Bila  Akan  Keringnya Air Mata?
(Will Tears  Ever  Stop ?)

Oleh:  Johan  Gerassi.

26 September, 2001.


Aku tidak  dapat menahan  lelehan air mata. Setiap kali aku melihat  seseorang di TV  menceritakan   keperitan   nasib tragis  kesayangannya  di   episod  Pusat Dagang Dunia  yang  musnah itu,  air mataku  akan  berlinang  semula.

Akan tetapi,  terimbas   kisah  askar  kita  yang  membunuh  sekitar  5,000 orang yang  daif  di  perkampungan El Chorillo, Panama  ketika  mereka  mencari  Noriega. Ketika  itu  aku tidak pun  meratapi  kematian  mereka.  Pemimpin kita  sedar  Noriega  tidak bersembunyi  di  situ, tetapi  mereka ghairah memusnahkannya  kerana  para  penduduk di situ  adalah berfahaman   nasionalis mahukan  semua  askar AS keluar  daripada  Panama.

Yang lebih teruk lagi, kenapakah aku  tidak  menangisi  kematian  dua  juta  orang Vietnam yang  kebanyakannya  petani yang tidak  berdosa  sedangkan perancang  utama  peperangan itu,  Setiausaha  Pertahanan  Robert  McNamara,  sedar  lebih awal lagi  betapa kita  tidak akan menang  dalam  peperangan  itu?

Ketika aku pergi  menderma darah  satu  hari  dulu, aku melihat  seorang  rakyat  Kemboja, menderma  darahnya  juga, dan  beratur  lebih  depan  dari  giliran aku. Dia mengingatkan aku: kenapakah aku tidak menangis  ketika  kerajaan  membantu  dan membiarkan  Pol Pot  membunuh dengan  kejam  laksana  algojo, sekitar satu juta  manusia.  Bukankah kerajaan kita  yang mengongkosinya  dengan  wang dan  senjata, kerana dia  menentang  “musuh kita”   yang kemudiannya   berjaya  menghentikan   medan  berdarah  itu?

Untuk  bersikap waras  tanpa  mahu menangis lagi pada  petang itu, aku  memilih untuk  pergi menonton filem di  pawagam.   Aku memilih  cerita  Lumumba  yang  ditayangkan di  ‘Film Forum’ dan  tiba-tiba sedar   betapa aku tidak pernah menitiskan air mata  ketika  kerajaan  kita   mengaturkan pembunuhan  Patrick Lumumba  yang ketika itu (sehingga kini)  merupakan hanya seorang  pemimpin   Congo  yang  berwibawa. Dia dibunuh untuk digantikan oleh   General Mobuto (Sesi Seiko), seorang  diktator  yang tamak, garang  dan  kejam  dengan  pembunuhan.

Aku tidak juga  menangis  apabila  CIA  mengatur  dan  menggulingkan  Sukarno di  Indonesia,  walau pun  dia  sudah berjuang  menumpaskan  Jepun dalam Perang Dunia  Kedua  dan  menubuhkan  sebuah negara  yang  bebas dan merdeka. CIA  menggulingnya  untuk  menaikkan  General Soeharto  yang  telah bersekongkolan dengan  Jepun, dan  yang kemudiannya  membunuh  sekurang-kurangnya  setengah juta  ‘Marxist’  ( dalam sebuah negara   di mana  rakyatnya tidak pernah  mendengar  nama  Marx, selain  Groucho, mungkin)?

Malam kelmarin aku  menonton  TV kembali dan  menangis  lagi melihatkan  wajah  seorang  bapa  yang  memanjakan  anak yang  berusia  dua  bulan sebelum si bapa  hilang  tanpa  meninggalkan pesan.  Namun, ketika   berlakunya  pembunuhan kejam  ribuan  penduduk Salvador yang dilaporkan dengan  terperinci oleh  Ray Bonner  dalam The Times, termasuk kisah  agamawan  wanita  Amerika  (nuns  and lay sisters) yang dirogol  dan dibunuh oleh  agen  upahan CIA, tidak pula aku  melinangkan air mata.

Aku telah menangis  ketika   mendengarkan kisah Barbara Olson, isteri  Solicitor  General Amerika, yang  mempunyai pandangan  politik  yang amat  aku  bencikan. Tetapi, aku  tidak menangis  apabila Amerika   memusnahkan  sebuah  pulau kecil di utara  Caribbean, yang bernama  Grenada dan  membunuh  penduduknya  yang  tidak  berdosa. Sedangkan  mereka  yang  dibunuh itu  sedang membina  satu   lapangan  terbang untuk  projek  pelancungan, tetapi  kerajaan  kita   menyebutnya sebagai  dalil pembinaan  pengkalan Russia. Setelah  pulau itu dijajah, lapangan udara itu  disiapkan   untuk  tujuannya   yang  asal

Kenapakah aku  tidak menangis  ketika Ariel Sharon,  perdana  menteri Israel  sekarang  ini, merancang, dan kemudiannya  melancarkan pembunuhan  ngeri   terhadap dua  ribu  rakyat Palestine  yang  miskin dalam dua  khemah pelarian di  Sabra dan Shatila. Inilah  Ariel Sharon yang sama  yang  bersekongkolan dengan  pengganas  Irgun dan Stern Gang  sudah pun  menjadi  perdana  menteri  mengikuti  jejak langkah  Begin dan Shamir. Beliaulah  yang  membunuh isteri dan  kanak-kanak  pegawai British  dengan  meledakkan  Hotel King  David  di mana  mereka  sedang  menginap ketika itu.

Saya agak, kita menangis  kerana  diri  sendiri. Tetapi apakah itu alasannya  untuk  menuntut  balas dendam  terhadap  seseorang   yang mungkin  tidak  sebulu dengan  kita?     Nampaknya, inilah  yang  diingini  oleh  Amerika. Yang pasti, itu juga  minat  kerajaan kita dan  media  massa.  Apakah kita  betul  dengan pendirian  betapa  kita ada  hak  untuk  menganiaya  masyarakat dunia  yang miskin  untuk  mencapai  matlamat  kita, kerana  kita   berbangga  bahawa  kita   bebas,  berbanding  mereka  yang  masih  terbelenggu?

Kini kita akan pergi  ke  medan perang. Memang kita berhak  menghambat  mereka  yang membunuh  begitu ramai  orang kita  yang  terkorban.  Dan kita akan menang,  pastinya, menentang Osama bin Laden. Menentang  Taliban, Menentang  Iraq. Menentang  siapa  sahaja  ataupun apa juga.

Dalam  proses  peperangan itu kita  akan  membunuh  ramai lagi kanak-kanak  yang tidak berdosa. Inilah  kanak-kanak  yang tidak mampu  memakai  secebis  kain baru untuk musim  tengkujuh. Tidak ada  rumah yang  sempurna untuk mereka   berteduh. Tidak ada  sekolah   untuk  mereka  belajar dan  mengetahui kenapa   mereka  bersalah. Ketika  berusia  dua  ataupun  empat  ataupun enam tahun. Mungkin juga   Paderi  Evangelist  Falwell dan  Robertson  mendakwa  kematian mereka itu ada  juga  baiknya  kerana  mereka bukan  penganut  agama Kristian. Mungkin juga  ada  jurucakap  Jabatan Negara   memberitahu dunia  betapa  disebabkan  kemiskinan adalah lebih baik mereka mati  sahaja.

Apa jadinya  selepas  ini?  Apakah kita  dapat  menguruskan dunia  mengikut cara  kita? Bolehkah  segala   perundangan baru  yang  mensyaratkan pemantauan  anda dan aku  serta  semua   ketua  pegawai  tinggi   menjadi  ceria  dengan   tanggapan betapa  semua  manusia yang menunjuk perasaan  jalanan  terhadap  globalisasi  sudah pun  tercengkam kini. Tidak ada  lagi rusuhan di  Seattle, Quebec ataupun Genoa kerana  keamanan sudah  bertapak  akhirnya.

Demikianlah  sehingga  di lain kali.  Siapa pula  kemudian itu?  Apakah dia  seorang  pemuda yang  berjaya   terlepas  daripada  serangan  membabi-buta  terhadap ibu bapanya yang terkorban  di  El Chorillo?   Mungkinkah dia  nanti merupakan seorang  gadis  yang telah  mengetahui cerita  sebenar   bagaimana  ibu bapanya  yang  merupakan doktor  perubatan telah  terbunuh oleh   keganasan  pasukan ‘Contras’ tajaan CIA?   Bukankah itu pasukan yang mematuhi arahan  dan panduan CIA  bahawa  cara terbaik  memusnahkan  kerajaan  yang  mahu  membaiki nasib bangsanya ialah dengan membunuh  guru-guru,  pegawai perubatan dan  petugas  pertanian  kerajaan?

Mungkin juga  akan muncul nanti seorang warga  Chile  yang kehilangan  keseluruhan  keluarganya kerana  dibunuh  oleh   pemerintahan Nixon   di mana  Setiausaha Negara  Henry Kissinger  tidak dapat  mencari  perbezaan  antara  komunis  dan sosialisme demokrat  ataupun  seorang nasionalis.

Sampai bilakah kita  rakyat  Amerika boleh sedar  betapa selagi  kita  cuba  menjadi  polis dunia  disebabkan  menjaga  kepentingan niaga,  kita akan  merana  apabila ada  sesiapa  yang menuntut  bela?  Tidak ada  satu peperangan yang mampu menyekat  keganasan  selagi  kita  menggunakan  keganasan  untuk  berkuasa. Kerana itu  aku berhenti menangis kerana aku  berhenti menonton TV.

Aku telah  pergi   bersiar-siar   hanya  empat  rumah jauhnya dari   rumahku.  Di sana   satu himpunan manusia kelihatan  meletakkan  bunga  dan  memasang  lilin  di hadapan balai bomba   perumahan kami. Balai itu  tertutup rapat.   Ia sudah ditutup  sejak hari Selasa kerana  para petugasnya,  satu pasukan yang sungguh  ceria  dan mesra  dan dianggap sahabat oleh   penduduk setempat  telah  berlari begitu pantas ketika  bertugas  untuk menyelamatkan setiap mangsa  yang cuba menyelamatkan diri mereka, sehinggalah  bangunan  itu  runtuh  dan  memangsakan  mereka  bersama. Aku  menangis  sekali lagi.

Aku  telah  bercakap  sendirian ketika   menulis ini,  tidak payahlah mengirimkan tulisan ini: beberapa orang  pelajarku,  teman-teman, dan   jiran tetangga  akan  membenci dan  mencederakan  kau. Aku pun memasang  semula  TV  dan terlihat   Setiausaha  Negara  memberitahu betapa  tidak ada salahnya  pergi berperang   menentang  anak-anak ini,  kaum miskin  yang melarat,  mereka yang membenci Amerika,  kerana kita adalah satu bangsa  yang bertamadun, tidak semacam  mereka  yang  tidak ada  adab langsung. Kerana itu aku  mengundang risiko  menyiarkan  tulisan  ini.

Mungkin selepas membaca  tulisan ini ada   seorang insan yang akan  bertanya: Kenapakah   terlalu ramai  manusia  di dunia ini yang sanggup  menggadai nyawa   untuk memberikan kita  merasakan  apa yang pernah kita  berikan  kepada  mereka?


Tamat
Diterjemahkan oleh  SPAR

Hits: