Sampai Hati AS Memusnahkan Manusia Yang Teraniaya?
(How Can The  US  Bomb This Tragic People?)

Oleh Robert Fisk  - Beirut 24 September, 2001. Independent.

Kita baru menyaksikan salah satu peristiwa bersejarah sejak Perang Dunia Kedua, tentunya selepas Vietnam. Saya bukan bercakap mengenai Pusat Dagang Dunia di New York dan gambaran yang menyayat hati yang kita lihat pada 11 September, satu keganasan yang telah saya tulis minggu lalu sebagai satu jenayah terhadap kemanusiaan. Saya tidak juga merujuk kepada persediaan yang luar biasa dan hampir tidak dapat kita percaya boleh direncana oleh negara yang sungguh terkuat yang pernah dilahirkan di dunia ini, untuk melancarkan serangan mengbom sebuah negara yang paling teraniaya, yang telah dilanda malapetaka silih berganti dengan rakyatnya yang kebuluran dan merempat setiap hari. Afghanistan telah diliwat dan dimusnahkan sehingga menjadi tunggang-langgang oleh tentera Russia selama 10 tahun, dibiarkan terkapai-kapai oleh semua rakannya - kita, orangnya yang berbuat begitu - sebaik sahaja Russia lari dari situ. Kini rakyat Afghan sedang menanti termanggu-manggu untuk diserang kuasa besar yang tinggal hanya satu. 

Saya melihat semua peristiwa ini penuh kesangsian, bukan sahaja kerana saya pernah menjadi seorang saksi kepada penaklukan Russia dan penjajahannya. Cara mereka berperang bagi pihak kita, orang-orang Afghan itu telah mengotakan segala kata-kata kita yang mempercayai mereka. Demikianlah bagaimana mereka begitu mempercayai Presiden Carter ketika dia menjanjikan sokongan puak Barat. Saya pernah bertemu seorang petugas CIA di Peshawar yang menayangkan satu pasport dan dokumen perjalanan seorang juru terbang Soviet. Juru terbang itu telah ditembak jatuh oleh peluru berpandu kita - yang telah pun dicungkil daripada pesawat MIG yang dipandunya. “Kesian dia,” kata hantu CIA itu, sebelum menunjukkan kami satu filem menunjukkan askar Amerika (GI) sedang menyerang Vietcong di pawagam peribadinya. Oh ya, saya teringatkan kata-kata beberapa pegawai Soviet yang telah menahan saya di Salang. Mereka menjalankan tugas yang bersifat sejagat di Afghanistan, demikianlah kata mereka. Mereka “menghenyak kumpulan pengganas” yang cuba menggulingkan kerajaan Afghan (komunis) dan menghancurkan rakyatnya. Bukankah semacam senada sahaja bunyinya?
 

Saya bertugas dengan The Times pada 1980, dan di bahagian selatan Kabul saya telah dapat satu bahan berita yang sungguh menyayat hati. Satu kumpulan pejuang mujahidin telah menyerang sebuah sekolah kerana regim komunis telah memaksa kanak-kanak perempuan belajar bersaing kanak-kanak lelaki. Mereka telah mengbom sekolah itu, membunuh isteri pengetua sekolah, dan telah mengerat kepala suaminya. Semua itu adalah kisah benar. Tetapi, apabila The Times menerbitkan kisah itu, Pejabat Luar telah membuat bantahan bahawa laporan saya itu memberi sokongan kepada pihak Russia. Ketika itu pejuang Afghan itu semuanya adalah dianggap orang yang baik-baik. Osama Laden pun dianggap orang yang baik. Charles Douglas-Home, yang bertugas sebagai editor The Times kerap mengingatkan kami agar gerila Afghan itu disebut sebagai pejuang kebebasan dalam tajuk berita. Memang banyak cara untuk memutarkan perkataan. 

Demikianlah pada hari ini. Presiden Bush sudah pun mengugut kumpulan Taliban yang memencilkan diri, dungu, dan terlalu bersifat konservatif itu dengan hukuman yang sama jenisnya seperti niatnya terhadap Osama ben Laden. Pada mulanya Bush bercakap mengenai “keadilan dan hukuman” dan mengenai “membawa ke muka penghakiman” puak yang melakukan keganasan. Tetapi dia tidak pun menghantar anggota polis ke Timur Tengah, dia mengirimkan pesawat pengboman B-52. Kemudian, pesawat F-16, dan pesawat AWAC (Advance Warning Aircraft) dan helikopter Apache. Bukannya kita akan menangkap Osama Laden. Kita akan menghancurkannya. Perkara itu tidak ada sesiapa yang menentang seandainya Osama Laden memang bersalah. Tetapi, pesawat B-52 tidak pandai memilih-milih manusia yang memakai serban, ataupun kanak-kanak ataupun antara lelaki dan perempuan. 
 

Saya pernah menulis (minggu lalu) mengenai budaya penapisan yang kini mencekik kita, dan segala serangan peribadi yang terpaksa ditanggungi oleh setiap wartawan yang berani mempersoalkan akar umbi krisis ini. Minggu lalu, dalam sebuah akhbar utama Eropah, saya dapat membaca satu contoh terbaru yang mendedahkan apa yang saya maksudkan. Saya telah dituduh sebagai berpendirian anti-Amerikan dan telah diberitahu betapa sikap anti-Amerikanisme adalah sama dengan anti-Semitisme. Sesiapa pun faham dengan tuduhan itu, cuma saya masih sangsi apa sebenarnya makna anti-Amerikanisme. Sekarang ini kalau kita mengkritik Amerika Syarikat ia dilihat bersamaan dengan mengutuk dan membenci orang Yahudi. Ada pihak yang lega dengan tajuk “Keganasan Islam” ataupun contoh tajuk berbahasa Peranchis yang berbunyi “Lelaki Gila Ciptaan Tuhan”. Tetapi, adalah sesuatu yang tidak akan diterima kalau dipersoalkan kenapakah AS begitu dibenci oleh Arab Muslim di Timur Tengah. Kita boleh sebut betapa pembunuh itu beragama Islam, kita boleh menuding jari kepada Timur Tengah sebagai pencetus jenayah - tetapi kita tidak boleh menulis sebarang andaian yang menyebabkan jenayah itu.
 

Akan tetapi eloklah kita sorot kembali perkataan keadilan. Kalau diulang-tayang kembali jenayah dahsyat di New York itu, tentu ramai orang yang akan berkongsi pendapat saya betapa kerja keji itu adalah satu jenayah terhadap kemanusiaan. Lebih 6,000 nyawa terkorban, yang menyerupai korban Srebrenica. Sedangkan puak Serb dulu pun telah membebaskan kaum wanita dan kanak-kanak ketika mereka membunuh kaum lelaki (Islam) secara beramai-ramai. Roh mereka yang terkorban di Srebrenica - kini terbela - setelah tertubuhnya mahkamah pengadilan antarabangsa di Hague. Tentu sekali apa yang kita perlukan ialah satu Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk menangani kes terhadap para pembunuh kejam yang menghancurkan New York pada September 11, dulu.
 

Soalnya sekarang, Amerika mahukan satu bentuk versi pengadilan bikinan sendiri, seolah-olah inilah satu konsep yang berakar umbi di era ‘Wild West’ (zaman peneroka mendulang emas, membuka ladang ternakan dengan merampas tanah masyarakat Red Indian, dan mencari minyak di Amerika dulu - penterjemah) dan segala kaedah Perang Dunia kedua yang diolah oleh Hollywood, semula. Presiden Bush menyebut kisah mengasap-perabun mereka, dan kisah kertas iklan yang dipasang di Dodge City dengan kata-kata “Wanted, Dead or Alive”. Tony Blair pernah memberitahu betapa kita mesti tegap di belakang Amerika, seperti mana Amerika telah berdiri tegap menyokong ‘kita’ sewaktu Perang Dunia Kedua melanda. Memang benar, Amerika membantu ‘kita’ membebaskan Eropah Barat. Tetapi, dalam kedua-dua peperangan itu, AS telah memilih untuk campur tangan hanya apabila perang itu sudah berlanjutan panjangnya - dalam kisah Perang Dunia Kedua dulu - Amerika telah meraih banyak keuntungan ketika mengambil pendirian berkecuali.
 

Apakah roh yang terkorban di Manhattan layak menerima penghormatan yang lebih besar dari semua ini? Hampir tiga tahun sudah berlalu sejak kita melancarkan serangan ‘200-cruise missile’ (peluru berpandu) terhadap Iraq kerana tindakannya mengnyahkan Inspektor senjata PBB. ‘Satu habuk’ pun tidak tercapai dalam serangan itu. Lebih ramai rakyat Iraq yang terkorban, para penyiasat senjata PB itu masih tidak diizinkan bertugas semula di Iraq, dan sekatan ekonomi masih diteruskan, sehingga semakin ramai kanak-kanak mati kebuluran. Tidak ada sebarang dasar tertentu, tidak ada perspektifnya. Hanya tindakan (ganas) tanpa kata-kata.
 

Demikianlah kita hingga ke hari ini. Bukannya kita membantu Afghanistan, menghulurkan bantuan yang amat diperlukan sejak 10 tahun yang lalu, membina kembali bandar rayanya dan memberi ruang untuk budayanya bernafas semula sambil melahirkan satu sistem politik yang baru yang ada pusatnya yang mampu keluar daripada kepompong tribalisme (kepuakan). Kita telah biarkan Afghanistan mereput. Sarajevo boleh dibina semula. Kabul tidak boleh dilakukan seperti itu. Satu bentuk demokrasi boleh diwujudkan semula di Bosnia, tetapi tidak boleh dilahirkan di Afghanistan. Sekolah boleh dibuka semula di Tuzia dan Travnik, tetapi tidak boleh di Jalalabad. Ketika Taliban muncul dan menonjol, menggantung kepala setiap musuh yang ditangkapnya, mengudungkan jari dan tangan para perompak, membunuh wanita yang berzina dengan rejaman batu, Amerika Syarikat menganggap segala gelagat kejam ini sebagai satu kuasa untuk menstabilkan keadaan selepas negara itu begitu lama dihenyak anarki. 

Ugutan Bush sudah pun memaksa perpindahan setiap petugas bantuan dan rakyat asing. Kini, rakyat Afghan sudah pun mati kebuluran kerana ketiadaan mereka. Keadaan kemarau panjang dan kebuluran telah membunuh sekitar satu juta manusia. Sekitar 20 hingga 25 Afghan hancur terbunuh setiap hari kerana diledak oleh jerangkap samar yang berjumlah 10 juta semuanya peninggalan Russia dulu. Russia tidak pernah memasuki semula Afghanistan untuk memusnahkan bom jerangkap yang mereka pasang dulu. Saya jangkakan ada juga bom yang digugurkan oleh B-52 nanti yang berkemungkinan meledakkan perangkap samar Russia itu. Tetapi itulah sahaja kerja-kerja kemanusiaan yang dapat kita jangka untuk melihatnya dalam masa yang terdekat.

Cuba perhatikan segala drama yang dipertontonkan sejak minggu lalu. Pakistan sudah pun menutup pintu masuk di sempadannya dengan Afghanistan. Begitu juga Iran. Orang Afghan terpenjara di negaranya sendiri. Kecuali mereka dapat menceroboh Pakistan dan berakhir dengan terdampar di persisiran pantai Peranchis ataupun Australia atau mampu menyelinap masuk Terowong ‘British Channel’ ataupun merampas sebuah pesawat British untuk dihenyak oleh Menteri Dalam Negeri negara itu. Apa pun, mereka akan dihantar pulang, dan dinafikan kemasukannya. Inilah kisah dahsyat yang penuh ironisnya, betapa dunia hanya berminat agar orang Afghanistan menyerahkan kepada mereka insan yang mereka amat perlukan. Mereka taksub mahukan Osama bin Laden yang dikatakan si pintar yang merencana malapetaka yang terbesar dalam sejarah Amerika. Hanya Osama Laden yang mereka inginkan. Yang lain itu bolehlah merempat dan terus merana untuk mati akhirnya. 

Tamat 
Diterjemahkan oleh SPAR.

Hits: