saya mengecam sebarang gambar orang-orang yang mereka syaki. Ada satu ketika wawancara itu menjadi kelam, apabila saya menanyakan kenapa mereka pergi ke klinik saya, sedangkan saya sudah memberikan nombor telefon selular saya untuk dihubungi. Jawapan mereka itu menjelaskan betapa merewangnya segala siasatan yang mereka laksanakan. “Apabila kami diberitahu anda keluar rumah ketika sakit, kami terfikir yang buruk bahawa anda sudah pun lari meninggalkan negara ini.” Saya tidak dapat menahan geli hati dan ketawa . “Tolong hiburkan saya lagi!” Ke mana saya mahu pergi untuk melarikan diri? Saya adalah seorang rakyat Amerika. Saya tidak mempunyai ataupun berminat memiliki kerakyatan negara lain.

Setelah 75 minit kemudiannya, saya semakin yakin bahawa agen siasatan ini tidak bertindak berasaskan maklumat tertentu tetapi cuma meraba-raba dalam kegelapan mencari sesuatu. Saya rasa meluat melihatkan cara ini. Saya tidak pun mempunyai sebarang niat jahat terhadap mereka yang telah menemubual saya. Saya sedar mereka hanya “mematuhi arahan”. Seperti rakyat Amerika lain yang beragama Islam ataupun mempunyai darah Arab, saya amat menyokong usaha FBI menyiasat kegiatan keganasan yang dahsyat itu dan mencari penjenayah yang terbabit ke muka pengadilan. Tetapi, apa yang tidak saya selesa ialah disoal kerana agama saya, asal-usul etnik saya ataupun fahaman politik saya yang sah. Seperti yang ditulis oleh lidah pengarang Christian Science Monitor minggu lalu, “mengarahkan agen FBI mengetuk pintu rumah orang Arab dan mereka yang beragama Islam tanpa sebarang klu adalah satu cara yang jelas untuk sengaja mencetuskan ketakutan sedangkan sikap berkerjasama adalah lebih diperlukan lagi.” Dalam kata perundangan, semua ini disebut sebagai “profiling’ (sengaja menebar jala!). Kalau mengikut fahaman saya, ini adalah sifat perkauman.. Seharusnya ia tidak diberi tempat di negara saya ini.

Catatan: Riad Abdelkarim ialah ‘physician’ di Los Angeles dan pengarah perhubungan CAIR wilayah barat Amerika. Sepatutnya Dr.Riad sebutkan betapa dalam angkatan bersenjata Amerika ada sekitar 5,000 askar Amerika yang beragama Islam, lengkap dengan imamnya yang berpangkat Kapten, dilantik apabila ramai askar Amerika yang menganut agama Islam selepas peperangan 'Desert Storm’ - penterjemah.

Tamat.
Diterjemahkan oleh SPAR

Hits: