SINDROM YANG MELANDA RAKYAT MALAYSIA KINI

Selepas tragedi 11 September yang menimpa Amerika, kita melihat orang ramai di serata dunia mengadakan demonstrasi seolah-olah menyambut satu kemenangan di samping membantah tindakan jahat US merancang untuk menyerang Afghanistan, tempat yang dianggap berkubunya Osama ben Ladin dan Al Qaeda, kem latihan Osama bagi melatih para “pengganas” itu. Dunia melihat dan merasai semuanya itu, kecuali di Malaysia. Tidak ada seorang pun rakyat Malaysia dilaporkan mengadakan demonstrasi atau merayakan serangan itu dengan memberikan gula-gula kepada orang ramai. Tidak ada seorang pun. Apakah rakyat negara ini tidak punya apa-apa perasaan tentang kejadian itu selain yang kita dengar bualan-bualan kosong di kedai-kedai kopi yang habis begitu sahaja. Hanya bualan kosong?

Sama ada ianya aneh atau tidak, tapi itulah hakikatnya rakyat negara kita kini khususnya umat Islam, kerana tindakan balas yang bakal diambil oleh US adalah ke atas umat Islam. Inilah negara yang diperintah oleh seorang diktator tua bersama kuncu-kuncunya yang telah berjaya menanamkan rasa takut di kalangan rakyatnya. Kita kena akui hakikat ini. Kita takut dengan ancaman demi ancaman yang diteriakkan saban hari melalui kaca TV dan akhbar-akhbar arus perdana tentang betapa demonstrasi bakal menghumbankan kita semua ke dalam penjara atau buangan di kem Kamunting tanpa bicara. Bukan itu sahaja, para pelajar pusat pengajian tinggi yang sepatutnya peka terhadap hal-hal seperti ini juga turut membisu  apabila beberapa orang pelajar di tahan di bahawa ISA dan dibuang dari universiti kerana mengambil bahagian dalam demonstrasi jalanan sedikit masa dulu.

Bahkan bukan setakat itu sahaja, kini parti-parti politik dalam Barisan Alternatif tidak lagi diberikan permit berceramah atau berhimpun sekalipun dalam premis sendiri dan tertutup pula. Inilah hasil dari apa yang telah dilakukan oleh regim Mahathir ke atas rakyat Malaysia. Kini rakyat negara ini dilanda sindrom ketakutan di negara sendiri akibat tekanan dari regim diktator itu yang ingin berkuasa sampai mati. Salah siapa? Kita ditakutkan dengan berbagai ancaman, takut ditangkap dan ditahan di bawah ISA, takut dituduh sebagai ahli KMM, takut dibuang kerja, takut diturunkan pangkat dan berbagai-bagai jenis ketakutan telah dicampakkan oleh diktator tua itu ke dalam hati sanubari kita.

Alangkah malangnya nasib kita rakyat Malaysia yang mengaku mengamalkan sistem demokrasi, tetapi setitik demokrasi pun tidak kita rasai. Kita telah kehilangan banyak perkara akibat sindrom rasa takut ini. Kita telah kehilangan kebebasan hatta ke atas diri kita sendiri. Namun ya, salah siapa? Kita perlu berubah. Katakanlah kita perlukan perubahan itu sekurang-kurangnya untuk diri sendiri, tapi ya, bagaimana ? Untuk saat ini kita mengharapkan tahun keramat 2004 mengubah nasib kita dan keluar dari sindrom rasa takut ini.  Tapi itu hanya satu kemungkinan. Bukan satu kepastian. Tetapi kita harap begitulah. Tidak mungkinkah lebih awal dari itu? Nampaknya harapan itu jauh sekali.

Tetapi rakyat Sarawak mungkin boleh memberikan kita sedikit cahaya dalam hal ini. Pilihan raya peringkat Negeri Sarawak memungkinkan sedikit harapan untuk kita keluar dari sindrom ini. Rakyat Sarawak perlu bijak membuat keputusan pada 27 September ini. Berilah peluang kepada parti-parti komponen BA dalam pilihan raya itu nanti. Jika tidak, rakyat Malaysia termasuk rakyat negeri Sarawak akan terus menerus dilanda oleh sindrom ketakutan sehinggalah tahun 2004 nanti. Mampukah kita tinggal dalam keadaan begini selamanya? Tepuk dada tanyalah selera !

AlKundangi,
26.9.2001

Nota webmaster: Kita tidak tahu apakah sebenarnya 'sindrom' yang dimaksudkan penulis benar-benar menghantui rakyat negara ini. Kita menilai semacam ada persamaan yang berlaku di seluruh negara. Satu gelombang besar kini sebenarnya sedang melanda negara ini. Kita berharap gelombang ini sebagai yang disebutkan gelombang kedua dalam era reformasi negara~webmaster

Hits: