Kemasukan Ahli Keadilan Dalam UMNO, Jangan Nanti Umpama ‘Pikul Biawak Hidup’

Dipetik dari Laman UMNO

Prakata webmaster: Artikel ini disiarkan bagi anggota Keadilan yang dahulunya adalah ahli UMNO membuat penilaian bagaimana buruknya anda pada pandangan ahli UMNO. Justeru itu ia adalah sebagai menguatkan betapa jangan anda menghampiri UMNO, dan larilah dari parti itu ibarat anda melarikan diri dari mereka yang berpenyakit kusta ~ webmaster

Oleh Musa Joned 
 
Berita-berita yang menyiarkan akan keterbukaan UMNO untuk menerima anggota parti Keadilan yang berhasrat kembali kepada UMNO agak hangat sejak kebelakangan ini. 
 
Segalanya bermula apabila Naib Ketua Pemuda Parti Keadilan, Hamdan Taha meletakkan jawatan dan terus mendapat reaksi dari Naib Ketua Pemuda UMNO Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang ingin mengambil pendekatan memujuk beliau untuk menyertai semula UMNO kerana katanya Hamdan kelihatan masih menyayangi parti itu. 
 
Rentetan dari itu, pelbagai kenyataan keluar dari mulut para pemimpin yang mengalu-alukan langkah yang ingin diambil oleh ahli-ahli Keadilan itu. 
 
Bagi umum pula apa yang berlaku terhadap Keadilan diikuti penuh minat dan ramai beranggapan yang ini sebagai permulaan berkuburnya parti tersebut. 
 
Namun demikian di kala telah wujud kepercayaan bahawa lambat laun ahli-ahli Keadilan akan keluar dan menyertai UMNO dan di mana masyarakat melihat betapa UMNO begitu kuat daya tarikan menggamit semula kemasukan semula bekas ahlinya, timbul pula cerita tawaran wang yang dibawa oleh Zahid Mat Arip. 
 
Setiausaha Pergerakan Pemuda Keadilan itu dalam akhbar New Sunday Times 28 Oktober, mendakwa bahawa beliau ditawarkan wang oleh pihak tertentu supaya meninggalkan Keadilan bagi menyertai UMNO. 
 
Memandangkan dakwaan telah pun dibuat secara rasmi melalui akhbar, maka tidak dapat tidak ianya terpaksa dinafikan oleh Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Khalil Yaakob yang berkata UMNO tidak pernah melakukan perbuatan seumpama itu. 
 
Sebenarnya apa yang ingin disentuh di sini ialah UMNO kena berhati-hati menangani isu Keadilan. 
 
Tatkala ini banyak pihak ghairah untuk membawa kembali ahli Keadilan ke dalam UMNO sehinggakan kadang kala lupa untuk menganalisa pelbagai taktik dan tindakan yang sering dilakukan oleh ahli parti itu. 
 
Sebagai parti yang dalam sejarahnya berjaya memecahbelahkan perpaduan orang Melayu dengan teruknya akibat pemecatan Anwar Ibrahim, tindak-tanduk ahli-ahli Keadilan ini harus diperhatikan. 
 
Dakwaan Zahid dalam temuramahnya dengan akhbar Sunday Times tempoh hari lebih elok sekiranya menyebutkan nama pihak yang membuat tawaran itu kerana sekiranya dibiarkan menjadi persoalan akan menimbulkan implikasi pula kepada UMNO. 
 
Apa tidaknya umum akan beranggapan bahawa dalam soal menarik semula ahli Keadilan ke dalam UMNO, parti itu seolah-olah menggunakan wang untuk menjayakan rancangannya. 
 
Anggapan ini harus diperbetulkan dan Zahid kena perjelaskan tanpa perlu berselindung. 
 
Manakala UMNO pula kena sedar ketika Keadilan di ambang kemuncaknya, parti itu telah banyak membawa kerosakan kepada imej UMNO dengan siri-siri pendedahan rasuah, kronisme, nepotisme dan kezaliman yang bersifat tuduhan tanpa bukti. 
 
Jadi apabila Zahid membiarkan keadaan itu menjadi tanda tanya maka yang mendapat akibatnya adalah UMNO. 
 
Apa yang penting sekarang ini isu ahli Keadilan ingin menyertai semula UMNO harus ditangani dengan bijaksana. 
 
Ini kerana UMNO sudah tentu tidak mahu Keadilan sekali lagi bertindak kreatif memalukannya dengan siri-siri dakwaan yang sering menimbulkan persoalan di kalangan masyarakat.  
 
Meminjam kata-kata Ab. Rauf Yusof Exco Pergerakan Pemuda UMNO yang mahu program pemutihan dilakukan terhadap ahli-ahli Keadilan yang berhasrat menyertai semula parti, seharusnya ini diambil serius oleh UMNO. 
 
Ini kerana sebarang langkah sumbang yang diambil oleh UMNO akan menjadikan kemasukan semula itu nanti umpama ‘memikul biawak hidup’.  
 
Keikhlasan dan tujuan mereka kena dibuktikan terlebih dahulu dan dalam soal ini UMNO sudah tidak mampu lagi membela mereka yang bersifat ‘gunting dalam lipatan’ dan ibarat ‘duri dalam daging’ untuk berada terus di dalam parti itu.  

Hits: