Malaysia Ambil Jalan Tengah
Malaysia takes middle path

Oleh : Anil Netto 
(Dari Laman FAC)

Polis pencegah rusuhan menyuraikan satu perhimpunan besar orang-orang Islam yang berkumpul di luar pejabat kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pada petang Jumaat (12 Oktober) dengan pancutan air kimia selepas mereka membantah secara aman terhadap serangan ketenteraan di Afghanistan.

Laporan berita menganggarkan himpunan tersebut disertai seramai lebih kurang 3,000 orang tetapi Zulkifli Sulung, pengarang Harakah, akhbar rasmi pihak pembangkang PAS, memberitahu Asia Times Online bahawa laporannya mendapati himpunan tersebut hampir mencecah 10,000 orang.

Di antara kumpulan-kumpulan yang telah berhimpun di luar kedutaan tersebut adalah ahli-ahli PAS, wakil-wakil dari Pergerakan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jemaah Islah Malaysia atau JIM (sebuah kumpulan reformasi Islam), dan Persatuan Ulamak Malaysia (PUM).

Satu delegasi yang terdiri dari Presiden PAS Fadzil Noor, Timbalan Presiden Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS Nik Aziz kemudiannya menyerahkan memorandum kepada pegawai Kedutaan Amerika Syarikat itu. (Catatan Penterjemah : Pada hari penyerahan memorandum tersebut, Timbalan Presiden PAS dan Mursyidul Am PAS tidak ikut serta seperti yang dijadualkan dalam rancangan asal.)

“Ia sangat berjaya,” kata Zulkifli. “Mereka yang menyertai demonstrasi itu berpuas hati kerana telah dapat menyampaikan suara hati mereka kepada orang-orang Amerika bahawa mereka tidak menyenangi peperangan terhadap Afghanistan.”

Apa yang berlaku pada hari Jumaat itu merupakan satu bantahan perhimpunan yang terbesar setakat ini. Pada hari Khamis lebih kurang 80 orang dari sayap Pemuda Parti gabungan Pemerintah menyerahkan memorandum kepada kedutaan Amerika yang mengutuk tindakan serangan balas yang diterajui oleh Amerika.

Walau bagaimana pun, Zulkifli sendiri mempunyai kata-kata meyakinkan buat rakyat Amerika dan lain-lain warga asing di Malaysia. “Saya tidak fikir orang-orang Amerika di Malaysia perlu merasa takut. Kami tidak akan menyerang mereka,” beliau berkata. “Saya tidak fikir rakyat Malaysia, sekurang-kurangnya dari PAS, akan menyerang sesiapa pun. Tidak di Malaysia. Perasaan rendah diri dan kesopanan adalah sebahagian dari budaya Melayu.  Tidak ada sebab untuk mereka merasa takut di sini.”

Kerajaan Malaysia berada dalam sedikit kesulitan. Ia sedang bertindak dengan berhati-hati di dalam menangani secara bersungguh-sungguh mereka yang dikatakan menganggotai Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), manakala pada masa yang sama meyakinkan Washington yang ia tidak memberikan perlindungan kepada pengganas-pengganas.

Kumpulan-kumpulan Hak asasi telah mengkritik penahanan sebahagian dari ahli-ahli KMM di bawah Akta drakonian ISA, yang membenarkan penahanan tanpa dibicarakan. Enam lagi telah ditahan pada hari Rabu, membawa kepada jumlah 20 orang setakat ini, selain dari enam aktivis reformasi yang dituduh cuba untuk menggulingkan kerajaan. Namun hakikat bahawa kesemua 20 orang yang ditahan ini tidak dibawa ke muka pengadilan untuk dibicarakan telah tidak membenarkan peluang untuk menganggarkan sejauh mana, jika ada, ancaman yang diberikan oleh mereka.

Dengan ekonomi Malaysia yang menuju hampir kepada pertumbuhan sifar tahun ini, atau mungkin juga kemerosotan, Malaysia tidak mampu untuk menakutkan para pelabur dan pelancung. Kadar penginapan di sebuah hotel terkemuka di Pulau Pinang, sebagai contohnya, dikatakan kurang dari 30 peratus.

Buletin berita sebuah stesyen radio pada petang Jumaat menegaskan di luar kebiasaannya bahawa bantahan di luar pejabat kedutaan Amerika telah berjalan secara aman. Ini begitu ketara bezanya dengan gambaran pada masa-masa yang lalu terhadap peserta-peserta demonstrasi pembangkang yang melaungkan “reformasi” secara aman sebagai ‘perusuh-perusuh ganas’.

PAS, yang mendakwa mempunyai 800,000 ahli, sendiri telah membuat seruan jihad kepada para ahlinya. Namun parti tersebut mengambil tindakan yang berhati-hati yang boleh dikatakan pragmatik. Ia mengatakan definisi jihad merangkumi pelbagai bentuk tindakan, termasuk seruan terhadap keamanan, doa dan bantuan kewangan. Fadzil juga menafikan bahawa ahli-ahli PAS telah diarahkan untuk menyertai pasukan Taliban di Afghanistan. Namun beliau berkata bahawa parti tersebut tidak boleh menghalang mana-mana ahlinya yang mahu ke sana. “Sehingga kini, dari maklumat yang telah kami kumpulkan, tiada seorangpun dari ahli kami yang telah pergi ke Afghanistan,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Kerajaan Malaysia, bagi pihaknya, berkata ia tidak mengiktiraf seruan jihad oleh PAS itu, berhujah bahawa sebuah parti politik tidak boleh membuat deklarasi seperti itu. Ia mengatakan bahawa ahli-ahli PAS perlu berkerjasama dengan kerajaan Malaysia dalam meningkatkan status sosio-ekonomi umat Islam di Malaysia dari pergi menyertai misi berani mati ke Afghanistan.

Selain dari demonstrasi pada hari Jumaat itu, kedudukan Mahathir kelihatan kukuh buat masa ini apabila beliau mengambil langkah politik yang menjaga keseimbangan dalam keadaan yang berisiko tinggi sebagai salah seorang dari beberapa pemimpin Asia yang telah menyuarakan penentangan terhadap serangan secara rambang terhadap Afghanistan yang membawa kepada kehilangan nyawa orang-orang awam, sementara pada masa yang sama meyakinkan Washington bahawa Malaysia tetap tegas di dalam menentang keganasan


Terjemahan : SPAR.

Hits: