Kekuatan Yang Dimiliki Oleh Umat

Tazkirah ( 13 ) : Petikan Dari Tulisan Dr. Yusuf Al-Qardawy

Alhamdulillah. Segala Puji - Pujian hanyasanya layak untuk Allah s.w.t. sahaja. Salam dan Selawat     ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.

Hari demi hari kita Umat Islam yang memperjuangkan kedaulatan Islam diuji oleh Allah s.w.t. dengan berbagai-bagai isu. Satu demi satu golongan kafir dan munafik merancang untuk memburuk-burukkan perjuangan Islam dan Islam itu sendiri. Kita sudah nampak benih-benih busuk yang mereka cuba tanamkan dalam pemikiran manusia bahawa apa yang mereka rancangkan, lakukan dan sebarkan selama ini tentang militan Islam adalah benar bukannya sandiwara. Saya yakin dengan isu terbaru mengenai kenyataan bahawa terdapat " MAKLUMAT " yang mengatakan bahawa ada di antara penyerang WTC  kelihatan di Malaysia. Kita tidak tahu apakah ini permainan kotor mereka yang dirancang di peringkat " SULIT " ataupun sebaliknya. Tetapi satu perkara yang mesti kita fahami ialah inilah masanya mereka ( Pengkhianat Islam ) akan menggunakan isu ini habis-habisan untuk meyakinkan rakyat Malaysia bahawa kumpulan militan itu benar dan ISA itu juga mesti dipertahankan. Dalam suasan yang kritikal ini marilah kita bersungguh-sungguh mengiklaskan diri meminta pertolongan Allah s.w.t. semoga Dia menyelamatkan Islam dan Jemaah Islam sepertimana Ar-Rasul s.a.w. berdoa ketika berhadapan dengan tentera musyrikin di peperangan Badar. Ya Allah, Selamatkanlah AgamaMu dan Jemaah Islam ini dari kehancuran, kami mengulangi doa sepertimana doa kekasihMu Muhammad s.a.w. ketika menghadapai musuh di peperangan Badar. Amin..Amin.. Ya Rabbalamin!

Kita akan meneruskan pengajian dari buku PETANDA-PETANDA KEMENANGAN ISLAM dari mukasurat 87-91.

Kekuatan Yang Dimiliki Oleh Umat:

Kekuatan yang dimiliki oleh umat Islam bukanlah kecil dan remeh sekiranya ia dipergunakan dengan baik dan bijaksana. Ia sebenarnya satu kekuatan yang besar dan dahsyat.

1.     Kekuatan Kemanusiaan:

Kekuatan utamannya ialah kekuatan bilangan kemanusiaan. Umat kita pada hari ini memiliki bilangan manusia yang lebih daripada 1.25 billion umat yang beriman dengan akidah yang satu dan mereka melata di enam benua dunia.

Memang benar bahawa perkiraan adalah berdasarkan kualiti dan bukannya kuantiti tetapi kuantiti juga mempunyai kepentingannya. Kita mendapati laporan orang barat yang bimbang dengan bertambahnya bilangan umat Islam sedangkan mereka sendiri sedang menghadapi pengurangan keturunan dalam bentuk yang amat membimbangkan mereka.

Bilangan ramai pada hakikatnya adalah satu nikmat dan ia merupakan satu isyarat yang mesti dipenuhi bagi mana-mana bentuk keunggulan ekonomi dan tamddun. Oleh itu pelbagai umat cuba mewujudkannya dengan  mewujudkan blok sesama mereka sendiri walaupun ia berbeza keturunan, bahasa, agama dan sejarah.

Dalam hal ini Al-Quran menyebutkan tentang nikmat dan kurniaan ini dalam firman Allah : (Terjemahan ) " Dan ingatlah semasa kamu dahulu sedikit bilangannya, lalu Allah menjadikan kamu berkembang ramai".  ( Surah Al-A'raf : 86 )

Penyair Arab pernah berkata : ' Sesungguhnya kemuliaan adalah bagi yang ramai '.

Penyair lain pernah berkata dengan penuh bangga tentang ramainya kaumnya: ' Kami telah memenuhkan daratan hingga ia sempit kerana kami. Maka kamilah lautan yang kami penuhkan dengan kapalnya!'

2.     Kekuatan Material dan Ekonomi :

Kekuatan yang kedua ialah kekuatan material dan ekonomi. Umat kita memiliki galian dan khazanah yang tersembunyi di dalam perut bumi, khazanah kekayaan yang tersebar di atas perut bumi, juga khazanah lautan dan air yang tidak dimiliki oleh umat lain.

Kita memiliki tanah yang subur dikelilingi oleh sungai dan wadi, kita memiliki banjaran dan gunung, lautan dan tasik, sungai-sungai yang besar, mata air dan telaga, simpanan air galian, juga pelbagai galian penting yang diperlukan oleh dunia dan cukuplah sebagai bukti bahawa kita memiliki sebahagian besar simpanan khazanah minyak dunia.

Kedudukan geografi kita juga mempunyai nilaian yang besar dari sudut strategik dan tamaddun. Ia merupakan pertemuan bagi benua dan punca bagi tamaddun. Ia merupakan tempat turunnya risalah langit yang besar iaitu agama Yahudi, Kristian dan Islam.

3.     Kekuatan Spiritual :

Kekuatan ketiga yang dimiliki oleh umat kira ialah kekuatan spiritual dan kekuatan risalah yang diimani dan diseru kepadanya serta mereka mati dan hidup untuknya iaitu risalah Islam yang umum dan abadi yang mana Allah menjadikannya sebagai penutup kenabian dan risalah.

Ia merupakan satu risalah yang bersifat rabbani, sumbernya adalah Allah dan matlamatnya adalah Allah. Firman Allah : ( Terjemahan ) " Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku serta hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan sekalian alam".  ( Surah Al-An'am : 162 )

Kita umat Islam sahaja yang memiliki satu-satunya perakuan ketuhanan yan mengandungi kalimah Allah yang terakhir untuk manusia yang selamat daripada penyelewengan dan perubahan iaitu Al-Quran Al-Karim yang tidak didatangi oleh kebatilan di hadapan dan di belakangnya.

Risalah ini juga berciri dengan pandangan yang syumul. Firman Allah :  ( Terjemahan )

"Dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan setiap sesuatu ".  ( Surah Al-Nahl : 89 )

Ia juga berciri dengan kecenderungannya kepada akhlak sehinggakan Nabi s.a.w. bersabda:(Terjemahan) " Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak"

Ia juga bercirikan dengan kehendak kemanusiaan dan bersifat global. Firman Allah :  ( Terjemahan ) " Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau ( wahai Muhammad ), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam ".  ( Surah Al-Anbiya : 107 )

Ia juga bercirikan dengan pandanganya yang realistik. Ia menetapkan hukum bagi perkara yang daruri dan memberikan ukuran perakuan bagi kelemahan manusia serta mensyariatkan rukhsah dan keringanan.

Ia juga istimewa dengan sifatnya yang wasatiyah. Firman Allah :  ( Terjemahan ) " Dan demikianlah Kami jadikan kamu ( wahai umat Muhammad ), satu umat pilihan lagi adil ( Wasat ) ".  ( Surah Al-Baqarah : 143 )

Ia merupakan satu keseimbangan di antara material dan spiritual, akal dan hati, dunia dan akhirat, hak dan kewajipan, individu dan masyarakat tanpa melampau ataupun lalai.

Dunia amat memrlukan risalah ini untuk menyelamatkannya daripada materialistik yang melampau, pragmatis yang menguasai, kebebasan yang membunuh dan keluar daripada keamanan, damai, gembira dan penuh pengharapan.

....bersambung lagi, Insya-Allah.

H.M.SUBUH

Hits: