Tidak Ada Perang Mengganyang Keganasan 
(There is no war on terrorism.)

By John Pilger

Kalaulah tidak kerana ada orang yang mati dan mula kebuluran, serangan Amerika mengbom Afghanistan memang kelihatan satu kerja sia-sia sahaja. Namun, masih ada logik kepada perbuatan mereka itu. Kita perlu membaca apa yang tersirat untuk mengetahui dengan jelas bahawa mereka tidak mengbom benteng pertahanan Taliban. Kenapa? Kerana mereka mahu menjamin apa yang disebut oleh Setiausaha Negara AS, Collin Powell, kumpulan ‘sederhana’ Taliban, yang dijangka akan menganggotai satu pertubuhan ‘persekutuan yang longgar’ dalam pembentukan ‘kerjaan pembangunan’ sebaik sahaja peperangan itu ditamatkan. Taliban yang sederhana akan bersatu dengan ‘pasukan penentang’ daripada Pakatan Utara, yang pakar memasang bom, tukang rogol dan peniaga dadah, yang telah dilatih oleh SAS dan dibiayai oleh Washington.

Inilah yang disebut pecah dan perintah, satu strategi purba setua imperialisme. Inilah yang akan membolehkan Amerika – mengikut yang mereka harapkan – memperteguhkan kuasa di rantau yang “terlepas” dulu. Negara lain, seperti Pakistan dan negara jiran bekas jajahan Soviet, sudah disogok untuk akur sahaja. ‘Peperangan membasmi keganasan’, yang dilaksanakan ala Rambo, hanyalah satu mainan sarkas untuk menyeronokkan orang kampung dan media di Amerika.

Saya masih teringat zaman 1980-an dulu ketika Margaret Thatcher mengumumkan kewujudan Khmer Rouge. Tujuannya untuk memperteguhkan penubuhan satu pasukan khas pimpinan Khmer Rouge, di dalam buangan, kerana Washington mahu menguasai Kambodia dan meminggirkan negara yang baru sahaja mengaibkannya ketika itu, yakni Vietnam dan juga kuasa pengaruh Soviet Union. Pasukan SAS telah dihantar ke Thailand untuk melatih bakal pembunuh Pol Pot, dan mengajar mereka bagaimana cara membunuh manusia dengan jerangkap samar. Mereka menjadi begitu akrab sehinggakan apabila munculnya PBB, askar Khmer Rouge itu telah meminta agar teman-teman British mereka di ajak turut sama bertugas di wilayah yang mereka kuasai. Perkara yang sama akan berlaku juga di Afghanistan apabila PBB muncul sebagai fasilitator (pengatur cara) kepada Amerika untuk “membangunkan” satu regim yang mengikut kata.

Dia kalangan para akademik yang mencipta pelbagai kata hikmah dan judul pelemah untuk dasar Anglo-Amerika, dasar pecah dan perintah itu mereka ubah menjadi “containment” (takungan/kekangan). Tujuan mereka ialah menghancurkan keupayaan setiap negara yang berani mencabar dominasi Amerika Syarikat sambil membenarkan regim yang dikekang itu mengekalkan keselamatan dalam negeri (contoh yang terbaik ialah hubungan Amerika dengan regim Mahathir – penterjemah). Bagaimanakah bentuknya regim yang dikekang itu tidak penting kepada mereka. Itu sebabnya manusia di seluruh dunia ini telah dibahagi-bahagi, diperintah dan “dikekang”, selalunya dengan zalimnya. Kemusnahan Yugoslavia adalah satu lagi contoh yang terbaru; wilayah yang ditadbir oleh Pentadbiran Palestine adalah satu contoh lagi. Sebab sebenar kenapakah kuasa besar itu berlagak begitu tidak pernah diberitahu. Mainan kata-kata yang menegakkan perihal akhlak dan kesusilaan kerap sangat dijadikan rujukan. Ketika George Bush Senior (bapa Bush yang menjadi presiden sekarang) menyerang Panama pada 1990, dia dilaporkan sebagai mahu “menangkap” General Noriega, yang ditohmah sebagai “pedagang dadah dan peliwat kanak-kanak.” Sebab yang sebenar tidak dijadikan bahan berita. Ketika itu Terusan Panama sudah menghampiri zaman peralihan daripada Amerika kepada kerajaan Panama, dan AS mahu mengelakkan seorang yang angkuh seperti Noriega diketepikan dan membolehkan seorang pengganti yang lemah untuk berkuasa dan terus menjaga kepentingannya sebaik sahaja terusan itu bukan lagi milik mereka.

Begitu juga halnya dengan serangan terhadap Iraq pada 1991 yang tidak ada kena mengena dengan mempertahankan kedaulatan keluarga sheikh Kuwait (Al Sabah – penterjemah) dan apa juga selain perkara sebenarnya untuk mengekang kebangkitan Iraq yang kuat dan bertambah moden. Amerika tidak berhasrat membiarkan Saddam Hussein, yang merupakan seorang bekas ‘sahabat’ yang ketika itu sudah mempunyai pelbagai idea untuk memperkasakan diri dan negaranya, menjadi penghalang kepada nafsu serakah Amerika mahu mengawal saluran minyak yang bermula daripada Turki hingga Caucasus (wilayah antara Lautan Hitam dan Kaspian).

Tanpa syak lagi, tujuan utama serangan dibuat menghenyak Afghanistan ialah untuk menubuhkan satu regim yang mampu menyelia pembinaan satu saluran paip minyak dan gas kepunyaan Amerika daripada Lembah Kaspian, yang merupakan sumber bekalan asli terbesar di dunia yang belum digerudi selama ini. Mengikut taksirannya, bekalan yang tersimpan itu mampu menyediakan bekalan yang diperlukan oleh Amerika selama 30 tahun, lamanya. Saluran paip semacam itu boleh juga dipasang merentasi Russia, Iran ataupun Afghanistan. Tetapi, kalau di Afghanistan Amerika dapat menguasainya dengan penuh keyakinan.

Lagipun, keadaan Afghanistan yang begitu daif sekarang adalah sasaran yang amat mudah, dan menjadi tempat yang paling ‘ideal’ (cocok) untuk “mementaskan satu peperangan” – satu lakonan yang menayangkan apakah kemampuan Amerika kalau diperlukan melaksanakannya “di mana perlu”, demikian yang disebut oleh duta Amerika di PBB baru-baru ini. Fahaman racisme ataupun teori betapa keunggulan sesuatu kuasa itu ditentukan oleh asal-usul bangsanya, adalah teori haprak Amerika yang tidak boleh dipertikaikan. Sesiapa mahu ambil peduli akan kisah marhaen Afghan? Bukannya ada konsert Paul McCartney untuk membantu mereka. Lagipun, manusia boleh dimusnahkan dengan menggugurkan bom yang mampu memenggal kepala kanak-kanak dan kita di Barat tidak perlu runsing akan perkara itu kerana semua itu boleh dinafikan dan memang tidak ada bahan buktinya. Amat jelas, kebanyakan media sengaja memeram segala gambaran yang ngeri itu seperti yang pernah terjadi ketika rantau Teluk Arab disembelih dulu. Kalau ada pun pengecualiannya, dan tersebar segala kebenarannya akan muncullah satu ingatan “Jangan percaya apa-apa sehingga ada kenyataan ataupun penafian rasmi mengenainya.” Akhbar mingguan (Ahad) menerbitkan beberapa cerita dongeng yang disauk daripada Pentagon ataupun Kementerian Pertahanan. Mengesahkan penaklukan sesebuah negara adalah satu tugas besar dan penting kepada media, seperti yang terjadi di Teluk dan Yugoslavia. Menggembar-gemburkan Iraq sebagai punca serangan anthrax, dan sebagai satu sasaran yang terbaru, adalah cerita besar juga. Baru-baru ini, seorang wartawan hal ehwal diplomatik kepada Newsnight, Mark Urban, pernah memberitahu Jeremy Paxman, bahawa Amerika sedang mengkaji satu “maklumat rahsia’ bahawa Saddam Hussein sedang merancang “melepaskan peluru berpandu”. Adakah bahan buktinya? Urban diam membisu, dan Paxman pun berpura-pura tidak mahu tahu.

Memang tidak ada “peperangan membasmi keganasan”. Kalau ada, tentu SAS sudah lama menyerang pantai Florida, di mana ramai pengganas, penzalim dan pendera menggila yang diberikan suaka politik dan ramai yang hidup tertumpu di sana berbanding tempat lain di dunia. Kalaulah Blair yang berlagak berwaspada itu betul-betul membenci keganasan, tentu dia gunakan apa juga yang ada dalam bidang kuasanya untuk mencipta dasar pemerintahan yang dapat menghapuskan segala ancaman penyeksaan dan kematian yang menghantui rakyat negaranya sendiri dan juga negara dunia ketiga yang lain. Bukankah itu lebih bermakna daripada memacu keganasan seperti yang dia lakukan kini bersama Bush? Tetapi, mereka ini adalah manusia ganas, walaupun mereka berada begitu jauh daripada segala kekecohan yang mereka cetuskan. Blair telah memainkan peranan dengan keghairahannya menggugurkan bom berangkai yang membunuh orang awam di Iraq dan Serbia serta pembunuhan puluhan ribu kanak-kanak di Iraq, dan ini sudah pun dirakamkan dalam satu dokumentari. Kekejaman keluarga Bush, daripada Nicaragua hingga Panama, daripada Teluk Arab hinggalah kepada kematian di Texas, adalah menjadi bahan catatan juga. Usaha mereka merancang peperangan membasmi keganasan hanya merupakan sambungan peperangan pihak yang berkuasa terhadap yang tidak terdaya, dengan diwarnai alasan baru, sogokan rahsia yang baru dan pembohongan yang bar-baru.

Masalah yang menghantui orang barat yang tidak nampak kekejaman yang dicerna oleh Bush dan Blair dan semua pemimpin yang mendahului mereka terletak kepada kegagalan mereka menilai reaksi yang memuncak daripada setiap tindakan itu. Jean Paul Sarte pernah menulis kata aluan kepada sebuah buku karangan Frantz Fanon yang berjodol ‘The Wretched of the Earth’, Dia menulis: “Kita sudah menabur hembusan, sehingga ia menjadi taufan, dan apa yang terungkai selepas itu adalah ledakan gunung berapi yang mengeluarkan tenaga ganas yang sama panas dan tekanan yang diperamnya. Begitulah juga tekanan yang dihala kepada kita apabila rupa bayangan bertentangan mata sebaik sahaja kita melihat wajah di depan cermin muka.”

Seorang sejarawan hebat, Howard Zinn, yang merupakan seorang professor Universiti Boston dan bekas juruterbang pesawat juang Perang Dunia Kedua, telah membantu kita memahami perkara ini dalam bukunya “Howard Zinn on War.” Serangan ngeri ke atas menara kembar di New York, katanya, mempunyai kaitan rapat dengan serangan Amerika dan Israel ke atas Arab di Timur Tengah. Kalaulah tindakan musuh rasmi barat menerima liputan media yang menganggapnya sebagai kezaliman pengganas, sedangkan segala kezaliman pengganas yang dicetuskan oleh Amerika dan segala sekutu dan pelanggannya sengaja diperam daripada perhatian politik dan media, “adalah sukar untuk membuat satu pengadilan yang sama rata dan saksama”, untuk mencari jawapan penyelesaian kepada pusingan balas dendam dan segala tuntut-bela untuk menyelesaikan isu wujudnya ketidakseimbangan ekonomi global dan tekanannya.

Propaganda merupakan musuh dalaman: “Secara bertubi-tubi dan berulang-ulang”, satu serangan maklumat pilihan yang terhad diterbitkan oleh satu media yang sudah dijinakkan, jadilah ia maklumat yang jauh terpisah daripada kenyataan politik (seperti kezaliman kuasa besar di merata dunia ini). Apabila tidak ada berita alternatif, tidak hairanlah kalau orang yang dipantak maklumat songsang itu menunjukkan “reaksi yang dianggap wajar” betapa “kita mesti buat sesuatu”. Inilah yang mendorong kepada rumusan agar “kita mesti bom mereka”. Apabila semua itu selesai dan semakin banyak mayat yang pulang bertimbun tingginya, “HANYA Milosevic yang tegak sendirian di kotak tertuduh (di mahkamah) , dan bukannya Clinton. Hanya Sadam Hussein yang dikecam sebagai bajingan, bukannya Bush Senior. Hanya Osama bin Laden yang mempunyai tawaran hadiah $50 juta dollar di kepalanya, dan bukannya Bush Junior dan para pemimpin yang mendahuluinya.” Inilah yang dikatakan oleh Zinn, “satu penghargaan kepada keinsanan manusia marhaen betapa tindakan ganas mesti disorok (dengan perkataan) seperti keselamatan, keamanan, kebebasan, demokrasi , dan “kepentingan negara”.

Salah satu pembohongan biasa Bush dan Blair ialah “world opinion is with us” - seluruh dunia menyokong kita. (Mereka belajar daripada seorang malbari tua yang kerap berkata “dunia luar selalu memuji cara kita mentadbir negara, ramai pemimpin dan tetamu asing bertanya saya bagaimana negara ini boleh maju.”)

Begitulah pembohongannya, daripada 30 negara luar yang dibanci oleh Gallup International, hanya di Israel dan Amerika Syarikat wujudnya majoriti manusia yang bersetuju dilakukan serangan ketenteraan itu berbanding dengan cara mendapatkan keadilan secara tidak ganas melalui perundangan, walaupun ia memakan masa yang lama. Inilah berita yang baiknya.

Tamat SPAR. http://www.johnpilger.com

Hits: