Menang Tanpa Bertanding: Satu Petaka Dan Kecacatan Dalam Sistem Demokrasi Di Malaysia

Tarikh 18.9.2001 adalah hari penamaan calon bagi pilihan raya umum ke 8 Negeri Sarawak. Dan 27 September sebagai hari mengundi, ada sembilan hari bagi semua parti, calon-calon dan rakyat Sarawak berkempen atau menghidupkan amalan demokrasi secara sihat dan bertamadun. Namun, dengan kemenangan 4 calon BN secara tidak bertanding kerana kesilapan teknikal, adalah satu petaka dan kecacatan kepada sistem demokrasi itu sendiri, tanpa disedari oleh SPR, parti-parti politik, pemimpin dan rakyat seluruhnya. Kalau tahun 1996 dalam pilihan raya umum ke 7 Negeri Sarawak calon BN menang tanpa bertanding sehingga 19 kerusi DUN. Itu lebih tragedi kepada sistem demokrasi di Sarawak.

Isu besar dan utama ada calon boleh menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon. Ia bukan suatu yang sihat dalam sistem demokrasi. Bukan juga amalan terbaik dalam sebuah negara yang telus dan mengutamakan nilai-nilai amanah, profesional dan bertanggungjawab. Malah ia lebih merupakan petaka besar dan kecacatan yang disengajakan dalam sistem demokrasi yang didominasikan oleh parti pemerintah yang rakus, tamak dan gila kuasa.

Pelik, Mungkin Disengajakan Atau Dirancang

Lagi yang peliknya, hanya calon-calon BN sahaja yang mendapat manfaat itu. Calon-calon parti pembangkang tidak usah bermimpikan untuk menang sekalipun 'setengah' kerusi DUN di Sarawak secara 'menang tanpa bertanding'. Sangat pelik BN Sarawak boleh menang sampai 19 kerusi DUN pada tahun 1996 dan 4 lagi pada kali ini. Dan setakat ini, belum pernah tercatat dalam sejarah Malaysia calon pembangkang boleh menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon kerana kesilapan teknikal. Ini yang membuat hati rakyat mengaru-garu ingin meluahkan isi hati betapa tidak mustahil ada konspirasi atau ada dalang atau anasir anti-demokrasi yang menyeludup dalam badan bebas seperti SPR dan jabatan kerajaan yang menjadi kuda tunggangan parti pemerintah.

Ada beberapa persoalan boleh ditimbulkan, kenapa BN boleh menang sebegitu banyak secara cukup mudah. Satu; ada kemungkinan rakyat Sarawak malas berpolitik, kedua; rakyat Sarawak buta politik. Ketiga; rakyat Sarawak tiada kesedaran tentang politik atau apa itu politik sebenarnya. Keempat; rakyat Sarawak sudah sebati dengan cara atau budaya berpolitik BN Sarawak. Kelima; rakyat Sarawak tidak suka kepada perubahan melalui budaya politik baru yang lebih baik. Keenam; ada kemungkinan rakyat Sarawak merasa cukup dengan apa yang mereka nikmati sekarang. Dan ketujuh; rakyat Sarawak sudah terbelenggu dalam cengkaman parti PBB/BN dan sekutunya.

Salah Siapa Calon Pilihan raya Boleh Menang Tanpa Bertanding

Kemenangan tanpa bertanding dalam sistem demokrasi, adalah kecacatan ketara yang tidak patut berlaku atau tidak patut difikir oleh sesiapa jua yang cintakan amalan demokrasi dalam negara ini. Walau pun, dari satu segi satu keuntungan politik kepada yang memenanginya. BN Sarawak khususnya memang mereka mempunyai hasrat kalau boleh lebih banyak kerusi dimenangi tanpa bertanding sebagaimana tahun 1996 dahulu.

SPR, parti-parti politik atau politikus, pemerhati, NGO's dan rakyat yang cintakan amalan demokrasi sewajarnya peka kepada isu ini. SPR selaku badan bebas yang bertanggungjawab atau pengendali kepada pilihan raya di negara ini hendaklah bersikap telus dan profesional supaya sistem demokrasi ini benar-benar berjalan dengan baik. Dan rakyat mesti didedahkan kepada nilai-nilai atau amalan-amalan demokrasi yang setelus-telusnya.

Petaka Besar Kepada Sistem Demokrasi

Apabila parti pemerintah khususnya BN Sarawak berseronok dan suka kepada kemenangan tanpa bertanding dalam 4 kerusi DUN iaitu DUN  Batu Kawa, Ba, Kelalan, Batang Ai dan Katibas atas sebab-sebab kesilapan teknikal ketika mengisi borang. Adalah satu elemen yang tidak sihat kepada sistem demokrasi negara ini. Dan tidak mustahil ia menjadi petaka besar lebih dahsyat kepada demokrasi di Malaysia, melihat kepada arah haluan pemikiran berpolitik parti yang memerintah yang didominasi oleh BN sama ada BN di Sarawak, Sabah dan apa lagi BN/UMNO di peringkat pusat yang masih menguasai pemerintahan kerajaan persekutuan.

Sekiranya fenomena ini terus diamalkan secara berkonspirasi antara pengendali pilihan raya (Suruhanjaya Pilihan raya) dengan parti pemerintah (BN) bagi tujuan mengekalkan kuasa secara tidak demokratik ini. Jelas ia merupakan petaka besar kepada sistem dan amalan demokrasi dalam negara ini.

Kesilapan Teknikal Bukan Alasan Kukuh Calon Boleh Menang Tanpa Bertanding

Sepatutnya SPR tidak semudah itu memberikan kemenangan secara percuma kepada mana-mana calon sama ada calon BN (yang menjadi kerajaan sementara atau care-taker government) atau calon-calon parti pembangkang lain pada hari penamaan calon. Kecuali hanya terdapat satu calon yang menyerahkan borang pencalonan dalam satu-satu kerusi sama ada Parlimen atau DUN.

Di sinilah SPR dituntut bersikap telus, amanah dan lebih profesional dalam melaksanakan peraturan atau undang-undang bagi menjamin sistem demokrasi dalam negara ini benar-benar bersih dari elemen-elemen tidak sihat atau amalan konspirasi tersembunyi di antara manusia dalam SPR dan pemimpin parti kerajaan atau pegawai kerajaan yang dilantik sementara sebagai pegawai pengendali pilihan raya yang diadakan.

Dalam kes kesilapan teknikal SPR sepatutnya setiap calon yang bertanding dipastikan dari segi kesalahan serius. Bukan semata-mata atas tujuan ada niat 'konspirasi' antara SPR dengan calon parti 'care-taker government' bagi memenangkan calon mereka. Dan apabila terjadi kesilapan teknikal di antara calon-calon yang mengemukakan borang pencalonan dan terdapat hanya seorang calon tiada kesilapan, kemudian calon tersebut diisytiharkan sebagai pemenang tanpa bertanding. Inilah petaka dan kecacatan dalam sistem demokrasi yang tidak wajar digalakkan. Sepatutnya SPR membuka semula pencalonan kepada calon yang silap dari segi teknikal itu atau pencalonan baru.

Adalah tidak wajar boleh terjadi 'kemenangan tanpa bertanding' pada hari penamaan calon secara cukup mudah kepada mana-mana calon. Perkara ini mesti dielakkan oleh pengurusan atau pegawai SPR yang diamanahkan supaya menjalankan tugas dengan lebih telus, amanah dan profesional tanpa mengira calon itu dari parti kerajaan atau pembangkang. Sebab ketika proses pencalonan itu tiada istilah ini calon parti kerajaan atau itu calon pembangkang. Fenomena sebegini kadang kala mempengaruhi pegawai pengurus pilihan raya yang terdiri dari pegawai-pegawai kerajaan yang tidak jujur, tidak telus, tidak amanah dan juga tidak profesional.

Rakyat Susah Dalam Pemerintahan Yang Didominasi Penguasa 'Gila' dan 'Tamak'

SPR, kerajaan, pemimpin politik dan parti-parti politik hendaklah bersikap terbuka dalam isu seperti ini. Sikap amanah, ketelusan dan profesional sangat dituntut dalam mengendalikan apa jua bidang tugas, lebih-lebih lagi ia berkaitan dengan kepentingan, keselamatan dan kedaulatan rakyat, negeri dan negara. Tetapi hari ini selama UMNO/BN berkepalakan Dr Mahathir yang menguasai politik Malaysia dalam tempoh masa agak lama juga kira-kira 20 tahun lebih itu. Nampak bayang-bayang betapa nilai ketelusan, amanah dan sikap profesional serta adil itu semakin cuba disembunyi-sembunyikan atau diubah warna-warnikan dengan pelbagai rupa asalkan ia memberi untung nasib 'politik' kepada parti yang memerintah agar terus kekal berkuasa selama-lamanya sehingga kiamat dunia ini.

Kalau inilah gaya dan cara pemikiran politik bawaan UMNO/BN berketuakan Dr Mahathir bersama kroni-kroninya di sana-sini dalam negara ini. Lebih logik dan baik, ambil jalan mudah buat usul dalam Parlimen atau DUN yang dikuasai oleh BN supaya mansuhkan saja amalan sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia dan carilah sistem politik yang benar-benar menguntung parti yang memerintah dan supaya para pemimpinnya terus dapat berbuat apa saja yang mereka suka. Daripada susah-susah mengadakan pilihan raya, tetapi segala amalan yang dihalalkan dalam sistem demokrasi serta dibenar oleh Perlembagaan Negara atau negeri dipersempit-sempitkan dengan maksud memudahkan parti pemerintah terus boleh menang dan berkuasa melakukan apa jua matlamat rakus lagi tamak kuasa para pemimpin mereka yang memang 'gila' kuasa, pangkat, nama, harta dan kemewahan.

Akhirnya, penulisan ini ingin mencetuskan sebuah kesedaran kepada rakyat Malaysia akan nilai-nilai ketelusan, amanah dan sikap profesional di kalangan rakyat pelbagai peringkat supaya dapat melihat apa itu SPR dan peranannya dalam menjayakan amalan demokrasi di negara ini. Apa tugas dan peranan rakyat sebenarnya dan apa pula peranan pegawai/kakitangan kerajaan demi untuk menjayakan sistem demokrasi di Malaysia benar-benar berjalan dengan baik, telus dan memuaskan hati rakyat, parti-parti politik dan para pemimpin politik di Malaysia.

Ibn Sabah,
19.9.2001M.

Hits: