Tingkatkan Intifada Elektronik

Saudara  sekelian (Pengendali Laman Web dan  Peminat 'marhaintua') 

 
Saya panjatkan doa  agar kalian sentiasa dalam lindungan Allah.
 
a)  Lebih satu bulan yang lalu, menjelang hari pencalonan pilihan raya  Sarawak, saya  telah menulis  agar  kita tidak memberikan banyak ruang  kepada pilihan raya  itu kerana saya  menjangkakan ia  kerja  tidak berfaedah. Pembangkang masih mempunyai  gusi dan gigi sahaja  dan  itulah  masanya  pihak pembangkang  menahan lukah  meminta  bayaran sogokan daripada Taib Mahmud. Saya  pernah  berada di Sarawak  ketika pilihan raya sebelum itu dan amat sedar akan  putar-belit  di situ.
 
b)  Secara tidak dijangka,  Pusat Dagangan Dunia telah dihunjam dan sekaligus  ia  menggugat martabat  Amerika. Sebagaimana  yang saya tulis  kepada  beberapa penerima  tulisan khas itu, saya meramalkan Amerika  sudah berada  di longkang  keaiban dan kejatuhan empayar dan kuasanya. Buat masa ini pun ia masih keliru  siapa  sebenar  yang mencetuskan huru-hara itu, walaupun ada  beberapa artikel yang kita terima mengatakan itu adalah kerja Israel mahu menguasai  Amerika melalui pasukan 'The Extreme Right'  di Amerika sendiri.
 
c)  Kemudian  kita terima banyak artikel daripada  ramai kawan lama saya ketika kami berjuang semasa muda dan  ada lebih seratus artikel yang baik-baik yang boleh diterjemahkan.
 
d)  Saudara mungkin dapat merasakan lonjakan capaian daripada  luar negara  sejak saya menulis nama tiga website  'Mindarakyat, Marhaen  dan  Webantu'.  Salinan surat  saya secara  'abridge version' masih di laman web Pravda Ru. kerana  meminta  keizinan mereka  mengambil artikel  untuk diterjemahkan dalam bahasa Melayu. (Sila lihat kolum 'Letters')
 
e)  Apabila kita membuat format baru menulis  dan  menterjemahkan banyak tulisan dunia asing untuk santapan pembaca  kita, sekaligus kita melakukan satu proses memutarkan minda mereka untuk lebih terbuka  membaca  maklumat lain lebih berbeza yang mereka dapat daripada  media perdana  tajaan UMNO dan para penyangak  sekeliling  seorang malbari tua.  Ini bukan kerja mudah kerana  menterjemahkannya  memerlukan  dedikasi dan masa. Kerana itu  saya harapkan Marhaen mengurangkan artikel Anggota tanpa Jasad hanya kepada satu  bahagian setiap hari agar  ruang diberikan kepada  berita  lain.
 
f) Memasukkan  berita luar  negara  melibatkan Palestine dan Afghanistan sebenarnya  merupakan satu  intifada elektronik ke atas minda bangsa kita. Sekaligus  kita kurangkan  berita remeh temeh mengenai Keadilan ataupun PAS, kecuali berita  yang betul-betul ada oomph. Kalau berita  itu mempunyai  kualiti  di tahap kedaerahan, eloklah kenenkan berita itu  kepada FGR  yang sedia  menerimanya.
 
g) Oleh kerana artikel yang sampai ke meja  saya  berjumlah puluhan setiap hari dan mempunyai kualiti yang tinggi, sebarang  permintaan kepada artikel lama dan  artikel asalnya  tidak dapat saya layan, kerana  mahu menjimatkan masa. Kerana  itu seandainya ada permintaan mahukan artikel asal saya  cadangkan  para pembaca  melihat  juga  di laman web lain antara  yang bertiga itu. Kalau artikel Inggeris tidak ada di Mindarakyat, tentu ia ada  di Marhaen dan juga  di Webantu. Kalau tidak ada di Marhaen tentu ia ada di Webantu ataupun di Minda Rakyat  dan  begitu seterusnya. Contohnya ialah 'Bahan bukti Palsu, Bush Menipu' Saya fikir artikel Inggeris ada  di Webantu dan Marhaen.  Yang amat pasti ia ada  di Webantu. Tolonglah usaha sendiri, dan jangan kecewa kalau saya tidak dapat memberinya  semula.
 
h)  Mungkin ramai yang tidak percaya, saya menghabiskan  lebih kurang  18 jam sehari dana ada kalanya sehingga 20 jam untuk menyediakan bahan-bahan di laman reformasi. Kerana itu saya  kurang menulis sendiri di kolum MMMM. Saya terpaksa berkorban dalam hal ini  dengan niat  untuk membantu  mendidik  bangsa sendiri.
 
i)  Banyak emel yang meminta  saya membuat komen mengenai  belanjawan terbaru. Saya jawabkan di sini, itulah  sebabnya  kenapa saya tidak mampu menulisnya  waktu ini. Mungkin mulai minggu hadapan saya akan melakukannya. Memang  banyak yang perlu ditulis mengenai  belanjawan itu. Tetapi, kalau di baca  tulisan saya yang lalu, segala rungutan rakyat  mengenai penderitaan baru  mereka, telah banyak  saya tuliskan sebagai ingatan.
 
Sekian dulu, saya harapkan kita teruskan  dengan proses 'intifada  elektronik' ala Melayu kerana ia  sudah terbukti menjadi satu senjata hebat yang kini ditiru oleh seluruh dunia  Islam  sehinggakan  raja-raja, emir, Sheiks  di tanah Arab pun sudah takut kan berita  e-mail dan  reformasi  rakyat  mereka. Kita  harus  majukan  laman web kita supaya sentiasa berwibawa dan mempunyai kualiti  isian yang berkualiti.  Inilah yang dikagumi oleh  banyak kedutaan asing  yang  memantau  kehebatan kita. Kita harus terus insaf  bahawa  setiap peningkatan  kualiti  persembahan  kita itu  yang baiknya  adalah hak Allah swt  juga.
 
Salam hormat.
-MT-

Hits: