Belanjawan Kapal Mewah 2002

Mengikuti ucapan pembentangan Belanjawan 2002 Jumaat lalu yang dibacakan oleh Perdana Menteri yang juga menjadi Menteri Kewangan sekaligus itu mengingatkan saya kembali kepada mantan Menteri Kewangan  dan mantan Timbalan Perdana Menteri yang telah disingkirkan sebelum ini.

Ternyata saya lebih terhibur dan yang penting dapat memperkayakan perbendaharaan kata ketika mengikuti mantan Menteri Kewangan itu membentangkan belanjawan di Parlimen pada tahun-tahun sebelum beliau disingkirkan.  Saya percaya perasaan saya ini dikongsi bersama oleh berjuta rakyat Malaysia. Siapa kata rakyat Malaysia (Melayu) mudah lupa?  Saya sedang memikirkan benarkah belanjawan ini adalah belanjawan yang 'paling mesra rakyat'.  Seingat saya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sudah beberapa kali belanjawan disifatkan sebagai mesra rakyat.

Suka juga saya merujuk pendapat Saudari Rozita 'Siapa bela pekerja swasta?'(20 Oktober 2001) yang tersiar di Malaysiakini.com dan saya amat bersetuju bahawa nasib pekerja sektor swasta seperti saya ini belum mendapat pembelaan sewajarnya berbanding dengan pekerja di sektor awam. Penarikan semula sekatan pemberian  bonus melebihi 2 bulan adalah gimik sedangkan hakikat sebenarnya siapa yang peduli nasib ramai pekerja swasta yang telah kehilangan kerja dan bakal penganggur yang senasib dengan mereka ini?

Mereka ini sekarang ada yang mencuba nasib menceburkan diri dalam bidang perniagaan.  Tentunya perniagaan kecil-kecilan. Sampai ke manakah mereka dengan hanya berharap kepada pendapatan berniaga nasi lemak atau nasi bungkus untuk menampung perbelanjaan harian yang semakin meningkat.

Belanjawan 2002 terlalu digembar-gemburkan sebagai belanjawan mesra rakyat.  Selain melihat kesan kenaikan harga petrol yang kita sediamaklum akan mengakibatkan peningkatan kepada harga barangan keperluan harian saya tertarik untuk membicarakan tentang penurunan cukai.  Tindakan kerajaan menurunkan kadar atau memotong terus cukai-cukai tertentu memanglah sesuatu yang baik secara lumrahnya dan patut mendapat pujian.

Apalagi kalau cukai yang dipotong itu adalah cukai yang membebankan rakyat selama ini.  Contoh yang paling baik ialah apabila kerajaan Terengganu telah menghapuskan cukai pintu dan tol di negeri tersebut sejak tahun 1999 lagi.  Tindakan itu berbaloi apabila ia mendapat sambutan yang baik dari rakyat biasa yang selama ini terbeban dengan cukai-cukai tersebut.  Bukan saja menyebabkan rakyat bertambah yakin dengan kerajaan malah kerajaan nampaknya benar-benar ingin membela mereka.
Tetapi tidak semua tindakan menurunkan kadar atau menghapuskan sesuatu cukai itu akan mendatangkan kebaikan, apalagi untuk kebaikan rakyat.

Kembali kepada Belanjawan 2002, suka saya mempersoalkan kebijaksanaan langkah kerajaan menurunkan kadar atau mengecualikan cukai-cukai tertentu seperti cukai motorsikal berkuasa besar dan cukai ke atas kapal mewah.  Persoalannya, kenapa pengguna motorsikal berkuasa besar (yang tentunya diimport) diberikan keistimewaan ini sedangkan mereka yang menggunakan motorsikal berkuasa besar ini sudah tentu terdiri daripada golongan yang mampu berbuat demikian.  Saya percaya tindakan ini hanya akan mengakibatkan lambakan motorsikal import di negara ini.

Keduanya, kenapakah kerajaan memberikan pengecualian cukai selama 5 tahun ke atas pendapatan syarikat kapal mewah?

"Sehubungan ini, bagi menggalakkan perkhidmatan penyewaan kapal layar mewah, saya mencadangkan supaya pendapatan syarikat daripada sewaan kapal layar atau kapal bermotor mewah, dengan izin, luxury yacht, diberi pengecualian cukai selama 5 tahun" - Ucapan Datuk Seri Dr. Mahathir Bin Mohamed, ketika membentangkan Belanjawan 2002. (http://www.utusan.com.my/utusan/SpecialCoverage/Belanjawan2002/index.asp?pg=ucapan_01.htm)
Untuk menggalakkan.  Menggalakkan apa sebenarnya?  Hakikatnya, tidak ramai rakyat biasa dapat faedah daripada pengecualian cukai perkhidmatan ini, sebab itu ramai juga yang terpinga-pinga apabila ditanya 'apa yang hendak digalakkan' oleh kerajaan sebenarnya.  Kerajaan nak galakkan kegiatan memancing?
Cuma, kalau kita pernah berjumpa dan bertanya dengan pekerja di kapal-kapal mewah ini barulah kita tahu apa yang berlaku di atas kapal-kapal mewah ini.  Sebenarnya, di atas kapal-kapal mewah inilah tempatnya diadakan kegiatan perjudian besar-besaran seperti kasino di Genting Highland itu.

Teringat pula saya terhadap isi wawancara di antara Dato' Dr Harun Din dengan saudara Ahmad Lutfi Othman yang tersiar di laman Detikdaily.com(http://detik.daily.tripod.com/okta/19okt_5.htm) di mana Dr Harun Din ada menyebut tentang bahtera khas.
"Di saat-saat kematiannya badannya (Mustaffa Kamal Attartuk) menjadi sepanas-panasnya dan mulutnya menjerit-jerit. Dikatakan terpaksa disediakan sebuah bahtera khas (kapal mewah=luxury yacht? - penulis) untuknya yang sedang sakit. Dia duduk di dalam sebuah kotak yang berisi air batu dan diletakkan di dalam bahtera yang belayar menuju ke Laut Hitam".

Memandangkan negara kita merupakan sebuah negara yang menjamin hak bebas untuk berfikir maka inilah yang sedang saya fikirkan tentang perkara ini.  Mungkin inilah yang sedang difikirkan oleh seluruh rakyat negara ini dan mungkin inilah juga yang telah difikirkan oleh kerajaan dengan pengecualian cukai ini.  Siapa tahu?

Oleh: Enot Sabah - 22.10.01

Hits: