Simpanlah Sandiwara Itu 

Harun Rashid

terjemahan oleh Marhaintua
Apr 13, 2001

Satu sebab ditubuhkan kerajaan ialah untuk melindungi kebebasan perusahaan. Dengan cara itu mereka yang bergiat dalam kegiatan perniagaan boleh dilindungi daripada penyangak ataupun daripada kalangan sesama mereka.

Hukum perundangan yang baik-baik dan pemerintahan yang cekap mampu menyelesaikan pertelingkahan dalam satu suasana yang tenteram. Masyarakat awam menaruh kepercayaan kepada pemimpin kerajaan untuk menentukan keadilan, dan tidak bertindak meraih kepentingan secara berpuak-puak yang mungkin mencetuskan keperihatinan para pengguna.

Perkara yang sama amat bertepatan apabila puak yang berpolitik bersinggit untuk mendapatkan sokongan awam. Kerajaan bertindak persis seorang ibu yang bermurah hati untuk menjamin parti politik bersikap baik antara satu dengan yang lainnya.

Seharusnya sistem perundangan bersifat saksama bertindak bebas memberi ruang pihak yang bertanding peluang serupa untuk kemudahan komunikasi menerusi media dan kemudahan pertukaran maklumat secara bersemuka di forum yang terbuka untuk mengemukakan analisis dan kritikan mereka.

Mereka mesti diberikan peluang untuk memberi penerangan sejelas jelasnya setiap butiran yang menyumbang kepada kepimpinan yang lebih baik lagi.

Apabila merangkul kuasa, sesuatu parti politik mesti mengekalkan mekanisma itu. Tidak ada satu pun yang diberi ruang untuk membunuh 'induk'nya. Tetapi inilah gelagat parti politik yang menyekat suasana pilihan raya yang berkesan dan inilah yang menyanggah doktrin ketelusan yang amat diperlukan dalam pengekalan demokrasi pada kerajaan..

Inilah sikap salah guna kuasa oleh kerajaan komunis setakat ini. Mereka membubarkan jentera multi-parti dan menubuhkan satu parti (yang membabitkan diri mereka sahaja) sebagai pemilik perorangan kepada semua harta awam (dan persendirian), dan melantik orang perwakilan sebagai para diktator untuk menyekat pertandingan seterusnya.

Inilah sebabnya kita kerap mendengar betapa sebuah parti komunis itu memerlukan kemenangan dalam satu pilihan raya sahaja.

Induk Yang Dibunuh

Apabila berkuasa, parti-parti komunis mengadakan pilihan raya, tetapi semua itu adalah berbentuk tipu daya. Parti yang memilih calon-calon dan memang tidak ada pembangkangnya, dan pilihan raya itu diubahsuai untuk menonjolkan betapa satu proses demokrasi memang diamalkan.

Para pemimpin pun melalak daripada tempat yang tinggi-tinggi mengisytiharkan mandat rakyat yang diperolehi. Di waktu yang sama hak asasi manusia pun menghilangkan diri.

Apabila amalan demokrasi menjadi kecut kerana tidak dipakai lagi, korupsi bertakhta memberanikan diri dan mengnyahkan kesaksamaan peluang kepada semua parti yang bersaing. Sebarang ketidakpuasan sengaja tidak digalakkan dengan penggunaan kuasa kepolisian oleh parti yang sedang berkuasa.

Apabila polis dan penghakiman sudah dapat dikongkong, memang tidak ada lagi ruang untuk membetulkan segala perbuatan yang serong. Rakyat marhaen pun hilang hak memilih pemimpin baru mereka dan perlu mengamalkan satu tindakan berwaspada secara berterusan mengenai hal ehwal negara. Induk kesaksamaan itu sudah pun dimangsakan.

Di Malaysia memang wujud satu pembabitan yang besar di segenap tahap perniagaan di mana pemimpin yang sedang berkuasa sengaja membabitkan dirinya, secara usaha sama dengan pihak yang sanggup membeli sokongannya.

Pembabitan pihak peniaga yang bersaing adalah bergantung kepada kesetiaan politiknya dan janji-janji mengenai pengagihan saham.

Selama beberapa tahun, dana awam telah digunakan untuk merangsang ekonomi negara. Aktibiti ini adalah berpandukan gelagat menteri-menteri BN dan UMNO yang dipercayai.

Kini, polis negara sedang digunakan oleh para menteri ini untuk melindungi keuntungan yang dikatakan mereka raih bagi pihak awam.

Para pemimpin parti politik UMNO/BN merasakan mereka sedang tergugat apabila pemimpin parti pembangkang ditangkap oleh polis yang berpakaian preman tanpa sebarang waran tangkap yang dikeluarkan oleh parti yang memegang kuasa. Tujuannya ialah untuk mengelakkan kebertanggungjawaban dengan menangkap mereka yang sanggup mengeluarkan cabaran.

Ini merupakan salah guna kuasa pihak polis dan kemarahan rakyat marhaen sedang marak terhadap penderhakaan kepada amanah yang diberikan oleh rakyat kepada kepimpinan UMNO dan BN. Keresahan politik terus membuak dan segala usaha untuk menyekat kemunculan demo jalanan akan menyulitkan keadaan yang sudah tegang.

Kini sudah muncul desakan ramai agar UMNO-BN dikutuk sebagai musuh kepada rakyat marhaen. Kerajaan bertindak dengan melatih lebih ramai polis gerak gempur, membeli lebih banyak meriam pancutan air dan membina lebih banyak penjara lagi. Semua ugutan ini adalah satu bentuk acah-mengacah yang memang diminati, dan memang amat berkesan apabila digunakan pada mereka yang takut dipenjarakan.

Di masa lalu, ugutan seperti ini memang didapati berkesan untuk menyekat dan mengawal tentangan politik. Dana awam digunakan untuk terus menekan keadaan itu. Tetapi cara ini hanya mencetuskan satu suasana laksana masakan kedap udara di mana tekanan jiwa memuncak ke tahap yang berbahaya.

Rakyat Malaysia merupakan satu bangsa yang pada dasarnya ramah-tamah dan penyabar serta tidak mudah naik berang. Namun, ada satu perkataan Inggeris yang dipinjam daripada khazanah bahasa Melayu.

'Mengamuk' bererti satu perbuatan yang tercetus disebabkan kemarahan yang tidak disangka yang mencetuskan keganasan yang tidak didahului oleh sebarang petanda. Inilah tindakan rakyat marhaen yang amat ditakuti oleh kerajaan.

Pajero Terbang

Pada musim panas yang lalu, polis telah menaungi satu perkara pelik yang menjentik keraguan awam betapa beberapa peristiwa yang pelik-pelik sengaja dicetuskan untuk tujuan politik. Cerita yang dirumuskan saban hari ternyata tidak boleh masuk akal lagi. Memang tidak masuk akal. Pengadilan mahkamah yang berterusan terhadap mereka yang ditangkap tidak pun mengambil kira segala laporan akhbar seperti yang pernah dituturkan oleh jurucakap rasmi kerajaan di waktu terjadinya peristiwa itu.

Ramai yang terkejut tidak pun menyimpan keratan akhbar harian mengenai drama itu. Kini mereka merasa ceria kerana mempunyai peluang lain lagi.

Butir-butir sidang akhbar harian pada tahun yang lalu kini diulang-ulang oleh tukang karut yang cuba menipu kita hari ini.

Kita disogokkan cerita lama mengenai konspirasi dan segala muslihatnya, lengkap dengan senjata ketenteraan dan aktibiti yang kelentongan, direncana terhadap para tuan-tuan yang merupakan para pemimpin parti yang sedang berkuasa.

Kisah Pajero terbang dan misteri lubang cetek yang digali memang belum muncul lagi. Setakat ini belum ada lagi kambing sembelihan yang akan ditonjolkan. Namun kisah dongeng itu pasti akan diperbetulkan.

Inilah peluang untuk menyimpan segala keratan akhbar itu. Ada pathos dan perasaan kasihan. Ada komidi yang menggelikan hati. Ada juga tragedy yang meruntun nurani. Semua itu adalah lambing sejarah zaman kini.

Semua itu akan menceriakan anda untuk ketawa. Mungkin juga anda akan menangis mengeluarkan air mata. Cerita itu boleh membuatkan anda naik berang ataupun lesu kerana duka nestapa. Laksana satu fiksyen yang haprak apa lagi yang boleh diharapkan. Namun semua itu bersifat mudah-alih kerana boleh digunakan sebagai bahan pilihan raya untuk anda memilih.

Simpanlah segala keratan itu sebagai khazanah anda ataupun untuk para sahabat. Simpanlah untuk anak-anak. Inilah lambang masa anda, betapa anehnya cerita itu semua. Di masa yang akan datang tidak ada sesiapa yang akan mempercayai anda akan cerita itu. Tetapi itulah hakikatnya.

Simpanlah keratan itu setakat masih ada lagi. Potong dan lekatkan mengikut sesuka hati.

Hits: