BN Bersorak Sudah Dapat Empat Kerusi DUN Secara Percuma

Membaca, mendengar dan menonton media pengampu BN sama ada cetak atau elektronik rata-rata sudah dibayang-bayangkan kebaikan, kehebatan, pembangunan dan segala macam keindahan itu ada pada 'huruf' BN atau penuhnya Barisan Nasional. Itulah hari-hari diulang-ulang oleh lidah dan mulut para pemimpin BN di seluruh negara. Apa lagi ketika mereka berada di bumi Sarawak, negeri terbesar di Malaysia ini. KM Sarawak dalam kerajaan 'care-taker government' Tan Sri Taib Mahmud KM Sarawak paling lama memerintah Sarawak serupa dengan ketua BNnya di singgahsana Putrajaya yang sedang bermimpi... Taib Mahmud mengulas bahawa kemenangan 4 kerusi tanpa berlawan dulu itu merupakan petanda baik kepada BN Sarawak. Malah majoriti para pemimpin gabungan BN di seluruh sudah awal-awal meramalkan dengan sikap angkuh dan ego mereka bahawa BN akan menang lagi di Sarawak, seolah-olah mendahului 'takdir' dan 'kuasa' Allah Yang Maha Kuasa.

Gambaran dan juga nada keangkuhan, kesombongan dan ketakburan penguasa yang rakus, tamak dan 'gila' kuasa itu benar-benar sebati dan berdarah daging dalam jiwa majoriti para pemimpin BN sama ada BN di Kuala Lumpur, di Kuching, di Kota Kinabalu, di Alor Setar, Seremban dan lain-lain. Terus menjadi-jadi. Markas kempen mereka di RTM, Kementerian Penerangan, TV 3 hingga NTV 7 terus-terus membawa lagu-lagu keangkuhan, keegoan dan kesombongan yang cuba diwarna-warnikan dengan keindahan, kemajuan dan pembangunan sana-sini.

Dan berita kemenangan 4 kerusi DUN di Sarawak oleh BN itulah menjadi tajuk utama akhbar-akhbar perdana pengampu dan tukang kipas BN serta akhbar-akhbar tempatan di Kota Kinabalu. Bagi menceritakan betapa hebatnya BN belum bertanding pun sudah menang secara percuma 4 kerusi. Rakyat yang dibuai mimpi 'cengkaman' parti-parti BN/PBB dan sekutunya termasuklah sekutu BN dalam RTM, TV 3, Jabatan Penerangan, Kementerian Penerangan dan di NTV 7 terus mengigau mempercayai apa jua berita yang diceritakan dalam media tersebut betul belaka, walau pun banyak berupa propaganda, penyedap mata, telinga dan hati rakyat, sesekali diselang-selikan dengan berita-berita menfitnah parti-parti pembangkang dan juga berita-berita mengampu, memuji-puja para pemimpin BN semata-mata.

Kepimpinan BN Sarawak Tidak Sedar Diri

Kemenangan mereka di  4 kerusi DUN secara percuma itu, kononnya petanda sokongan rakyat. Bila rakyat mengundi memenangkan 4 calon BN Sarawak itu?, siapa yang memeningkan mereka??. Ini ada kemungkinan melalui amalan konspirasi terancang. Dalam keadaan segala sistem negara dicerobohi oleh 'tangan-tangan panjang' para pemimpin BN negeri dan BN pusat di sana-sini. Telah membuat para pemimpin BN negeri Sarawak dalam keasyikan mereka ingin terus kekal berkuasa, tetapi mereka tidak sedar akan bahaya bahawa rakyat Sarawak hidup dalam cengkaman kejumudan berpolitik,  rakyat Sarawak malas berfikir tentang apa itu 'politik' sebenarnya, rakyat Sarawak menjadi hilang semangat berpolitik kerana mereka sudah merasa cukup dengan pembangunan yang dikecapi, ibarat kata orang seperti ular sawi yang kekenyangan.

Mungkin para pemimpin BN/PBB yang dikepalai oleh Taib Mahmud merasa bangga dan ego, kerana merekalah yang memajukan Sarawak selama ini. Terpadamlah segala jasa bakti para pemimpin terdahulu yang lebih besar jasanya sebagai pengasas kepada kemajuan dan pembangunan Sarawak hari. Sebagaimana minda kepimpinan Dr Mahathir yang mahu mendabik dada bahawa dialah satu-satunya PM Malaysia yang telah memajukan Malaysia. Nama-nama para pemimpin terdahulu kalau boleh hendak dipadamkan terus.

BN Bersorak Kerana Berjaya Mencacatkan Demokrasi

Itulah sikap dan pembawaan kepimpinan BN Sarawak, KL dan di mana-mana juga negeri yang mereka kuasai. Amalan demokrasi tidak menyusahkan parti mereka sebolehnya disembunyikan atau dimansuhkan saja. Yang boleh menguntungkan politik mereka mesti dipertahankan, dibesar-besarkan dan diheboh-hebohkan ke seluruh negara. Media pengampu mereka itulah yang akan menjerit-jeritkan kemenangan secara percuma itu. Sepatutnya dalam suasana negara yang sudah merdeka lebih 40 tahun tidak akan wujud lagi amalan-amalan buta huruf, buta politik, buta peraturan, buta Perlembagaan dan juga buta demokrasi.

Seperti ada unsur-unsur konspirasi tertinggi, kenapa BN saja boleh menang secara percuma 'tanpa bertanding'. Kita tidak menuduh sesiapa, tetapi dalam situasi banyaknya amalan-amalan tersembunyi yang berlaku dalam pemerintahan BN di mana-mana yang tidak diketahui oleh rakyat atau sengaja disembunyikan oleh kumpulan 'konspirasi' di dalam sistem yang mereka kuasai. Sebagaimana 'konspirasi' tertinggi mewarganegarakan berpuloh ribu, bahkan beratus ribu warga asing di Sabah secara berleluasa dan di luar peraturan untuk dijadikan pengundi di Sabah setiap kali pilihan raya bagi memenangkan calon-calon UMNO/BN yang dipopularkan sebagai pengundi 'hantu', bukan saja di Sabah. Di Semenanjung pun 'pengundi hantu' itu sudah lama berkeliaran untuk membantu memenangkan calon-calon UMNO/BN.

Harap-harap rakyat Sarawak yang sudah celik politik tidak lagi akan terperangkap dengan jerangkap samar yang dipasang oleh para pemimpin dan para propagandis mereka yang berkempen sekarang. RTM, TV 3 hingga 7 terus menjadi tukang kempen atau markas politik BN. Marilah kita berpolitik secara bijaksana, kita adalah rakyat yang merdeka dan bebas untuk menentukan pemimpin terbaik yang akan memimpin negeri. Kita tidak mahu lagi kepimpinan yang rakus, angkuh dengan kuasa, pemimpin rasuah, menjaga kepentingan peribadi, kroni, mengkayakan diri, merampas hak-hak rakyat dan menyalahgunakan kuasa, menghalalkan segala macam penyelewengan atas nama-nama indah untuk kepentingan rakyat, kemajuan dan pembangunan. Tetapi akhirnya yang kaya raya adalah pemimpin, anak-cucu, kroni-kroni, suku sakat, tauke dan mereka yang hampir dengan pemimpin. Sementara rakyat di desa, di kampung dan di ulu sana terus dengan penderitaan, bergelut dengan kemiskinan dan segala macam bentuk susah payah.

Apakah rakyat Sarawak masih mahu mengekalkan parti BN/PBB bersama sekutunya memerintah rakyat Sarawak. Contohilah rakyat Sabah, Kelantan dan Terengganu yang telah menukar parti kerajaan. Untuk sebuah kerajaan dan kepimpinan yang lebih baik, telus dan amanah. Bila lagi anda berubah, kalau bukan kita sendiri sebagai rakyat yang memiliki kuasa memilih itu merubah kepimpinan.

Ibn Sabah,
19.9.2001M.

Hits: