Mengenang   Osama Bin Laden 
(Rethinking Osama bin Laden)

Oleh:   Preston Mendenhall  dan Robert  Windren.

KANDAHAR, Afghanistan: Di bahagian luar  kubu kuat Taliban, yang  kadang kala  disebut  sebagai tempat kediaman Osama bin Laden  memang terdapat beberapa  jaringan  rumah  kediaman  yang dianggap selamat dari  jangkauan Amerika.  Di sinilah insan yang paling  dikehendaki oleh Amerika dikatakan menjadi perancang  utama serangan  terhadap pengkalan kepunyaan Amerika. Setelah gagal  menangkap Osama  untuk pengadilan  melalui serangan peluru berpandu  dan sekatan ekonomi terhadap  kerajaan  Taliban, Washington kini  mengendurkan tonjolannya terhadap imej  pelarian Saudi itu  sebagai  musuh utama  Amerika. Ini adalah disebabkan satu kesedaran, yang mungkin terlambat betapa ia  telah  mencetuskan satu gambaran seorang legenda  yang sanggup mati syahid  di kalangan  berjuta  mujahidin  yang anti Barat.

Apabila namanya dikaitkan  kepada  satu jumlah  angka yang semakin membesar  yang ada hubungkait dengan  keganasan sejagat,  Osama bin Laden telah mendapatkan perlindungan di  Afghanistan pada 1996,  dan telah diterima  oleh pemerintah militia Islamik Taliban sebagai seorang  wira yang  berjaya memerangi  kerajaan proksi Soviet  pada 1980-an dulu.

Mereka  yang  ada  berpengetahuan rapat  dengan  Osama pernah berkata  bahawa beliau sudah  dapat  menyesuaikan dirinya.

Melepaskan  Kebendaan  Kaya-raya

Walau pun beliau  adalah seorang  hartawan  hasil warisan kekayaan  keluarganya, Osama sanggup  melupakan  segala bentuk kemewahan  seorang hartawan Arab untuk menumpukan diri  kepada  perjuangannya.

“Osama bin Laden memang  ceria  ketika bersama para  pejuangnya. Dia kelihatan tenang dan selamba, “kata salah seorang  Afghan  yang  biasa memahami  cara  hidup Osama Laden.

Tempat  persembunyian  seperti Kandahar, yang  merupakan salah satu bandar raya besar  di Afghanistan,  memberikan  peluang  kepada Osama  untuk mendapatkan  segala keperluan untuk hidup secara  bersahaja. Kedudukan  bandar  yang  terletak  di puncak satu laluan dagang   antara  Pakistan di bahagian  barat dan  bekas republik Soviet  di bahagian utara,  barisan kedai di Kandahar  memang  dipenuhi  lorong belakang laksana sarang  yang dipenuhi  barangan seludupan.

Bahagian risik Amerika  telah  membelanjakan  wang  yang banyak  untuk mengesan orang yang  paling dikehendaki di Amerika, tetapi  Osama bin Laden  terus berjaya mengelakkan tangkapan  mereka.

A.S.  Kehilangan  Jejak

Pegawai risikan A.S. kini  mengaku   mereka  sudah dapat  maklumat  yang lebih baik daripada  yang pernah  mereka simpan  mengenai  kedudukan  Osama selepas   letupan kedutaan Amerika di Afrika pada  1998  yang didakwa  telah dirancang  oleh Osama  Laden. Walau pun empat orang sudah tertangkap dan didakwa,  dengan dua orang  yang mungkin menerima  hukuman mati,  para  pegawai  Amerika masih tidak yakin mereka  sudah mampu mengesan pergerakan  kecil Osama  yang  sebenarnya.  “Kami mungkin tahu  bandar tempat dia bersembunyi, tetapi kami tidak pasti di mana dia  bersembunyi dalam bandar itu,” demikian kata seorang pegawai risikan.

Sebaik tiba di Afghanistan  lima tahun  dulu, Osama terhidu satu rencana  CIA untuk memerangkapnya, dengan cara  menggunakan khidmat  beberapa petugas  yang berpengkalan di Pakistan.  Mengikut cerita pelbagai sumber  Afghan,  sejak itu  Osama  telah memperkasakan   pasukan kawalannya  dan berpindah-randah antara  beberapa rumah persembunyian  yang  dianggap selamat, jauh di pendalaman  Afghanistan  -  dan jauh dari jangkauan  penguatkuasa  undang-undang  sejagat.

Walau pun berusia  44 tahun, Osama terus  berpindah-randah  sambil diberikan perlindungan oleh pasukan  pengawal yang  menggunakan  kereta  pacuan 4x4  yang  mempunyai jendela gelap.

Ada sumber yang melaporkan Osama  bergerak di waktu  malam  kerana Taliban telah memberitahu beliau dan  kumpulan  pembantunya   agar  menyesuaikan diri untuk bersahaja di kalangan  masyarakat  marhaen Afghanistan  yang  memang  melarat  hidupnya.

Kebenaran  Untuk   Beroperasi Dengan  Bebas

“Osama  Laden memang jarang dapat  dilihat  kerana itulah  perancangan Taliban.” Demikian kata seorang Afghan  yang pernah berjuang  di sisi Osama  ketika mereka sama-sama berjuang menganggotai kumpulan mujahidin  Anti Soviet. “Tetapi, dia  bebas melakukan apa  yang disukainya.”

Kebebasan  untuk beroperasi  secara itu telah  membingungkan  Washington, terutama sekali sejak Osama  Laden sedar  betapa  panggilan  telefonnya  melalui  satelit  dapat dikesan dan  dihalang. Dia pintar mencampuradukkan   kecanggihan  cara bertelekomunikasi abad ke-19 dengan   ke-20an  untuk  menghantar  arahannya. Mengikut  sumber risikan A.S., Osama Laden  menggunakan   rangkaian  ‘courier’ (utusan) “Pony Express”   untuk membawa mesej berahsia  yang mengandungi data  dan maklumat  dan  diagihkan  kepada utusan  lain di  negara  yang  menjadi sasarannya. Apabila tiba  di destinasi yang dikehendaki, mesej itu pun  ditafsirkan.

Pelarian Saudi itu  telah dilihat  baru-baru ini   membaca puisi di majlis perkahwinan anak  lelakinya  di  Kandahar.

Para  pegawai  A.S. begitu  hampa dengan ketandusan maklumat  terkini mengenai Osama Laden sehinggakan  mereka mampu  merasa ceria  apabila  Taliban  membuat  satu aduan yang  tersilap  mengatakan  adanya pasukan khas  Amerika untuk menjejaki Osama Laden.

Askar  Amerika  memang telah dilatih untuk  menyerkap dan  menangkap  Osama Laden dalam misi  khas. Tetapi, Washington belum menghantar askar  terlatih khas ini  ke Afghanistan. “Biarlah mereka berfikir yang  kita telah  lakukan,” kata seorang pegawai Amerika.

Mengenang  Osama  Laden

Kelicikan  Osama  melepasi  operasi  Amerika itu  membuatkan  A.S.  mengkaji semula cara menangkapnya. Kini Amerika sedar  betapa  Osama  memang  suka  bersendirian dan kaedah mencemuhnya  membuatkan beliau diberikan  status  terhormat  oleh  dunia Islam.  Kerana itu  pentadbiran  Bush  cuba  mengendurkan  strategi  dan propaganda menonjolkan  nama Osama sebagai  perancang  utama  keganasan.

Ada satu  laporan tahunan  terbaru  berjodol “Patterns of Global Terrorism” (Corak Keganasan Sejagat)   yang diterbitkan oleh  Jabatan Negara dan CIA Laporan itu memberikan  kisah  peranan jaringan “Alumni Afghan”  -  anggota pasukan anti-Soviet  pada 1979  dulu  yang ditaja  oleh Amerika. Inilah helah  memperakukan  keperwiraan anggota itu    sebagai melenyapkan  taktik mencemuh  peranan seorang  insan  kerana tindakannya mengganyang Amerika.

Dalam  satu kisah pada  Oktober 2000  di  mana kapal induk USS Cole telah diserang di Yemen, dan pengeboman  kedutaan Kenya  dan  Tanzania pada 1998, “dua  episod  di mana Amerika telah  menuduh  secara  terbuka  pembabitan  Osama  Laden”  tidak pun disebut sebarang  rujukan  kepada  penglibatan jutawan Saudi  itu.

Strategi Baru  Yang Mungkin Terlambat

Akan tetapi, strategi Washington  untuk  menghentikan  usaha menyuluh   Osama Laden mungkin  merupakan sesuatu  yang  terlambat.

Hari ini, di setiap  kem pelarian Afghan  di Pakistan, nama  kanak-kanak  yang paling popular  ialah Osama. Banyak  syarikat niaga  tempatan  yang  menggunakan  nama ‘Osama’ sebagai salah satu  rangkaian nama  syarikat  mereka.

Usaha  Amerika  memfitnah  Osama Laden telah menjejaskan hubungan  diplomatik dan kemanusiaan di Afghanistan. Para   pegawai dan petugas  organisasi bantuan  itu mempunyai  satu  rujukan  kepada  perkara  ini: ‘Faktor OBL’.

“Osama bin Laden  adalah laksana awan mendung  di angkasa  Afghanistan,” kata Yusuf Hassan,  ketua  operasi South  and Central for the  United Nations High Commission  for Refugees (Suruhanjaya  Pelarian  tajaan  PBB).

Pendekatan  Washington  yang  disebut “all-Osama-all-the-time”  telah mendingini perhubungan  diplomatik dengan  beberapa  negara sekutunya di rantau itu, terutama sekali Pakistan, yang merupakan  segelintir  negara  yang  mengiktiraf  kerajaan Pakistan.

Ada seorang  diplomat kanan di Kabul  yang  bersuara  dengan syarat  tidak disebut namanya,  memberitahu MSNBC.com  bahawa  Washington  telah  mengambil satu ‘kaedah pintas’ dalam satu rantau  yang  sungguh  bergelora  dalam usaha   menyelesaikan masalah yang memerlukan  masa  yang  panjang.

“Amerika Syarikat  amat ghairah  menyelesaikan  perkara itu, tetapi ia tidak mempunyai dasar  yang  jitu,”  kata  diplomat  itu.

Kehadiran  Amerika  yang  Lebih Menonjol di Rantau Terdapat banyak petanda,  bagaimana  Washington semakin  berminat  untuk meningkatkan pembabitannya  di rantau  ini.   National  Security Agency (NSA:  Agensi Keselamatan Negara)   telah mula  memasang iklan untuk mendapatkan khidmat   juru bahasa Uzbek untuk  turut  menganggotai  kumpulan  juru bahasa   seperti  Pashto, bahasa utama di Afghanistan dan bahasa  Arab  yang merupakan bahasa  ibunda  Osama  Laden.

Amerika Syarikat telah juga  menaja  CENTRALASBAT,  ataupun  latihan  bersenjata bagi wilayah  tengah  yang  membabitkan ratusan  komando  daripada  A.S., Uzbekistan, Kazakhstan, Kyrgyztan  dan  Turki. Latihan ini membabitkan   aksi terjun daripada helikopter  dan  pesawat udara yang  terbang  rendah   di kawasan latihan  yang bersempadan di antara  bekas  jajahan Soviet  dengan  Afghanistan.

Amerika  Masih  Hangat  Menjejaki  Osama  Laden

Pihak tentera  telah  menayangkan  barisan pesawat  dalam kumpulan C-17 yang merupakan pesawat  pengangkut  jarak jauh  daripada  Amerika terus  ke  Asia Tengah. Ini merupakan ‘satu  rekod  penerbangan  jarak jauh’ sebagai satu ingatan dan  sindiran kepada kerajaan di Asia Tengah  betapa Amerika mampu   bertindak cepat  dalam krisis  yang memaksa bantuannya.

Di sebalik  sikap Washington  berlembut  dalam usaha  mengutuk Osama Laden, para pegawai melaporkan betapa  mereka masih galak menjejaki  persembunyiannya.

“Dia masih  ghairah  mencetuskan  satu  serangan  in Amerika Syarikat,” kata seorang pegawai. "Dia semakin  ghairah  menggunakan  senjata  yang  berbentuk  pemusnahan massa - kimia, berbentuk biologi ataupun radiologi – dalam serangannya.”

Terjemahan SPAR

Hits: