KEBANGKITAN ISLAM DAN KESANNYA  DALAM KEHIDUPAN

Tazkirah ( 12 ) : Petikan Dari Tulisan Dr. Yusuf Al-Qardawy

Alhamdulillah. Segala Puji-Pujian hanyasanya layak untuk Allah s.w.t. sahaja. Salam dan Selawat ke atas junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.

Kita masih lagi memerhati dan menunggu-nunggu keputusan Amerika Syarikat tentang kes letupan       di World Trade Centre dan Pentagon tempuh hari. Dr. Yusuf Al-Qardawy pun telah mengeluarkan pendapatnya yang menyanggah akan tindakan yang dilakukan oleh " Penyerang-penyerang " tersebut. Namun apapun keputusan yang dinanti-nantikan saya rasa pertumpahan darah oleh keturunan Nabi Adam a.s. akan berlaku dalam masa yang terdekat ini. Kita pasti ingat akan dialog di antara Allah s.w.t. dan para malaikat ketika Allah menceritakan perancanganNya untuk menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi ini. Namun apapun Allah s.w.t. lebih mengetahui hakikat perancanganNya dan Allah s.w.t. adalah " Sebaik-baik Pencipta " - Subhanallah. Kita sebagai Muslim yang berpegang kepada Al-Quran dan Hadis akan meneruskan perjuangan kita untuk mendaulatkan Islam di Malaysia seterusnya di dunia - Insya-Allah. Kita akan bersama-sama Jemaah Islam dan bersama - sama kepimpinan ulamak akan meneruskan agenda Islam kita - Allahuakbar.

Kali ini kita akan bersambung dari buku PETANDA - PETANDA KEMENANGAN ISLAM dari mukasurat 83-87.

Kebangkitan Islam Dan Kesannya Dalam Kehidupan KeIslaman :

Orang yang berakal lagi bersikap adil tidak akan mampu untuk menafikan kesan Kebangkitan Islam dalam kehidupan moden. Satu kebangkitan yang telah memenuhi timur dan barat serta ia telah menerangkan Dunia Islam dengan cahaya Islam.Kemudian ia dibawa bersama oleh umat Islam yang pergi keluar daripada negara Islam di kalangan minoriti Islam yang kecil ataupun besar di seluruh pelusuk alam dan dengan itu jutaan pemuda dan pemudi telah mendapat petunjuk Allah.

Dengan kebangkitan ini, akal telah bangun dan sedar, hati telah dipenuhi dengan iman dan semangat, kehendak telah didorong kepada komitmen dan amal serta ia telah memberikan kesan kepada golongan lelaki dan wanita. Ia telah merubah kefahaman generasi baru. Ia memindahkan mereka daripada pemikiran sekular kepada pemikiran Islam, daripada taat setia ( wala' ) kepada barat kepada taat setia kepada Allah dan RasulNya. Daripada menjadi pengikut barat kepada manusia yang merdeka. Lalu bangunlah generasi Muslim yang beriltizam dengan Islam dari sudut akidah dan syariat, pemikiran dan tingkah laku, risalah serta tamaddun. Kita mengharapkan agar mereka menjadi generasi Islam yang dicitakan.

Kebangkitan ini telah membuktikan kewujudannya pada sudut pemikiran di mana Pustaka Islam moden telah dipenuhi oleh pelbagai kajian dalam pelbagai sudut keIslaman. Buku-buku Islam berada di tempat pertama dari sudut pasaran dan edaran, serta telah diterbitkan ratusan tesis Sarjana dan Kedoktoran dalam pelbagai sudut pengetahuan Islam dalam ekonomi, politik, undang-undang, pendidikan, sejarah dan pelbagai ilmu kemanusiaan serta sains sosial.

Kebangkitan Islam telah membuktikan kewujudannya pada sudut tingkahlaku di mana masjid-masjid dipenuhi oleh jemaah lelaki dan wanita khususnya di kalangan pemuda dan pada musim haji dan umrah, mereka telah bersesak pergi menyahut seruanNya. Wanita yang mendedahkan aurat juga telah kembali kepada hijab secara sukarela.

Kebangkitan Islam telah membuktikan kewujudannya pada sudut ekonomi di mana telah ditubuhkan bank-bank Islam dan Institusi kewangan Islam serta ia meluas di pelbagai negara di seluruh dunia.

Kebangkitan Islam telah membuktikan kewujudannya pada sudut politik dan ia telah memiliki massa dan dokongan masyarakat yang luas yang mengajak kembali kepada Islam dan pelaksanan syariah Islam. Telah bangun negara Islam Syiah di Iran, negara Islam Sunni di Sudan dan ia juga hampir bangun di Algeria kalaulah bukan kerana kejayaan itu telah dirompak di tengah jalan dan mereka terhalang daripada memetik buah yang mereka pilih sendiri.

Kebangkitan Islam telah membuktikan kewujudannya pada sudut jihad di mana di Afghanistan ia telah berjaya menewaskan Soviet Union, di Bosnia-Herzegovina ia menewaskan keganasan serbia, intifadhah dan para remajanya serta penentangan Islam dan pejuangnya telah mengegarkan Zionis yang sebelum ini dianggap sebagai negara yang tidak boleh dicabar dan kekuatannya tidak boleh diusik!

Fenomena-fenomena ini dan selainnya telah menggerakkan keinginan jahat di kalangan kuasa yang memusuhi Islam, umat dan kebangkitannya. Lalu mereka berkumpul untuk menjatuh dan mengalahkannya serta menumpaskan kebangkitannya. Yitzhak Rabin telah berkata dalam persidangan di Fez, Maghribi: Bahawa musuh kita yang azali ialah fundamentalis, kelaparan dan dadah! Hakikatnya beliau menyebutkan kelaparan dan dadah sebagai usaha untuk berselindung dan melontar debu ke dalam mata. Maksud beliau yang utama ialah fundamentalis dan kalau anda mahu menterjemahkannya secara hakiki ialah kebangkitan Islam! Jelasnya kita hidup pada era Israel dan Samiri! Israel adalah pemerintah dan pengawas di kawasan kita dan ia dengan penuh licik telah berusaha untuk mengyahudikan akal Arab dan mengyahudikan media massa Arab. Maka tidak hairan sekiranya kita mendapati bahawa peperangan telah diisytiharkan terhadap kebangkitan Islam, dakwah Islam dan Gerakan Islam di bawah pelbagai nama dan semuanya itu adalah untuk memberikan khidmat yang satu iaitu: Kekalnya Israel, penguasaan Israel dan peluasan Israel, namun dengan izin Allah kebangkitan ini akan kekal abadi.

Gerakan Islam Adalah Yang Paling Kuat dan Paling Mantap :

Memang benar bahawa Zionis dan sekutunya gerakan Salib sedang merancang untuk memukul Islam dan kebangkitannya. Keduanya juga membantu gerakan-gerakan yang memusuhi Islam dengan pelbagai kekuatan dan pengaruh.

Tetapi apabila kita mendalami dalam menilai kekuatan yang kita miliki dan yang mereka miliki maka kita akan mendapati bahawa pihak gerakan Islam- Alhamdulillah - adalah berada pada pihak yang utuh dan mantap.

a. Kita dengan Islam akan memiliki aset yang amat besar yang tidak akan dimiliki oleh dakwah yang datang dari sana atau sini. Di sebalik Islam wujud kekuatan massa yang luas lagi beriman dengan Allah, Al-Quran dan Nabi Muhammad yang mana mereka mencari-cari pemimpin yang boleh membawa mereka dengan nama Allah, meletakkan tangannya pada tangan Rasulullah s.a.w. Maka pada saat itu, harta akan dibelanjakan dengan penuh redha dan rela, nyawa diserahkan dengan penuh kepatuhan dan kegembiraan. Umat ini telah beragama secara fitrah dan berdasarkan sejarahnya. Agama adalah kunci keperibadiannya dan pengilat kepakarannya, pencipta kegagahannya, rahsia kejayaannya yang agung. Mereka lebih cepat menyahut seruannya daripada seruan mana-mana dakwah yang menyusup masuk dibawa oleh penceroboh ataupun disemai oleh mereka yang tamak dan sentiasa mencari peluang.

Kita telah mencuba kesan perkara ini pada 10 Ramadhan tahun 1394H ( 6 Oktober 1973 ) dan telah jelas kesan Allhu Akhbar itu dimedan pertempuran.

b. Kita juga memiliki kekuatan Manhaj yang kita serukan dan kekuatan prinsip Islam yang agung lagi abadi. Kita memiliki kekuatan Islam yang tercermin pada kejelasan, kesyumulan, kedalaman, keseimbangan dan pengaruhnya. Islam adalah satu akidah yang mengetuk akal, ibadah yang menyucikan jiwa, akhlak yang seiringan dengan fitrah, hukum yang memenuhi keseimbangan dan keadilan, mengusir kerosakan, membawakan kemaslahatan dan memberikan setiap yang berhak akan haknya. Tidak akan dilebihkan secara melampau hak bagi seorang individu dalam satu masyarakat sebagaimana falsafah kapitalis dan tidak ada kelebihan hak bagi masyarakat yang boleh mengatasi hak individu sebagaimana falsafah Marxis. Bahkan ia adalah satu keseimbangan yang sempurna, tidak melampau dan tidak merugikan pada timbangan.

Di antara bukti kekuatan Islam Yang paling menonjol ialah ia bukan daripada ciptaan manusia, bahkan ia adalah diturun dari sisi Tuhan Sekalian Alam. Unsur ketuhanan padanya ini telah menjadikan ia bebas daripada melampau atau cacat, lemah ataupun kurang yang sentiasa menimpa setiap manhaj yang diciptakan oleh manusia untuk diri mereka.

Ciri ini juga telah menjadikan ia paling mudah untuk diterima dan diikuti oleh majoriti manusia kerana ia membawa manusia tunduk kepada Tuhannya yang telah menciptakannya, memberikannya nikmat, melimpahkannya dengan rahmat dan daripadanya diharapkan ganjaran dan azabnya ditakuti. Berbeza dengan prinsip-prinsip ciptaan manusia yang hanya memberikan manusia rasa bimbang ataupun tamak yang mana manusia cuba lari daripadanya semampu yang boleh.

Di antara punca kekuatan di dalam Islam ialah ia merupakan satu manhaj yang timbul dari dasar umat dan ia bukanlah satu perkara asing yang menyusup masuk ataupun kebetulan mendatanginya di mana ia memerlukan tekanan material atau spritual agar ia ditelan ataupun dihirup secara redha.

c. Kekuatan yang terkandung di dalam manhaj Islam tidak akan dapat dizahirkan kecuali dengan kekuatan yang tersembunyi di dalam tubuh badan umat Islam sendiri.

Kekuatan tersebut pernah meletus sewaktu umat Islam di dalam keadaan lemah, berpecah dan terhina lalu ia menghancurkan tentera Salib di Hittin dan Tatar ditewaskan di "Ain Jalut serta Louis IX telah ditawan di Dar Ibnu Luqman di Al-Mansurah.

............. bersambung lagi, Insya-Allah.

H.M.SUBUH

Hits: