Minda Webmaster

UMNO MELAKSANAKAN PROJEK USAHA SAMA DENGAN OSAMA BEN LADEN

Kita tidak terkejut apabila Amerika Syarikat mengambil tindakan menghalang kelasi-kelasi dari Malaysia turun di pelabuhannya. Inilah gambaran yang telah diberikan oleh media kerajaan dan pimpinan BN terutama oleh Mahathir Mohamad kepada dunia bahawa wujudnya di kalangan umat Islam di negara yang terpengaruh oleh 'keganasan' apabila mereka dikaitkan dengan Kumpulan Militan Malaysia. Mari kita lihat berita itu.

Larangan Kelasi M'sia Mendarat Tidak Adil, Kata Abdullah

KEPALA BATAS, 22 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menyifatkan sebagai tidak adil langkah pihak berkuasa pelabuhan Amerika Syarikat (AS) yang tidak membenarkan kelasi kapal negara ini mendarat di pelabuhan negara itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata langkah itu menunjukkan seolah-olah kewibawaan semua rakyat negara ini dicurigai.

"Seolah-olah mereka (rakyat Malaysia), golongan yang boleh menimbulkan sesuatu yang tidak baik di Amerika Syarikat," katanya pada sidang berita selepas merasmikan satu forum pendidikan di sini.

Beliau berkata jika perkara itu menjadi dasar (kerajaan AS), "kita merasa amat dukacita sekali. Rakyat Malaysia bukanlah dari golongan macam itu."

"Jika ada golongan (rakyat Malaysia) yang terlibat dengan apa juga keganasan, kerajaan akan ambil tindakan," katanya.

"Kita mempunyai rekod...kita tidak berkompromi dengan golongan yang mengganas," kata Abdullah.

Katanya, beliau tidak tahu sebab kenapa sikap kerajaan Amerika Syarikat sampai kepada tahap mencurigai sesiapa sahaja yang datang dari mana-mana negara Islam.

Abdullah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kerajaan akan membawa perkara itu untuk dibincangkan dengan pihak-pihak berkenaan.

"Saya juga tidak mahu mempercayai bahawa tindakan itu ditujukan kepada negara negara-negara Islam sahaja...Kalau ia berterusan, ia mengesahkan seolah-olah mereka tidak bersetuju langsung dengan orang-orang yang datang dari negara-negara Islam," katanya.

Sedangkan, katanya, pengganas berada di mana-mana, tidak semesti yang Islam berada di negara Islam atau yang beragama lain di negara lain tetapi ia melampaui batasan-batasan sempadan nasional.

Mengenai laporan yang mengatakan ada antara perampas kapal terbang yang terlibat dengan serangan di New York dan Washington pada 11 Sept lalu pernah dilihat di negara ini, beliau berkata polis sedang berkerjasama dengan pihak berkuasa AS mengenainya.

"Kita perlu tahu lebih lanjut (mengenainya) dan kita sedang memikirkan tindakan terbaik untuk diambil," katanya.

Beliau berkata dengan kerjasama antara polis negara ini dan pihak berkuasa di Amerika Syarikat, kedua-dua negara boleh mengambil tindakan ke atas mana-mana elemen gerakan subversif dan pengganas di negara ini.

-- BERNAMA

Nah inilah dia kerja jijik pemimpin BN. Untuk mengekalkan populariti dan mahu terus berkuasa mereka sanggup memfitnah rakyat bahawa terdapat mereka yang mengetuai atau terlibat dengan keganasan militan, walau pun sehingga kini kita belum dijelaskan dengan bukti yang nyata akan kegiatan itu. Maka apakah lagi yang ingin dibanggakan selain dari dicop oleh masyarakat dunia bahawa umat Islam di Malaysia gemar melakukan keganasan tanpa bersebab dan berbukti.

Tuduhan demi tuduhan yang dilemparkan ke atas rakyat Malaysia jika dikaji lebih tepat kena batang hidung pemimpin BN sendiri. Umpamanya jika ada percubaan mensabitkan 'Khalid' seorang dari mereka yang terlibat dalam serangan ke atas bangunan berkembar WTC dan Pentagon  itu mempunyai kaitan dengan pihak tertentu di negara ini, maka apakah kurangnya penglibatan jutawan Arab Saudi, Osama ben Laden yang melabur dalam projek ternakan udang Kerpan yang akhirnya gagal dilaksanakan oleh bekas Menteri Besar Kedah, Osman Aroff. Inilah satu bukti nyata bahawa UMNO mempunyai hubungan dengan syarikat perniagaan Osama ben Laden meski pun pelaburan berbilion dolar itu akhirnya tidak dapat dilaksanakan akibat ketamakan pemimpin UMNO sendiri.

UMNO berhidung belang

Ramai yang mengetahui projek udang Kerpan dan kisah  kegagalan  Paya  Pahlawan itu. Ia telah diketuai oleh seorang bekas mufti Kedah yang bertanggungjawab menjadi Pengurus Besar projek ini. Bekas mufti berkenaan menjadi 'barua' Osman Aroff dengan dakyahnya mempengaruhi rakyat untuk menyerahkan tanah sawah mereka bagi melaksanakan projek penternakan udang Kerpan. Dari maklumat yang diperolehi para petani diperdaya untuk melaksanakan projek ini dengan menerima bayaran pampasan yang rendah dan saham dalam projek usaha sama ini. Apa yang berlaku ialah 'orang tengah' telah menyelewengkannya dengan menukar status tanah dari pertanian kepada industri sehingga akhirnya 'orang tengah' menerima pampasan tanah yang berlipat kali ganda. 

Apabila tembelang 'orang tengah' diketahui oleh para pesawah, maka mereka membantah kerana ditipu dan dipaksa menerima bayaran pampasan yang rendah.

Inilah gara-gara projek UMNO yang gila wang rakyat sehingga sanggup menipu dan menyeleweng wang dan harta rakyat. Justeru itu tidak hairan pada hari ini apabila ada projek yang melibatkan pemimpin UMNO pastilah kita akan mendengar segala macam tipu daya. Berjuta wang Lembaga Urusan dan Tabung Haji yang disonglap. Kerugian berjuta RM dicatatkan apabila Lembaga berkenaan melabur dalam projek menanam kelapa sawit di Indonesia. Nilai tanah yang dibeli dikatakan berjumlah RM1bilion sedangkan dalam perjanjiannya Indonesia hanya menerima RM400 juta sahaja. Apabila mengetahui 'orang tengah' mengaut keuntungan yang selebihnya, maka Indonesia segera membatalkan urusniaga jualbeli hartanah itu dan jumlah wang yang dipulangkan kembali kepada LUTH hanyalah berjumlah RM400 juta.

Begitu pula dengan maklumat yang diperolehi tentang bagaimana projek rumah sembelihan yang ingin dijayakan oleh bekas Menteri Besar Kedah Sanusi Joned. Projek rumah sembelihan itu menemui kegagalan kerana ia silap dirangka disebabkan awalan perancangannya dengan ketiadaan 'A' Frame untuk menyembelih lembu.  Yang ada  untuk menyembelih kambing  sahaja.  Untuk meletakkan  'A; frame  menyembelih lembu, sudah pasti akan menjejaskan sama sekali  projek mengimport  daging  lembu yang 'dihukum mati'  daripada  India;  yang  juga merupakan bisnes  lama  Sanusi Joned  dengan Mahathir dan Mustapha  Babji. Daging-daging lembu dari India itu telah disahkan oleh Menteri Pengguna sebagai 'tidak enak dilihat' kerana daging itu  menjadi hitam dihurung  langau akibat terbiar menunggukan ketibaan  lori pengangkut daging yang bermasalah.  Di India juga, Mahyuddin Yassin menyaksikan sendiri bagaimana  kerbau dilelong  setiap minggu  untuk  dijadikan bahan daging, disembelih dan dieksport ke  Malaysia.  Sebenarnya  kebanyakan daging  yang  dijual di negara ini; jika datang dari India, adalah lembu yang dihukum mati  setelah kaum Hindu  melepaskan lembu itu  apabila  ketandusan  susu. Jadi, selama ini  orang Melayu makan daging lembu menopous. Demikianlah sedikit sebanyak maklumat yang kita perolehi buat pendedahan kepada rakyat akibat dasar UMNO selama menjadi 'perantaraan' atau orang tengah dalam kebanyakan urusan perniagaan di Malaysia.

Berbalik kita kepada isu asal dalam perbicaraan ini bahawa penglibatan perniagaan di negara ini kebanyakannya dimonopoli oleh orang-orang UMNO sebagai satu kesempatan dari menerajui komplot berkuasa selama lebih 44 tahun negara merdeka. Jika kita imbas kembali kedudukan Arqam dalam menaikkan martabat ekonomi umat Islam telah dilihat sebagai satu saingan yang mampu menggoncangkan rangkaian 'orang tengah' dalam ekonomi negara. Atas rasa tidak senang terhadap kekukuhan rangkaian yang wujud dalam pertubuhan itu maka Arqam diharamkan. Pengharaman Arqam sama seperti membunuh ekonomi orang Melayu dan UMNO tetap melakukannya kerana Arqam dilihat sebagai 'pengancam' kepada segala tipu muslihatnya selama ini.

Justeru itu tidak keterlaluan jika kita ingin menyifatkan bahawa apa juga dasar yang gagal dilaksanakan adalah sebagai kegagalan kerajaan kerana hanya mereka yang bebas berhubung dengan sesiapa dan diberikan 'permit A' untuk menjana kemasukan wang bagi memantapkan kedudukan parti dan 'merasuah' rakyat dengan agenda pembangunan mereka. Kepada UMNO dengan sesiapa sahaja urusan mereka berhubung, hubungan itu disifatkan 'halal' manakala jika hubungan itu dilakukan oleh pihak lain (selain UMNO0 disifatkan sebagai hubungan sulit dan haram yang perlu didedahkan serta diselidiki dan diburuk-burukkan di kaca mata rakyat.

Saya hanya ingin bertanya di sini, mengapa PDRM tidak menyiasat sahaja 2 orang bekas Menteri Besar Kedah dan bekas Mufti berkenaan yang dikatakan terlibat dalam projek usaha sama dengan jutawan arab Saudi Osama ben Laden, daripada mengwujudkan bukti terhadap anak TG Nik Aziz Nik Mat yang tiada hubungannya dengan KMM atau pejuang Taliban di Afghanistan.

Salam Mesra Minda,

Polong Cyber,
Webmaster Minda Rakyat

Hits: