Mahathir,  Jakarta  dan  Manila Memerangi Kebangkitan Militan Islam
(Mahathir  forms  alliance  with ‘J’ and ‘M’ to fight  ‘Islamic Militancy’)

Pada  akhir  Ogos  yang lalu, Yasser  Arafat  tiba  di  Kuala  Lumpur  dan  dapat  merasakan  sambutan  tuan rumahnya  yang  semakin  dingin  berbanding  sambutan  yang  lalu.  Arafat  dapat a merasakan  perbezaan itu  disebabkan  tuan rumahnya  sedang  dihantui  pertentangan   militan  Islam dan  terpaksa  memangsakan  delegasi  Palestine  yang  datang. Dilema kerajaan  Malaysia  itu memang tidak  sukar  dimengerti. Kerana  terlalu gian  untuk  dijemput  melangkahkan kaki  ke  ambang  Rumah Putih, perdana  menteri Mahathir memang berusaha  sedaya mungkin  menggugurkan label  ‘tukang  ganyang  Barat’ yang satu ketika  menjadi label  yang  mengkagumkan dunia  Islam.


Sejak reformasi  lahir  pada  1998, rakyat  Malaysia  sudah lali dengan  penggunaan  perkataan  ‘militan’ sehinggakan  mereka  sudah mampu  mencemuh label  yang  diulang-ulang  oleh  regim Mahathir. Namun, Mahathir sedar, tindakan  mengulang-ulang  isu itu  dapat  meraih  kerjasama  Indonesia  dan Filipina – yang sedang  dihantui  kebangkitan  puak  Islam  yang  mahukan  kemerdekaan  wilayah mereka -  untuk  memberikan  perhatian  serius  kepada  kelentongannya.

Kini  dia  mahu memanjangkan  kempen pergerakan  anti Islam itu  melangkau  sempadan  Malaysia, sambil  mendapatkan persetujuan  dua  rakan  sejawatnya  di  rantau ini,  itulah dia  presiden  yang baru  dilantik di  Indonesia, Megawati  Sukarno  dan Gloria Arroyao  Macapagal  di  Filipina. Setiap  presiden wanita  ini  telah  mengadakan lawatan  ke  Malaysia  dan  memuji-muja  pentadbiran Mahathir. Mereka bertiga  seolah-olah sudah  membuat satu pakatan  untuk  memerangi apa yang disebut  kumpulan  pelampau Islam  yang dikatakan ‘gila-kuasa’. Mahathir sendiri telah  mendedahkan  fenomena  itu pada  September  1,  dengan mengatakan  betapa wujudnya  ‘unit Islam militan’ di  Malaysia.  “Mereka  mempunyai agenda besar  untuk  menubuhkan  kerajaan Islam di Malaysia, Indonesia dan  Filipina melalui kekerasan -  tetapi perkara  ini tidak mudah,” katanya.


Manila telah  menyambut pendedahan  Mahathir itu, dengan menyebut  akan adanya laporan  risikan  betapa  kumpulan  fundamentalis  Malaysia  telah “mencuba  bergabung dengan  kumpulan  Islam di  negara  ini.” Kerajaan Filipina telah  menyebut  Moro  Islamic  Liberation Front (MILF),   yang memang sudah   lama  berperang  kerana  menuntut  kemerdekaan bagi wilayah selatan negara  itu. Beberapa hari sebelum itu Megawati telah  pulang  ke  Jakarta  setelah mencapai kefahaman dengan Malaysia   yang  berjanji  mahu  memerangi  pergerakan  kebebasan  Acheh. Berbeza dengan   tindakan  orang  yang  mendahuluinya  yang  berjanji  memikirkan kemungkinan  diadakan  referendum  di Aceh  persis  yang telah dibenarkan  kepada  kumpulan  Kristian di Timur Timur, Megawati yang selama ini  dikenali kerana  sokongan kumpulan Kristian  kepadanya, telah membuat  pengumuman  hak  memerintah sendiri  kepada   Aceh yang kaya dengan  hasil minyaknya.


Permulaan kempen  anti Islam itu  telah dilancarkan oleh Mahathir  dengan   cara  yang  mengecewakan, apabila  pada  awal Ogos, dia telah   melancarkan  penangkapan terhadap   beberapa  aktivis  Islam tempatan  yang  pernah berkhidmat  di  medan  perang  Afghan  pada  tahun  lapan puluhan. Sejak itu beberapa  ramai rakyat  Malaysia  telah ditangkap  di bawah Akta  Keselamatan Dalam Negeri (ISA), di mana  mereka  telah ditahan tanpa  perlu dibicara  untuk  satu  tempoh  yang  lama. Kerajaan menuduh mereka cuba menegakkan sebuah negara  Islam  dengan  menggunakan kekerasan.


Jelas,  Islam sudah digunakan  satu alat  untuk Mahathir  berselindung  dalam usaha  menyelamatkan  karier politiknya. Kenyataan  serta  tindakannya  yang   terbaru melambangkan  ketakutannya  yang  membuak  terutama  terhadap  kecenderungan  warga  siswa  universiti yang  semakin tertarik kepada  ajaran  Islam  yang berbeza  kepada  fahaman sekular  yang  telah beliau cuba  semaikan melalui  UMNO. Tidak puas  dengan  mengcop  para  pelajar Melayu sebagai golongan  yang  ‘malas’ dan ‘tidak tahu bersyukur’  kepada  kerajaannya,  kini dia  telah  melancarkan satu  kempen  terbaru  terhadap mereka. “Mengikut satu  kajian  yang  dibuat oleh kerajaan, terdapat  sekurang-kurangnya  300 pelajar  Melayu di universiti  yang telah mengaku betapa  tidak  menganggap  diri mereka  sebagai  orang  Melayu,  tetapi lebih  cenderung  mengambil sikap  bahawa   mereka  adalah  warga  Islam.”   Demikian  kenyataan  Mahathir  dengan  keluhan penuh sesalan. Dia pun mula  mengutuk warga guru dan  pensyarah  universiti, sambil mengitar  semula   tuduhan lama  betapa  mereka  inilah  yang  mengapikan  para pelajar  agar terus  membenci  regimnya.


Kita  tidak menafikan  adanya  sedikit kebenaran dalam tuduhan  Mahathir  itu. Sejak dia  menyingkirkan  bekas timbalannya  Anwar Ibrahim, dan memenjarakannya  atas tuduhan  yang gagal dibuktikan oleh pendakwa  raya  di  mahkamah, maka  bercambahlah  semangat  membenci  kerajaan  Mahathir  di  kalangan  orang  Melayu yang  hampir  keseluruhannya  beragama  Islam. Ribuan  Melayu pernah membanjiri  jalan raya  melaungkan  cogan kata  anti  kerajaan.  Walau pun  populariti Mahathir  telah  ditentangi  oleh  sokongan rakyat  terhadap Anwar,  yang  meraih keuntungan  besar dalam  kemelut itu  ialah  PAS.  Inilah yang menjadikan  PAS  satu  faktor  menonjol  dalam percaturan  penentuan  parti pembangkang sehingga  membolehkan  beberapa calon PAS  memenangi  beberapa  kerusi  tradisi  kerajaan  yang  memerintah  pada  pemilu  1999. PAS  menonjol,  walau pun wujud  penipuan  yang  hebat  melalui pengundi hantu  dan undi tipu yang  direncana  secara  menyeluruh  oleh  kerajaan  pimpinan  UMNO.


Semua ini  adalah  penunjuk kepada  satu  kebangkitan  di rantau  ini. Singapura,  yang merupakan  negara  yang  paling utuh  ekonominya  di  rantau  ini, telah lama  diberikan tanggapan  oleh  masyarakat Islam sebagai  satu  kerajaan  versi  Israel  di Asia Tenggara, telah membuat  pengakuan  terhadap  kebangkitan  Islam  ini. Lee Kuan Yew, menteri kanan Singapura  telah membuat pengakuan  terhadap kebangkitan  pergerakan Islam sejagat (yang disebutnya sebagai  “satu bentuk globalisasi Islamisasi”)  sejak 20 tahun  yang  lalu. “Ia sudah menjadi satu jenis  aktibiti sejagat  yang anti-Zion, anti-krused......yang perlu  kita awasi kerana  kalau  pergerakan ini  berakar umbi  di  Indonesia,  menjalar  ke  Malaysia dan menular ke  Johor, bererti kita  akan  diserang pula,” demikian  Lee  memberi  ingatan  kepada  jirannya.


Mahathir  sebenarnya tidak berminat  mendengar apa  kata orang  lain. Yang menjadi  agendanya yang  terutama  sekarang  ini  ialah  mendapatkan jemputan  ke  Rumah Putih.  Itulah  yang  diharapkannya  menjadi  satu langkah menukar  haluan  agar  diterima  oleh  kuasa  Barat  setelah begitu lama  bertindak  liar  dan  memandai-mandai  menyanggah  mereka.  Kerana itu dia  tidak mampu  mengenepikan apa juga  bentuk  hubungan  awam  yang  sengaja  dilakonkan. Satu contoh terbaik ialah terbitan sebuah artikel di Washington Times bulan  lalu  yang  memuji-muja  Mahathir  menggunung tingginya, sambil  menuduh Anwar  mempunyai  kaitan dengan    kumpulan militan  Islam.  Artikel yang ditulis  oleh  satu  ‘kumpulan  pemikir  yang tidak pun dikenali’ sebelum ini,   telah memberi  amaran  kepada  Amerika  supaya  tidak mudah diperdaya oleh   kebangkitan reformasi  Anwar, sambil  menyebut  lawatan Anwar menemui  Imam Khomeini di  Teheran  selepas tercetusnya  Revolusi Islam pada  1979. Tidak lama  kemudian barulah terdedah bahawa  apa yang disebut  kumpulan pemikir itu  adalah sebuah syarikat  kepunyaan  sepasang  suami-isteri.   Tidak  hairanlah  apabila  media  tempatan yang dikuasai sepenuhnya  oleh  Mahathir  terpaksa bersuara  menafikan  adanya  sogokan wang  dan  korupsi  dalam kempen  publisiti  haprak  ini.

Tamat
Diterjemahkan oleh  SPAR
14/9/01.

Hits: