Tazkirah ( 26 ) : Peranan Sufi Dalam Gerakan Islam

Alhamdulillah. Segala puji-pujian hanyasanya layak untuk Allah s.w.t. sahaja. Salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarganya.

Di Negeri Selangor ada beberapa isu-isu yang panas! Kisah si anak muda yang baru setahun jagung itu memerintah banyak membawa bencana kepada Islam. Apakah si anak muda ini dan konco-konconya iaitu suku  Kaum Abdullah b. Ubaiy yakin kerja-kerja mereka " menggamkan ulama-ulama dan ustaz-ustaz" dari berceramah agama di rumah-rumah Allah, tetapi " memberi lesen " kepada artis-artis maksiat meloncat-loncat di atas pentas itu satu kebaikan dan mendapat pahala! Adakah suku Kaum Abdullah B. Ubaiy ini serta jabatan boneka mereka, JAIS ( Jabatan Agama Ikut Syaitan ) mengarahkan supaya PASTI ditutup mendapat pahala dan membawa kebaikan untuk mereka? Dari kitab-kitab mana kaum ini belajar? Dari guru-guru mana kaum ini belajar? Apakah orang-orang Melayu Islam yang masih menyokong mereka menyangka bahawa ketua-ketua mereka itu boleh membawa mereka ke arah kebaikan dan di redhai oleh Allah s.w.t? Apakah dalil yang boleh membenarkan perbuatan mereka itu? Apakah ada satu lagi Al-Quran selain yang diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada Ar-Rasul s.a.w. buat kaum itu? Di sini sekali lagi saya merayu, marilah kita memperbanyakkan membaca doa seperti yang saya anjurkan pada tazkirah yang lepas iaitu dari Surah Yunus ayat 88. Kaum ini, adalah sebenarnya kaum yang mudah lupa bahawa Tok Guru mereka iaitu Abdullah B. Ubaiy mati dalam keadaan dihina, maka apakah mereka menyangka perbuatan mereka tidak seperti Abdullah B. Ubaiy? Ketahuilah Abdullah B. Ubaiy bersembahyang di belakang Nabi Muhammad s.a.w. tetapi dia juga adalah orang yang menentang pergerakan dakwah Islam! Fikir-fikirkanlah......!

Kita akan meneruskan pengajian dari buku " PERANAN SUFI DALAM GERAKAN ISLAM ". Kita masuk ke bahagian yang kedua pula.

MATLAMAT HIDUP.

Sebuah kehidupan yang suci itu mestilah diasaskan melalui sebuah manhaj hidup yang suci dan bersih dari segala rupa bentuk jahilliyah dan suku-sakatnya. Mereka yang ingin mencari keredhaan ILAHI mestilah berjuang membawa panji-panji keagungan-Nya, mestilah berjihad untuk meninggikan kalimah-Nya dan mestilah berada di dalam sebuah jam'ah yang dibina di atas nama Islam.

Mereka yang ingin mencari kepuasan rohani mestilah membersihkan diri dan membebaskan diri mereka dari segala ikatan dan belenggu jahilliyah dalam kehidupan mereka, dalam pemikiran mereka dan dalam amalan-amalan hidup mereka. Pergantungan hidup seseorang muslim mestilah mendakap erat secara terus-menerus terhadap keesaan ILAHI, tanpa wujudnya batas-batas yang menyekat dirinya untuk sampai ke darjat ma'rifatullah, iaitu darjat untuk mengenal Allah.

Sekiranya terdapat batas-batas yang menghalang kehidupan seseorang muslim untuk mendekati Tuhannya, nescaya pergantungan hidupnya terhadap Tuhannya itu tidak lengkap dan tidak sempurna, seolah-olah mereka adalah manusia pengecut, kerana tidak mahu berusaha membaiki-pulih hubungannya dengan Tuhan. Sepatutnya mereka boleh meminta terus kepada Tuhan untuk mendapatkan sesuatu hajat atau sesuatu tujuan ataupun apa sahaja yang diperlukan untuk menyelesaikan permasalahan di dalam kehidupan. Oleh sebab itu, setiap manusia mestilah memasang tujuan dan matlamat di dalam kehidupan mereka dan manakala setiap individu muslim pula mestilah membentuk suatu perspektif untuk merealisasikan tujuan dan matlamat hidup mereka dan mereka hendaklah merancang dan membina suatu program kehidupan yang menggariskan nilai-nilai yang baik untuk menyampaikan diri mereka kepada Tuhannya.

Di sana terdapat beberapa tujuan dan matlamat kehidupan yang dilangsungkan oleh manusia di atas dunia ini.

1.   MENGABDIKAN DIRI KEPADA ALLAH.

Konsep pengabdian diri kepada Allah merupakan konsep yang mencetuskan nilai-nilai perhambaan yang menyatakan hasrat ketundukan diri dengan penuh keyakinan dan keimanan. Konsep ini dapat mengubah perasaan hati -hati manusia yang sombong dan takabbur dan juga dapat membentuk jiwa manusia untuk mengenal hakikat dirinya dan mencerminkan keadaan hidupnya. Di samping itu, konsep ini juga dapat mengikis segala sifat-sifat yang bertentangan dengan naluri kemanusiaan, sebagaimana yang dikehendaki oleh syariat dan membuangnya jauh-jauh daripada melekat di celah-celah perasaan hati.

Apa yang tinggal hanyalah keagungan ILAHI sahaja sebagai tempat pergantungan hidup mereka, oleh itu benarlah apa yang dinyatakan oleh Allah di dalam Al-Kitab: ( Terjemahan ) " Hanya Engkaulah yang kami abdikan dan hanya Engkaulah tempat kami bergantung ". ( Al-Fatihah:5)

Manusia yang dicipta oleh Allah mestilah mempunyai tujuan dan matlamat di dalam kehidupan mereka. Di antara tujuan dan matlamat yang paling utama ialah mengabdikan diri kepada Allah.

Firman Allah Ta'ala: ( Terjemahan ) " Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mengabdikan diri kepada Aku ( Allah )". ( Az-Zariyat : 56 )

Hakikat ketuhanan itu rupa-rupanya muncul di tengah-tengah gelanggang kehidupan manusia apabila konsep pengabdian diri itu dapat diwujudkan sama sekali yang merangkumi semua aspek kehidupan, bahawa pergantungan hidup manusia hanya mutlak kepada Allah semata-mata, bukan kepada yang lain.

Islam telah mewujudkan konsep pengabdian di antara makhluk dan Khaliq adalah untuk mengubah style dan sistem jahiliyyah ataupun kehidupan ala jahiliyyah. Ianya merupakan falsafah kehidupan yang suci, bahawa manusia dicipta tidak hanya untuk hidup semata-mata atau untuk makan minum shaja ataupun untuk berseronok dan berhibur sentiasa, tetapi untuk mengabdikan diri kepada Allah dengan tulius ikhlas.

Firman Allah Ta'ala: ( Terjemahan ) " Katakanlah ( Wahai Muhammad ) ! Sesungguhnya Aku diperintahkan mengabdikan diri kepada Allah dengan tulus ikhlas beragama kerana-Nya semata-mata ". ( Az-Zumar : 11 )

Terdapat sepotong hadis yang menguatkan lagi kedudukan ayat-ayat di atas, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w.. ( Terjemahan). ' Wahai hamba Ku! Bukanlah Aku ciptakan kamu di atas dunia ini untuk menambahkan bilangan kamu, bukanlah ingin bermesra dengan kamu dari perasaan dukacita yang datang melanda dan bukan pula untuk membantumu di dalam melaksanakan urusan-Ku, Aku merasa sungguh hairan! Akan tetapi, Aku ciptakan kamu supaya kamu mengingati Aku dengan sebanyaknya, mengabdikan diri kepada-Ku sepanjang hidup dan bertasbih kepada-Ku pagi dan petang'.

Konsep pengabdian diri yang dibentuk di dalam hati sanubari dan jiwa nurani akan menjelma menjadi suatu kenyataan yang benar-benar clear apabila ianya diterjemahkan melalui proses amali atau praktikal.

Ianya juga tidak hanya terbatas di dalam ruangan ibadat sahaja, bahkan meliputi lain-lain lapangan hidup, maka di sana sudah pasti akan terlaksanalah maksud pengabdian itu.

Firman Allah Ta'ala: ( Terjemahan ) " Jangan sekali-kali kamu mengambil dua Tuhan, Kerana Dialah Tuhan yang Maha Esa dan kepada-Ku hendaklah kamu takut".  ( An-Nahl : 51 )

Konsep pengabdian diri akan diterjemahkan menjadi suatu aksi yang dibina menurut aturan dan sukatan yang telah digariskan di dalam syariat Islam, yang melambangkan bentuk pemikiran yang ada pada diri seseorang muslim dan kefahamannya terhadap tuntutan yang ada. Konsep pengabdian diri juga menghuraikan secara langsung konsep akidah yang terdapat di dalam lubuk hati manusia. Oleh itu, segala apa jua tindakan yang hendak dilakukan mestilah berpusat kepada akidah sebagai pegangan hidup untuk ditapis terlebih dahulu  dan kemudian barulah diolah menjadi suatu bentuk amalan yang dibenarkan oleh syariat. Tindakan yang dilakukan tanpa menoleh dahulu kepada asas-asas akidah ditolak sama sekali dan tidak diterima oleh Allah. Aturan ini adalah suatu pengakuan dan penegasan, bahawa manusia muslim tidak boleh terkeluar dari benteng yang telah digariskan oleh syariat ILAHI, kerana setiap pengakuan yang benar-benar hakiki sudah pasti akan dibinanya secara mutlak tanpa melanggar sedikit pun aturan yang telah digariskan itu.

Manusia muslim tidak mudah terlatah dengan budaya hidup persekitaran, budaya hidup dicampur-aduk dengan budaya asing, budaya hidup jahiliyyah yang tidak mempunyai apa-apa manafaat kepada manusia dan mereka sentiasa berhati-hati di setiap langkah kehidupan yang mereka harungi, kerana detik kesilapan sudah pasti akan membawa padah dan jeritan yang pedih.

.............. bersambung lagi, Insya-Allah.

H.M.Subuh

Hits: