Peperangan Penuh Pembohongan

The War Against  Terrorism  Is A Fraud)

Oleh John Pilger

Peperangan membasmi keganasan ialah satu pembohongan. Tiga minggu sudah pun berlalu sejak pengeboman dilancarkan bertalu-talu, tidak seorang pun pengganas yang dilaungkan oleh Amerika telah tertangkap ataupun terbunuh di Afghanistan. 

Sebaliknya, sebuah negara yang antara termiskin, dan paling tertekan sedang diganasi oleh pihak yang paling berkuasa – membuatkan juruterbang Amerika mengeluh kerana ketiadaan sasaran perang sehingga terpaksa memusnahkan rumah yang diperbuat daripada lumpur kering, sebuah hospital, gudang Pertubuhan Palang Merah, beberapa buah bas yang mengangkut para pelarian. 

Berbeza dengan siaran gambar yang diterbitkan oleh New York, kita tidak melihatnya semua ini. Tony Blair masih belum memberitahu kita kenapakah tujuh orang kanak-kanak daripada sebuah keluarga boleh dibunuh dengan zalimnya - dan apakah kaitan mereka dengan Osama bin Laden. 

Kenapakah bom berangkai (cluster bombs) digunakan? Masyarakat British seharusnya mengetahui mengenai hal bom ini, yang digunakan oleh pasukan RAF (Royal Air Force - tentera udara Britain - penterjemah). Pengguguran sesuatu bom itu akan meledakkan ratusan bom kecilan yang keluar menyembur untuk membunuh dan melumpuhkan mangsanya. Kalau ada bom yang tidak meledak di bumi, ia berfungsi laksana jerangkap samar menunggukan orang yang akan memijaknya untuk meledak pula. 

Kalaulah ada senjata yang direka khas untuk memusnahkan tindakan keganasan, bom berangkai adalah senjata yang memang berkesan. Saya pernah melihat sendiri mangsa senjata berangkai Amerika di negara lain, seperti yang mengenai seorang kanak-kanak Laos yang mengutip bom itu untuk meledak mengerat kaki kanannya dan menghancurkan sebelah mukanya. Percayalah, perkara yang sama sedang berlaku di Afghanistan, dan nama anda terpalit kerananya. 

Tidak seorang pun yang terlibat secara terus dengan kengerian September 11 merupakan rakyat Afghanistan. Kebanyakan mereka adalah rakyat Saudi, yang nampaknya merencana dan menerima latihan di Jerman dan Amerika Syarikat. Khemah yang dibenarkan oleh Taliban untuk kegunaan Osama bin Laden telah pun dikosongkan beberapa minggu yang lalu. Lagipun, pasukan Taliban itu adalah ciptaan Amerika dan British. Pada 1980-an, tentera perkauman yang mewujudkan mereka telah dibiayai oleh CIA dan dilatih oleh SAS untuk memerangi Russia. 

Pembohongan itu tidak terhenti di situ. Ketika Taliban menguasai Kabul pada 1996, Washington diam membisu. Kenapa? Di waktu itu pemimpin Taliban sedang dalam perjalanan menuju Houston, Texas untuk diraikan oleh para eksekutif sebuah syarikat minyak, Unocal. 

Dengan ehsan rahsia kerajaan AS, syarikat minyak itu membuat cadangan menawarkan satu peruntukan yang besar daripada keuntungan perusahaan minyak dan gas yang (bakal) disalurkan oleh Amerika daripada Asia Tengah jajahan Soviet merentasi bumi Afghanistan. 

Seorang diplomat AS berkata: “Taliban akan wujud laksana keluarga Saudi.” Dia menjelaskan betapa Afghanistan berkemungkinan menjadi sebuah jajahan minyak Amerika, menjanjikan keuntungan yang besar kepada barat, tanpa demokrasi di bumi Afghan itu dan wujudnya sekatan terhadap kaum wanita. “Kami boleh hidup dengan peraturan itu,” katanya. 

Perundingan itu terbantut, tetapi ia menjadi satu keutamaan kepada pentadbiran George W.Bush yang memang amat berpihak kepada industri petroleum. Bush mempunyai satu muslihat untuk menggerudi simpanan minyak dan gas yang terperam di lembah Kaspian, yang merupakan satu simpanan sumber bahan-bakar fossil yang belum diterokai dan menjanjikan bekalan tidak terhad kepada Amerika untuk satu generasi lamanya. Hanya, kalau saluran paip itu dapat merentasi Afghanistan, barulah Amerika mampu mengawalnya. 

Tidaklah menghairankan apabila Setiausaha Negara AS Colin Powell, kini sudah merujuk kepada perkataan kumpulan ‘Taliban yang sederhana’, yang akan menganggotai satu “persekutuan yang longgar” tajaan Amerika untuk mentadbir Afghanistan. (kenapa bukan tajaan Amerika British? – penterjemah). “Peperangan membasmi keganasan” adalah merupakan satu topeng untuk merencana perkara ini: sebagai satu alat untuk mencapai strategi Amerika yang berselindung di sebalik kehebatan kuasa Amerika yang diperhebatkan oleh gelagat mengibarkan benderanya. 

Komando ‘Royal Marines’ (British) yang akan ditugaskan membuat kerja gila-gila, akan merupakan semacam askar upahan Washington untuk memperkasakan nafsu imperialnya, dicampurkan juga nafsu serakah Blair yang tidak perlu disebutkan panjang lebar lagi. Setelah mencetuskan suasana yang menjadikan Britain sasaran pengganas disebabkan gelagatnya mahu berdiri sama tinggi dengan Bush, kini Blair menyanggupi penghantaran askar Britain untuk menapakkan kaki di bumi Afghanistan dengan agenda yang bercelaru sehinggakan Ketua Pertahanan Britain ada menyebut betapa konflik itu “akan berlanjutan selama 50 tahun.” Sikap yang tidak bertanggungjawab ini memang menakjubkan. Tekanan ke atas Pakistan sahaja akan menyemarakkan satu krisis yang belum pernah berlaku di benua Hindi-Pak itu. Setelah melakukan laporan beberapa peperangan sebelum ini, saya kerap terpesona oleh kebodohan pemimpin politik yang rapuh kuasanya, tetapi amat ghairah melambaikan selamat jalan kepada askar-askar muda, sedangkan mereka sendiri tidak berani menyanggah pejuang Taliban. 

Di zaman kapal perang mempunyai kuasa, para pemimpin imperial kita menutup keganasan mereka dengan projek kemanusiaan. Blair tidak pun terkecuali daripada tindakan itu. Seperti mereka dulu, dia sengaja menutupi kebenaran. Kalau pembunuhan mereka yang tidak berdosa pada September 11 adalah sesuatu yang tidak boleh diampun, begitu juga sepatutnya apabila orang yang tidak berdosa dibunuh di mana jua. 

Dengan membunuh pihak yang tidak berdosa di Afghanistan, Blair dan Bush telah memperlekehkan martabat mereka sebaris dengan penjenayah yang mengganas di New York. Apabila bom berangkai digunakan, menggugurkannya secara ‘tersilap’ dan ‘tersalah-kira’ adalah satu pembohongan semata-mata. Pembunuhan adalah tetap pembunuhan, tidak kira ia dibuat secara menghunjam pesawat terbang mengena sebuah bangunan ataupun menghunjamnya ke arah ‘Oval Office’ dan 10 Downing Street. 

Seandainya Blair benar-benar menentang sebarang bentuk keganasan, sudah tentu dia menarik Britain keluar daripada perdagangan senjata. Pada hari menara kembar New York dimusnahkan, satu pameran kelengkapan perang yang mempamerkan segala senjata pemusnahan (termasuk bom berangkai dan peluru berpandu) hinggalah segala alat penyeksaan dan pendera hak asasi manusia, telah dibuka di Docklands, London dengan tajaan penuh kerajaan Blair. Pelanggan kelengkapan perang yang terbesar untuk pasaran Britain ialah regim Arab Saudi, yang memenggal kepala pesalah dan menaja pelbagai unsur fanatik amalan Taliban. 

Kalaulah betul Blair mahu menonjolkan “budaya beretika Britain” sudah tentu dia mengusahakan sebaik mungkin untuk mengurangkan ugutan keganasan di bahagian dunia di mana wujudnya banyak keperitan dan kemarahan. Tentu dia bertindak lebih berkesan daripada berlagak sakan, menuntut agar Israel menghentikan penaklukannya di bumi Palestine dan mengundurkan diri daripada wilayah yang dikuasainya selepas perang 1967, seperti yang disyaratkan oleh Majlis Keselamatan, yang dianggotai oleh Britain sebagai anggota tetap. 

Tentulah Blair sudah menghentikan sekatan ekonomi yang dianjurkan oleh PBB – yang sebenarnya merupakan tindakan khas Amerika dan Britain – kerana sekatan ini telah menghenyak rakyat Iraq selama lebih satu dekad, menyebabkan kematian lebih setengah juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun. Kematian semacam itu bermakna lebih banyak kematian kanak-kanak dalam setiap bulan berbanding jumlah yang terbunuh di Pusat Dagangan Dunia. 

Sudah ada tanda-tanda Washington akan melebarkan peperangan yang wujud kini kepada Iraq, walau pun tanpa kita sedari, hampir setiap hari RAF dan pesawat perang Amerika sudah pun mengbom Iraq. Tidak ada gembar-gembur akhbar akan hal ini, dan tidak pun disebut di kaca TV. Inilah keganasan yang begitu lama tempohnya, melibatkan kempen peperangan Anglo-Amerikan sejak Perang Dunia kedua. Akhbar Wall Street Journal telah melaporkan betapa Amerika Syarikat dan Britain sedang dihantui dilema di Iraq, kerana sudah kekurangan bahan sasaran. “Kita kehabisan sasaran,” kata seorang pegawai Amerika. Itu kisah dua tahun dulu, dan mereka masih meneruskan pengeboman itu. Berapakah belanjanya kepada pembayar cukai Britain? 800 juta pound sterling setakat ini. 

Mengikut laporan dalaman PBB, yang menyeluruhi tempoh lima bulan, 41 peratus mangsa serangan itu adalah orang awam. Di bahagian utara Iraq, saya telah bertemu seorang wanita yang kematian suami dan empat orang anaknya, yang dicatatkan dalam laporan itu. Suaminya ialah seorang gembala ternakan, yang menguruskan kambing bebirinya bersama seorang ayahnya yang tua dan dibantu oleh anak-anak beliau. Ketika itu pesawat perang Britain menggugurkan bom membunuh mereka, serta merta. Kawasan itu adalah satu lembah pertanian yang terbuka, tanpa ada sebarang sasaran tentera berdekatannya. 

“Saya mahu berjumpa dengan juruterbang yang melakukan perkara ini,” kata balu itu ketika melutut di perkuburan ahli keluarga kesayangannya. Mereka tidak pun menerima sebarang bantuan seperti yang diterima oleh keluarga mereka yang mati yang berkumpul di St. Paul Cathedral di mana Ratu Britain turut serta, tidak juga ada iringin konsert mainan Paul McCartney. 

Tragedi yang dideritai oleh orang Iraq, Palestine dan Afghan adalah satu kebenaran yang benar-benar bertentangan dengan segala gembar-gembur dan pembohongan yang disiarkan oleh media barat. 

Di sebalik pembohongan betapa mereka adalah pengganas dunia, majoriti rakyat beragama Islam di Timur Tengah dan Selatan Asia adalah merupakan mangsa keadaan keganasan itu. Mereka menjadi mangsa kepada sikap nafsu serakah Barat dalam menguasai sumber asli di negara mereka sendiri atau pun berdekatan dengan negara mereka. 

Memang tidak ada peperangan membasmi keganasan. Kalau benar ada peperangan semacam itu, pasukan Royal Marines dan SAS tentu sudah lama menyerang pantai Florida, kerana di sana terdapat pengganas yang dibiayai oleh CIA, bekas diktator Latin Amerika dan para penzalim, yang diberikan perlindungan dengan ramainya berbanding di tempat lain di dunia. 

Namun, masih ada peperangan yang berlanjutan antara pihak yang memang amat berkuasa dengan yang tidak berupaya menyanggah kuasa dengan alasan baru, agenda terpendam yang baru, dan pembohongan terbaru. Sebelum ada seorang anak kecil lagi yang akan mati dengan kejamnya, ataupun disebabkan kebuluran, dan sebelum terciptanya satu kumpulan fanatik yang baru di Barat mahu pun di Timur, sudah tibalah masanya untuk rakyat Britain menyuarakan pendapat mereka untuk menghentikan peperangan yang penuh kepalsuan ini. Mereka seharusnya mendesak satu inisiatif yang berani dan bercorak tidak ganas yang betul-betul memerlukan keberanian pimpinan politik. 

Kelmarin, ibu bapa Greg Rodrigues, seorang anak muda yang mati di Pusat Dagangan Dunia, ada berkata: “Kita banyak membaca berita untuk menyedari bahawa kerajaan kita sedang menuju ke arah perbuatan membalas dendam, dengan segala kebarangkalian, anak-anak lelaki dan perempuan, ibu bapa, sahabat dan taulan di tanah yang jauh di seberang, yang akan mati, merana, dan terus merencana serangan balas yang akan mengena kita juga. 

“Ini bukan cara yang sebaiknya.....bukan dengan nama anak kami, yang sudah pun mati.” 

Tamat. 
Terjemahan oleh SPAR - 29 Oktober 01.

Hits: