Khir Rasuahkan Agong RM6 Juta? 

Oleh : ORANG LAMA SUK

Cerita bagaimana Khir Toyo meluluskan lebih 5,000 ekar tanah dalam masa setahun pemerintahannya sudah hangat dibicarakan rakyat, khususnya melalui internet. Dikatakan beliau mentadbir Selangor seperti seorang pengarah menguruskan syarikat sendiri. Malah ada yang menuduh MB Selangor itu telah mengaut, bersama Setiausaha Politiknya, lebih RM100 juta tunai. Begitu juga dengan kisah Khir menyogok seorang pegawai kanan kerajaan negeri, dalam usahanya mempercepatkan proses kelulusan tanah di sebuah daerah di Selangor.

Khir tahu kedudukannya semakin goyang. Perdana Menteri sendiri sudah meluahkan rasa tidak senangnya dengan tindakan Khir yang dikatakan cukup gelojoh mengagihkan kekayaan Selangor kepada kawan-kawan, dan tentunya kepada dirinya sendiri. Oleh itu, beliau cuba berpaut dengan dahan yang lebih kukuh, agar tidak hanyut ditolak skandal salah guna kuasa dan pelbagai penyelewengan yang dilakukannya.

Kini, Khir bertambah nekad mempertahankan kerusi MB yang goyah itu, dengan memperalatkan baginda Sultan Selangor sendiri, yang juga Yang di-Pertuan Agong. Melalui kawan-kawan rapatnya, Khir dengan angkuh memberitahu bahawa Agong pun terpaksa tunduk dengan kemahuannya.

Manakan tidak, Khir menjaja berita di mana-mana bahawa beliau telah meluluskan pinjaman peribadi kepada baginda Sultan sebanyak RM6 juta bagi membina istana buat permaisurinya, Siti Aishah baru-baru ini, tanpa perlu merujuk dengan anggota-anggota Exco yang lain. Khir, untuk menunjukkan baik budinya kepada baginda Sultan, juga telah membayar cukai stem pinjaman itu, sebanyak RM50,000, yang sepatutnya dibayar oleh Sultan sendiri. Dan pembayaran dibuat dalam masa 24 jam.

Khir berbuat demikian hanyalah untuk menjerat Sultan supaya tetap mempertahankannya walau pun beliau ditekan hebat nanti untuk melepaskan jawatannya memandangkan penyalahgunaan kuasanya begitu menonjol. Pihak pembangkang menunggu masa saja untuk mengeksploitasi keadaan ini bagi menumbangkan kerajaan BN dalam pilihan raya akan datang.

Khir tahu PM sudah meluat dengan gelagatnya. Pemimpin kanan Umno Selangor pun naik muak dengan aksinya. Anggota Exco Kerajaan Negeri yang merasakan diri mereka dipinggirkan oleh Khir pun tidak tahan lagi perangainya yang ibarat kaduk naik junjung itu. Rakyat sendiri tambah marah bila mengetahui Khir dan kroninya bertambah rakus mengebas kekayaan negeri untuk diri dan kelompoknya saja.

Maka sandarannya hanya kepada Sultan Selangor. Percayalah, tidak cukup dengan pinjaman peribadi RM6 juta itu, Khir akan terus menyogok Sultan dengan kemewahan lain, dengan niat Sultan akan terikat dengannya. Khir mahu Sultan selepas ini akan mengangguk segala kehendaknya. Dan di kala itu, soalnya, siapa yang sebenarnya Sultan, kalau bukan Khir sendiri?

Sultan adalah payung buat rakyat di negeri ini berteduh. Kita tidak rela Sultan yang kita sayangi diperalatkan oleh seorang MB yang kian kelemasan, yang mencari apa saja untuk dipautnya. Kita tidak mahu Sultan, yang menjadi lambang pemersatu rakyat Selangor, apatah lagi kini menjadi Yang di-Pertuan Agong negara ini, turut lemas nanti, diheret Khir yang menunggu masa saja untuk ditolak rakyat.

Justeru, kita mohon Sultan membersihkan namanya, yang kini dipalit oleh dakwaan Khir itu seolah-olah Sultan yang kita sayangi itu boleh dipergunakan hanya dengan wang sebanyak itu. RM6 juta terlalu kecil jika dibandingkan dengan apa yang dibolot oleh Khir dan kawan-kawan rapatnya.

(tulisan ini dipetik dari risalah yang diedarkan oleh pihak tertentu di Selangor, tanpa menyebut nama penerbit)

Hits: