Anggota Tanpa Jasad 

Bahagian 6

Nisbah penggunaan dadah dunia berbanding pengeluaran di Afghanistan

Amalan ekonomi di zaman ini, menunjukkan betapa setiap bekalan itu diasaskan oleh keperluannya. Pengeluaran najis-dadah di mana juga mampu memenuhi keperluannya. Pasaran sejagat adalah mengambilkira negara miskin dan lebih maju seperti India, Belanda, AS dan sebagainya. Mengikut laporan PBB pada 2000, pada akhir 90-an, dianggarkan 180 juta manusia menggunakan najis-dadah. Laporan itu juga mencatatkan bahawa 90% candu haram dikeluarkan oleh dua negara termasuk Afghanistan, yang menghasilkan 80% keluaran heroin dunia. Sekali lagi, 50% dadah narkotik dikeluarkan oleh Afghanistan. Anda mungkin memikirkan seandainya 50% itu bersamaan dengan setengah bilion dollar, makanya nilai dadah yang naik harga sehingga satu bilion setahun di pasaran dunia itu; tetapi itu bukan yang sebenarnya. Kenapa?

Walau pun Afghanistan meraih dagangan sebanyak setengah bilion, pusingan tahunannya adalah sekitar 80 bilion dollar sahaja. Dalam perjalanannya ke destinasi pelusok dunia, harga tambahannya naik mencanak sehingga 160 kali ganda. Siapakah yang menerima habuan 80 bilion itu?

Sebagai contoh, heroin dibawa masuk Tajikistan pada satu harga tetap dan keluar pada harga dua kali ganda. Begitu halnya di Uzbekistan. Apabila dadah itu tiba di Belanda, harganya sudah naik 160 hingga 200 kali ganda harganya yang asal. Wang itu jatuh ke tangan pelbagai kumpulan mafia yang memutarbelitkan politik setiap negara yang dilalui oleh najis-dadah itu.

Belanjawan rahsia kebanyakan negara Asia Tengah adalah pemberian peruntukan raja dadah. Jika tidak, bagaimanakah para penyeludup yang berjalan kaki begitu jauh daripada Kandahar sebagai contohnya, menjadi penerima pertama kekayaan itu? Bagaimanakah kita menganggap mereka itu sebagai penyeludup sebenar najis-dadah itu?

Kalau tidak kerana harga dadah yang sungguh menguntungkan, Iran sebagai contoh lagi, mampu mengarahkan setengah bilion bijiran gandum dihantar memasuki Afghanistan sebagai bekalan alternatif untuk membolehkan para petani menanam biji poppy. Yang peliknya seorang pengeluar dadah Afghan tidak pun menggunakan barangannya. Penggunaan dadah amat ditegah, tetapi pengeluarannya tidak mengapa pula. Dalil keagamaannya ialah mengirimkan racun berbisa kepada musuh Islam di Eropah dan Amerika. Inilah satu paradoks apabila diambil kira kepentingan ekonomi najis-dadah itu pada belanjawan negara Afghanistan.

Jumlah pusingan hasil najis-dadah di dunia ini ialah sekitar $400 bilion dollar dan Afghan menjadi mangsa pasaran ini. Kenapakah saham Afghanistan dalam industri ini hanya setakat 1/800 sahaja? Apa pun jawapannya, dunia memerlukan satu tempat yang tidak mendesak sumbangannya tetapi boleh dijadikan jambangan indah kepada pengeluaran dadah. Kalaulah ada jalan di Afghanistan selain lorong yang samar-samar rupanya, ataupun kalaulah peperangan itu tamat membolehkan ekonomi mekar bercambah dan banyak lagi insentif untuk menggantikan setengah bilion dollar, apa jadinya kepada pasaran dunia bernilai 400 bilion dollar itu?

Pada September 2000, ketika aku pulang daripada Kandahar, aku berjumpa gabenor Khorasan yang dalam perjalanan ke Tehran. Dia memberitahu apabila candu berharga 50 dollar di Herat, di Mashad ia berharga 250 dollar. Apabila usaha membanteras penyeludupan digalakkan, harganya yang mahal itu menurun menjadi murah pula. Sebagai contohnya, kalau harga di Mashad mencecah 500 dollar, di Herat harganya turun sehingga 75 dollar sahaja. Ini adalah disebabkan keadaan kemiskinan dan kebuluran yang menghenyak kehidupan. Seekor bebiri Afghan yang berharga 20 dollar seekor kemudian dijual dengan harga satu dollar sahaja di sempadan. Tetapi oleh kerana ternakan itu sakit, tidak ada pasarannya dan sempadan itu memang mengawal ketat kemasukan haram kambing bebiri memasuki Iran.

Walau pun bijian poppy tidak membawa kepentingan fundamental seperti minyak sebagai sumber kekayaan Afghanistan, ia masih dianggap sama taraf nilainya dengan minyak. Yang lebih penting lagi, peruntukan belanjawan rahsia di negara Asia Tengah disediakan melalui najis dadah. Ini membawa makna adanya insentif kuat untuk dunia ini mengambil sikap tidak acuh kepada keadaan ekonomi Afghanistan yang sungguh teruk itu. Apa perlunya Afghanistan menjadi stabil? Bagaimana ia mampu menggantikan sumbangan 80 billion dollar yang dicernakannya terus daripada hasil buminya?

Perniagaan najis-dadah memang menyeronokkan banyak pihak. Beberapa bulan yang lalu aku berada di Afghanistan, dan ketika itu aku diberitahu setiap hari ada sebuah pesawat yang sarat diisi najis-dadah terbang keluar terus menuju negara Teluk Parsi. Pada 1986, ketika membuat kajian untuk pembikinan ‘The Cyclist,’ aku telah berkereta daripada Mirjaveh di Pakistan menuju Quetta dan Peshawar di Pakistan. Perjalanan itu memakan beberapa hari. Apabila tiba di Mirjaveh, aku menaiki sebuah bas yang sungguh berwarna-warni, yang sama aku gambarkan dalam ‘The Cyclist’. Bas itu sarat dengan muatan pelbagai jenis manusia. Ada yang berjanggut panjang, serban melilit kepalanya dan pakaian yang labuh menjela.

Pada mulanya, aku tidak pun sedar bahawa di bumbung bas, barangan yang terbesar ialah dadah. Bas itu menyusuri lorong berdebu tanpa jalan raya. Sana-sini semuanya berdebu dan ada kalanya roda pun boleh terbenam di bahagian tanah yang lembut. Kami tiba di satu pintu gerbang yang mengkhayalkan laksana lakaran yang terdapat di sebuah lukisan ciptaan Dali (seorang pelukis surealis Itali yang di saat akhir hayatnya menggantung gelas minuman untuk menghiasi pakaian rasmi jamuan malam - penterjemah). Inilah pintu gerbang yang tidak ada kaitannya dengan apa-apa. Ia hanya merupakan satu gerbang khayalan yang dibina di tengah padang pasir. Bas itu berhenti di pintu gerbang itu. Kemudian muncul sekumpulan penunggang basikal yang meminta pemandu bas turun. Mereka berbincang seketika dan menunjukkan satu guni wang (Afghani) dan menghitungnya bersama dengan pemandu bas itu. Dua orang antara penunggang basikal itu naik dan mengendalikan bas itu. Pemandu asal bas dan pembantunya mengambil karung berisi wang tadi dan menghilang dengan basikalnya. Pemandu bas yang baru itu kemudiannya membuat pengumuman bahawa dia sudah menjadi pemilik baru bas itu dan segala yang berada di dalamnya. Barulah kami tahu, bersama dengan bas itu dan kandungannya, kami juga telah dijual sama.

Transaksi begini berulang lagi setiap beberapa jam dan kami turut dijual kepada beberapa penyeludup. Rupanya setiap harakat perjalanan itu ada pasukan ataupun kumpulan yang khusus mengawalnya dan setiap kali bas itu dijual, harganya naik lagi. Mula-mula ia hanya satu guni wang yang dibabitkan, kemudian ia bertambah menjadi dua ataupun tiga di tahap akhirnya. Kami juga dapat melihat kafilah unta yang membawa muatan mesingan berat jenis ‘Dhuska’. Kalaulah tiada bas yang kami tumpangi dan kafilah unta yang membawa muatan mesingan yang berat tadi, kita dapat merasakan bahawa kami betul-betul merasakan pengalaman hidup di zaman purba. Kemudian, kami sampai juga lagi ke tempat jual beli senjata. Peluru dijual dalam karung seolah-olah semuanya adalah kekacang jualan borong. Peluru yang dipilih ditimbang kilo untuk dibayar duitnya. Bagaimanakah dagangan najis-dadah dunia dapat berurusan seandainya keadaan dagang seperti ini tidak diwujudkan?

Aku pernah pergi ke Khorasan di bahagian sempadan mencari lokasi untuk penggambaran. Bila matahari terbenam, penduduk kampung di kawasan itu bersiap sedia untuk dipindahkan. Mereka lari ke arah bandar kerana takutkan kedatangan penyeludup. Mereka turut menasihati kami akan beredar dari situ. Desas-desus bahayanya tempat itu begitu meluas sehinggakan tidak banyak kereta yang berani berada di sana menjelang matahari terbenam. Apabila kegelapan malam tiba, jalan raya itu sudah bersedia mengalukan ketibaan barisan kafilah penyeludupan. Mengikut orang yang pernah menyaksikannya, setiap rombongan kafilah itu mengandungi kumpulan yang dianggotai antara lima hingga 100 manusia. Umur mereka adalah sekitar 12 hingga 30 tahun. Setiap kumpulan membawa karung dadah di bahagian belakang mereka dan ada juga yang berbekalkan pelancar grened dan Kalashnikov untuk mengawal keselamatan kafilah mereka.

Seandainya najis-dadah itu tidak diterbangkan, mereka menggunakan kontena, dan kalau perlu najis-dadah itu diangkut menggunakan baghal. Bayangkan warna-warni peristiwa yang dilalui oleh kafilah ini daripada satu negara ke satu negara jirannya, sehinggalah sebagai contoh, mereka tiba di Amsterdam (Belanda). Bayangkan pula ketakutan dan kengerian yang mereka cetuskan di kalangan manusia yang menghuni pelbagai wilayah semata-mata untuk mengekalkan perdagangan bernilai 80 billion dollar.

Aku pernah bertanya seorang pegawai di Taibad, akan jumlah pembunuhan yang dilakukan oleh para penyeludup. Mereka menyebut angka 105 sebagai mereka yang mati dibunuh ataupun diculik dalam dua tahun. Lebih 80 orang yang diculik dulu telah dilepaskan. Aku pun mencongak dan membahagikan 105 kepada 104 minggu dalam dua tahun itu. Ia bersamaan dengan seorang insan setiap minggu. Aku terfikir, kalaulah angka sebanyak ini menyebabkan sesuatu kawasan itu begitu berbahaya untuk dihuni di malam hari dan terpaksa lari bermalam di bandar lain, bagaimanakah kita boleh mengharapkan orang Afghanistan boleh menetap di negara mereka? Sejak dua puluh tahun dulu, mereka mengalami satu pembunuhan untuk setiap lima minit. Patutkah mereka menetap di Afghanistan dan tidak berhijrah ke negara lain? Bagaimana pula fikiran kita kalau menghalau mereka, keadaan keselamatan yang tidak menentu di Afghanistan itu tidak membuatkan mereka muncul semula di tempat kita?

Aku pernah bertanya beberapa pegawai yang bertugas di jalan raya, sebab musabab berlakunya penculikan dan pembunuhan. Rupanya rombongan kafilah di sebelah sempadan Iran itu berurusan dengan orang kampung.. Apabila seorang penyeludup Iran tidak membayar balik wang menepati masanya, dia ataupun salah seorang ahli keluarganya diculik dan akan dibebaskan setelah hutang itu dibayar semula. Barulah aku sedar betapa keganasan seperti ini mempunyai nilai asas ekonominya. Berhampiran sempadan Dogharoon, agen kastam pernah menyebut betapa wilayah itu sudah menjadi kawasan berbahaya selama lapan tahun, tetapi akhbar sudah mula melaporkannya untuk dua tahun sahaja. Sebab munculnya berita itu adalah kerana wujudnya kebebasan melaporkan berita yang baru meledak di kalangan akhbar di Iran.

Bersambung ke bahagian 7

Terjemahan SPAR

Hits: .