Tazkirah ( 24 ) : PERANAN SUFI DALAM GERAKAN ISLAM

Alhamdulillah. Segala Puji -pujian hanyasanya layak untuk Allah s.w.t. sahaja, Tuhan sekalian alam. Salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan keluarganya.

Umat Islam hari ini diuji oleh Allah s.w.t. dengan ujian yang begitu hebat sekali. Di Afghanistan, mereka diuji Allah s.w.t. dengan hujan-hujan bom tentera syaitan Kristian laknatullah. Di Palestin, mereka diuji Allah s.w.t. dengan serangan Yahudi laknatullah. Di Malaysia, kita diuji dengan propaganda Yahudi dan Nasrani untuk melemahkan kita. Kita juga berhadapan dengan Kaum Abdullah b. Ubaiy yang juga sekutu Yahudi dan Nasrani. Apakah tidak sama keadaannya semasa Rasulullah s.a.w. di Madinah, lebih-lebih lagi semasa peperangan Ahzab ? Saya hantarkan attachment ( sila lihat di bawah) untuk renungan kita bersama. Kedua-duanya adalah hamba Allah s.w.t. cuma yang satu diberi akal dan yang satu lagi tidak. Tetapi perbezaan yang besar mereka ialah satu hamba Allah yang melakukan syirik dan dosa manakala yang satu lagi sebaliknya. Renung-renungkanlah...... fikir-fikirkanlah!

Kita akan membicarakan dari buku ' PERANAN SUFI DALAM GERAKAN ISLAM ' dari mukasurat 1-5. Membicarakan bab 1, bicara kehidupan.

Bahagian Pertama : ERTI KEHIDUPAN.

Di sana terdapat suatu hakikat yang dijelmakan ke dalam kehidupan manusia, hakikat yang membawa pengertian kepada kehidupan itu sendiri, yang membentuk suatu persamaan dan nilai-nilai yang dihubungkan terus dengan roh dan jasadnya sekali, iaitu hakikat kewujudan. Penjelmaan manusia dalam kehidupan yang dibentuk melalui roh dan jasad, yang diberi kelebihan dengan akal fikiran merupakan makhluk yang paling majestik di antara makhluk-makhluk yang ada di atas dunia ini. Manusia bukan berasal dari jenis haiwan atau binatang ataupun dari jenis keturunanannya, kerana itulah manusia diberi kelebihan mengurus dan mentadbir segala rupa bentuk keadaan yang berkaitan dengan kehidupannya dan sesungguhnya manusia itu merupakan sebaik-baik kejadian yang dicipta oleh Allah.

Firman Allah Ta'ala: ( Terjemahan ) " Sesungguhnya Kami telah ciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian ". ( At-Tin : 4 )

Kewujudan dan kehidupan merupakan suatu hakikat yang berkaitan di antara satu sama lain yang dijelmakan secara bersama dan tidak boleh dipisahkan sama sekali.

Mengapa manusia diwujudkan oleh Allah di atas muka bumi ini? Mengapa manusia dicipta oleh Allah dan apakah pula matlamat dan tujuan sebenar dalam konsep penciptaan-Nya? Mengapa pula Allah menentukan beberapa kewajipan yang mesti dilaksanakan dan mesti dipatuhi oleh setiap manusia? Persoalan itu seharusnya menjadi perhatian dan renungan bersama kepada sekalian umat Islam, lebih-lebih lagi mereka berada di dalam perjuangan menegakkan ' Kalimah Suci ' dan ingin mendapatkan keredhaan ILAHI.

Hakikat sedemikian rupa akan terjawab apabila manusia menghayati betul-betul konsep kehidupan itu; sebab-sebab, kenapa, mengapa tujuan dan matlamat manusia itu diwujudkan! Sudah tentu di sana ada perkara-perkara yang sebenar berselindung di sebalik konsep kejadian manusia bahawa sebenarnya manusia mempunyai agendanya tersendiri untuk terus mara ke pusingan kedua selepas babak kematian yang datang menjelma nanti.

Rupa-rupanya kehidupan di atas dunia ini bukanlah suatu kehidupan yang kekal abadi, ianya adalah bersifat impermanent sahaja dan kehidupan di atas dunia ini merupakan suatu perjalanan menuju ke alam akhirat yang kekal abadi. Dunia ini adalah tempat persinggahan untuk berehat seketika, sementara menanti perjalanan di hari esok. Dunia ini adalah tempat bercucuk tanam untuk membuahkan hasilnya bagi menampung keperluan hidup.

Maka hakikat kewujudan juga membawa pengertian kepada kehidupan itu sendiri, bahawa manusia yang dicipta oleh Allah adalah untuk mengabdikan diri kepada-Nya dan beramal dengan segala tuntutan-Nya.

Firman Allah Ta'ala: ( Terjemahan ) " Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mengabdikan diri kepada Aku ( Allah )". ( Az-Zariyat : 56 )

1. KEHIDUPAN DI ALAM RAHIM

Kehidupan di alam rahim bermula apabila berlakunya hubungan klasik sejak zaman-berzaman di antara lelaki dan wanita. Sel-sel benih yang dihasilkan di antara kedua-dua makluk itu akan membentuk embryo ataupun janin di dalam rahim secara berperingkat.

Ianya telah dijelaskan di dalam sepotong hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas'ud r.a. ( Terjemahan ) ' Sesungguhnya seseorang itu dihimpunkan kejadiannya di dalam perut ibu selama empat puluh hari dalam bentuk air mani, kemudian berubah menjadi segumpal darah selama empat puluh hari, kemudian bertukar pula menjadi seketul daging selama empat puluh hari juga, lalu diutuskan malaikat untuk meniupkan roh dan dicatatkan  empat kalimat, iaitu: rezekinya, ajalnya, amalannya dan celaka atau bahagia '. ( Riwayat Bukhari dan Muslim )

Hadis ini menunjukkna betapa hebatnya kekuasaan dan kebesaran Allah yang menciptakan manusia dari setitis air yang hina. Proses kejadian ini mengambil masa beberapa lama, di mana ianya terbentuk menurut tabiat semula jadi setelah percantuman benih lelaki dan wanita di dalam rahim.

Hadis ini juga telah diperkuatkan lagi dengan firman Allah Ta'ala yang juga menyatakan tentang proses kejadian manusia secara berperingkat-peringkat.

Firman Allah Ta'ala: ( Terjemahan ) " Kemudian Kami jadikannya setitis air mani, untuk ( diletakkan ) ke dalam tempat yang teguh, dari air mani itu Kami jadikan segumpal darah, dari segumpal darah Kami jadikan pula seketul daging, dari seketul daging Kami jadikan tulang-belulang yang ditutup dengan daging, sesudah itu Kami jadikan makhluk yang lain. Maka dengan berkat Allah menjadikan ( manusia ) sebaik-baik kejadian ". ( Al-Mu'minun: 13-14 )

Proses kejadian manusia terbentuk secara berperingkat-peringkat yang telah ditentukan oleh Allah sejak azali lagi. Proses ini mengandungi tiga peringkat:

Pertama: Peringkat setitis air mani yang dipancarkan ke dalam rahim dan proses perubahan air mani ini mengambil masa selama empat puluh hari.

Kedua: Peringkat segumpal darah yang berubah daripada setitis mani mengambil masa selama empat puluh hari.

Ketiga: Peringkat seketul daging yang berubah dari segumpal darah yang juga mengambil masa selama empat puluh hari.

Proses pembentukan kejadian manusia mengambil masa selama seratus dua puluh hari atau empat bulan. Dalam tempuh ini, malaikat datang meniupkan roh untuk mencatatkan empat kalimah; rezeki, ajal, amalan dan celaka atau bahagia. Kehidupan manusia di alam ini bergantung kepada sifat dan pekerti si ibu atau faktor-faktor pemakanan ibu untuk melahirkan zuriat yang bersih dari segala daki kekotoran.

.............bersambung lagi, Insya-Allah.

H.M.Subuh

Hits: