Seruan kepada Barisan Nasional untuk berhenti mengeksploitasi pembunuhan beramai-ramai pengganas Pusat Dagangan Dunia New York bagi pilihan raya negeri Sarawak dan menamatkan propaganda tidak bertanggungjawab, tidak berasas dan semberononya bahawa satu-satunya cara Malaysia dapat mengelakkan kekejaman sedemikian adalah dengan rakyat Sarawak mengundi Barisan Nasional dan menolak PAS dan pihak pembangkang pada 27 September

______________________________________________________________________________________________

Kenyataan Media oleh Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Kit Siang, selepas menandatangani buku takziah untuk beribu-ribu mangsa pembunuhan beramai-ramai pengganas 11 Sep di New York dan Washington di Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur, pada hari Isnin, 17 Sep, 2001
______________________________________________________________________________________________

Kuala Lumpur, 17 Sep – Pembunuhan beramai-ramai kira-kira lima ribu rakyat tidak bersalah yang berbilang bangsa di New York dan Washington pada 11 Sep selepas empat pesawat dirampas dan dijadikan bom-bom berkuasa – meruntuhkan menara berkembar Pusat Dagangan Dunia dan bangunan-bangunan pencakar langit yang berhampiran – adalah perbuatan keganasan amat kejam dan tidak berhati perut yang telah secara wajarnya membangkitkan kecaman antarabangsa dan sejagat.

Mereka yang bertanggungjawab di atas jenayah-jenayah terhadap umat manusia sedemikian mesti dihadapkan ke muka keadilan untuk memberikan mesej yang jelas bahawa kegilaan keganasan dan kekejaman seumpama itu adalah di luar lingkungan peradaban manusia – bahawa cabaran yang berdepan dengan manusia pada tahun pertama dalam alaf baru bukannya suatu pertembungan di antara tamadun-tamadun tetapi adalah pertembungan dengan tamadun sendiri yang diakibatkan oleh keganasan kejam yang langsung tidak menghiraukan kesucian nyawa manusia.

Kerajaan Amerika Syarikat (AS) telah menudung jari terhadap Osama bin Laden dan al-Qaida (salah satu daripada Pertubuhan Pengganas Asing [FTO] yang dinamai dalam laporan “Patterns of Global Terrorism 2000” yang dikeluarkan pada April 2001 oleh “Department of State’s Office of the Co-ordinator for Counter-terrorism AS) sebagai pihak-pihak yang paling disyaki dalam perampasan pesawat dan pembunuhan beramai-ramai hari Selasa.

Sekiranya AS mempunyai bukti bahawa Osama dan al-Qaida adalah dalang di sebalik kekejaman 11 Sep, ia harus memuaskan hati masyarakat antarabangsa bahawa wujudnya bukti-bukti berkenaan, dan akan menjadi tanggungjawab segenap negara, kerajaan dan bangsa untuk bertindak secara bersatu bagi mengheret mereka ke muka keadilan di atas jenayah-jenayah pengecut terhadap umat manusia sedemikian.

Pengganas patut dilayan sebagai pengganas. Tiada sebarang penawar hati, simpati atau sokongan patut diberikan oleh mana-mana pihak untuk jenayah terhadap umat manusia seumpama itu seperti yang dilakukan pada 11 Sep.

Namun demikian, AS perlu menyedari tentang perasaan bimbang dunia yang semakin meningkat bahawa sambil dalam usahanya untuk menangkap penjenayah-penjenayah yang bertanggungjawab di atas pembunuhan beramai-ramai 11 Sep, bukan sahaja undang-undang antarabangsa mesti dipatuhi tetapi rakyat tidak bersalah juga tidak harus dilayan, dijadikan mangsa atau dibunuh seakan-akan mereka sendiri adalah pengganas – jika tidak, maka tidak akan ada perbezaan di antara kerajaan dan pengganas.

Waktu sudah sampai bagi AS dan masyarakat antarabangsa menangani dan menyelesaikan krisis-krisis politik sukar yang berpanjangan di pelbagai bahagian dunia yang telah mewujudkan keadaan terdesak dan putus harapan di mana pergerakan-pergerakan pengganas dengan mudah dapat dilahirkan. Sekiranya  ini tidak kesampaian, maka memusnahkan Osama hanya akan mengapi-apikan perasaan kebencian dan mewujudkan sekumpulan Osama bin Laden baru yang menjadi resepi untuk keganasan, pengeboman dan pembunuhan beramai-ramai selanjutnya.

Di sisi itu, rakyat Malaysia berasa khuatir bahawa keganasan dan pembunuhan beramai-ramai 11 Sep sedang dieksploitasi secara tidak bertanggungjawab dan semberono oleh Barisan Nasional, terutamanya dalam persediaan menghadapi pilihan raya umum negeri Sarawak pada 27 Sep.

Dalam beberapa hari lalu, rangkaian-rangkaian televisyen telah memuntahkan bohong dan fitnah dalam cubaan untuk mencetuskan perasaan takut di kalangan pengundi-pengundi Sarawak dengan memberikan amaran kepada mereka bahawa satu-satunya cara di mana kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai 11 Sep di New York dan Washington dapat dielakkan di Malaysia adalah bagi mereka menyokong Barisan Nasional dengan sepenuhnya dan menolak PAS dan pihak pembangkang dalam pilihan raya umum negeri Sarawak pada 27 Sep.

Saya menyeru Barisan Nasional supaya berhenti mengeksploitasi pembunuhan beramai-ramai pengganas Pusat Dagangan Dunia New York bagi pilihan raya negeri Sarawak dan menamatkan propaganda tidak bertanggungjawab, tidak berasas dan semberononya bahawa satu-satunya cara Malaysia dapat mengelakkan kekejaman sedemikian adalah dengan rakyat Sarawak menyokong Barisan Nasional dan menolak PAS dan pihak pembangkang, memandangkan ini adalah tidak benar sama sekali dan merupakan bohong semata-mata.

Biarlah pilihan raya umum negeri Sarawak menjadi satu pilihan raya yang bebas, bersih dan jujur di mana penduduk Sarawak boleh mengundi dengan cara yang bebas dan sedar tanpa dibelenggui muslihat kotor serta ancaman ketakutan dan intimidasi – seperti cubaan untuk menggunakan kengerian peristiwa Pusat Dagangan Dunia untuk menakutkan dan memaksa pengundi-pengundi supaya menyokong Barisan Nasional.

Hits: