Kad Pintar Di Mata Kacip
(Smart Cards At The Chopping Block)

M.G.G. Pillai
27 September, 2001.

Darulboleh mempunyai satu fungsi yang tidak boleh dipertikai: menyulitkan hidup para pengguna dengan segala tipu muslihat pembetulan teknologi. Tidak kira apa barangannya, kalau anda seorang pengguna, pada penghujungnya anda akan naik marah dan merasa hampa seperti orang lain juga. Sama ada berkaitan dengan cara mengeluarkan wang simpanan anda melalui Kad ATM, tiket kereta api, ataupun kaedah membayar secara automatik harga tol lebuh raya, segala janji mengenai kemudahan itu kini menjadi satu ilusi sahaja. Kita sudah pun mempunyai Internet, tetapi cubalah tambahkan akaun anda dan perhatikan betapa anda tertekan jadinya. Tidak kiralah kalau anda mempunyai akaun dengan Jaring ataupun TMNet, kemudahan membuka akaun itu terpaksa dibayar dengan cara lain, seseorang yang ceria dengan sistem itu tidak seharusnya dibiarkan begitu untuk satu waktu yang lama.

Pernahkah anda menyetujui rancangan Touch ‘nGo kerana mahukan kemudahan membayar melalui pemindahan wang melalui kad kredit ? Kini, mengikut cerita birokrasinya sudah tidak berfungsi lagi. Kalau had akaunnya sudah menurun, anda terpaksa beratur untuk menambah simpanan pada akuan kad itu di pintu bayaran, ataupun di mana juga Touch’nGo membuka tempat untuk menerima bayaran itu di merata Lembah Kelang, ataupun di tempat yang lain. Saya sudah diberitahu betapa Touch’nGo telah menghentikan sistem ‘Auto Reload’ (tambahan automatik) kerana kelulusan profesional perundingnya hanya bersifat kebolehannya yang dikatakan rapat dengan pihak atasan; dan hanya merupakan agen komisyen yang menjaja kepakaran perundingannya itu kepada pihak yang menawarkan bayaran yang tertinggi.

Rupanya Touch’nGo kerugian ratusan ribu ringgit setiap bulan sehingga menjadikan projek itu satu masalah besar. Memang ada sistem talian terus dengan bank dan syarikat kad kredit, di mana ia mengubah masuk butiran kredit kad dan juga wang apabila akaun sesuatu kad itu menurun. Tetapi Touch’nGo terpaksa mengirimkan butiran yang sepatutnya kepada bank dan syarikat kad kredit yang bersangkutan untuk mengutip wangnya. Di sinilah di mana wang itu hilang. Terlalu banyak kad kredit dan akaun bank yang terpaksa digantung, dibatalkan ataupun tidak wujud menyebabkan Touch’nGo mengalami kerugian yang besar. Inilah bahananya kontrak diberikan di Darulboleh. Tidak kiralah seandainya ia menggunakan sistem pertahanan yang berunsur “start-of-the-art” (ingat bukan state of the art – penterjemah) ataupun usaha merencana satu sistem perakaunan di sebuah supermarket. Tujuannya ialah agar ada seseorang yang membuat komisyen, dan bukannya menentukan sistem itu dapat berfungsi dengan efisyen

Amalan memakan komisyen di tengah-tengah inilah yang menjahanamkan sistem kehidupan kita. Kerajaan sudah muflis sekarang tetapi Perdana Menteri mengumumkan suntikan RM4 bilion ke dalam sistem kewangan. Bursa Saham Kuala Lumpur kini meraba dan meraban, lebih takutkan pergerakan Wall Street daripada pergerakan benda-benda lain yang lebih penting lagi yang ada kaitannya dengan piawaian sejagat. Semalam (25 September 01) MAS hampir tidak dapat berniaga, dan pucuk kepimpinan pengurusan yang baru telah memberitahu pegawai kanannya betapa syarikat itu sudah muflis sejak empat tahun yang lalu. Sebaliknya, baru sangat kita diberi tahu betapa membayar dua kali ganda harga pasaran untuk menyelamatkan pengurusan yang haprak dengan hutang syarikat yang banyak adalah satu keputusan yang bijak. Lebuh raya Utara-Selatan adalah bertujuan untuk menyenangkan hidup kita, tetapi menepati dasar Darulboleh, ia sudah menjadi satu beban kerana kita selalu kena membayar tol yang semakin meninggi, di samping hutang bertapuk yang semakin tinggi yang tidak akan selesai hutangnya selama 50 tahun lagi.

Apabila sistem begini tumpul, tentulah kita dapat melihat tanda bencana yang akan menyusul. Setiap dasar ada kepincangannya, dan setiap tindakan ada reaksinya, tetapi di Darulboleh semua itu tidak boleh ditonjolkan kecuali olah para ‘penderhaka’. Oleh kerana rakyat sudah memilih sebuah kerajaan, adalah tanggungjawab kerajaan yang wujud itu memegang amanah rakyat, walau pun setakat ini semua amanah itu sudah lama terhumban di jendela. Inilah yang kita tanggung sekarang. Kerajaan yang ada terlampau kuat kuasanya, sehinggakan pembangkang dapat ditekan begitu dahsyat sekali sehingga tidak mampu menubuhkan satu persatuan ataupun barisan untuk setakat menyakat kerajaan. Tidak ada sesiapa di pihak pembangkang mahu pun di pihak kerajaan yang merasa sedih dengan keadaan hidup yang sudah mereput. Bukan sahaja setakat teknologi ataupun kad bayaran yang sudah bercelaru. Keseluruhan hidup di Darulboleh sudah menjadi bercelaru. Touch ‘nGo adalah sebuah syarikat yang baik, ia boleh merujuk kepada dasar lain dan tindakan yang boleh sengaja menghenyak ragam hidup selesa mereka yang telah memilih kerajaan sekarang untuk berkuasa.

Di Sarawak, kita diberitahu pihak pembangkang tidak akan mampu menubuhkan kerajaan dan oleh itu calon mereka seharusnya tidak dipilih untuk menjadi wakil rakyat. Memanglah, tidak ada sesiapa termasuk pembangkang yang mengaku ia mampu, (waktu ini). Apa yang mereka minta dan harapkan ialah untuk peluang memenangi sedikit kerusi untuk bergerak aktif dalam Dewan Negeri sebagai penyelia kegiatan kerajaan setiap hari. Ini bermakna kerajaan tidak dapat lagi bergerak bebas sesuka hati, seperti yang dinikmati oleh BN selama ini, sehingga hancur martabat Malaysia yang suci murni. Timbalan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, tersilap apabila mengajak orang Sarawak menolak parti pembangkang kerana ia tidak boleh menubuhkan kerajaan. Inilah dia contoh keangkuhan yang selama ini dibiarkan kepada BN sehingga ia terus berkuasa dan menyebabkan kita melutut papa kedana. Tetapi kerajaan tidak inginkan satu pembangkang yang boleh menyedarkan segala kesilapan mereka agar mentadbir mengikut perlembagaan negara. Hairankah kita kalau kepincangan Touch ‘nGo disebut sebagai satu kesulitan pentadbiran sedangkan ia sebenarnya sudah membuatkan para pengguna teraniaya?

M.G.G. Pillai 
pillai@mgg.pc.my
 

Diterjemahkan oleh SPAR 01.

Hits: