'Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah'

Sejauh mana tepatnya pepatah ini kepada parti UMNO/BN yang dikepalai Dr Mahathir dan Pak Lah sekarang. Pemerintahannya yang dipenuhi dengan amalan-amalan penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah, nepotisme, kronisme, penindasan dan kezaliman. Manakala kezaliman demi kezaliman terus menjadi-jadi dalam pemerintahan mereka dengan mengaibkan, menfitnah, menuduh, menahan, menangkap, mendakwa, memenjarakan musuh politiknya melalui penggunaan Akta ISA, Hasutan, Rahsia Rasmi, Penerbitan, Polis, Cetak dan lain-lain sudah cukup mencerminkan kezaliman itu. Dalam keadaan nilai-nilai keadilan ditutup-tutupi, disembunyikan dan disamar-samarkan oleh mereka. Mata rakyat ditutup, telinga rakyat disumbat dan hati kecil rakyat digelapkan, jadi bagaimana rakyat boleh melihat rupa sebenar keadilan dalam negara ini. Sedang kezaliman, penindasan dan ugutan terhadap rakyat terus berlaku di sana-sini dengan polis menjadi pelakon kepada kezaliman penguasa di atas sana.

Apakah masih ada erti 'raja adil raja disembah' itu dalam kepimpinan UMNO/BN sekarang. Atau 'pemerintah adil pemerintah ditaati' benar-benar menjadi dasar pemerintahan UMNO/BN. Dalam keadaan rakyat yang dikuasai oleh pembangkang dianaktirikan, didiskriminasikan, hak royalti minyak Terengganu tiba-tiba diubah ikut selera mereka, peruntukan wajib kepada Kelantan dan juga Terengganu dilewat-lewatkan. Peruntukan untuk kawasan Parlimen dan DUN yang dimenangi pembangkang diketepikan. Rakyat diugut apabila undi pembangkang dan banyak lagi amalan-amalan di luar nilai-nilai keadilan yang diamalkan dalam pemerintahan UMNO/BN berkepalakan Mahathir. Apakah itu namanya keadilan?.

Keadilan untuk rakyat berpolitik mengikut lunas-lunas amalan demokrasi dan yang dibenarkan Perlembagaan Negara dipersempitkan, keadilan dalam mendapatkan agihan ekonomi, keadilan dalam mendapatkan layanan tanpa diskriminasi kepada semua rakyat sama ada penyokong parti pemerintah atau parti pembangkang dan sebagainya juga seperti tidak menjadi kenyataan seperti yang rakyat harapkan. Apakah benar semua keperluan asasi dalam politik untuk rakyat diberikan, sudahkah rakyat Malaysia menikmatinya dalam ertikata yang sebenar-benarnya selama di bawah pemerintahan parti UMNO/BN pimpinan Mahathir selama 20 tahun dia jadi PM.

Benar bagai dikatakan oleh bekas TPM Tan Sri Musa Hitam, bahawa dari segi sosial, budaya dan ekonomi kita agak selesa, tetapi dari segi politik 'banyak susah'. Ini suatu gambaran jelas betapa politik Malaysia di bawah UMNO/BN yang berkepalakan Dr Mahathir itu, adalah ibarat petaka kepada sistem demokrasi Malaysia, kepada sistem kehakiman, juga kepada ekonomi Malaysia dan turut menjejas terhadap isu-isu sosial serta pendidikan rakyat secara tidak langsung. Akibat dari tangan-tangan 'kuasa politik' yang rakus, tamak dan panjang itu.

Demikianlah, tepatnya pepatah Melayu ini 'raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah' kerana ciri-ciri kezaliman mula dan terus membesar sedikit demi sedikit dalam sistem negara di bawah kepimpinan UMNO/BN berkepalakan Dr Mahathir bersama kroni-kroninya yang rakus lagi zalim itu. Bayangkan rakyat yang tidak menyokong parti UMNO/BN akan dianaktirikan, dipinggirkan, dipandang sebagai rakyat kelas kedua, anak-anak penyokong pembangkang susah mendapat biasiswa, bantuan pendidikan, peruntukan kepada negeri-negeri dikuasai pembangkang dilambat-lambatkan, ahli Parlimen dan ADUN pembangkang juga dianaktirikan tanpa diberikan peruntukan sepatutnya seperti yang dinikmati ahli Parlimen dan ADUN UMNO/BN, mereka ini ibarat anak emas kepada Dr Mahathir, sehingga ke peringkat kepimpinan cawangan UMNO/BN pun berperanan menjadi spy atau mata-mata gelap yang akan menjadi pelapor kepada kaki-kaki ampu bahawa ada rakyat di tempat mereka yang menjadi penyokong pembangkang yang mesti diketepikan daripada mendapat hak-hak sebagai rakyat Malaysia dan pelbagai lagi bentuk penindasan, kezaliman dan diskriminasi yang terus menjadi amalan tidak demokratik kepimpinan UMNO/BN pimpinan Dr Mahathir.

Dengan ini, kita berharap rakyat Malaysia akan benar-benar memahami dan menghayati pengertian pepatah ini 'raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah' yang ada kaitannya dengan kepimpinan UMNO/BN sekarang.

Ibn Sabah,
18.9.2001M.

Hits: