Negara Hadapi Ancaman Baru Lebih Hebat Daripada Keganasan Komunis
 
Nota webmaster: Nah!! Sudah terang lagi bersuloh. Berita ini memaparkan betapa pemimpin BN secara terang dan nyata menyatakan bahawa perjuangan menegakkan sebuah negara Islam lebih hebat ancamannya dari komunis. Ini kenyataan dari seorang pemimpin yang mengaku Islam di lidah mereka tetapi di hati penuh kehitaman sifat munafik, murtad dan fasik. Tidak perlu ulasan panjang, anda boleh menilai sendiri pendirian anak keturuan ulama ini yang nyata sudah murtad dari agamanya!!
KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata negara kini menghadapi ancaman baru yang lebih hebat daripada keganasan komunis dengan wujudnya golongan yang cuba menggulingkan kerajaan yang dianggap bukan Islam untuk mendirikan negara Islam.

Timbalan Perdana Menteri berkata bentuk keganasan yang lain daripada keganasan oleh parti Komunis itu dicetuskan oleh bangsa Melayu yang mendakwa kerajaan hari ini "tidak Islam".

"Cita-cita mereka nak wujudkan negara Islam dan menjatuhkan kerajaan sekarang, ini adalah cabaran yang lebih hebat daripada ancaman komunis yang ideologi mereka kita ketahui tidak percaya wujudnya Tuhan," katanya ketika berucap pada Malam Jubli Emas Kementerian Dalam Negeri ke-50 tahun malam ini.

Abdullah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata keupayaan pasukan keselamatan dan teknologi canggih yang ada membolehkan kerajaan dengan cepat membendung tindakan golongan berkenaan daripada memporak-perandakan negara.

"Saya yakin kesungguhan dan komitmen pegawai dan kakitangan Kementerian dapat menjamin negara terus aman dan selamat," katanya.

Abdullah berkata pegawai dan kakitangan Kementerian juga diminta lebih bersedia menghadapi satu lagi ancaman negara yang ditimbulkan oleh golongan "post modern" yang terdedah kepada cara hidup dan pemikiran Barat.

Golongan ini terdiri daripada masyarakat bandar yang tinggal di Lembah Klang dan sering mempertikaikan usaha kerajaan dalam membangunkan negara, katanya.

"Generasi post modern ini fikir hal-hal mengenai hak asasi manusia, kebebasan (bersuara) dan pentingnya untuk menikmati hak sama rata.

"Mereka ini bukan sahaja tidak menerima pembangunan dengan hati lega tetapi sering mempersoalkan pembangunan oleh kerajaan, sama ada, adakah ia projek kroni atau projek adik-beradik (pemimpin) yang mengamalkan nepotisme?," katanya.

Beliau berkata golongan itu berbeza dengan penduduk di luar bandar yang lebih bersyukur dengan pembangunan yang dibawa kerajaan.

Abdullah berkata KDN sebagai perancang dan pelaksana utama hal-hal berkaitan keselamatan negara, memainkan peranan penting memastikan keamanan negara terus terpelihara daripada sebarang bentuk ancaman baru yang dihadapi kini.

"Dalam usia 50 tahun Kementerian tentunya mereka kaya dengan pengalaman dan matang dalam menguruskan hal-hal keselamatan.

Pengalaman menjadi aset penting untuk kita menangani sebarang isu dengan cepat dan berkesan," katanya.

-- BERNAMA

Hits: