Mana   Dato’ Seri  Mahathir  Mohamed?
(Where is Dato’ Seri Mahathir Mohamed?)

Perdana  Menteri telah  menghilang daripada  pandangan umum sejak  sepuluh  hari yang lalu. Dia mahu  mengaitkan  Kumpulan Militan Malaysia   ataupun  (aka: also  known as) Kumpulan Mujahidin Malaysia (seperti mana  AS  terpaksa  menukar nama  ‘Operation Infinite Justice’  {Operasi Keadilan  Abadi} kepada  satu  nama  yang  masih dirahsiakan kerana, seperti yang  diketahui oleh  Setiausaha  Pertahanan, Mr. Donald H. Rumsfield, dalam Islam hanya  Allah, dan bukannya  Amerika Syarikat (dan juga  seorang  diktator  malbari tua – penterjemah)  yang  berkuasa   menentukan keadilan yang abadi} terhadap serangan  yang menggoncangkan   akar umbi  kewangan, ketenteraan dan kuasa  politik Amerika.  RTM  dan TV3  telah mengulang-tayang  senario   kehancuran  Pusat Dagang Dunia  New York  dan  bangunan Pentagon dengan   serangan   sindiran  terhadap  KMM.  Tidak ramai  yang termakan umpan  itu, kerana  Malaysia sendiri sudah menjadi sasaran histeria yang  melanda  Amerika Syarikat  disebabkan  perdebatan  mengenai  Osama  bin Laden,  ‘pengganas’ jagoan  yang begitu dimomokkan   untuk  menaikkan  kemarahan   rakyat  Amerika agar   memihak kepada Washington  yang  ghairah  mahu  mengbom  Afghanistan. Inilah  keghairahan  yang  dicetuskan  di zaman  besi  untuk  menyorot  balik ke  zaman batu  kerana  membenarkan  Osama  hidup  dan  menyorok  di situ.

Adalah  sesuatu yang serba mungkin, Osama  bin Laden  telah merancang  serangan  ganas  terhadap Amerika Syarikat minggu  lalu.  Tetapi, tidak ada satu bukti  yang ditonjolkan  menunjukkan  dia  melakukannya, hanya  andaian, sangkaan, pandangan, dan  kepercayaan  yang tidak boleh diguna pakai  di  muka  pengadilan. Serangan pengganas  menjadi  penting  hanya  apabila  yang  diserang itu  adalah Amerika  Syarikat.  Apabila  Amerika Syarikat melakukannya  sebagai satu dasar  amalan  negara, dia diberikan  sanjungan menggunung tingginya. Cuba  renung  sejenak  ketika  Washington  mengbom sebuah  kilang  vaksin di Sudan   yang mencetuskan kengerian  di  negara itu  dan bandingkan  dengan apa yang telah berlaku di  New York City  dan  Washington  DC minggu  lalu?  Ataupun  cara  Amerika  menakluk  Grenada  kerana  kerakusannya,  dulu?

Kebenaran sudah   meloncat keluar  di jendela,  segala  usaha  muslihat  Mahathir   untuk  menarik  minat  Washington  memenuhi keghairahannya  agar  dijemput  ke  Rumah Putih  sudah  pun  berkecai. Walau pun Malaysia  telah  menawarkan  penggunaan  ruang  angkasanya  dan  kalau perlu  pengkalan   persinggahan untuk  ketumbukan  perang  AS  dalam perjalanan  menuju  Afghanistan. Yang penting  ialah  kegagalannya, kerana  Mahathir  sedang dihenyak  oleh  keadaan  Washington yang  mahu  bertindak balas  sedangkan  Mahathir sendiri pun mahu  membalas dendam  terhadap PAS, KMM  dan  dua  menteri  besar  di  Kelantan dan Terengganu. Mahathir sudah terhenyak dalam usaha  untuk  mendekati  Presiden  Bush  yang  mengenakan syarat  agar  dia  membebaskan  seorang insan  yang dia  sendiri mahu  gambarkan  sebagai  insan  yang menyerupai  Osama bin Laden di  Malaysia, bernama  Anwar bin Ibrahim, yang  berbeza dengan  Osama  sedang  merengkok di penjara.

Mahathir  sudah tidak dapat   menjawab  soalan bertubi  Washington  kenapakah dia  membenarkan Osama bin Laden  membuka  akaun bank di  Malaysia, seperti yang didakwa. Ataupun kenapakah dia  membenarkan  ‘pengganas’ ( di mata  Amerika)  bertemu di  Malaysia  seperti yang didakwa oleh Amerika? Tidak kiralah, kalau pun  Washington   yang  telah  mengesan  pertemuan  pengganas itu  di  KLIA tahun lalu, telah  memberikan  visa  kepada  mereka  untuk  menjalani latihan  memandu  pesawat terbang di  Amerika Syarikat. Inilah yang dikatakan, apa yang dibenarkan kepada dewa  Yunani, tidak semestinya boleh diberikan kepada seekor  lembu betina  di  sini. Tetapi, apakah  Dr. Mahathir  boleh membuat  pengakuan secara  serius  sebagai  seorang  pemimpin  Islam seandainya  dia  tidak menerima  dan  memaafkan penderitaan  orang Arab dan  kemarahan  mereka  terhadap  Barat?  Oleh kerana dia  memerlukan  sokongan Saudi  dalam  memainkan peranan itu, apakah dia  boleh menolak kemahuan  Arab Saudi  menggalakkan puak Taliban dan orang  lain mengamalkan  fahaman  Wahabi  di  dunia  ini? (Yang anehnya,  Amerika Syarikat  tidak pun menyerang  Arab Saudi   walau pun ia merupakan  salah satu  daripada  tiga  negara – yang  lagi  dua  ialah Pakistan  dan  UAE -  yang dulunya  memperakui  Taliban;  tetapi   oleh kerana  Arab Saudi adalah  sebahagian  jaringan  Amerika, ia dikecualikan: malahan secara  terpaksa.

Dr. Mahathir sudah tidak mampu  menyelenggarakan  masalah yang menggunung tinggi di hadapannya setiap hari. Isu Anwar Ibrahim akan muncul lagi pada   persidangan ketua  negara  Komanwel  di Australia  bulan hadapan. Kawannya, Mr. Robert  Mugabe, dijangka  akan  dihenyak  kerana  dasar  negaranya    mengnyahkan  orang kulit putih yang memiliki ladang di Zimbabwe. Besar kemungkinan  Mahathir  tidak akan menghadiri  persidangan itu dan mewakilkan  kepada  timbalan perdana  menteri  Abdullah  Ahmad Badawi sebagai penggantinya. Dia tidak akan menghadiri   Puncak Apec di  Shanghai. Presiden  Bush tidak  ingin  berceloteh  dengannya di sana. Timbalan perdana menteri Abdullah Ahmad  Badawi  akan  menggantikannya lagi.

Akan tetapi, bukankah  Dato’ Seri Abdullah Ahmad  Badawi, insan  yang  serupa  yang tidak diingini oleh Dr. Mahathir  sebagai  bakal pengganti  jawatannya?  Ada seorang   ahli pasukan konspirasi  terhadap Anwar Ibrahim, bekas menteri  bernama  Megat  Junid  Megat Ayob, terlalu yakin bahawa Mahathir  mahukan  Abdullah Ahmad Badawi  diganti oleh  menteri pertahanan Dato' Seri Dr (?)  Najib Tun Razak. Seorang bekas komando  yang condong kepada  pihak  pembangkang telah menceritakan kisah perjumpaan yang dihadiri oleh semua  bekas komando di Melaka, baru-baru ini.  Mahathir telah memberikan ucapan utamanya, dan tajuk perbincangan seterusnya ialah  bagaimana  caranya  untuk menyekat kemaraan  timbalannya itu.  Paklah, mengikut  firasat  Orang Tua  itu, bukannya  calon  yang cocok  untuk  menggantikannya  sebagai  Perdana  Menteri.

Mengikut  firasat doktor yang baik itu,  anak lelaki  bekas  seorang  perdana  menteri sudah pun  dewasa mencapai  50 tahun usianya, dan boleh diberikan kepercayaan pula. Dato’ Abdullah  Ahmad  Badawi, nampaknya, sudah  bersekongkol dengan kumpulan  timbalan perdana menterinya  yang dulu-dulu  yang mengikut  taksirannya  telah  menghampakannya, dan  dengan itu  tidak layak  mengambil tempatnya  apabila tiba masanya. Kerana itu  dia  sudah ditakdirkan’ terhumban di lorong  yang  dilalui oleh  Tan Sri Musa  Hitam, Tun Ghafar Baba, dan  Dato Seri Anwar Ibrahim.  Seorang lagi   lelaki yang  tidak boleh dipercayai  untuk  memegang jawatan tinggi ialah  seorang   insan  dalam  politik  Malaysia, Si Penunggu  Langgak Golf, yang satu ketika dulu  memang  didesas-desuskan  untuk menganggotai kabinet semula, yang dikatakan  sebagai  satu  muslihat untuk  mengenepikan timbalan perdana menteri  yang sedia  ada. Tetapi, Dr. Mahathir  tidak boleh memaafkannya  kerana keberanian beliau  mencabar Mahathir    untuk  jawatan  presiden UMNO  14 tahun  yang lalu.

Kini, satu masalah baru sudah  muncul menghantuinya.  Serangan   pengganas  (di Amerika) telah  mencantas  pertumbuhan  ekonomi Malaysia, setidak-tidaknya  pertumbuhan yang telah dijanjikan kepada  rakyat Malaysia, yang bertentangan  segala  bukti, dikatakan  memang  serba  mungkin. Apabila kerajaan Malaysia  mengatakan  ekonomi negaranya  masih kukuh dan  tidak seperti Singapura,  yang terpaksa  mengambil langkah  melindungi  rakyatnya  daripada kegawatan itu, Malaysia  berpendirian  tidak perlu berbuat  begitu. Kita telah  disogokkan dengan satu  kepercayaan  bahawa  hukum-hakam ekonomi  adalah  untuk negara  lain yang disalah tadbir   dan  oleh  kerana Malaysia diurus dengan baik  oleh  Dr. Mahathir rakyat  tidak perlu gusar kerana  masa depannya memang cerah sentiasa. Khayalan yang berunsur  temberang kerana   pengendalian  ekonomi, politik dan dasar  kewangan  Mahathir  memang  sentiasa  diulang-ulang untuk  menghayun kepercayaan orang. Petanda malapetaka  memang  jelas  di mana-mana: kompleks  beli-belah yang  kosong,  pelaburan  yang  semakin lompong, penurunan  carta   segala angka  rasmi kerajaan  yang  selama ini sengaja disokong.

Sudah tidak menjadi satu rahsia lagi kenapa  Dr. Mahathir  jarang kelihatan  untuk  meyakinkan rakyat  Malaysia  akan keadaan hidup mereka yang  selamat  dan sejahtera. Gabenor  bank Negara  yang  keletihan  meyakinkan rakyat  betapa  ekonomi  negara adalah tegap   dan sedia  naik mencanak, kini dihenyak  oleh  kesilapan  kenyataannya dulu  dan terpaksa  diam membisu  apabila  indeks komposit  BSKL turun  meruntun lebih satu ratus  mata  dalam jangka  masa dua  hari sahaja. Mahathir terpaksa  menunjukkan muka pada  hari  Jumaat yang ketiga  pada bulan Oktober, belanjawan negara  terpaksa dibentang kepada Parlimen dan rakyat  jelata. Pembentangan  belanjawan negara bukannya masa  untuk  menyorot  ke belakang  akan  hal ehwal  negara, tetapi dijadikan satu majlis suka-suka  untuk  memberikan keyakinan  betapa  zaman ceria  masih lagi  ada. Inilah muslihat   kerajaan  yang ada   untuk  mengkhayalkan  rakyat  jelata.  Mahathir   mesti membentang  belanjawan  negara   dalam masa  satu bulan, dan semua  perangkaan  yang  baik-baik  yang  direncana  untuk  menaikkan  imejnya sudah  lesap  ditelan suasana  yang penuh bencana. Tetapi, (dia fikir)  masih lagi ada   tenaga  simpanan  pada  dirinya  untuk  mengeluarkan  seekor arnab daripada  topi  silap-matanya.  Apakah  nasibnya  sebagai seorang  pakar  songlapan  akan terus  dapat  bertahan, semestinya, merupakan suatu  perkara   lain untuk  renungan.

M.G.G.Pillai
pillai@mgg.pc.my

Hits: