Tazkirah ( 22 ) : Sumber Ajaran Islam

Subhanallah. Maha Suci Allah daripada segala bentuk kesyirikan dan kezaliman. Salam dan selawat    ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarganya.

Insya-Allah kita akan tamatkan perbincangan dari buku ' Tipu daya Orientalis, Atheis & Missionari Terhadap Islam' pada siri ini. Pada siri akan datang saya akan memetik buku lain yang akan memberikan kemantapan ' Rohaniah ' dalam diri kita. Sudah empat buku yang saya petik hasil tulisan Dr. Yusuf Al-Qardhawi, di mana buku-buku ini memberikan gambaran tentang realiti semasa. Untuk menamatkan buku ini, saya akan memetik dari bab 21 iaitu Sumber Ajaran Islam. Dalam bab ini dihuraikan tiga sumber utama iaitu 1- Al-Qur'an   2-  As-Sunnah dan  3 - Ijtihad. Namun saya akan hanya memetik dari tajuk ke 3 iaitu ' Ijtihad ' sahaja.

Ijtihad :

Dan sumber terdahulu Al-Qur'an dan As-Sunnah tidak menetapkan sesuatu hukum secara tuntas            ( keseluruhan ), sehingga umat Islam tidak menjadi sempit gerak-gerinya. Begitu pula sebaliknya, tidak dibiarkan begitu sahaja, sehingga mereka mempunyai tempat rujukan.

Islam menetapkan dan menentukan dengan tegas hukum atas sesuatu perkara yang tidak dapat difikirkan oleh manusia, seperti : ibadah dan hal-hal yang tidak boleh berubah, kerana perubahan waktu dan tempat, seperti ; norma-norma yang bersifat universal, hukum hudud, kafarat, waris dan sebahagian besar hukum keluarga. Islam tidak menetapkan sesuatu hukum atau ketentuan tegas pada  suatu perkara yang boleh berubah, sesuai dengan perubahan waktu dan tempat. Dalam hal seperti ini akal manusia diberi hak untuk melakukan ijtihad, qias dan istimbath ( menggali, mengambil kesimpulan). Dan kepada mujtahid yang keliru, diberikan satu pahala dan kalau benar, diberi dua pahala.

Atas dasar inilah gerakan fiqh Islam boleh berjalan selaras dengan perkembangan zaman dan keperluan umat manusia. Para ahli fiqh mengatakan: ' Keputusan-keputusan hukum dibuat sejalan dengan masalah yang timbul di tengah masyarakat '.

Fiqh tidak dibuat pada zaman Khalifah Abbasiyah seperti yang banyak dikemukakan melainkan telah ada sejak zaman Rasulullah s.a.w., kemudian berkembang di zaman sahabat hingga pada zaman tabi'in. sedangkan pembukuannya dimulai pada zaman Bani Abbasiyah.

Perlu diketahui, bahawa syari'at Islam berbeza dengan fiqh Islam. Syariat Islam berupa ketentuan-ketentuan tegas dari Al-Qur'an dan As-Sunnah. Sedangkan fiqh Islam berupa pemahaman hukum yang digali oleh para ahli fiqh dari nash-nash Al-Qur'an dan As-Sunnah atau penetapan hukum yang tidak ada nashnya dalam kedua sumber tersebut.

Syariah bersifat tetap, tidak berubah dan berkembang. Sedangkan fiqh boleh berubah sesuai dengan dinamiknya masyarakat itu sendiri. Syariah berupa wahyu Ilahi, sedangkan fiqh merupakan hasil usaha manusia.

Sekalipun kita mengatakan: ' Fiqh itu sebahagian hasil pemikiran Islami, ' namun para ahli fiqh benar-benar berkeinginan sejauh kemampuan mereka agar ijtihad mereka masuk dalam ruang lingkup syariah. Dan sebagai penyesuaian dengan yang dahulu, mereka berusaha secara maksima untuk menjauhkan fiqh dari pengaruh hawa nafsu dan kesenangan. Para ahli fiqh dalam menetapkan hukum bertindak sesuai dengan arah dan tujuan syariah itu sendiri, yakni memerhatikan kemaslahatan umat manusia, baik berupa kepentingan yang utama mahupun yang kedua, sebagaimana dihuraikan oleh Imam asy-Syathubi. Mereka tidak hanya memerhatikan kemaslahatan individu, suatu golongan atau Khalifah. Mungkinkah mereka berbuat demikian? Bukankah mereka semua menolak pemberian jawatan dan menjadi orang yang berdekatan dengan Khalifah? Bukankah mereka pernah merasakan seksaan demi berkhidmat kepada ilmunya?

1.  Abu Hanifah menolak menjadi qadhi dan lebih suka masuk penjara. Bahkan menurut riwayat, beliau wafat dalam penjara.

2.  Imam Malik dipukul dengan cemeti kerana tidak mahu mengubah pendirian atau menyembunyikan pendapat-pendapatnya.

3.  Imam Asy-Syafii diseksa, kerana kejujuran dan amanahnya.

4.  Imam Ahmad bin Hambal diseksa hingga tidak tertanggungkan lagi sakitnya.

Keempat-empat imam ini adalah para pendiri mazhab sunni yang terkenal di kalangan umat Islam.

Mazhab yang empat ini dan lainnya salah satu di antaranya. Mereka menyedari bahawa mazhab tersebut merupakan hasil ijtihad para pendirinya, yang tidak luput dari kesalahan. Kerana itu mereka tidak mengharuskan umat Islam agar mengikutnya.

Pada ahli fiqh tidak bersikap fanatik atau saling bermusuhan. Justeru mereka sangat menghargai sikap dan pendirian orang lain yang tidak sependapat dengan mereka. Abu Hanifah berkata :
' Inilah pendapatku. Barang siapa mempunyai pendapat yang lebih baik dari pendapatku, maka kami akan menerima pendapat tersebut'.

Imam Malik berkata:
' Setiap orang mempunyai pendapat dan setiap pendapat ada yang diterima dan ada yang ditolak, kecuali sabda orang maksum, iaitu Nabi s.a.w.'

Imam Asy-Syafii berkata:
' Pendapatku benar, tetapi kemungkinan ada salahnya. Dan pendapat orang lain salah, tetapi kemungkinan ada benarnya'.

Jika pada suatu waktu dan tempat terdapat fanatisme terhadap suatu mazhab, sehingga timbul permusuhan dengan pengikut mazhab lain, maka hal itu kerana kebodohan dan keterbelakangan atau kemunduran cara fikir umat Islam pada waktu dan tempat tersebut. Islam dan para ahli fiqhnya sendiri tidak boleh disangkut-pautkan dengan keadaan seperti itu.

Dalam fiqh Islam kaya dengan kaedah-kaedah, contoh-contoh masalah, teori-teori yang mendalam tentang segala aspek kehidupan manusia; iaitu bidang keluarga, hukuman bagi mereka yang melakukan jenayah dan tata negara.

Nilai dan kemaslahatan fiqh Islam diakui oleh Muktamar-muktamar Hukum Antarabangsa moden, di antaranya Muktamar Lahay dan lain-lain lagi. Ini merupakan suatu kekayaan yang baik untuk diteruskan oleh Lembaga Hukum yang berwibawa dan mempunyai ahli-ahli fiqh dan hukum yang profesional. Dan memang terbukti kaedah-kaedah fiqh ini dihadapi oleh penggubal hukum di negara-negara Arab.

Selanjutnya, prinsip-prinsip Islam lebih baik dari yang lain dalam rangka mewujudkan kemaslahatan individu, kebahagiaan keluarga, ketertiban masyarakat, pengendalian para penguasa dan penuntun segenap manusia ke jalan yang benar. Bila prinsip-prinsip ini tinggal teori, tanpa ada tokoh-tokoh beriman yang mampu memperjuangkannya dan merealisasikan ke dunia nyata, maka sia-sialah usaha yang pernah dirintis sebelumnya.

Bilakah agama Islam mempunyai tokoh-tokoh pejuang? Kiranya kita telah mengetahui, pada saat Islam mempunyai seorang penguasa yang adil, Khalifah yang jujur di masa Umar bin Abdul Aziz, dalam tempoh hanya dua tahun ( 99-101 hijrah ). Dunia telah menyaksikan bagaimana keadilan, ketertiban, kekuatan dan kemakmuran dapat diwujudkan sedemikian rupa, kemudian sirna selama berpuluh-puluh tahun dan belum pernah terwujudkan kembali.

Kerana itu, barang siapa yang ingin bercermin kepada sejarah, hendaklah ia mengambil contoh sejarah seperti itu. Atau belajar Islam dari kitab sucinya yang turun dari langit dan sejarah Rasulullah s.a.w. yang jitu.

Allah memfirmankan yang benar. Dan Dialah yang menunjukkan jalan kebenaran.

............ bersambung lagi, Insya-Allah.

H.M.Subuh 

Hits