Bilakah Kita  akan Sedar?
(When Will We  Learn)

Harry Browne


Serangan  terhadap  Amerika  (oleh  apa  yang  disebut  pengganas) telah mencetuskan satu tragedi yang  dahsyat sekali.  Tetapi, itu sepatutnya tidak menjadi  sesuatu  yang  mengejutkan.

Semua orang tahu, dalam peperangan yang mula-mula menjadi mangsa  ialah kebenaran. Dalam setiap  peperangan itu  kebenaran selalunya  bertukar menjadi propaganda.  Namun, kewarasan  yang  mula  menjadi  mangsa  pertama; kerana  disebabkan  ketiadaan fikiran  yang waras makanya tercetus  sesuatu peperangan  itu.

Dasar luar negara kita (Amerika) memang sudah tidak waras berdekad  lamanya.  Ia menunggu  masa sahaja  untuk  menghenyak rakyat  Amerika  agar  terlibat sama.   Itulah dia,  sudah menjadi lumrah dunia  apabila yang tidak berdosa selalu sangat  menanggung dosa orang  yang sebenarnya bersalah.

Bilakah kita  dapat menyedari hakikat betapa kita  tidak boleh membenarkan  ahli politik kita  mendera dan membuli dunia  tanpa  muncul pula orang lain untuk  membuli kita  sebagai  balasannya?

Presiden Bush  telah  membenarkan pengeboman berpanjangan di Iraq terhadap orang  yang tidak berdosa.  Presiden Clinton telah mengbom  orang  yang tidak berdosa di Sudan, Afghanistan,  Iraq  dan  Serbia.  Bush Senior  (ayah presiden  sekarang) telah menakluki Iraq dan Panama.  Presiden Reagan telah mengbom orang  yang tidak berdosa di Libya  dan  menakluki Grenada.  Begitulah  cerita   itu  seterusnya.

Apakah orang  yang kehilangan  keluarga dan sahabat-handai  serta harta-benda  dalam serangan  memusnahkan itu  boleh   bersimpati dengan Amerika  kerana  musibah yang kini ditanggungnya?   Sampai bilakah kita  dapat memahami betapa  keganasan itu  disambut dengan  keganasan  juga?

Pelajaran dan Iktibar

Reagan telah mengbom Libya  dengan tujuan mengajar  Muammar al-Qadaffi, mengenai  keganasan.  Tetapi, tidak  beberapa lama kemudiannya  sebuah  pesawat TWA  telah dimusnahkan  di Scotland, dan  kerajaan  kita yakin  bahawa Libya  yang  bertanggungjawab.

Bilakah kita akan sedar bahawa “mengajar seseorang sesuatu”  tidak pernah  berjaya  mencapai maksudnya  selain  dari  kedegilannya dan berkemungkinan mengajar  beliau  untuk tambah degil lagi.

Berapa kalikah  pada Selasa  dulu  kita mendengar seseorang menggambarkan serangan  ganas itu sebagai  satu  ‘tindakan bacul’?  Sedangkan  mereka sendiri pun   tersasar  jauh  sehingga  bersikap bacul juga?  Orang  yang  mencetuskan  keganasan itu telah  mengorbankan nyawa  mereka   untuk  memenuhi  segala  kepercayaan  yang ada  betapa  bodoh pun  kepercayaan  mereka itu.

Tetapi, bagaimana kisahnya dengan presiden Amerika  yang  memberikan arahan agar  rakyat  yang tidak berdosa  dihujani bom- sedangkan  presiden itu   berada  di tempat jauh  daripada  bahaya  pengeboman  itu?  Apakah perkataan  yang patut  digunakan   untuk  membayangkan   tindakan  mereka  itu?

Bilakah  kita akan sedar  bahawa  mengenepikan  kebenaran  dan  fikiran waras   ketika kita diserang  bahang  perang  akan  disusuli  oleh  kekalahan  yang  sudah  pasti?

Kehilangan  Kebebasan yang Terakhir

Kini,  seperti hakikatnya  bahawa  malam mengekori  siang, kita akan diberitahu agar  bersedia  berkorban  merelakan sedikit kebebasan kita itu  membalas dendam sesuatu  yang sepatutnya  tidak  pun  berlaku.

Bilakah kita akan sedar  betapa  adalah tidak masuk akal merelakan kebebasan kita  atas nama kebebasan?

Apa  yang patut dilaksanakan?

Pertama,   hentikan  kerja  gila. Undur  dulu dan fikirkan bagaimana  perkara ini boleh  berlaku.  Cuba persoalkan  kenapakah sebuah negara  yang kaya  raya dan dipisahkan oleh dua  samudera yang  luas terbentang  sanggup  bergelumang  dengan  masalah  orang  sehingga  ada pihak  yang  sanggup  bertindak balas  pula. Kalau kita  perhatikan Switzerland  yang  terletak di tengah-tengah Eropah  tidak pun dikacau jembalang   kerana mereka tidak menjaga tepi kain orang.

Kedua,  ambil pendirian agar  pemimpin  kita tidak menggunakan   bencana  yang melanda sebagai alasan untuk  mencetuskan keganasan  mereka pula  terhadap orang  yang tidak berdosa, di luar  negara ataupun  dalam negeri  sendiri, kerana ini  akan mengundang  banyak keganasan  lagi.

Ketiga,  carilah jalan dengan  menggunakan  kuasa  undang-undang menghalang  pemimpin kita  agar tidak mencetuskan kerja-kerja  kebinatangan yang  akan mencetuskan kemarahan terhadap Amerika.

Patriotisme?

Tentu ada  pihak yang akan berkata artikel itu  tidak patriotik dan berunsur  bukan Amerikan – dan ini  bukannya masa  mempersoalkan  pemimpin kita ataupun  negara kita.

Bilakah kita  akan sedar bahawa  tanpa  kebebasan dan  kewarasan, memang tidak ada semangat  patriotisme?


Harry  Browne: 13 September, 2001.

Hits: