Tazkirah ( 23 ) : Peranan SUFI Dalam Gerakan Islam

Alhamdulillah. Segala puji-pujian hanyasanya layak bagi Allah s.w.t., Tuhan sekalian alam. Salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan keluarganya.

Alhamdulilah, saya dapat menyambung kembali penulisan sekadar kemampuan untuk memberi perangsang bagi kita menambah Ilmu Islam. Saya menghadapi masalah teknikal untuk menghantar artikel-artikel kepada Webmaster beberapa hari yang lepas. Kini, masalah sudah dapat diatasi.

Seperti biasa sebelum kita ke tajuk buku baru, ingin saya mengupas cerita terbaru yang berlaku pada Hari Ahad lepas iaitu 21 Okt. 2001. Satu majlis kenduri besar-besaran telah diadakan di Parlimen Kepala Batas, Pulau Pinang oleh ahli Parlimen bahagian tersebut. Khabarnya berpuluh-puluh ribu orang yang hadir, 40 ekor hamba Allah sang lembu telah disembelih sebagai hidangan. Ini tidak termasuk lain-lain hamba Allah iaitu ayam dan sebagainya. Maklumlah kenduri orang besar mestilah juga perbelanjaan besar, mungkin tidak sebesar Si Raja Tol Malaysia yang dikatakan RM 1 juta untuk majlis perkahwinan anaknya. Walaupun diajak ke sana, saya tidak pergi kerana berasa amat sedih sekali, bukan kerana lembu-lembu dan ayam-ayam disembelih tetapi lebih besar dari itu. Manakan tidak, saya sudah beberapa kali melawat keluarga ustaz yang ditahan di bawah undang-undang hantu rimba ISA. Bayangkan anak-anak ustaz tersebut masih kecil, anak yang baru berumur lapan bulan pula akan dibedah mulut       ( operation ), rumah pun kalau ramai-ramai kita naik, boleh runtuh. Bagi anak-anak ini dan isteri, orang yang disayangi telah difitnahkan, dipenjarakan oleh ahli Parlimen tersebut. Saya tidak tergamak hendak menyuap sesuap nasi apabila mengingatkan keadaan sebegitu rupa. Tak tahulah saya bagaimana orang-orang yang pergi makan kenduri tersebut boleh melakukannya. Terfikir juga oleh saya, apa kata  kalau saya bawa anak-anak mangsa ISA ke rumah tersebut? Boleh juga saya tunjukkan kepada orang ramai bahawa mereka ini adalah anak-anak mangsa kekejaman tuan rumah! Si ahli Parlimen ini dan keluarganya boleh bersuka ria, bergelak ketawa, berseronok, namun pada hakikatnya dia adalah layak digolong sebagai Kaum Abdullah Bin Ubaiy!

Insya-Allah, kita akan mempelajari sesuatu yang baru untuk santapan Rohani dari buku yang bertajuk  ' PERANAN SUFI DALAM GERAKAN ISLAM '. Buku ini ditulis oleh Lutfi Mustafa El-Batnani. Kita akan mengambil masa yang panjang bagi petikan sebahagian dari buku ini. Ianya sesuai bagi ahli-ahli pejuang Islam namun ianya mungkin dirasakan bosan bagi mereka yang tidak meminati tazkirah keagamaan, yang cuma sukakan cerita-cerita semangat dan sensasi semasa. SESUNGGUHNYA, kemenangan Islam akan dicapai apabila orang-orang Islam sudah melengkapkan diri dengan ilmu Islam, iman yang kukuh serta semangat jihad yang berterusan. MIMPI untuk kemenangan Islam memang boleh dicapai hanya dengan semangat dan cita-cita kosong. Bagi siri yang pertama saya akan memetik tulisan ringkas iaitu 'Sekapur Sirih ' dari Tuan Guru Dato' Hj. Nik Aziz Nik Mat. Saya yakin apabila Tuan Guru sudi memberikan sumbangan kepada buku ini, ianya bermakna buku ini sememangnya sesuai untuk para pejuang agama Allah.

SEKAPUR SIRIH :

Kemunculan Ilmu Tasawuf dalam ajaran Islam bermula dari hasil perkembangan konsep zuhud yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda r.a. Konsep tersebut mengamalkan cara kehidupan yang sederhana dan lebih memberi penekanan kepada aspek kerohanian dan kebatinan. Konsep ini juga memberi penumpuan kepada persoalan jiwa, bagaimana cara-cara untuk membersihkan jiwa dan cara-cara untuk mendekatkan diri kepada ILAHI.

Kehidupan itu merupakan suatu titik perjuangan, perjuangan untuk mencari seteguk keredhaan ILAHI, perjuangan untuk membersihkan hati sanubari dan jiwa nurani, perjuangan untuk menyucikan perasaan diri, perjuangan untuk membasmikan kemiskinan rohani dan melenyapkan segala rupa bentuk kejahilan, keraguan, keresahan dan perasaan syak wasangka kepada ILAHI. Jiwa yang bersih adalah jiwa yang sentiasa mendekatkan diri kepada ILAHI, jiwa yang sentiasa digilap dengan roh keimanan dan ketundukan diri kepada-Nya.

Umat Islam hendaklah mempelajari dan memahami betul-betul konsep pengajian Ilmu Tasawuf ini, kerana di dalamnya terdapat beberapa penyelewengan di dalam amalan hidup dan penghayatan hidup yang sebenar. Perkara ini berlaku disebabkan faktor kefahaman seseorang individu terhadap amalan-amalan yang terdapat di dalam pengajian ilmu tasawuf, kerana di antara mereka ada yang mencipta amalan sendiri semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Tuhannya. Apabila muncul generasi baru yang datang menjelma, lalu mereka menganggap amalan seperti ini adalah datang dari sunnah Rasul s.a.w. sedangkan amalan tersebut bukan dari sunnah s.a.w.

Tetapi, penyelewengan yang paling ketara di sana ialah kerana mereka ditimpa oleh penyakit jahil yang menyebabkan mereka tidak mahu mempelajari ilmu-ilmu agama secara lebih mendalam, mereka menganggap cukuplah dengan hanya beramal sahaja seseorang itu pasti akan sampai ke darjat yang tinggi atau maqam yang mulia, sedangkan mereka sepatutnya faham apa yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : ( Terjemahan ) " Sesiapa yang mahukan dunia, hendaklah dengan ilmu, sesiapa yang mahukan akhirat, hendaklah dengan ilmu dan sesiapa yang mahukan kedua-duanya, maka hendaklah dengan ilmu ".

..............bersambung lagi, Insya-Allah.

H.M.Subuh

Hits: