MINDA WEBMASTER

RUNTUHNYA SATU TAMADUN BANGSA

Allah berfirman (bermaksud):

"Demi sesungguhnya adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah), yang terdapat di tempat tinggal mereka iaitu; dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampong mereka), (lalu dikatakan kepada mereka): Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya; negeri kamu ini adalah negeri yang baik ( aman dan makmur) dan Tuhan kamu adalah (Tuhan Yang Maha Pengampun)"

"Maka mereka berpaling (ingkar), lalu Kami hantar kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon bidara"

"Demikianlah Kami membalas mereka disebabkan kekufuran mereka dan sebenarnya Kami tidak menimpakan balasan yang demikian melainkan kepada orang-orang yang amat kufur" (Ayat 15, 16 dan 17 Surah Saba')

Pada 12 September lalu kita dikejutkan dengan berita beberapa buah kapal terbang yang dirampas oleh sekumpulan manusia yang berani lalu merempuh bangunan Pusat Dagangan Dunia (World Trade Center) dan bangunan Pentagon yakni di mana terkumpulnya satu sistem perdagangan dan pertahanan paling canggih di dunia ini. Pelbagai analisis kita baca mengenainya dan juga seperti yang pernah kita siarkan dalam laman ini adalah semata-mata untuk membiarkan minda anda menilai akan perkara yang hak dalam situasi segawat itu. Kepada mereka yang beriman, peristiwa 12 September ini dianggap satu peringatan dari Yang Maha Esa bahawa setinggi mana pun ilmu kita, atau sedalam mana sekali pun pengetahuan kita dengan segala kecanggihan teknologi mengikut peradaban masa, maka kekuatan itu semua akan hancur sekiranya kita tidak tunduk kepada sistem yang lebih canggih dan sofistikated sebagaimana yang dianjurkan dalam Al-Qur'an.

Kepada manusia yang lainnya, mereka mungkin menganggap ini peristiwa biasa. Kejahatan 'pengganas' (terrorist) yang lahir dari sifat kedengkian kepada sekumpulan manusia lain agar tidak terlalu maju. Aktiviti 'pengganas' ini digambarkan 'zalim' seperti mana yang anda saksikan apabila rempuhan itu bertukar menjadi satu kebakaran maha hebat yang memusnahkan kemajuan teknologi yang dibina. Semuanya hancur dalam sekelip mata sahaja!!

Surah Saba; sebagai satu peringatan

Marilah kita bandingkan peristiwa yang terjadi 12 September itu dengan apa yang terjadi tatkala sebuah negara yang dikenali sebagai Saba' yang juga memiliki kemajuan teknologi yang canggih pada peradabannya. Sebuah empangan yang dibina dikenali sebagai Empangan Maarib adalah lambang kemajuan teknologi manusia di zaman itu, seperti mana Bangunan WTC dan Pentagon. Jika kita hendak mengaitkan dengan negara kita, bolehlah kita samakan teknologi pembinaan Empangan Maarib itu sama atau mungkin lebih baik dari Empangan Bakun di Sarawak yang belum jadi kenyataan sehingga hari ini. Apa yang pasti teknologi itu nyata lebih hebat, sehebat bangunan berkembar Petronas atau Litar F1 di Sepang, mahupun oleh kehebatan jambatan terpanjang yang menghubungkan tanah besar Semenanjung Malaysia dengan Pulau Pinang.

Akibat dari kemajuan dalam pembinaan Empangan Maarib itu, maka dinyatakan dalam Al-Qur'an di sebelah kiri dan kanan kampongnya itu bererti di sebelah kiri dan kanan empangan itu maka terjadilah kesuburan tanah yang hebat sehingga menghasilkan aktiviti pertanian yang agung dalam sejarahnya. Maka aktiviti ekonomi berasaskan pertanian itu telah melonjakkan negara Saba' sebagai negara yang aman dan makmur, penduduknya hidup aman dan harmoni.

Akan tetapi satu perkara yang perlu dinyatakan di sini bahawa negara Islam Saba' itu yang diwarisi kependudukannya oleh sebahagian besar umat Islam; sebagaimana kadar 10 juta penduduk  di negara kita atau 7 juta umat Islam di Amerika Syarikat; maka mereka itu tetap tidak mahu melaksanakan hukum yang diturunkan Allah ketika itu. Dengan erti kata lain penduduk Saba' maju tetapi tidak menerima ajaran agama Islam yang disampaikan kepada mereka. Tidak menerima bukan bererti mereka menolaknya secara total, bahkan mereka menerima apa yang mereka sukai dan mereka menolak apa yang bertentangan dengan naluri kehidupan bernafsu dalam diri mereka.

Pilih memilih dalam soal hukum Allah adalah satu maksiat yang besar kepada Allah s.w.t. Memilih mana yang suka dan melupakan mana yang kita gemari melakukannya. Maka balasan kepada sebuah negara yang 'mengerjakan maksiat' lagi derhaka kepada Allah s.w.t. maka Allah mendatangkan malapetaka yang sesuai dengan kemajuan teknologi peradaban manusia ketika itu. Maka bagi penduduk Saba' yang memiliki kemajuan pembinaan empangan terbesar di dunia tatkala itu dengan teknologi pengairan yang tercanggih sehingga lautan padang pasir yang kering kontang mampu bertukar menjadi permaidani emas yang menghidangkan pelbagai jenis tanaman yang subur lagi berjenis-jenis sehingga tidak mampu dibilang; banjir yang besar melanda sehingga runtuhlah tamadun kemegahan bangsa Saba' yakni hancur leburlah empangan Maarib dalam sejarah manusia yang derhaka kepada sistem Allah yang Maha Agung lagi Maha Sempurna itu.

Hancur sesebuah negara kerana derhaka kepada Allah dan juga peringatan

Dalam sejarah peradaban manusia moden, selain tragedi ngeri 12 September lalu kita juga pernah mendengar betapa sebuah negara Islam Turki mengalami gegaran gempa bumi maha dahsyat beberapa tahun lalu. Masih di ingatan kita sebuah masjid masih terpelihara kukuh dari kehancuran yang melanda sebahagian besar negara Turki pada tahun 1999 itu.

Firman Allah (bermaksud):

"Yang demikian, adalah sebahagian dari khabar berita penduduk (negeri-negeri yang telah dibinasakan) Kami ceritakan perihalnya kepadamu (wahai Muhammad), di antaranya masih wujud (sisa-sisanya yang dapat disaksikan) dan ada pula yang telah hancur lebur (hilang lenyap)" - ayat 100 Surah Hud

Makanya dalam setiap peradaban manusia Allah turunkan kepada manusia di zaman itu akan 'mala petaka' kepada manusia agar menjadi satu peringatan kepada yang beriman akan kebejatan iman yang mereka miliki itu dan kepada yang belum beriman, tragedi ini adalah satu iktibar bahawa ada yang lebih hebat dari kehebatan yang mereka miliki dan lebih canggih dari kecanggihan yang mereka ciptakan. Jika dimisalkan seekor tikus yang melintasi ruang udara Pentagon atau negara hebat seperti Amerika Syarikat, maka radar akan mampu memberikan isyarat pencerobohan dan pastinya tikus itu mampu ditangkap atau dimusnahkan. Demikianlah canggihnya sistem pertahanan sebuah negara yang tidak mendaulatkan hukum Allah, bahkan sebaliknya kini mereka lebih memusuhi Islam, yakni bererti mereka semakin memusuhi Allah.

Allah tidak musnahkan negeri mengikut sesuka hati

Firman Allah bermaksud:

"Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan, kehidupan di dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur aduklah tanaman di muka bumi ini antara satu sama lain, (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu; kemudian menjadilah ia hancur (kering) ditiup angin, dan ingatlah adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." - ayat 45 Surah Al-Kahfi

Peringatan dari ayat di atas kepada kita ialah sebaik mana sistem yang diwujudkan oleh manusia itu, maka ianya tidak dapat menandingi kuasa dan penciptaan Allah.

Firman Allah bermaksud:

"Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu beriman atau bertaqwa, tentulah Kami akan membukakan kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari itu dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa mereka usahakan.

Patutkah penduduk-penduduk negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman dari kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari atau pada siang hari" - ayat 96 dan 97 Surah AlAraaf

PERINGATAN KEPADA YANG BELUM MAHU MENGINGATI

Marilah kita melihat tragedi 12 September itu, serta lain-lain kejadian seumpamanya sebagai satu pengiktibaran dan dorongan yang berpanjangan kepada tuntutan kehidupan kita yang sebenarnya. Tuntutan itu tidak lain tidak bukan ialah untuk melaksanakan hukum dan perundangan Islam yang terkandung dalam 6,666 ayat Allah serta ribuan lagi oleh hadis-hadis sahih. Tidak ada sebarang 'dalihan' patut diberikan dalam melaksanakan tuntutan ini.

Maka selagi tuntutan ini tidak dilaksanakan tinggallah kita semua dalam kemurkaan Allah dan kesedihan para Nabi. Maka akibat dari tuntutan itu ianya tetap menjadi satu kewajipan kepada manusia lain selagi tidak dilaksanakan. Dan jika ada sekelompok manusia yang mahu  berjuang mendirikan  tuntutan ini wajarlah kita memberikan sokongan padu dalam apa jua cara yang termampu.

Di negara kita umpamanya PAS berjuang bagi mendaulatkan hukum Allah melalui tuntutan melaksanakan hukum hudud. Maka sebagai umat Islam, selagi tidak terdirinya hukum ini, maka berdosalah kita sekelian. Justeru itu saya menyeru kepada anda sekelian tidak kira daripada apa bangsa dan agama untuk menyokong perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Ketahuilah bahawa hanya Islam yang dapat menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan sejati di dunia sampai akhirat. Di dalam hal ini janganlah hendaknya kita terpedaya dengan propaganda dan canangan bahawa kemakmuran kehidupan kita serta keamanan yang wujud sejak kita merdeka adalah kerana kukuhnya kerajaan BN yang memerintah selama 44 tahun. Mengapa saya katakan begitu? Ini adalah kerana sebuah negara yang lebih hebat, moden dan canggih menjadi jaguh dunia belum tentu mendapat perlindungan akibat keingkaran mereka kepada Allah.

Janji Allah itu tetap benar, yakni akan terus memelihara sesebuah negara selagi mereka patuh dan taat kepada-Nya. Ini berlaku setelah Firaun dibinasakan kerana keangkuhannya itu. Firman Allah yang bermaksud:

"(Dengan kisah Firaun itu) maka ada baiknya penduduk sesebuah negeri itu beriman (sebelum mereka ditimpakan azab), supaya imannya itu mendatangkan manfaat menyelamatkannya. Hanya kaum Nabi Yunus sahaja yang telah berbuat demikian - ketika mereka beriman Kami elakkan azab sengsara yang membawa kehinaan dalam kehidupan dari menimpa mereka, dan Kami berikan mereka menikmati kesenangan sehingga ke suatu masa (yang Kami tentukan)." ayat 98 Surah Yunus.

Wallahua'lam.

Polong Cyber
Webmaster Minda Rakyat

Hits: