Belanjawan 2002: Jangan Cuma Indah Khabar...

19 Oktober 2001M yang lalu, Belanjawan 2002 telah dibentangkan dalam Parlimen. Seluruh mata, telinga dan pemikiran rakyat tertumpu kepada belanjawan itu. Orang yang meluat melihat wajah Dr Mahathir di kaca TV, meluat mendengar ucapan lidah bercabang dan bertipu helahnya dan begitu juga mereka yang membenci kezalimannya ke atas DS Anwar Ibrahim serta musuh politiknya pun hari itu. Mendengar juga sikit-sikit ucapan belanjawan itu, sekalipun tidak bersungguh-sungguh atau dengar ala kadar bagi melihat dan menilai gambaran ekonomi Malaysia pada 2002.

Kononnya, media pengampu mengwar-warkan belanjawan 2002 itu sebagai 'belanjawan penyayang'. Sejauh mana ia mampu menjana nilai kasih sayang dalam masyarakat majmuk Malaysia, kita kena perhati dan nilai secara cermat lagi teliti dalam perlaksanaannya kelak. Rakyat tentu menyoal penyayang kepada siapa, kalau benar ia berorientasikan nilai-nilai penyayang itu. Berdasarkan pandangan beberapa pemimpin politik sama ada orang UMNO atau dari kalangan pimpinan pembangkang. Belanjawan kali ini dilihat secara kasarnya sebagai suatu belanjawan yang baik, sederhana dan bermatlamat membela rakyat.

Ada pemimpin menilainya sebagai belanjawan untuk persediaan menghadapi pilihan raya lebih awal. Bukan pada 2004. Ada juga ulasan belanjawan kali ini dari segi pembentangannya tidak sehebat pembentangan mantan Menteri Kewangan/TPM yang disingkir dan dipenjarakan itu.

Bagi penulis belanjawan 2002 itu, memang banyak mensasarkan pembelaan rakyat berpendapatan rendah pada bunyinya. Bunyinya juga indah, manis dan cukup cantik. Sebagai contoh, kita ambil tentang pemberian bonus 1/2 bulan gaji atau RM1,000 dan juga kenaikan 10% gaji kepada kakitangan awam kerajaan persekutuan. Memang itulah tanggungjawab atau tugas sebuah kerajaan yang memerintah atau diberi amanah oleh rakyat supaya dapat mensejahterahkan dan menyelesaikan rakyatnya. Bukan menjadi penyangak, perampok dan pencuri di siang hari. Mereka mengaut sebanyak mungkin, sementara sisa-sisanya diagih-agihkan kepada rakyat marhaen.

Ini bermaksud, belanjawan yang dibentangkan oleh parti pemerintah jangan hanya belanjawan bersifat 'indah khabar dari rupa' indah dan cantiknya saja, tetapi hakikatnya menyeksa, menyusah dan mendera rakyat secara cukup bersistematik dan terancang oleh pemerintah yang rakus lagi tamak. Apakah itulah yang tersirat dalam belanjawan negara 2002 kali ini. Satu lagi, belanjawan ini seperti belanjawan mencari simpati rakyat terhadap pemimpin diktator yang sudah dibenci rakyatnya atau sebagai usaha terakhirnya mengembalikan imejnya yang sudah semakin luntur itu.

Ibn Sabah,
Kota Kinabalu,
23.10.2001M.

Hits :