Penghinaan dan kecederaan di Afghanistan
Insult and injury in Afghanistan (MSNBC News)

Oleh Anundathai Roy

NEW DELHI,Okt.20 - Ketika kegelapan malam mencengkam Afghanistan pada Oktober 7, ketumbukan bala tentera Amerika yang disokong oleh apa yang disebut sebagai ‘Pakatan Antarabangsa Mengganyang Keganasan’ (yang boleh dikatakan satu ciptaan pemangku yang disenangi dan direstui PBB), telah melancarkan serangan udara ke atas Afghanistan. Saluran TV sengaja memainkan lakaran animasi-komputer menunjukkan gambaran peluru berpandu, pengebom yang kalis radar, bom yang mampu menembusi kubu pertahanan dan ‘Mark 82 high-drag bombs’ (bom ledakan berganda)

PBB yang kini teraib menjadi satu akronim sahaja, tidak pun diminta untuk memberikan mandat melancarkan serangan udara itu. (Seperti yang pernah disuarakan oleh Madeline Albright satu ketika dulu, “Amerika bertindak secara multilateral apabila dia mampu,  dan secara unilateral apabila ia merasakan perlu.”) Bahan bukti terhadap pengganas itu telah dikongsi-sama di kalangan kawan dalam “Pakatan” itu. Selepas itu mereka pun mengumumkan betapa tidak perlu difikirkan apakah segala bahan bukti itu boleh diterima-pakai oleh mahkamah. Dengan itu secara spontan, keluhuran undang-undang yang berabad usianya sudah dihumban menjadi tidak berguna.

Kejaran Si Buta

Tidak ada yang boleh dijadikan asas kewarasan satu tindakan keganasan, apakah ia dilakukan oleh kumpulan pelampau beragama, militia peribadi, pergerakan revolusi rakyat – ataupun apakah ia sengaja merupakan satu muslihat untuk bertindak balas oleh sebuah kerajaan yang sah. Pengeboman ke atas Afghanistan bukannya bercorak tindakan balas kepada apa yang berlaku di Washington ataupun New York. Ia merupakan satu lagi tindakan keganasan yang menakutkan terhadap penduduk dunia. Setiap manusia yang tidak berdosa yang terbunuh mestilah dicampurkan dan bukannya ditolak, kepada jumlah manusia yang tidak berdosa yang terkorban di New York dan Washington.

Manusia jarang sekali memenangi peperangan mereka.; kerajaan jarang pula merasakan kehilangan manusia. Manusia mati terbunuh dan penduduk kampung di kawasan terpencil di Qala-e-Zaman di bahagian tenggara Kabul, telah menyaksikan kesan serangan bom Amerika itu. Enam orang awam, lima antaranya adalah daripada sebuah
keluarga – telah dilaporkan terbunuh pada serangan 18 Oktober.

Kerajaan yang terhenyak mampu bertaut semula, laksana kepala ‘hydra’ yang banyak cabangnya. Mula-mula mereka gunakan bendera kebangsaan negara untuk menyungkup minda rakyat dan memekap pemikiran sebenar mereka. Kemudian bendera seperti itu akan digunakan sebagai penutup dan penghias keranda yang dimuatkan mayat-mayat askar yang mati terkorban kerana kerelaan. Di dua pihak di Afghanistan dan Amerika, rakyat biasa dua buah negara ini sedang berkongsi satu perasaan yang sama – mereka terpaksa hidup merelakan kejadian kesilapan yang menyebabkan tindakan yang membuta dan yang amat dahsyat bahananya. Setiap longgokan bom yang digugurkan mencari mangsa Afghan telah dipadankan dengan peningkatan perasaan histeria di Amerika terhadap Anthrax, rampasan pesawat yang mungkin bertambah dan pelbagai tindakan keganasan lagi.

Tidak ada jalan mudah untuk melepasi lingkaran jeram keganasan dan kezaliman yang mengganyang dunia masa kini. Sudah tiba masanya setiap bangsa di dunia berdiam seketika, merenung ke dalam telaga kebijaksanaan masyarakat, baik yang purba mahupun yang kini ada. Kejadian 11 September telah merubah corak dunia selama-lamanya. Kebebasan, kemajuan, kekayaan, teknologi, peperangan – semua perkataan ini sudah pun menyauk satu makna yang baru. Setiap kerajaan harus menerima hakikat ini, dan memilih kaedah baru dalam tugasan mereka dengan segala ketelusan dan keinsanan. Malangnya sehingga kini, tidak ada sebarang tanda wujudnya satu sikap menilai semula keadaan yang ada daripada para pemimpin Pakatan Antarabangsa itu. Ataupun Taliban Ketika mengumumkan serangan udara itu, Presiden George Bush pernah berkata: “Kita adalah sebuah negara yang aman damai,.” Duta Amerika yang popular, Tony Blair, (yang juga merupakan perdana menteri UK) telah melaungkan cakap Bush itu. “Kita adalah manusia  yang cintakan kedamaian.” Barulah kita tahu betapa cakap mereka amat  berbeza, indah khabar dari rupa.

Teori dan Amalan

Ketika berucap di ibupejabat FBI beberapa hari kemudiannya; Presiden Bush berkata, “Inilah masanya dan inilah seruannya. Tibalah masanya untuk Amerika sebagai negara yang paling bebas dan merdeka seantero dunia yang diasaskan oleh nilai murni yang menolak kebencian, keganasan, pembunuh dan keiblisan. Kata tidak akan mudah putus asa.”

Berikut adalah senarai negara yang pernah diperangi oleh Amerika – dan mengebomnya – sejak Perang Dunia Kedua. China (1945-46, 1950-53), Korea (1950-53), Guatemala (1954, 1967-69), Indonesia (1958), Cuba (1959-60), Belgian Congo (1964), Peru(1965),  Laos 1964-73), Vietnam (1961-73), Kemboja (1969-70), Grenada (1983), Libya (1986), El Salvador (1980-an), Nicaragua (1980-an), Panama (1989), Iraq(1999-99), Bosnia (1995), Sudan (1998), Yugoslavia (1999) Kini Afghanistan pula. (Bagaimana dengan perang proksi di Sudan, Yemen, Somalia, Ethiopia, Eritheria, Sharjah –UAE, Kocovo, Chechnya ? - penterjemah)

Jelas, Amerika tidak pernah letih dalam hal penaklukan ini. Inilah yang dikatakan dunia paling damai dan bebas di dunia. Apakah jenis kebebasan yang dipertahankannya? Dalam negerinya, kebebasan bersuara, beragama, berfikir, ekspressi naluri kesenian, selera makanan, pilihan seksual (ada hadnya) dan banyak lagi contoh yang menunjukkan keseronokan. Di luar negaranya, kebebasan untuk mendominasi, keaiban dan penindasan, - yang menyangkuti agama sebenar Amerika; “pasaran bebas”. Dengan itu apabila kerajaan AS mentauliahkan satu perang salib yang dinamakan ‘Operation Infinite Justice’ ataupun ‘Operation Enduring Freedom’, kita di Dunia Ketika merasakan lebih kuat lagi gegaran ketakutannya. Kerana kita faham ‘infinite justice’ kepada segelintir manusia adalah juga ‘infinite justice (keadilan yang abadi) kepada orang lain juga. Begitu juga kita faham betapa ‘Enduring Freedom’ (Nikmat Kebebasan) untuk segelintir manusia bererti ‘Enduring Subjugation’ (Bahana Penindasan) kepada orang lain.

Pakatan Antarabangsa Terhadap Keganasan ialah satu bentuk muslihat politik di kalangan negara kaya di dunia. Bukankah mereka yang membuat dan menjual segala jenis senjata perang, mereka mempunyai simpanan senjata penghapusan mega – senjata kimia, biologi dan nuklear. Mereka telah bergiat dalam banyak peperangan dan bertanggungjawab dengan kebanyakan keganasan, penindasan, pemusnahan etnik, dan pencerobohan hak asasi manusia dalam sejarah tamadun ini, dan telah menaja, melengkapi dan mengongkosi tidak terhitung banyaknya diktator dan despot.. Antara mereka memang sudah ramai yang mendewakan sehingga taksub; segala keiblisan, keganasan dan peperangan. Walau pun wujud segala dosa yang meremukkan perasaan, puak Taliban masih tidak seangkatan dengan segala syaitan ini.

Warisan Perang

Apabila kerajaan Amerika menamakan peperangan mereka sebagai ‘Operation Infinite Justice’ ataupun ‘Operation Enduring Freedom’, kita di Dunia Ketiga merasakan gegaran ketakutannya. Ini adalah disebabkan hukuman ‘infinite justice’ untuk segelintir manusia membawa makna hukuman yang sama kepada orang lain.

Puak Taliban telah terjebak dengan suasana keruntuhan segala porak-peranda, najis dadah dan jerangkap samar yang merupakan ekoran zaman Perang Dingin.  Pemimpin mereka yang tua sudah pun berusia sekitar empat puluhan. Ramai yang cacat dan menghadapi  kehilangan anggota seperti buta sebelah mata, kudung tangan ataupun kakinya. Mereka telah hidup dalam satu masyarakat yang sungguh tercalar dan tercakar oleh kemusnahan perang. Antara Amerika dan Soviet Russia dan sepanjang 20 tahun tempohnya, sekitar $45 billion dollar telah dihamburkan untuk membeli senjata keluaran mereka untuk diguna memusnahkan Afghanistan. Senjata yang paling tercanggih merupakan satu cebisan lambang kemodenan yang berjaya memasuki gerbang kehidupan masyarakat zaman pertengahan yang kuno dan tebal fahaman lamanya. Anak-anak muda lelaki yang kebanyakannya sudah yatim piatu yang membesar di zaman itu menggunakan senjata sebagai mainan mereka tanpa mengetahui apa erti keselamatan dan keenakan hidup berkeluarga, dan tanpa memahami keibuan dan kemesraan kaum hawa. Kini, sebagai pemimpin dan lelaki yang baligh dan dewasa, puak Taliban hanya tahu membelasah, merejam dengan batu, merogol dan menganiayai wanita, kerana mereka tidak tahu apa lagi yang boleh dilakukan dengan  kaum wanita. Peperangan yang bertahun lamanya, telah menafikan mereka perasaan berlembut, getaran kasih sayang dan kelembutan kemanusiaan yang penuh kemesraan. Mereka menari mengikut getaran bom yang meledak dan menghunjam bumi persekitaran mereka. Kini mereka berpaling arah daripada segala kemomokan itu terhadap bangsa mereka sendiri.

Yang Dilanyak Menjadi Debu

Satu setengah juta manusia kehilangan nyawa selama 20 tahun terjalinnya pertembungan yang meledak sebelum peperangan yang terbaru ini. Afghanistan hancur menjadi runtuhan batu-batan yang kini ditumbuk lumat untuk menjadi debu. Pada hari kedua pengeboman dilancarkan, juruterbang Amerika pulang ke pengkalan mereka kerana ketiadaan sasaran untuk menjatuhkan bom yang mereka bawa. Seperti yang disebut oleh seorang jururuterbang, Afghanistan “bukannya mempunyai sasaran untuk diserang” Pada satu sidang akhbar di Pentagon, Donald Rumsfeld, Setiausaha Pertahanan AS telah ditanya apakah Amerika
sudah kehabisan sasaran untuk diserang..

“Mula-mula kita mahu serang sasaran,” katanya, “dan kedua kita tidak kehabisan sasaran, Afghanistan yang tidak ada sasaran itu...” Ini yang disambut dengan ketawa besar di majlis itu.

Pada hari ketiga, Jabatan Pertahanan AS telah berlagak angkuh betapa ia sudah pun mencapai tahap ketuanan ke atas Afghanistan” (Apakah mereka sudah pun menghancurkan dan memusnahkan juga ataupun semua 16 buah pesawat juang Afghanistan?)

Bermacam laporan sudah tersebar luas mengenai kecederaan orang awam dan mengenai bandar yang kosong setelah rakyat Afghan meluru ke garisan sempadan yang telah pun tertutup. Jalan besar sudah pun ditutup ataupun dimusnahkan. Mereka yang berpengalaman bertugas di Afghanistan berkata betapa pada awal November, konvoi mengangkut makanan tidak lagi dapat mendekati 7.5 juta Afghan (mengikut taksiran PBB) yang akan hidup terpencil dan kelaparan disebabkan musim sejuk. Mereka berkata pada hari-hari yang mendekati musim sejuk ini, sama ada peperangan diteruskan ataupun diusahakan mengagih makanan kepada yang kebuluran. Hanya satu sahaja rencana itu dan bukan keduanya.

Perlumbaan Menderma Secara Menyindir

Sebagai satu tanda mereka berperikemanusiaan, kerajaan AS telah menggugurkan 37,000 paket makanan kecemasan di Afghanistan. Ia menyebut mahu menggugurkan sejumlah 500,000 paket. Ini adalah bersamaan dengan satu hidangan makan kepada setengah juta penduduk daripada jumlah berjuta yang memerlukan makanan itu. Kerana itu petugas pertubuhan bantuan telah mengutuk sumbangan itu sebagai bersifat menyindir, berbahaya walau pun Amerika menganggapnya sebagai satu proses kebajikan masyarakat. Mereka mengatakan usaha pengagihan cara itu adalah kerja sia-sia. Pertama, bekalan makanan itu tidak akan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukannya.. Kedua, yang lebih berbahaya, mereka yang berlari mendapatkan bungkusan makanan itu menghadapi risiko terjebak kepada jerangkap samar yang terbenam dan menjadi satu perlumbaan sumbangan yang tragis pula.

Namun demikian, paket makanan itu mengandungi maklumat yang penuh propaganda. Isiannya telah disiarkan dalam akhbar perdana. Kita diberitahu hidangan makanan adalah bercorak makanan ‘vegeterian’ (tanpa daging) dan halal. Setiap paket mengandungi sehelai bendera Amerika (untuk sapu mulut selepas makan, kerana ketiadaan air; tetapi mungkin ada yang gunakan untuk sapu tempat lain, kalau ketiadaan air juga – penterjemah). Kemudian terdapat sebungkus beras, mentega kekacang, salad kekacang, jam strawberry, keropok, raisins (anggur kecut), apple fruit bar, perasa, mancis, sepasang garpu dan sudu, sehelai kertas pengelap dan kertas panduan yang bergambar.

Selepas tiga tahun kemarau panjang, muncul pula taburan bekalan makanan dari udara di Jalalabad! Inilah dia satu pencemaran budaya, kerana kegagalan memahami perasaan apa yang telah terjadi sepanjang masa manusia kelaparan dan dihantui kemiskinan sebenarnya. Usaha kerajaan Amerika untuk menggunakan kesengsaraan ini untuk menonjolkan watak dan ketokohan mereka adalah satu tindakan seolah-olah mereka mahukan ketrampilan martabat itu dengan cara meminta sedekah.

Cuba kita terbalikkan senario itu sebentar. Bayangkan pula kalaulah kerana Taliban yang meledakkan bom di New York City, sambil menyebut selama itu bahawa sasaran mereka ialah kerajaan Amerika dan segala dasarnya. Bayangkan kalau sepanjang pengeboman itu kerajaan Taliban menggugurkan bungkusan roti Nan dan kebab yang dibalut  dengan cantik dengan bendera Afghanistan. Mampukah rakyat Amerika merasa lega hati mereka dan mengampunkan kerajaan Afghan? Katakanlah mereka memang lapar, dan amat memerlukan makanan yang digugurkan itu, dan membuka setiap paket dan memakannya, mampukah mereka melupakan segala pengaiban yang diterima? Rudy Giuliani, datokbandar New York City, telah memulangkan hadiah bernilai $10 juta dollar daripada seorang putera Saudi kerana ia datang dengan iringan sedikit perkataan yang berupa nasihat terhadap dasar Amerika di Timur Tengah. Apakah keangkuhan itu satu kenikmatan yang hanya menjadi hak orang yang kaya raya sahaja?

Apa Akhirnya ?

Di bahagian dunia sebelah sini kita perlu membuka telinga untuk mendengar getaran dan dengungannya yang muncul daripada rebana kemarahan manusia. Tolonglah, hentikan peperangan ini.

Kalau tidak mahu menghentikannya, sikap menyemarakkan kemarahan ini akan mencetuskan pelbagai bentuk keganasan lagi. Kebencian dan balasan tidak akan bersedia masuk kembali kotak pemerapannya selepas is terbuka. Bagi setiap ‘pejuang’  dan pengikut dan penyokongnya yang terkorban, ratusan manusia yang tidak berdosa menjadi mangsa juga. Untuk setiap ratusan manusia tidak berdosa yang terbunuh, besar kemungkinan beberapa bakal pejuang akan dilahirkan.

Ini tidak bermaksud bahawa mereka yang melaksanakan serangan udara pada September 11 itu tidak boleh dihambat dan ditangkap. Mereka perlu dicari (kalau belum lagi mati – penterjemah). Tetapi, apakah peperangan itu jalan yang terbaik mengesan mereka? Apakah disebabkan seekor nyamuk, kelambu yang baru mesti dibakar? Apakah kemungkinan kemarahan itu yang membuatkan dunia ini satu tempat yang tidak menyenangkan hidup kita?

Presiden George Bush baru-baru ini berlagak sombong; “Apabila saya bertindak, takkan saya melancarkan satu peluru berpandu berharga $2 juta dollar arah satu khemah kosong yang berharga $10 dollar dan mengena punggung seekor unta. Tindakan saya akan merupakan sesuatu yang menepati sasarannya.” Sepatutnya Presiden Bush sudah lama sedar tidak ada satu sasaran di Afghanistan yang berbaloi ditembak dengan peluru berpandu yang sungguh mahal harganya itu. Mungkin untuk menjimatkan belanja, dia harus mengeluarkan peluru yang lebih murah harganya untuk menembak sasaran yang murah harganya di negara miskin (tetapi itu pun kerja yang tidak akan memuaskan nafsu pengeluar senjata blok pakatan bersatu).

Kemarahan Yang Bercambah

Setiap hari peperangan itu dibiarkan berlanjutan, kemarahan yang membuak itu akan terus bercambah bebas di dunia ini.

Pasanglah telinga di bahagian rantau ini, dan anda akan mendengar rentakan pukulan kemarahan manusia. Tolonglah, hentikan peperangan ini sekarang, Terlalu ramai manusia yang terkorban. Peluru berpandu yang pintar itu belum cukup pintar lagi.  Semuanya diledak untuk membebaskan kemarahan yang terpendam.

Kepada masyarakat Amerika yang baru sedar betapa aibnya apabila martabat dan maruah diri tercemar dan tercedera, yang kehilangan orang yang tersayang dengan kejamnya, kebodohan pendapat dalam “pertembungan ketemadunan” dan “Yang Baik mln. Yang jahat’ merupakan perbincangan yang akan membuatkan ramai lagi keliru. Mereka kerap menerima sokongan sindiran daripada jurucakap kerajaan laksana suntikan harian vitamin dan ubat pelega. Perubatan biasa itu menentukan tanah besar Amerika akan terus mengekalkan satu enigma betapa rakyat Amerika pada keseluruhannya merupakan manusia yang sempit fikirannya, yang ditadbir oleh kerajaan yang bercampur baur dengan mereka yang memang amat suka menjaga tepi kain orang lain.

Bagaimana pula dengan kita yang tidak terdaya menepis bermacam bentuk propaganda yang tidak dapat diterima oleh akal kita? Memang tidak banyak bezanya kalau dinilai segala makanan yang digugurkan setiap hari di Afghanistan itu dengan propaganda yang kita baca dan dengari. Patutkah kita menoleh tempat lain ataupun makan sahaja disebabkan kita terlalu lapar? Ataupun apakah kita harus terus menonton wayang propaganda yang disiarkan setiap hari sehingga satu ketika kita beramai-ramai akan bangkit dan menyuarakan bantahan kerana sudah lama tidak tahan?

Apabila tahun pertama millennium baru melangkah dengan laju untuk menutup tirainya, tentu kita terfikirkan apakah kita kehilangan hak untuk memimpikan sesuatu? Mampukah kita melakarkan bayangan bagaimana rupanya keindahan itu? Mampukah kita membuang masa  bersantai melihatkan kerlipan mata seekor cicak yang baru lahir di siang hari, ataupun membayangkan bisikan cencorot yang membisik sesuatu di telinga tanpa memikirkan menara Dewan Dagang Dunia dan Afghanistan?

Terjemahan oleh SPAR

Hits: