Perdagangan dan  Peperangan 
(Business  and War)

Kisah ngeri tragedi September 11,  semakin menghilang  ditelan  masa. Kejutan yang pertama turut  tenggelam juga,  memberi ruang untuk dibuat kajian situasi itu tanpa emosi  dan histeria jeritan yang  meninggi.  Sebenarnya  Amerika tidak bersedia dengan serangan besar-besaran begitu. Kenapakah  ia  terjadi seperti itu, dan kenapakah  agensi pertahanan  Amerika tidak bersedia mempertahankannya?  Eloklah kita  dekati masalah ini daripada  sudut  yang lain pula.

Apakah  yang menguntungkan Amerika  daripada  episod itu?  Diharapkan  tidak ada sesiapa yang  bersikap  sinis  terhadap saya. Sebenarnya,  ramai orang  yang cuba menjawab soalan  ini. Eloklah kita  tinjau Amerika  selepas 11 September. Yang pertama, Perlembagaan  yang  dianggap  laksana  sesuatu  yang  keramat  sedang  dikaji semula. Sebarang keputusan yang dibuat oleh  pentadbiran   presiden, daripada  peruntukan  yang besar  untuk  memerangi   anti-keganasan kepada  mengkaji semula  perundangan utama negara,  telah mendapat kelulusan spontan  daripada   Dewan Senat  dan  Kongres. Apakah Republicans  pernah  mengimpikan semua  ini? Begitu juga proses  mencuci  bersih jabatan-jabatan ketenteraan – mereka  yang dikambing-hitamkan – membawa  banyak faedah kepada  regim Republikan.  Orang baru yang menggantikan  mereka  semua  tentunya tidak ada  kaitan  dengan  pentadbiran  yang  dahulu.

Sekarang, cuba kita  alihkan perhatian daripada   politik tempatan  kepada ekonomi negara.  Semua  orang  sedar akan  keadaan ekonomi  Amerika yang mengecut. Sepanjang dekad itu, ekonomi dapat  membesar  disebabkan  pertumbuhan yang menakjubkan yang dialami  oleh   ‘syarikat  high-tech’.  Perbezaan antara harga  sebenar dengan harga pertukaran saham  kadang kala  mencecah  1000 persen.  Malahan ada yang naik mencanak lebih tinggi lagi.  Proses mengecut itu  mula terserlah  pada  pertengahan 90-an. Inilah yang terpaksa diwarisi oleh  pasukan George Bush,  yang tidak pun boleh diberikan jolokan yang terbaik di dunia  ini.  Muncullah  satu krisis  yang diiringi  oleh  segala bahananya: pengurangan  pelaburan,  kemuflisan syarikat, dan pengangguran - Amerika tidak pernah  mengalami  masalah ini  untuk  beberapa tahun lamanya.

Peristiwa  11 September itu,  memberi  insentif baru kepada  pembangunan situasi  itu. Memang  wujud  keadaan  yang  serupa  beberapa  tahun dulu, selepas Pearl Harbour,  di waktu  ekonomi Amerika  terpaksa  disentap  pergolakan  ketenteraan.  Terdapat banyak pesanan  untuk mengeluarkan  alat kelengkapan perang,  dan  inilah yang menyuntik aliran pelaburan terus.  Peperangan membasmi keganasan sejagat  akan memakan masa yang panjang.  Inilah yang dinyatakan sendiri oleh George Bush dalam salah satu wawancaranya.    Dengan demikian Amerika akan  melonjak dengan  suntikan teknologinya sambil melupakan krisis  yang menggila  itu  ditelan zaman.

Inilah dia  dividen  dasar luar Amerika.  Amerika telah  memainkan peranan bertanggungjawab  terhadap operasi ketenteraan  di Afghanistan, kerana tidak mahu melibatkan PBB dalam kemelut  itu. Sebelum itu Amerika telah menggugat  Eropah dengan menurunkan  nilai  ‘euro’ dan  menentukan dasar  pasaran minyak  kepada  negara Arab. Sesiapa yang   berani menyimpang  daripada peraturan ini dihukum secara automatis dengan cara  menyenaraikan  namanya  dalam senarai musuh  Amerika,   seolah-olah mereka juga turut  memberikan bantuan kepada kumpulan penjenayah.

Ketika  melancarkan  ‘Infinite Justice’  askar Amerika telah dihantar   memasuki wilayah Asia Tengah, yang secara tradisinya  dihormati sebagai wilayah  yang dipengaruhi Russia. Janganlah ada sesiapa yang memikirkan Amerika akan berundur  daripada  wilayah itu, kerana  Amerika mempunyai minat mendalam  terhadap Afghanistan. Dari segi geografi, kedudukan  negara  ini  amat  menguntungkan Amerika,  kerana ia akan memberi ruang untuk mencacakkan panji-panji  kuasa menyeluruhi  wilayah  itu. Takkan Wall Street bersikap membisu  kepada   kekayaan  hasil bumi di situ. Di sana tersimpannya gas, minyak, gangsa, dan  batu permata  di seluruh  buminya. Amerika  telah membuktikan  betapa   di sebalik setiap titisan darah dan air mata – pasti ada  harganya.

Tamat –SPAR.

Hits: