Pelarian Berpusu  Di Sempadan, Orang Lain Kita  Tuduhkan 
(As the Refugees Crowd the Borders, We’ll  Be Blaming Someone Else)

Robert  Fisk

‘Memang jelas  mereka tidak lari meninggalkan Taliban tetapi  kerana takutkan bom dan peluru berpandu.

Anak lelaki Mullah Mohammed Omar yang berusia 10-tahun sudah pun mati. Mengikut cerita para pelarian Afghan, dia  melarikan diri  daripada Kandahar, dibawa  ke  sebuah salah satu hospital yang  teruk rosaknya oleh ayahnya yang merupakan ‘Amirulmukmin’ puak Taliban. Tetapi, budak itu yang  diangkut  dengan kereta  milik  ayahnya  telah diserang oleh pesawat perang Amerika dan  mati dengan luka yang ditanggungnya.

Tidak ada sesalan dalam hal itu.. Begitu juga pada  1985,  ketika pesawat perang Amerika mengbom Libya, mereka telah memusnahkan  anak angkat-perempuan  Kolonel Muamar Gadaffi yang baru berusia  6 tahun.  Tidak ada sesalan dalam hal itu. Pada  1992, seorang juruterbang Israel  yang  memandu   helikopter Apache  buatan Amerika  telah menggunakan peluru  berpandu  bikinan Amerika untuk menembak Said Abbas Moussawi, ketua tentera gurilla Hizbollah, di Lebanon.  Turut terbunuh   anak lelaki  Moussawi yang berusia 10 tahun  ketika  itu.

Apakah  anak-anak yang tidak berdosa  mesti menerima kematian dalam pelukan ayah mereka dan di depan mata  kita  - dan  tidak ada  sesiapa yang menyesalnya.  Kalau hidup bersandarkan pedang, mati pun dengan mata pedang,  soalnya sekarang si anak pun kena bahananya.  Pada  1991  dulu,  akhbar ‘the independent’  telah mendedahkan serangan tentera Amerika  di  Peperangan Teluk  yang menjahanamkan  kubu perlindungan keluarga Saddam Hussein  - dan keluarga  para  penyokong kuat beliau.  Ketika  itu  yang turut dibunuh oleh serangan Amerika itu ialah lebih 300  manusia  yang berselindung di Ameriya, Baghdad.  Bukannya  anak-anak Saddam, tetapi  manusia  biasa.  Kini, Presiden George Bush sudah pun meluluskan  satu arahan kepada CIA  untuk membunuh Osama bin Laden. Alangkah aibnya perkara  ini, seolah-olah dasar yang sama   dipakai lagi?

Bilangan yang tercedera semakin  meninggi. Kita sudah mendengar kisah   pilu betapa rakyat di Kandahar  tertanam di bawah runtuhan batu, dan kanak-kanak yang bersepai dihunjam  bom Amerika yang meledak berkecai-kecai. Puak Taliban masih  menegah wartawan asing melawat tempat itu  untuk mengesahkan tragedi yang berlaku,  melegakan Amerika  kerana orang luar tidak akan tahu.  Jadi, apabila  wartawan TV berjaya  menjumpai  18 buah  kubur yang baru di kampung Khorum  di  pinggir  Jalalabad  kira-kira satu minggu yang lalu, Setiausaha Pertahanan  Donald Rumsfeld  masih lagi   mempersendakan  kematian itu sebagai berita karut.  Saya fikir  dia tidak akan  dapat  mengarut  lebih lama  lagi.

Kalaulah setiap peperangan yang dicetuskan itu  bertujuan  membawa  keadilan yang abadi dan   kebebasan berpanjangan, mempunyai   corak  yang sama – di mana   Amerika menunjukkan kehebatannya di udara, dengan menindas keupayaan lawan kerana  kehebatan radarnya, setiap peperangan itu masih  memaparkan  beberapa  musibah  yang tidak diduga. Pada 1999,  NATO mendakwa ia   terpaksa berperang  untuk membantu pelarian Albania-Kosovo pulang ke kampung halaman mereka – sedangkan  kebanyakan  pelarian  itu masih lagi berkumpul di kampung halaman  sendiri, ketika  peperangan itu  diisytiharkan. Kerana pengeboman  ke atas Serbia  yang membuatkan mereka kehilangan kampung halaman itu. NATO sebenarnya bertanggungjawab kerana  keperitan mereka, kerana Serbia memberi jaminan untuk bertindak terhadap  puak Albania  kerana  keganasan pasukan NATO. Namun, kisah pembasmian kaum telah  disalurkan  ke atas puak  Serbia pimpinan Slobodan Milosevic. (Kini, rakyat Amerika pun sedar  projek  mengganyang  yang ditaja  oleh NATO itu adalah muslihat pentadbiran Clinton  melencongkan kisah nafsu-syahwatnya dengan Monica Lewinsky – penterjemah).

Kali ini, tipu muslihat  NATO tidak akan  dapat memukau lagi.  Apabila  ribuan pelarian Afghan  berpusu-pusu  di  sempadan, semakin jelas  bahawa mereka bukannya melarikan diri daripada serangan Taliban tetapi  mereka mahu mengelakkan  serangan bom dan peluru berpandu   kepunyaan AMERIKA. Takkan tergamak   puak Taliban  melancarkan pembasmian etnik  bangsanya  sendiri.  Para pelarian  bercakap akan ketakutan  dan kengerian serangan bom kita yang mengena  bandar dan kediaman mereka. Mereka itu  menjadi gugup kerana “peperangan  membasmi keganasan”  kita. Mereka adalah  manusia yang tidak berdosa yang menjadi  mangsa persis mereka yang mati  di Pusat Dagang Dunia pada  11 September. Ke manakah kita selepas ini?

Inilah satu  soalan yang penting, kerana, apabila  angin pekat musim sejuk mula berhembus di  banjaran pergunungan  Afghanistan, akan bermula  nanti satu tragedi,  yang tidak mampu dihindari oleh setiap  tukang  canang dan  tukang telek, lagi.  Kita akan berkata betapa  ribuan  yang akan mati itu  adalah mangsa  kebuluran dan kesejukan  yang sengaja dimangsakan  oleh kedegilan Taliban.  Ataupun mereka mati kerana sikap keganasan Taliban  yang sengaja  telah merampas dan mencuri bekalan makanan  yang digugurkan.

Saya ingin membuat pengakuan – setelah  diasak oleh  propaganda Israel  mengenai penggunaan perkataan ‘keganasan’ setiap kali  seorang Palestine  membaling seketul batu terhadap orang  yang  menakluk tanah halaman mereka – sehinggakan  saya  dapati perkataan ‘keganasan’ yang ditonjolkan oleh Israel itu  sudah  menjadi  satu kepalsuan yang berbau fahaman rasis.  Walau pun kita  kerap disogokkan frasa  ‘Peperangan  terhadap keganasan” yang ditaja oleh BBC  dan CNN, keadaan sebenarnya adalah  amat  berbeza.  Kita bukannya merancang untuk menyerang  pasukan  berani mati Tamil  Tigers  ataupun  pembunuh ETA ataupun Real IRA atau gerila  KDP Kurdish.  Sedangkan,  AS telah  berbelanja besar menyokong   para pengganas di Latin Amerika, terutama  puak Contara yang masih boleh kita ingat lagi.  Bagaimana pula dengan sokongan  AS dan  bantuan  wang dan kelengkapan perang yang diberikannya  dulu kepada Taliban, yang kini mahu dimusnahkannya?  Seperti yang pernah saya katakan  dahulu, inilah dia peperangan  terhadap  musuh Amerika. Apabila tarikh 11 September itu semakin  dihayun untuk menjadi satu  tarikh keramat, kita sebenarnya  menuntut  balas  terhadap jenayah yang  menyanggah kemanusiaan di New York dan Washington. Tetapi tidak pula  kita  sibuk mewujudkan satu mahkamah tribunal untuk mengadili  mereka  yang  bertanggungjawab.

Angka 6,000 itu  masih  menjadi  perkiraan  yang  menakjubkan walau pun peristiwa itu sudah lama  berlalu.  Tetapi apa  jadinya apabila angka  yang  mati kerana kita penyebabnya   semakin meninggi   menjadi sama  banyaknya?  Para pelarian  telah memberitahu saya  di  kawasan sempadan Pakistan  betapa jumlah  yang mati disebabkan pengeboman di Afghanistan  sudah   meningkat tinggi, daripada  berdozen hingga beratus dan terus  meninggi. Apabila  pertubuhan  PBB  membuat laporan  mereka yang mati kebuluran dan  yang malang kerana lari  dari serangan bom, masanya tidak akan mengambil lama  untuk angka 6,000  keluar menjelma.  Cukupkah  nanti angka itu?   Bolehkah 12,000 kematian orang Afghan  melegakan  perasaan marah  kita, sedangkan mereka  tidak ada  kena mengena dengan Taliban ataupun Osama bin Laden? Bagaimana pula dengan 24,000 orang? Kalau kita fikir  kita  tahu apakah  tujuan sebenarnya kita  berperang membasmikan keganasan itu, apakah kita mempunyai keupayaan  berfikiran waras?

Memang pasti, kita akan  menuduh  puak Taliban kerana  tragedi  yang akan terjadi. Seperti  caranya kita menuduh mereka  kerana pengeksportan  najis- dadah daripada Afghanistan. Tony Blair  telah menunjukkan  keghairahan  menyebut pembabitan Taliban dengan  najis-dadah. Dan kita  mempercayainya sambil melupakan  wujudnya  satu pengumuman daripada  UN Drug Control Program (Program kawalan dadah PBB) minggu lalu betapa pengeluaran dadah di Afghanistan sudah menurun sehingga  94 persen, terutama sekali kerana  ketabahan Mullah Omar  mengetatkan kawalan di  kawasan pentadbiran Taliban. Kebanyakan  keluaran  ‘opium’ (candu dadah) di Afghanistan, seperti yang anda teka dengan tepatnya -  ditaja  oleh   sahabat kita  di  Pakatan  Utara.  (ha.ha.ha.  inilah kumpulan  yang  digembar-gemburkan oleh TV Mahathir sebagai  kumpulan wira  yang gemilang dan disokong oleh kerajaan  Malaysia.  Duta  Afghanistan di  Malaysia datangnya daripada kumpulan dadah  ini – penterjemah.)

Peperangan kali ini, kalau mengikut  anggaran Mr. Bush  adalah  sesuatu yang “tidak pernah terjadi sebelum ini” -  tetapi  tidak juga mengikut  yang dia  fikirkan. Peperangan ini bukannya  mengenai keadilan, kerana  itu  bukan matlamatnya.  Tidak juga mengenai  kebebasan.  Peperangan ini  akan memuncak dengan kematian yang dahsyat  dan berganda  kengeriannya  apabila dibandingkan dengan  kengerian 11 September. Apakah kita mempunyai sebarang  rencana  menghadapinya?  Mampukah kita  memutarkan rentak kepalsuan “peperangan  memerangi keganasan”  menjadi satu peperangan  memerangi  kebuluran dan kemiskinan dan kematian, walau pun ini bermakna kita perlu menangguhkan dulu hari penentuan   untuk menghukum Osama bin Laden, yang telah kira rancang dulu?

Tamat. 

SPAR - 25.Oktober 01.

Hits: