Arab Saudi:  “Jangan lancarkan  perang  daripada  pengkalan  kami”
(Nervous Saudis  tell  US: WOT will not  be launched..)

Oleh Robert Fisk  - Beirut 24 September, 2001. Independent.

“Walaupun dikatakan bersahabat rapat dengan Amerika Syarikat, Arab Saudi telah menolak rencana Amerika menggunakan lapangan terbangnya sebagai pengkalan untuk melancarkan program “memerangi keganasan” yang ditegaskan oleh Presiden Bush. Arab Saudi telah menyatakan dengan jelasnya keengganan membenarkan pesawat pengebom AS berlepas dalam misi perangnya daripada pengkalan udara Putera Sultan, yang berdekatan Riyadh. Pendirian Saudi ini menyusul satu minggu selepas Lt. Gen. Charles Wald, ketua operasi udara daripada Pusat Pemerintah AS, mengalihkan ibupejabat operasinya daripada Selatan California ke pengkalan itu. 
 

Secara berlembut dan berlapik (bahasanya), seorang pegawai Saudi telah mengumumkan bahawa “Arab Saudi tidak akan merestui sebarang pencabulan terhadap kedaulatan negaranya, tetapi ia tetap menyokong tindakan membasmi keganasan dan perjuangannya.” Ribuan rakyat Saudi, tidak termasuk ‘tertuduh utama’ Osama bin Laden - akan bertanya apakah cara Arab Saudi mahu mempertahankan kedaulatan negara sedangkan sekitar 4,500 anggota tentera Amerika sudah sekian lama berpengkalan di negara itu dan apabila pesawat Amerika terus menggunakan pengkalan udaranya – termasuk lapangan terbang Putera Sultan - untuk menggugurkan bom di selatan Iraq. Dalam banyak peristiwa, pembasmian ‘segala sebab’ tercetusnya kekejaman di New York dan Washington bukannya keutamaan Presiden Bush.
 

Secara tidak rasmi, rakyat Saudi amat runsing kemungkinan dilancarkan serangan terhadap negara Islam yang lain – termasuk Afghanistan –dan mereka mahu mempunyai suara untuk menentukan kuasa terhadap operasi udara itu, yang sudah tentu tidak akan disenangi oleh Bush dan Powell. Pada hakikatnya, pihak berkuasa di Arab Saudi sudah lama sedar betapa ratusan ribu rakyat di negara itu, termasuk masyarakat ulama dan warga istana Saudi sendiri, yang menyuarakan bisikan mereka menyokong Osama Laden dan mendesak agar Amerika bersiap sedia untuk keluar daripada bumi Arab Saudi.
 

Pihak Amerika tentu tidak akan lega dengan apa yang dianggapnya satu jenaka. Lebih separuh daripada 19 orang perampas pesawat kepunyaan Amerika pada 11 September dulu, ternyata merupakan rakyat Arab Saudi – malahan mereka yang menggunakan identiti Arab Saudi, termasuklah Osama Laden yang telah dilucutkan kerakyatan Saudinya. Kumpulan Taliban yang dituduh oleh Washington sebagai bertanggungjawab menjaga Osama Laden, adalah hasil ciptaan fahaman ‘Wahabi’ tajaan Arab Saudi, daripada mazhab sunni. Sebelum sekatan ekonomi dilaksanakan, masih terdapat penerbangan udara antara Riyadh dengan bandar di bahagian tenggara Afghan, Jalalabad.
 

Persahabatan negara beraja Saudi dengan AS bermula lebih setengah abad dulu apabila Presiden Franklin Droosevelt mempelawa Raja ibn Saud menaiki kapal pemusnah USS Quincy pada 1945. Raja itu telah memasang khemah padang pasirnya di atas pelantar kapal pemusnah Amerika itu dengan ditemani tujuh ekor kambing biri-biri untuk membekalkan susu segar. Dia telah diberikan janji bahawa Asia tidak akan melakukan apa sahaja yang dianggap liar kepada orang Arab. Tiga hari kemudiannya, Winston Churchill telah kehilangan kuasa dan hak mempengaruhi bangsa Arab setelah dia membuat pengumuman kepada Raja Saudi itu betapa “kalaulah agama tuanku menafikan hak tuanku merokok dan meminum arak, saya perlu menyatakan di sini bahawa adalah adat resam saya untuk menikmati cerut(u) dan meminum alkohol sebelum makan, selepasnya dan jika perlu pada waktu dan bila-bila masa yang diperlukan.”

Pada sekarang ini, orang Saudi lebih berkenan melihatkan seorang perdana menteri British yang tidak seangkuh seorang presiden Amerika yang telah begitu cepat menderhakai janji-janji Roosevelt. Namun, Raja Fahad merupakan pemimpin negara itu yang mempersilakan setengah juta askar Amerika menjejaki bumi Arab Saudi sebaik sahaja Saddam Hussin menakluki Kuwait pada 1990- inilah satu ‘keputusan bersejarah’ mengikut raja itu. Sekaligus ia merupakan satu sejarah menodai bangsa Arab mengikut Osama bin Laden dan ia merupakan satu tanggungjawab dan dosa Putera Mahkota Abdullah kerana menyokong penempatan askar AS itu secara berterusan untuk mengganyang Iraq. 
 

Perasaan yang sama tidak pernah lekang daripada dirasakan oleh mangsa Presiden Saddam, Kuwait. Walau pun Emir Sheikh Jaber al-Ahmed al-Sabah, baru-baru ini diserang pendarahan otaknya, kerajaan Kuwait masih merasa bangga mempelawa kedatangan askar Amerika - pembebas keperitan 1991 - dan membawa lebih banyak peralatan perang dan pesawat pengebom kepada emirat itu. Bahrain yang baru selesai membersihkan pasukan perisik polis dan jurulatih British mereka, telah turut menawarkan kemudahan kepada Amerika. Malahan selama ini pun pasukan ketumbukan Amerika “Gulf Fleet” memang sudah lama berpengkalan di Manama. Emirat Bersatu (U.A.E.) telah pun memutuskan hubungan diplomatik dengan Taliban hujung minggu dulu, dan keputusan ini mungkin dituruti oleh Arab Saudi.
 

 Memang tidak sukar melihat masalah besar yang sedang menghantui Arab Saudi dan negara jirannya. Masalah sebenar yang menghantui Arab Teluk itu ialah kesamaan strategi tentera Amerika yang sebenar sebagai riak tindakan terhadap pembunuhan besar-besaran yang melanda New York dan Washington. Cakap-cakap Presiden Bush mengenai Perang Salib hampir mencetuskan penyakit serangan jantung di kalangan pemimpin Saudi sedangkan pendirian akan wujudnya “satu perang yang panjang” menderingkan satu igauan kepada para emir dan sultan di Teluk itu. Mereka lebih memilih kestabilan pemerintahan kediktatoran mereka berbanding keperluan memberikan penjelasan kepada rakyat kenapa perlunya mereka menjadi tuan-rumah kepada Amerika yang melaksanakan kempen memusnahkan negara Islam.

Arab Saudi memang sebenarnya keliru dengan rancangan Amerika. Apakah Amerika mahu menyerang Afghanistan dengan peluru ber0pandu, seperti gelagat Presiden Clinton selepas meledaknya kedutaan Amerika di Afrika? Apakah Iraq akan turut disenaraihitamkan dalam catatan negara yang perlu dihukum kerana tragedi itu? Apakah Hizbollah di Lebanon yang memang tidak ada kena mengena langsung tetapi mahu dibabitkan pula oleh Israel? Pasukan n FBI naik marah apabila Arab Saudi enggan memberikan keizinan mereka masuk campur menyoal-siasat lelaki yang dikatakan telah mengbom markas tentera Al-Khobar yang membunuh 24 askar Amerika. Pihak Amerika masih merayu hak menyoal tiga orang yang tertuduh itu pada hari mereka disiap-sediakan untuk dipancung kepalanya. 
 

Malam kelmarin, pegawai diplomatik Saudi dan Amerika telah menghadapi satu masalah yang rumit laksana menari tarian tango mengikut rentak yang sulit. Pihak Saudi tidak akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai keengganan mengizinkan AS menggunakan pengkalan udaranya, sedangkan kedutaan AS di Riyadh terpaksa merujuk setiap soalan itu kepada Pentagon. Sebaliknya, Pentagon menyuroh para wartawan mengemukakan soalan itu kepada Jabatan Negara - yang enggan menjawab sebarang soalan. Orang Saudi mungkin mula mengenang semula kisah lama ketika seorang perdana menteri British yang bersuara lantang dengan cerutu di jarinya dan segelas minuman wiski. Itulah ketikanya beliau berusaha menunjukkan keangkuhan ketuanan negaranya dengan menghadiahkan Raja ibn Saud satu kereta Rolls Royce model lama, lengkap dengan satu takhta di tempat duduk pemandunya. 

Tamat 
Diterjemahkan oleh SPAR.

Hits: