Peperangan ala Amerika 
(War American Style)

John Pilger Oktober 15, 2001.

Serangan Anglo-Amerika  terhadap Afghanistan  sudah pun  sampai  ke satu sempadan  yang baru. Ini bererti  bahawa  perang ekonomi Amerika  itu sentiasa  dibantu oleh ancaman berpanjangan adanya  serangan   ketenteraan  terhadap setiap negara  lain, tanpa sebarang  kesahihannya. Inilah  juga  peperangan yang berbahaya kepada penduduk  di negara sendiri. Matlamat kemuncaknya   bukanlah  penangkapan seorang  fanatik, yang sebenarnya bersifat  satu  putar-belit   media  semata-mata, dan  bertujuan   memacu  kuasa imperial barat.  Inilah hakikatnya yang tidak mahu  dijelaskan oleh  imperialis moden dan segala jongosnya,  sedangkan masyarakat di barat  yang   terdedah kepada  rencana jihad  yang menyeluruh itu  sepatutnya  mempunyai hak untuk tahu.

Kerana  terlalu ghairah, Tony Blair  hampir    membuat pengumuman   niat  yang sebenar yang  berbeza dengan  sikap  pemimpin British  sebelumnya   sejak Anthony Eden dulu. Bukan sahaja Blair  menjalankan peranan sebagai  budak suruhan Washington, sikapnya yang suka cakap banyak  seperti yang ditunjukkan  kepada persidangan  ‘Labour Party’, telah  memberi ingatan  betapa usaha  menghidupkan kembali  watak imperialisme itu sudah  semakin terserlah. Hark, pengebom ‘gentleman’ mempunyai wawasan  akan wujudnya satu dunia baru  untuk  “golongan yang lapar,  terhimpit  hidupnya,  kehilangan segalanya,  yang serba tidak-tahu, mereka yang tinggal serba  kesempitan daripada padang  pasir  di  Utara  Afrika  hinggalah  kawasan  peleseran di  Gaza  dan menjangkau banjaran gunung  Afghanistan .”   Demikianlah  visinya  ketika  dia bersekongkol menggugurkan bom memusnahkan mereka   dan  menyekat edaran  makanan  untuk membantu kanak-kanak yang  kelaparan.

Apakah semua ini satu  lelucon?  Tentu tidak, seperti  yang  telah diingatkan kepada kita oleh Frank Furedi dalam “New  Ideology  of  Imperialism”, yang tidak pun berapa lama dulu, “bahawa cakap-cakap mengenai  nilai  kerukunan  imperialisme  jarang sangat dipersoalkan di barat.  Imperialisme  dan  perkembangan sejagat  kuasa  negara barat diperkenalkan dalam bentuk  yang  kesamaran  positifnya, seolah-olah itulah penyumbang utama  kepada  tamadun manusia.”  Pencarian itu  menjadi silap,  tersasar  jauh apabila didapati betapa fascisme, dengan segala  tanggapan  akan ketuanan  budaya dan perkaumannya  adalah  imperialisme  yang  sebenarnya,  dan itulah juga perkataan yang kerap  lesap dalam setiap perdebatan  akademik. Kalau  diikutkan  tradisi fahaman Stalinis, imperialisme  sudah tidak  wujud  lagi.

Apabila khatamnya perang dingin, muncul   satu   peluang yang baru, menggantikannya. Krisis  politik dan  ekonomi  di  negara yang membangun, yang sebahagian besarnya disebabkan  kesan imperialisme,  seperti  pertumpahan darah di  Timur Tengah dan kemusnahan  pasaran komoditi di Afrika,  kini  menjadi satu imbauan berpadan untuk imperialisme.  Walaupun perkataannya  masih tidak  boleh disebut, para  pemikir barat, sama ada  konservatif ataupun  liberal, kini sudah berani  mengulang-ulang ekspressi pilihan  Tony Blair dan  George  Bush  yang  berbunyi; “tamadun”. Perdana menteri Italy, Silvio Berlusconi dan  bekas editor  Harold Evans  pernah mengongsi satu perkataan   yang maknanya  sebenar bergantung kepada  satu  perbandingan  dengan mereka yang tidak bertamadun, rendah diri dan mungkin mencabar  ‘nilai-hidup’ barat,  terutama sekali  hak yang dikurnia Allah untuk   mengawal dan  merompak  golongan yang  tidak bertamadun itu.

Kalaulah wujud   sebarang  kesangsian terhadap   serangan  yang  mengena  Pusat Dagang Dunia itu  sebagai kesan  langsung  kepada  kemusnahan imperialisme, Osama Bin Laden, sebagai pencernaan mutasi  imperialisme, telah  menghamburkannya   dalam satu rakaman video  segala  caciannya  mengenai  Palestine,  Iraq  dan tamatnya  sifat ketuanan Amerika. Dia tidak sekali pun menyebut  kebenciannya  terhadap   tamadun dan ‘miniskirt’ serta  sebab-musabab mereka  yang  mabuk dan dikasi  oleh ketaksuban Americanisme. Segala usaha untuk mengambil kira  kebesaran dan kesinambungan serta bahana  keganasan  imperial Amerika itu dianggap oleh golongan atasan sebagai   satu perkara  yang  dianggap ‘taboo’.

Bertentangan kepada  metos (dongeng), usaha  penaklukan  Vietnam oleh Amerika satu ketika dulu dianggap oleh pengkritik  sebagai satu “perjuangan suci”  di mana Amerika telah “tersungkur’ dan  terpaksa  melutut. Hollywood telah memainkan peranan menyingkirkan kebenaran  kezaliman itu, mengikut  caranya  membentuk  jalan fikiran kita, cara mentafsir  sejarah sezaman kita ini,  dan  tamadun manusia  yang lainnya. Kini, oleh kerana  kebanyakan  berita  yang  disiarkan itu banyak  mengikuti   jalinan rencana Hollywood, yang dibesar-besarkan oleh  kecanggihan teknologi, dengan tipu daya untuk memperkecilkan segala  kerja  bajingan  dan dosa  barat,  adalah tidak menjadi satu kehairanan kalau tidak ramai  yang dapat  melihat  akan  kesan titisan darah (daripada penyembelihan  barat itu).

Apakah secara kebetulan bahawa Afghanistan kini  diserang dengan bom yang menggunakan pesawat  pengebom B-52 yang sama  yang pernah menghancurkan  Indochina   30 tahun  dulu. Di Kambodia  sahaja, 600,000 manusia  kehilangan  nyawa dibaham   bom Amerika, sebagai satu katalis untuk  melahirkan Pol Pot,  seperti yang diperakukan dengan jelasnya  oleh fail  CIA.   Sekali  lagi  akhbar menulis nama Diego Garcia tanpa sebarang penjelasan lanjut. Itulah tempatnya  B52  mendapat bekalan minyak. Tiga puluh lima tahun dulu secara senyap-senyap dan  sambil menolak arahan PBB, kerajaan British  pimpinan Harold Wilson  telah   mengusir  keseluruhan penduduk Pulau Diego Garcia  di  lautan Hindi itu untuk menyerahkan pulau tersebut  kepada Amerika   selamanya sebagai   tempat menghumban (menguji) senjata  nuklear  dan sebagai pengkalan  untuk  pesawat   yang berkeupayaan terbang jauh  untuk mengawasi   Timur  Tengah. Mujurlah penduduk pulau  itu memenangi tuntutan mahkamah terhadap kes mereka  tahun lalu, barulah  kisah betapa mereka pernah dinyahkan oleh imperialisme  muncul  di bidang  media  Britain.

Mungkin juga  satu kebetulan apabila  John Negroponte  menjadi duta   Amerika  mewakili Bush   di   PBB.  Pada minggu  ini dia  telah menyebut  ugutan Amerika   kepada dunia sejagat  betapa  ia  perlu  menyerang lebih banyak negara  lagi.  Pada awal 1980-an dulu,   Negroponte  menjadi duta  Amerika di Honduras, dan dia telah menaja  penubuhan satu skuad pembunuh regim itu yang dikenali dengan nama “Batallion 316”. Tugas skuad pembunuh itu  ialah menghapuskan   pembangkang demokrat, sedangkan CIA  menjalankan kegiatan perang ‘contra’ di Nicaragua.  Tugas istimewa  mereka ialah membunuh para guru dan menyembelih para  bidan. Inilah bentuk keganasan yang amat  lumrah di  Amerika Latin, sedangkan para   penyeksa dan pembunuh utama itu dilatih dan diongkosi oleh polis dunia yang memerangi   “keganasan sejagat”. Mungkin inilah juga  sebabnya  Florida menempatkan   lebih ramai pengganas  dan  pembunuh upahan  berbanding  setiap  negara lain di dunia ini.

Berita yang tidak  dibaca   zaman ini ialah  kisah “peperangan  membasmi keganasan”  yang penuh muslihat  untuk membolehkan   pencapaian matlamat  yang  memperkasakan Amerika. Semua itu mengambil kira: menyogok dan  memujuk   kerajaan  yang lemah dan rakus  dalam wilayah bekas jajahan Soviet  di   Asia Tengah.    Kerja  merasuah ini adalah satu tugas penting  untuk  menentukan   peningkatan kuasa Amerika di rantau  itu  dan penggerudian simpanan  minyak dan gas  yang  masih dara  di rantau  itu.   Penaklukan Macedonia oleh NATO  yang merupakan satu  perjalanan  odissi  penjajah  di rantau Balkan, menjamin pengembangan  industri  kelengkapan perang Amerika  dan pemacuan  dasar perdagangan ala pintu-terbuka.

Apakah yang  dimaksudkan  oleh Blair  ketika dia menawarkan kepada golongan miskin “ruang  dalam pasaran kita  supaya kita  mengamalkan  dagangan  bebas  seiras yang kerap kita  khutbahkan”?  Dia  berpura-pura  menabur  simpati terhadap sebahagian perasaan penderitaan dan  kemarahan: terhadap “perasaan  disisihkan.”  Justeru, ketika bom-bom berguguran,  “lebih banyak tawaran baru” mengikut  ehsan World Trade Organisation (WTO) ditawarkan kepada golongan miskin, yakni lebih banyak penswastaan, lebih banyak pembetulan struktur, lebih banyak kerja-balun-membalun  segala sumber dan pasaran,  lebih banyak   pemansuhan tarif dan cukai.  Pada hari Isnin dulu, Setiausaha Negeri Perdangan dan Industri, Patricaia Hewitt,   telah  mengadakan satu persidangan dengan  pertubuhan sukarelawan untuk mengisytiharkan betapa “sejak 11 September, sudah diwujudkan satu program yang menyeluruh”  untuk  memberi faedah kepada  kumpulan miskin diberikan “kebebasan  dagang yang  lebih luas” .  Mungkin juga beliau telah mencontohi program negara  yang melarat di mana  rakan  sekabinet beliau, Clare Short  telah mewujudkan Department  for International Development ( DID = Jabatan  Pembangunan  Sejagat) untuk memberi sokongan  kepada kempen penswastaan  bagi pihak  syarikat multinasional British, seperti mereka yang  mahu  mengenakan khidmat yang tinggi harganya  dalam sumber yang berharga  seperti  bekalan air.

Bush dan Blair mendakwa  bahawa “seluruh  dunia  menyokong kita.” Ini tidak benar, kerana mereka hanya  didampingi segelintir elit  yang mempunyai  agenda tersendiri seperti Vladimir  Putin yang mahu  menghapuskan Chechnya, yang kini diberikan keizinan, dan China yang mahu  menyauk semua  penentangnya, yang sudah diizinkan  juga. Sehubungan itu, bagi setiap bom yang meledak di bumi Afghanistan dan berkemungkinan dihunjamkan juga di bumi Iraq,  semangat kebangkitan Arab dan Islam yang militan akan  bangkit membiak sehingga terlakar  garisan peperangan  yang  mencetuskan “pertembungan  tamadun” yang memang sudah lama ditunggu-tunggu oleh fanatik di dua  bahagian yang berseteru.   Dalam masyarakat yang kita  wakili hanya secara lakaran sahaja,  sikap menggunakan dua kayu-pengukur oleh  Barat sudah semakin jelas  kini. Inilah yang membuatkan mereka  kagum walaupun secara  tragisnya,  akan  sepakatan  kumpulan  marhaen  di merata dunia terhadap mereka yang dimangsakan oleh  Episod  11 September.

Itulah, dan sumbanganya   kepada  kemunculan semula  sifat  perkauman di Britain, yang merupakan  pencapaian  utama  kerja-kerja pendakwahan Blair. Kepastiannya yang usang terhadap cakap-cakap  untuk berperang   yang sebenarnya  gambaran  kumpulan elit politik dan media  yang  tidak pernah mengenal  erti  perang. Sebaliknya, masyarakat yang mendengar  tidak pernah  memberikannya  mandat  untuk membunuh orang  yang tidak berdosa, seperti orang Afghanistan yang  kerjanya  sebelum terkorban dulu hanyalah mencari jerangkap samar  dan memusnahkannya. Mereka ini dibunuh oleh  bom Amerika ketika mereka tidur

Gara-gara pembunuhan kejam semacam ini  meletakkan  Bush dan Blair  sama tahapnya dengan mereka yang merencana dan melaksanakan  pembunuhan ngeri di  menara kembar dulu. Mungkin, belum ada lagi seorang perdana menteri yang tersilap  langkahnya dengan perasaan rakyatnya,  yang  merasa tidak senang,  kebingungan dan  terkial-kial memikir apa yang harus dibuat  seterusnya. Bancian Gallup  mencatatkan pendapat ramai dengan kadar 82 persen yang berkata “sebarang tindakan ketenteraan hanya boleh dilaksanakan setelah  identiti  penjenayah yang   benar-benar  didapati bersalah  benar-benar dapat disahkan, walaupun proses itu memakan masa berbulan untuk  melaksanakannya.”

Di kalangan mereka yang digaji dan diamanahkan untuk bercakap  telah memilih untuk diam membisu. Di manakah perginya ahli parlimen  yang  pernah  bersuara lantang memperkenalkan diri mereka,  tetapi kini seolah-olah malu  untuk  bersuara?  Mana perginya suara  protes  satu masyarakat yang   bertamadun, terutama mereka yang semakin gian menguruskan   agensi  bantuan  dan menrima sumbangan  kerajaan  dan  kerap juga tugasannya dan kemudiannya  mengisytiharkan status  “non-political”  ketika kelantangan suara  mereka itu dapat  menyelamatkan masyarakat yang miskin dan  mungkin dibom itu diselamatkan ? Chris Buckley  daripada  ‘Christian Aid’  yang bertugas  secara bertungkus lumus  dan  segelintir manusia  lainnya, memang kita hormati  dan  kecualikan dalam seruan kita  ini.  Mana perginya   mereka yang kerap   mencanangkan   kebebasan akademik dan  kebebasan berpolitik yang  sudah pasti merupakan permata  ketemadunan barat? Masa yang lama mencanangkan  “liberal realisme” dan mengandaikan  imperialisme itu sebagai ‘crisis management’, dan bukannya sebagai  penyebab sesuatu krisis itu,  telah memuntahkan  bahananya. Apabila kita bercakap mengenai perundangan sejagat  dan pencarian keadilan yang  berpada, walaupun dari segi diplomasi ataupun  menyanggah keganasan kita itu mungkin tidak menyumbang kepada   peningkatan kerjaya  seseorang. Ataupun seperti yang pernah ditulis oleh  Voltaire: “Adalah  berbahaya  bersikap  benar  ketika kerajaan   berbuat salah.” Tetapi ia tidak merubah hakikat  mengatakan sesuatu fakta itu benar.

Tamat-SPAR.

Hits: