Anggota Tanpa Jasad

Bahagian Tiga

Mengimbau Sejarah Silam Afghanistan

Kewujudan Afghanistan adalah hasil  perpisahannya  daripada  Iran.  Kira-kira 250 tahun dulu, ia merupakan sebuah wilayah di Khorasan Besar  di zaman pemerintahan Nadir Shah. Pada satu malam ketika  dalam  perjalanan pulang daripada  India, Nadir Shah telah dibunuh di Ghoochan. Ahmad Abdi, seorang panglima tentera  Afghan dalam ketumbukan bala tentera Nadir Shah  telah lari dengan  membawa bersamanya  4,500 askar . Kemudian, dia mengisytiharkan  kemerdekaan daripada Iran, dan dari situ munculnya Afghanistan.

Di zaman itu Afghanistan   dihuni oleh  peladang  dan masyarakatnya  diperintah oleh sistem  perkauman. Ahmad Abdali  datang daripada kaum Pashtoon (orang putih sebut ‘Patan’ - penterjemah). Kerana itu dia  tidak  mudah  diterima  sebagai seorang pemimpin utama  oleh  puak Tajik, Hazareh, dan  Uzbek. Maka  dipakati  agar  setiap kaum itu diperintah  oleh  pemimpin  mereka  sendiri. Para pemimpin kaum itu pun berpakat menubuhkan satu  badan musyawarah   mengandungi  pemimpin  puak mereka yang diberi nama “Loya Jirga”.

Demikianlah, sejak dari itu  hingga  kini, tidak  ada satu bentuk  pemerintahan yang pernah muncul secara  berkesan di Afghanistan.  Sistem Loya Jirga  itu mendedahkan betapa Afghanistan bukan sahaja  tidak pernah  merencana  satu   program   pertanian yang padu, malahan ia  tidak pernah membangun   melepasi  pengaruh  cengkaman pemerintah suku-kaum dan  gagal mencipta  satu  semangat  nasionalisme.

Seorang  penduduk Afghanistan tidak  menganggap dirinya seorang  Afghan melainkan dia sudah keluar  daripada  kampung halamannya.  Dia  dicemuh  dengan  simpati ataupun merana  keaiban.  Di Afghanistan  seseorang itu  hanya merupakan seorang Pashtoon, Hazareh, Uzbek ataupun Tajik.  Ini berbeza  dengan  di Iran, di mana kami (kecuali di Kurdistan) menganggap diri kami  sebagai  orang  Iran  dahulu,  sebagai satu keutamaan. Nasionalisme  merupakan   fahaman utama  dalam persepsi   ke arah identiti  yang ada kesamaannya. Tetapi di Afghanistan keutamaan  suku-kaum itu  adalah dorongan utama sehinggakan perkauman itu  merupakan  teras  identiti mereka.

Inilah  perbezaan yang paling ketara antara  semangat seorang Iran dengan fahaman hidup seorang Afghan. Dalam pilihan raya  presiden  di Iran, suku-kaum seseorang  calon itu tidak mempunyai kepentingan  nasional  dan bukan merupakan satu  rangsangan untuk meraih undi. (Mereka sudah meniru  Melayu UMNO memilih  presiden parti, darah Melayu tidak berapa penting berbanding  nama  Melayu pada  calon yang  bertanding. Itu pun kalau  ada pertandingan. Jika tidak,  yang paling pintar bermain   songlapan akan menjadi presiden sampai mati - penterjemah)

Di Afghanistan, sejak  era Ahmad Abdali  hingga kini di mana  Taliban menguasai 95 persen  pentadbiran negara, pemimpin utama negara datangnya  dari kaum Pashtoon. (Kalau ada  kecualinya  ia  pernah wujud  selama  sembilan bulan ketika pemerintahan Habiballah Galekhani yang dicatat sebagai  “Bacheh Saga”  dan  dua tahun pentadbiran di bawah seorang Tajik bernama  Burhanuddin Rabbani. Jika tidak, Tajik tidak pernah memegang tampuk kuasa  sebelum  itu) Di sebalik semua itu,  penduduk Afghanistan secara keseluruhannya, sejak  era  Ahmad Abdali memang  merasa  selesa dengan pemerintahan ketua  suku kaum secara sistem  federalisme.

Apakah maknanya  semua  ini berbanding  dengan  keadaan  di  Iran?  Di bawah pemerintahan Reza Shah, fahaman perkauman  menjadi  lemah  dan digantikan  dengan  semangat nasionalisme. Inilah yang tidak berlaku di   Afghanistan. Malahan, Mujahid Afghanistan tidak pernah  berjuang melawan  musuh asing secara bersatu-padu, tetapi  dengan cara setiap suku kaum  memerangi   musuh asing  itu  dalam  wilayah  mereka.

Ketika aku membuat  filem ‘Kandahar’  dan   berada  di sebuah khemah  pelarian yang terletak di sempadan Iran-Afghanistan, aku  dapat menyedari  betapa   pelarian Afghan yang tinggal  merengkok  di  khemah pelarian itu, tidak dapat menerima  identiti Afghan mereka. Mereka  masih mempunyai semangat  pergeseran dan perkauman dengan identiti sendiri sebagai Tajik, Hazareh ataupun Pashtoon.  Perkahwinan campur   masih tidak digalakkan antara  Afghan  dan begitulah juga  dalam  usaha niaga  mereka yang tidak ada unsur percampuran  antara  kaum. Kerana itu apabila tercetus  satu pergeseran kaum yang paling kecil masalah dan puncanya, ia  berakhir  selalu dengan pertumpahan darah. Aku pernah menyaksikan  seorang  suku kaum dibunuh oleh seseorang daripada kaum lain kerana  dia membalas dendam ke atas  mangsa  yang memintas (potong-jalan) ketika berbaris untuk mendapatkan  bekalan roti.

Di khemah pelarian di Niatak (di sempadan Iran-Afghanistan)  yang mampu menerima  5,000 penghuni, adalah  sukar  untuk kanak-kanak Pashtoon dan Hazareh bermain antara satu sama  lain. Kadang kala  ini pun  mencetuskan  perbalahan.  Kaum Tajik dan Hazareh menganggap  kaum Pashtoon   sebagai musuh ketat  mereka  di dunia ini, dan begitu jugalah perasaan Pashtoon  terhadap  mereka. Mereka tidak rela  berkongsi masjid untuk bersolat. Kami pernah mengalami  masalah  mengaturkan tempat duduk  kepada   anak-anak mereka  agar duduk bercampur  untuk  menonton  wayang gambar.  Mereka   mencadangkan satu penyelesaian agar anak-anak mereka itu  bergilir  menyaksikan  tayangan wayang itu.

Oleh kerana  ketiadaan doktor  di khemah pelarian itu, terdapat banyak jenis penyakit yang  merebak.  Apabila seorang doktor  dibawa  daripada bandar, penghuni kem itu tidak mahu mengutamakan  mereka yang sakit  dulu untuk diberikan rawatan. Mereka mahu mengamalkan susunan perkauman juga. Mereka  menetapkan hari tertentu untuk orang hazareh dan  begitu juga untuk Pashtoon.  Lagipun, anggapan bahawa kaum mereka lebih tinggi martabatnya, membuatkan Pashtoon memilih tidak  mahu  bercampur  Hazareh  untuk mendapatkan rawatan perubatan di  hari  yang  sama.

Ketika kami memulakan penggambaran, memanglah kami memerlukan ramai pelakon tambahan Kami terpaksa membuat pilihan  sama ada memilih Hazaeh ataupun  Pashtoon tanpa mencampurkan mereka untuk sesuatu tugasan. Pada hal semua mereka itu adalah golongan pelarian dan  menanggung penderitaan  yang sama di rantau orang. Mereka tetap berdegil mahukan  pilihan  suku-kaum menjadi  peraturannya. Sebenarnya majoriti mereka itu  tidak pernah berpengalaman  dengan  wayang  gambar dan pawagam. Seperti juga  nenek aku dulu, mereka  bersyukur  kepada Ilahi kerana tidak pernah menjejakkan kaki  di pintu pawagam.

Fahaman menebal  sikap  perkauman orang Afghan itu  didasari   cara hidup   mereka yang berteraskan  ekonomi agrarian (yang menyangkuti   pemilikan tanah dan pembangunannya). Setiap kaum Afghan itu  menghuni di lembah perkampungan yang  berdindingkan tembok gunung-ganang, yang sekaligus  memerangkap tata susilanya sehingga ia menjadi seorang banduan yang semula jadi,  cetusan  budaya yang lahir daripada  suasana pergunungan  dan ekonomi pertanian. Budaya tribalisme  mereka itu  adalah  imej  keadaan bertani yang berakar umbi  kepada  suasana lembah  yang dalam di  Afghanistan. Kepercayaan kepada budaya  tribalisme itu adalah sama dalamnya  dengan  kecuraman lembah  yang dihuni.

Topografi Afghanistan mengandungi  75 persen pergunungan yang mempunyai hanya  7 persen kawasan yang sesuai untuk  pertanian. Tidak ada sebarang bentuk industri yang boleh dimegahkan.  Negara  itu bergantung  sepenuhnya kepada pertanian, kerana kawasan ragut (kalau bukan musim kemarau) merupakan  hanya satu  punca ekonomi yang berkesinambungan. Apabila  perkebunan  merupakan asas tribalisme  ia sekaligus mendasari kebarangkalian konflik dalaman  sesama  kaum. Sifat ini bukan sahaja  menyekat Afghanistan daripada menjadi sebuah negara  yang  moden,  ia juga  menghalang negara itu  mencapai satu identiti nasionalnya.

Masih belum wujud lagi  satu penyatuan   fahaman   yang hakiki dalam menentukan apa maknanya Afghan  berbanding Afghanistan. Orang Afghan belum lagi  bersedia untuk diserap dalam satu identiti  yang disebut  Afghanistan. Berbeza dengan  salah-tafsiran punca kebanyakan peperangan agama,  punca  perbalahan orang  Afghan selalunya dimulakan oleh pergeseran tribalisme (antara  kaum).  Kumpulan Tajik  yang memerangi  Taliban masa kini adalah beragama Islam dan bermazhab Sunni - sama  dengan orang Taliban itu juga. Kepintaran  Ahmd Abdali belum terserlah  lagi  gara-gara   wawasannya  mencipta ‘tribal federalisme’  (persekutuan suku-kaum) Memang dia ternyata lebih bijaksana berbanding orang lain ketika itu, yang berminat  dengan pemerintahan sesuatu kaum ke atas kaum yang lain  ataupun seorang individu memerintah   seluruh negara  -   sedangkan ketika itu perkauman dan  infrastruktur  ekonomi  masih  tegap  lagi.

Kaum Pashtoon yang mempunyai  bilangan  penduduk seramai  enam juta  merupakan kaum terbesar di Afghanistan. Selepas itu  wujud Tajik yang mempunyai  seramai  empat juta manusia. Tempat yang  ketiga ialah  Hazareh  seramai lebih kurang empat  juta dan ke empat ialah  Uzbek yang  ada seramai antara satu hingga dua  juta manusia.   Jumlah penduduk yang berbaki datang daripada  kaum kecilan seperti Imagh,  Fars, Balouch,Turkman dan Qeselbash.

Majoriti Pashtoon  terdapat di  wilayah selatan, Tajik  kebanyakannya  di utara dan Hazareh  tertumpu di pertengahan  Afghanistan. Tumpuan  mereka  mengikut taburan geografi ini di pelbagai wilayah negara  menjadikan  orang Afghan  sentiasa berpuak-puak dan dapat berhubung  antara  ketua-ketua mereka  hinggalah ke akar umbi  hanya melalui muafakat  yang  wujud dalam sistem  ‘Loya Jirga’.  Kalau  mahu diwujudkan alternatif kepada  dua senario ini   ia memerlukan  perubahan  terhadap   infrastruktur ekonomi dan   pengganti  identiti   kaum itu  kepada  satu  identiti berbentuk nasional.

Kami mampu memilih seorang presiden di Iran  hari  ini, bebas daripada isu perkauman, disebabkan  wujudnya  satu transformasi ekonomi yang dicetus oleh  terjumpanya minyak di bumi  Iran, sekurang-kurangnya  pada abad yang  lalu. Apakah bentuk kuantiti ataupun kualiti minyak yang digerudi itu, tidak menjadi persoalan  utama.  Yang pentingnya, apabila minyak  memainkan peranan  dalam pertumbuhan ekonomi Iran menggantikan tempat pertanian yang menjadi  asas ekonomi  sebelum itu, sekaligus ia  merubah struktur ekonomi negara sehinggakan Iran memainkan peranan  penting  dalam interaksi  politik negara. Secara berdikit ia  menjadi pengeksportan  bahan mentah yang penting, dan menerima sebagai ganjarannya  lebihan keluaran  negara  berindustri.

Perubahan transformasi  kepada  infrastruktur sosio ekonomi negara  akhirnya menggugat budaya  tradisi  yang lapuk dan  menggantinya dengan yang baru, sambil  minyak dipasarkan keluar negara  dan  barangan  negara  berindustri  dibawa masuk untuk digunakan pula.  Kalau kita  tidak gunakan wang  sebagai  perantara  jual-beli, maka minyak dipasarkan dan diganti dengan  barangan konsumer. Tetapi, Afghanistan tidak ada barang lain untuk ditukarkan kecuali  dadah  sahaja.  Kerana itu  ia memencilkan dirinya semula  dan menjadi  terpinggir.  Mungkin juga, seandainya Afghanistan tidak berpisah daripada  Iran 250 tahun yang  lalu,  ia sudah  mengharungi perjalanan  hidup yang berbeza  bergantung  kepada  keluaran  minyak  dan pungutan  hasilnya.

Tidak berapa lama lagi saya akan  menceritakan kisah  dadah candu (opium) yang tidak berapa  hebat kalau dibandingkan  dengan minyak keluaran Iran. Pada 2000 Iran mempunyai pendapatan berlebihan  daripada  penjualan minyak  melebihi $10 bilion.   Jumlah penjualan  candu di Afghanistan  kekal di  paras $500 juta.

Kita telah memainkan peranan dalam ekonomi sejagat  dan  menggunakan  barangan keluaran orang lain, dan memahami betapa kita punyai pilihan   hingga menjadi  semakin moden. Tetapi  kepada  seorang petani Afghan, dunianya   ialah  lembah perkampungannya dan dia mempunyai kerjaya sebagai petani, walaupun musim kemarau mudah mencekiknya hingga hampir mati  Pada  waktu yang sama sistem berpuak-puak   terus  mengawal  tata susila hidupnya. Ini bererti dia tidak dapat menikmati sebahagian saham ekonomi dunia, kerana dia mendapati dirinya begitu lemah untuk  menggunakan  kemampuan ekonomi dan budaya mendapatkan secebis saham ekonomi  dunia  itu. Lagipun, pusingan  perniagaan dadah dunia yang  bernilai  $80 billion itu  bergantung kepada  kemampuan Afghanistan bertahan tanpa menyuntik sebarang perubahan. Kalaulah perubahan itu dirangsang,  wang bernilai $80 billion itu akan  menghadapi ancaman besar. Kerana itu Afghanistan  tidak boleh memandai-mandai  mahukan satu tahap keuntungan  itu disauk dulu, kerana  fahaman begitu akan  membawa perubahan   kepada Afghanistan.

Walaupun Iran dan Afghanistan  mengongsi sejarahnya  yang sama kira-kira   250 tahun dulu berasaskan  minyak,  sejarah Iran sudah lama naik mencanak sehingga tidak mampu diragui oleh  Afghanistan secara menyanggah  untuk satu waktu   yang  panjang. Dadah candu merupakan komoditi  tawaran Afghanistan  kepada  dunia.  Namun, disebabkan ciri barangan itu  dan nilai khazanah negara yang tercemar itu, ia tidak boleh dibandingkan dengan minyak.  Kalaulah dicampurkan  pendapatan  candu   bernilai  $500 juta dengan penjualan gas utara Afghanistan bernilai $300 juta,  kemudian dibahagikan  dengan 20 juta penduduk negara,  ia menghasilkan $40 per kapita   pendapatan  tahunan. Seandainya dibahagi pula nilai itu  kepada  365 hari,  setiap  orang Afghan   hanya mampu  meraih  10 US cents setiap hari yang bersamaan  dengan  satu buku roti   pada hari biasa.

Tetapi,  pendapatan   tahunan negara  adalah  hak kerajaan dan  mafia tempatan  dan  ia tidak  dibahagi secara saksama.   Hasil pendapatan negara ini  memang tidak mencukupi menanggung  keperluan rakyatnya   dan semakin tidak mencukupi untuk membangunkan ekonomi negara dan membawa perubahan kepada  sosial, politik dan infrastruktur  budaya.

...bersambung  bahagian 4.

Hits: